Perkembangan Kisona harus digilap – Roslin

BEKAS pemain badminton negara, Roslin Hashim, mahu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) merencana program terbaik untuk ratu baru badminton Sukan SEA, S. Kisona, bagi meningkatkan lagi mutu permainannya supaya cemerlang di pentas lebih tinggi.

Kisona adalah antara bintang Sukan SEA Ke-30 di Filipina apabila melakar kejutan meraih pingat emas perseorangan wanita dengan menewaskan barisan pemain yang lebih tinggi dalam ranking dunia.

Bagi Roslin, bakat yang ada pada Kisona harus digilap dan BAM perlu mengambil langkah segera bagi memastikan pemain itu akan dapat membuat kejutan di arena antarabangsa.

“Apa yang telah dibuktikan oleh Kisona dengan meraih pingat emas merupakan satu kejutan buat seluruh rakyat Malaysia kerana ia adalah sesuatu di luar jangkaan dan tumpuan untuk melakar kemenangan tidak diletakkan kepadanya,” kata Roslin.

Kisona dipilih pada saat-saat akhir menggantikan Goh Jin Wei yang masih belum cergas selepas menjalani pembedahan usus.

Roslin turut berbangga dengan pencapaian badminton yang meraih tiga daripada lima emas yang dipertandingkan dalam Sukan SEA.

“Kali terakhir Malaysia meraih tiga pingat emas adalah ketika Sukan SEA 1975. Ini sekali gus menjadi pencapaian terbaik skuad negara dalam temasya itu.”

Selain Kisona, skuad badminton negara turut menyumbang emas menerusi perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, serta beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Hafizh janji kekal tenang pada Races of Malaysia

KUALA LUMPUR: Sebagai pelumba kereta yang baharu, Hafizh Syahrin Abdullah mengakui bahawa adalah sukar untuk beralih daripada menunggang sebuah motosikal kepada memandu sebuah kereta, namun beliau berjanji untuk kekal tenang dan memastikan segalanya terkawal ketika mengharungi perlumbaan ‘Races of Malaysia’.

Pelumba MotoGP negara itu telah melengkapkan pusingan pertama dalam jentera lumba Hyundai i30 N TCR yang akan digunakan untuk membuat kemunculannya di FIA World Touring Car Championship (WTCR) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), minggu ini.

Hafizh beraksi semasa ujian wildcard di bawah lampu limpah yang baharu dipasang di SIC pada petang Isnin dan sekali lagi pada pagi Selasa dan dia telah bersedia untuk bersaing dalam kedua-dua perlumbaan yang membentuk ‘Races of Malaysia’ iaitu WTCR Race of Malaysia dan Sepang 8 Hours untuk FