Taufan landa Filipina, Dr Mahathir harap kontinjen Sukan SEA Malaysia tabah

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berharap kontinjen Malaysia di Sukan SEA 2019 bersabar dan tabah dalam menghadapi situasi Taufan Kammuri yang sedang melanda Filipina.
Beliau juga berharap atlet negara akan melakukan yang terbaik dalam temasya sukan dwitahunan untuk menunjukkan kebolehan Malaysia.“Itulah harapan saya dan saya berdoa pasukan Malaysia akan berjaya,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Bendera Malaysia kepada peserta misi All Women Expedition to Antartika (AWETA) di Perdana Putra, pada Selasa.

Perdana Menteri berkata walaupun dilanda ribut taufan yang amat dahsyat, namun beliau yakin kerajaan Filipina akan memastikan Sukan SEA 2019 dapat dijalankan dengan sempurna.

Menurut laporan media, beberapa acara sukan pada temasya Sukan SEA ke-30 yang sedang berlangsung di dua kluster iaitu Subic dan Clark terpaksa ditunda ke tarikh baharu susulan Taufan Kammuri membadai Filipina.

Terdahulu, Dr Mahathir meluangkan masa kira-kira setengah jam mendengar penerangan daripada penjelajah wanita negara yang juga Mentor AWETA, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir, berkenaan pengembaraan yang akan dilalui tiga ‘ratu ais’ negara dalam misi itu.

Selain menyerahkan bendera Malaysia kepada pasukan itu, Perdana Menteri turut menyerahkan kapsul masa 2030 yang dinamakan ‘Semangat Malaysia Boleh Tun Dr Mahathir Mohamad’ yang akan ditanam pasukan itu di Antartika dalam misi yang dijadual bermula pada 18 Dis ini hingga 3 Jan depan.

Tiga peserta misi itu ialah anggota Tentera Darat Malaysia Kpl Siti Jumaidah Bensali, 34; Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Dalam Negeri, Salehah Abu Nor, 33; dan ahli farmasi, Nurul Atiqah Tamarun, 31, manakala Sharifah Mazlina akan bertindak sebagai mentor dan moderator.

“Saya juga ada tugas, saya hendak ambil semula kapsul masa saya yang lama (ditanam di Antartika pada 2004), jadi dalam masa sama yang boleh membantu dan memantau mereka.

“Saya akan menghantar mereka di garisan permulaan, selepas itu mereka berjalan sebagai kumpulan, dan saya akan jumpa mereka semula di garisan penamat dan di sana kami akan cari kapsul masa yang saya tanam dulu dan kapsul yang ini (2030) akan ditanam oleh mereka,” jelasnya.

Sharifah Mazlina berkata ketiga-tiga ‘protege’ itu dipilih selepas mereka berjaya mengharungi pelbagai ujian mental dan fizikal yang ditetapkan sekali gus mengenepikan 1,000 peserta lain sejak penyertaannya dibuka pada 2017.

Katanya ekspedisi itu akan menggunakan laluan Last Degree 89?S To The South Pole merangkumi jarak sejauh 110 kilometer dan teknik digunakan adalah berski.

Dakwaan atlet Malaysia positif ujian doping tidak berasas – CDM

MANILA: Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan SEA ke-30, Datuk Megat Zulkarnain Omardin menolak dakwaan dua akhbar bahawa seorang atlet Malaysia positif ujian doping.
Beliau menegaskan bahawa laporan dua akhbar berbahasa Melayu itu membuat dakwaan yang tidak berasas sama sekali.

“Apa yang berlaku ialah wartawan berkenaan mendengar perbualan yang berlaku antara pegawai Anti Doping Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC) yang berjumpa dengan pegawai pasukan Malaysia memaklumkan untuk mengambil sampel air kencing salah seorang pemain sofbal Malaysia bagi ujian doping.

“Tetapi telah disalah anggap oleh wartawan tersebut bahawa atlet negara telah dikesan positif doping,” katanya menerusi kenyataan pada Iasnin malam.

Megat Zulkarnain menjelaskan bahawa ujian doping akan melalui proses yang teliti, yang mana semua sampel air kencing akan dihantar untuk diuji di makmal dari luar Filipina seperti di Jepun atau Australia.

Beliau berkata kebiasaannya penghantaran akan dilakukan secara berkumpulan dan agak mustahil keputusan ujian boleh diperolehi dengan begitu pantas.

“Apatah lagi, sebarang keputusan akan dimaklumkan terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Doping PHISGOC yang akan memulakan proses mengemukakan laporan kepada Jawatankuasa Pengelola sebelum dimaklumkan kepada Majlis Olimpik negara berkenaan.

Proses berikutnya melibatkan pemakluman kepada atlet terlibat yang mungkin akan mencabar keputusan tersebut melalui sampel B terlebih dahulu. Proses ini akan mengambil masa dan tidak mungkin keputusan tersebut akan diketahui serta merta,” katanya .

Beliau yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) berharap agar semua pihak mendapatkan pengesahan terlebih dahulu sebelum melaporkan perkara yang akan mencetuskan situasi yang tidak menyenangkan kepada sesiapa sahaja.

Sukan SEA: Aspek pemarkahan sukan tarian jadi persoalan

NEW CLARK CITY (Filipina): Aspek pemarkahan dalam sukan subjektif pada Sukan SEA masih menjadi persoalan yang dibangkitkan oleh beberapa jurulatih negara, termasuk jurulatih tarian negara, Chua Zjen Fong selepas skuad negara sekadar membawa pulang satu pingat emas pada edisi ke-30 temasya sukan berkenaan di sini, pada Ahad.
Chua mendedahkan beberapa atlet negara berpeluang cerah meraih sekurang-kurangnya beberapa butir pingat gangsa sekiranya mereka mendapat kutipan markah yang lebih tinggi, terutamanya daripada beberapa pengadil dari Eropah yang diberi tanggungjawab memberi markah untuk sukan berkenaan pada Sukan SEA 2019.Beliau yang merupakan bekas atlet tarian, bagaimanapun, tetap berpuas hati dengan prestasi cemerlang yang dipamerkan skuad tarian negara yang berjaya meraih satu emas menerusi Lego Sam Lee Jek dalam acara Break Dance Lelaki.

“Atlet kita seperti Jarell Cheong Tze Wen dan Koh Jinnee tunjukkan prestasi yang baik, terutamanya dalam acara pasangan standard walaupun mereka masih muda.

“Bagi acara Latin, atlet kita mempamerkan prestasi terbaik, cuma mungkin masalah pemarkahan yang menghalang mereka meraih kedudukan lebih baik pada kali ini, dan saya paling berbangga dengan Lego Sam kerana berjaya raih pingat emas,” katanya ketika ditemui Bernama selepas berakhirnya acara tarian Sukan SEA 2019 di Ballroom Royce Hotel and Casino, dekat sini, pada Ahad.

Dalam pada itu, Chua berharap keputusan sederhana yang diraih beberapa penari muda negara pada Sukan SEA kali ini boleh dijadikan sebagai pengalaman berguna untuk menghadapi kejohanan akan datang.

Ditanya mengenai hala tuju skuad sedia ada, beliau berkata mereka akan menyertai kejohanan kebangsaan pada penghujung tahun ini, selain bakal meneruskan latihan di benua Eropah bagi meningkatkan lagi skil tarian masing-masing.

Pada masa yang sama, beliau turut mendedahkan mereka akan terus memantau perkembangan Lego Sam bagi memastikan penari berusia 24 tahun itu terus diberi peluang menyertai pelbagai kejohanan antarabangsa pada masa depan.

Sebagai rekod, seramai sembilan penari negara menyertai Sukan SEA 2019 di atas perbelanjaan sendiri memandangkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meletakkan pasukan berkenaan dalam kategori B2.

Menerusi kategori berkenaan, persatuan terlibat harus menanggung perbelanjaan atlet masing-masing, dan MOM tidak akan membayar semula wang perbelanjaan walaupun atlet berkenaan meraih sebarang pingat kerana persatuan tersebut bukan ahli gabungan MOM.

Tuan rumah, Filipina muncul juara keseluruhan acara tarian Sukan SEA 2019 setelah meraih sembilan emas dan tiga perak.

Untuk rekod, sukan tarian kembali dipertandingkan buat kali ketiga pada Sukan SEA kali ini setelah kali terakhir diadakan pada edisi 2005 di Manila, sebelum berjaya meraih satu gangsa menerusi gandingan Yong Kwok Leong dan Gooi Yee Zhen dalam acara Latin Amerika (Rumba) pada edisi 2007 di Korat, Thailand.

Azizulhasni tamat saingan di tempat keenam

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang menamatkan perlumbaan di tempat keenam dalam acara keirin pada siri ketiga Piala Dunia di Hong Kong, malam tadi.
Pelumba yang diberi gelaran ‘The Pocket Rocketman’ yang mendahului saingan kedua pusingan separuh akhir itu mencatatkan 10.531 saat (s) pada final di Velodrom Hong Kong.

Pada aksi final itu, acara itu diungguli oleh pelumba New Zealand, Callum Saunders dengan catatan masa 10.199s diekori pelumba Great Britain, Jason Kenny, yang hanya ketinggalan 0.043s.

Pelumba Belanda, Buchli Matthijs, yang mewakili BEAT Cycling Club berada di tempat ketiga dengan catatan masa 10.257s.

Terdahulu, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu merekod 9.948s untuk mengungguli kedudukan saingan kedua pusingan pertama sekali gus mara ke separuh akhir.

Atlet beragama Islam selesa di Perkampungan Atlet Clark dengan makanan halal, bilik solat

NEW CLARK CITY (FILIPINA): Di sebalik pelbagai kritikan yang diterima Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC) susulan kegagalan mereka menyelesaikan beberapa isu berbangkit, beberapa atlet dan jurulatih dari negara ASEAN memuji kemudahan lengkap yang disediakan di Perkampungan Atlet Clark (New Clark City Athletes’ Village), di sini.

Pesilat wanita Brunei, Anisah Najihah Abdullah yang ditemui Bernama di Perkampungan Atlet berkenaan, berpuashati dan kagum dengan kemampuan tuan rumah menyediakan kemudahan terbaik untuk atlet yang bertanding, selain turut peka dengan menyediakan makanan halal kepada atlet yang beragama Islam.

“Walaupun saya tinggal di Subic kerana acara silat berlangsung di sana, namun saya kagum dengan kemudahan yang ada di Perkampungan Atlet di sini yang boleh dikatakan hampir sama yang terdapat pada Sukan Asia 2018 di Jakarta, dan lebih penting saya mudah mendapatkan makanan halal,” katanya yang mengakui masalah kesesakan trafik menjadi rungutan banyak atlet bertanding.

Anisah Najihah yang membuat penampilang sulung dalam acara Silat Seni Puteri pada Sukan SEA kali ini, turut yakin Filipina mampu menyelesaikan beberapa masalah yang membelenggu mereka walaupun menerima kritikan hebat daripada media tempatan.

Berkongsi pandangan sama adalah pesilat lelaki Brunei, Muhd Isyraq Zulfadhli Ali yang memuji tuan rumah kerana menyediakan makanan halal, selain beberapa kelengkapan lain yang menjadi gim, tempat riadah dan bilik solat.

“Daripada pandangan saya, saya cukup berpuashati dengan kemudahan yang ada, selain makanan halal turut disediakan kepada atlet yang beragama Islam, cuma perjalanan dari sini ke Manila mengambil masa yang agak lama kerana kesesakan trafik,” katanya.

Turut menyuarakan sentimen mereka adalah jurulatih Arnis Filipina, Reignrose Esquira yang sangat gembira dengan pelbagai penginapan yang disediakan di Kampung New Clark City ‘New Village.

“Bagi saya, sangat luar biasa untuk melihat banyak kemudahan yang disediakan di Kampung Atlet ini, dan makanan juga lazat, dan ruang bilik agak besar walaupun separuh lengkap dan saya tidak melihat kekurangan dalam kemudahan di desa atlet ini,” menurut Reignrose.

Atlet wanita Arnis, L Sheilar Min Naing dari Myanmar, juga memuji tuan rumah terhadap kemampuan menyediakan pelbagai penginapan untuk negara-negara yang bersaing walaupun menghadapi beberapa kekurangan di kawasan lain seperti di Manila.

Seramai 214 atlet dan pegawai Malaysia ditempatkan di perkampungan atlet ini yang terletak kira-kira 90km dari Manila.

Sukan SEA 2019 yang bermula sejak 24 Nov ini akan berakhir pada 11 Dis, menampilkan 56 sukan di tiga kluster – Manila, Clark dan Subic.

Serba-serbi tidak kena dengan Sukan SEA 2019 … apa sebenarnya berlaku?

PEJAM celik pejam celik, acara temasya Sukan SEA 2019 yang bakal berlangsung di Filipina hampir tiba dalam beberapa hari sahaja lagi.
Ini merupakan kali keempat Filipina menganjurkan Sukan SEA selepas temasya itu pada 1981,1991 dan terbaharu pada 2005.Namun, boleh dikatakan persiapan yang dilakukan oleh pihak penganjur Sukan SEA kali ini, Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC), memang serba-serbi tidak kena.

Apa sebenarnya berlaku?

Sayangnya, Filipina yang sudah dikhuatiri sejak awal lagi sebagai tuan rumah, ternyata belum bersedia sepenuhnya untuk menjadi hos Sukan SEA kali ini.

Pelbagai keluhan dan komen yang wujud sebaik para kontinjen tiba di Filipina. Antara isunya adalah masalah pengangkutan, tempat penginapan dan venue yang masih dalam proses pembinaan.

Ambil sahaja contoh bilik yang digunakan untuk sidang media acara bola sepak sempena Sukan SEA 2019 yang tular di media sosial. Masih ada lagi perancah (scaffolding) dan kelihatan seperti kerja pembinaan baru dilakukan sejak beberapa hari yang lepas.

Layanan kurang memuaskan

Bukan niat untuk memburukkan keadaan mahupun pihak penganjur namun itulah yang dihadapi oleh kontinjen kita dan negara ASEAN lain termasuk Timor Leste.

Pelbagai kritikan yang diterima, misalnya skuad bola sepak Kemboja, Timor Leste dan Thailand tidak mendapat layanan terbaik dengan pasukan Timor Leste terpaksa menunggu hampir dua jam di lapangan terbang sebelum mereka dibawa ke hotel yang salah oleh pemandu bas.

Malah, pemain Kemboja pula terpaksa tidur di lapangan terbang hampir lapan jam untuk menunggu bas, manakala latihan pasukan Thailand pula dibatalkan ekoran jarak hotel yang disediakan PHISGOC sangat jauh.

Contohnya, lima jam sebelum sepak mula acara bola sepak lelaki membabitkan Malaysia dan Myanmar di Stadium Memorial Rizal semalam, venue itu masih lagi sedang dibaik pulih di luar mahupun dalam stadium.

Perkara sama juga dilihat berlaku di Gimnasium Universiti Filipina yang juga lokasi acara floorball. Venue itu dilihat begitu usang dan daif.

Tiang bumbung dalaman yang berkarat serta bersawang langsung tidak menggambarkan keterujaan tuan rumah untuk menganjurkan sukan terbesar rantau ini.

Akibat daripada terlalu banyak isu yang dibangkitkan, maka terhasillah tanda pagar #SEAGames2019fail yang ”trending” buat beberapa hari di laman Twitter sejak Isnin.

Ini adalah diantara komen atau kritikan yang dilemparkan netizen menerusi tanda pagar tersebut, terdapat juga yang menjadikan persiapan Sukan SEA Filipina ini sebagai bahan jenaka di media sosial.

Dalam pada itu, Chef De Mission Malaysia ke Sukan SEA 2019 di Manila, Datuk Megat Zulkarnain Omardin akui persiapan sempena temasya sukan itu mengalami beberapa masalah antaranya dari segi venue, penginapan dan juga makanan buat atlet negara.

Bagaimanapun perkara itu telah mula diatasi dan dijangka selesai dalam tempoh masa terdekat bagi memastikan persiapan atlet negara tidak terjejas.

Jelasnya, perkara itu turut mendapat perhatian Presiden Filipina yang mahu perkara itu diatasi segera.

Kebanyakan atlet berdepan situasi sukar apabila terpaksa menempuh perjalanan yang jauh ke sesebuah venue termasuk kekurangan bekalan makanan halal.

Hanya sehelai jersi Perak dicetak bendera terbalik

IPOH: Jersi pemain bola keranjang dengan bendera negeri Perak dicetak terbalik berpunca daripada kesilapan yang tidak disengajakan pembekal.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri Howard Lee Chuan How berkata pemeriksaan dengan penganjur dan jurulatih pasukan mendapati hanya sehelai jersi yang terlibat.

“Mereka (pasukan bola keranjang) telah memohon maaf atas kesilapan itu dan berjanji untuk tidak mengulang kesilapan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Lee berkata pihaknya akan menghantar satu surat tunjuk sebab bagi menjelaskan isu itu secara formal.

Katanya semua pasukan, persatuan dan kelab sukan negeri telah diarahkan supaya lebih cakna dan teliti terhadap lambang serta bendera rasmi negeri selaras dengan semangat patriotik.

“Semoga insiden menjadi pelajaran kepada semua pihak untuk lebih berhati-hati,” katanya.

Semalam, tular gambar pemain Perak memakai jersi dengan bendera negeri dicetak terbalik yang dikatakan beraksi pada Kejohanan Piala Lum Mun Chak di stadium bola keranjang Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA).

Tottenham elak igauan ngeri sahkan tempat

TOTTENHAM 4 OLYMPIACOS 2

Harry Kane dan Dele Alli memberi kenyataan pedas terhadap aksi babak pertama Tottenham dalam Liga Juara-Juara (UCL) apabila bangkit mencipta kemenangan 4-2 ke atas Olympiacos, awal pagi tadi, dan yakin mereka dapat mengelak daripada beraksi dengan lebih buruk lagi sebelum rehat.

Permulaan buruk menyebabkan Spurs ketinggalan 0-2 selepas 19 minit permainan yang menyaksikan Youssef El-Arabi dan Ruben Semedo meledak gol untuk sentuhan pertama Jose Mourinho di laman sendiri yang hampir menuju detik yang menyedihkan.

Namun, Alli merapatkan jurang menerusi jaringan lewat dalam separuh masa pertama sebelum Kane kembali mengimbangi kedudukan sejurus permainan bersambung — mengatasi rekod Alessandro Del Piero apabila merakamkan 20 gol UCL selepas 24 perlawanan — kemudian Serge Aurier memberikan tuan rumah kelebihan gol.

Kemasukan Christian Eriksen pada minit ke-29 bagi menggantikan Eric Dier seolah-olah menjadi titik kebangkitan skuad bimbingan Mourinho itu sambil Alli akur bahawa dia yang sepatutnya digantikan dengan lebih awal.

“Saya berasakan kami akan mengalami kekalahan lalu pengurus membuat keputusan untuk mengetengahkan lebih ramai pemain tengah yang bercirikan serangan dan secara jujurnya, mana-mana antara kami memang dikeluarkan dalam tempoh 20 minit pertama permainan, khususnya saya sendiri,” katanya kepada BT Sport.

“Saya fikir saya beraksi dengan amat buruk dalam tempoh 20 minit pertama perlawanan, tetapi ia adalah satu permainan sepasukan dan dengan bersungguh-sungguh, situasi pun berubah.

“Kami tidak bermula dengan cukup baik. Ketika rehat, kami berikrar untuk tidak mempamerkan aksi lebih buruk lagi, jelas ia merupakan langkah yang baik untuk memasuki babak kedua kerana menyedari kami hanya perlu bermain dengan lebih baik. ”

Ketua pasukan, Kane, menambah: “Kami perlu tenang, kami hanya perlu menyumbat gol dan mendapatkan rentak, tetapi kami perlu lebih tenang ketika menguasai bola, tidak perlu tergesa-gesa. Masih ada baki 45 permainan jadi kami tidak memerlukan gol dengan segera.

“Kami sedar keadaan tidak akan bertambah teruk sebagaimana dalam babak pertama, jadi kami turun dengan sedikit kebebasan dan itulah yang kami lakukan.”

Kejayaan buat Spurs itu mengesahkan tempat mereka di peringkat kalah mati, namun kedudukan teratas berada di luar jangkauan mereka apabila Bayern Munich — pasukan terakhir yang bakal dihadapi dalam perlawanan penutup Kumpulan B — kini selesa mendahului dengan lima mata.

Pemain gabra pada babak pertama – Kim Swee

KETUA jurulatih skuad bawah-22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee mengakui bahawa para pemainnya masih mencari rentak pada separuh masa pertama aksi Kumpulan A, Sukan SEA 2019 menentang Myanmar hari ini.

Keadaan itu menyaksikan Malaysia terikat 1-1 di Stadium Memorial Rizal, walaupun anak-anak buahnya telah mempamerkan prestasi yang lebih baik pada babak kedua, sekali gus terpaksa berpuas hati dengan satu mata.

“Kita harus faham yang perlawanan pertama bukan mudah, para pemain dah lama tak bermain (secara berpasukan). Pemain kita gabra dan hadapi kesukaran pada separuh masa pertama, tetapi bertambah baik dan kita mendapat lebih banyak peluang berbanding Myanmar pada separuh masa kedua.

“Selepas ini kita harus memastikan bahawa peluang yang dicipta ditukar menjadi gol. Kalau kita tidak mampu menghasilkan gol daripada serangan-serangan yang kita lakukan, kita mungkin akan hadapi masalah dari segi perbezaan jaringan nanti,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Pada aksi tersebut, Myanmar yang menampilkan aksi menyerang dan pantas, mengejutkan Malaysia dengan jaringan Kyaw Soe Moe pada minit ke-13, sebelum tandukan Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak menyelamatkan skuad negara daripada kekalahan pada minit ke-24.

Kim Swee turut menjelaskan bahawa penyerang, Muhammad Akhyar Abdul Rashid hanya mengalami kekejangan otot kerana kesukaran beraksi di permukaan padang sintetik dan bukannya kecederaan serius.

Sementara itu, ketua jurulatih pasukan Myanmar, Velizar Popov berkata, beliau akan meneruskan taktikal menyerang pada perlawanan seterusnya.

” Saya berpendapat ia adalah keputusan yang adil. Malaysia menampilkan aksi yang hebat dan sukar untuk kami mengalahkan mereka. Namun permainan taktikal kami berhasil.

“Kami akan memperagakan rentak yang sama pada setiap perlawanan. Saya tidak melihat keperluan untuk melakukan perubahan,” kata jurulatih kelahiran Bulgaria itu yang pernah membimbing skuad Kelantan pada 2016.

Myanmar seterusnya akan bertemu tuan rumah, Filipina pada Rabu ini, manakala Malaysia akan bertemu Filipina pada Jumaat ini selepas rehat selama tiga hari.

LTdL cetus budaya berbasikal di Malaysia – Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: Perlumbaan jelajah berbasikal tertua Asia Le Tour de Langkawi (LTdL) terbukti telah mencetuskan budaya berbasikal di Malaysia.

Ia bukan sahaja berjaya melahirkan atlet berbasikal bertaraf profesional dan antarabangsa malah telah berjaya membudayakan basikal secara keseluruhannya.

Perkara ini diakui Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi penganjuran program Junior Cycling Malaysia (JCM) serta pembinaan sebuah lagi velodrom di Terengganu.

“LTdL telah menjadi pencetus budaya berbasikal di Malaysia bukan sahaja bagi atlet berprestasi tinggi tapi juga membudayakan basikal secara keseluruhan. Kita sudah ada JCM untuk mendidik anak-anak kita yang akhirnya nanti akan berpeluang mewakili Malaysia pada masa akan datang.

“Pada awal tahun depan kita akan mula membina velodrom di Dungun untuk memastikan sukan berbasikal dapat dirancakkan lagi supaya lebih ramai rakyat Malaysia melibatkan diri dalam sukan berbasikal ini,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran rasmi Petronas LTdL 2020.

Menurut Syed Saddiq lagi, dengan kembalinya LTdL ke Sabah dan Sarawak selepas kali terakhir pada 1997, ia bukan sahaja memberi peluang kepada peminat sukan berbasikal menikmati kemeriahan acara tetapi pada masa sama membantu menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.

LTdL yang dinaik taraf kepada Siri Profesional (ProSeries) menampilkan empat tahap perlumbaan dijadualkan berlangsung dari 7 sehingga 14 Feb, meliputi jarak 1,095.7km melintasi laluan di Sarawak, Terengganu, Pahang, Wilayah Persekutuan (Putrajaya dan Kuala Lumpur), Selangor, Perak, Pulau Pinang serta Kedah.

Bagi edisi 2020, penganjurnya Human Voyage menjanjikan keunikan dengan kemasukan semula Sabah dan Sarawak serta pengenalan dua pra dan post perlumbaan iaitu Criterium International dan Malaysia Classic.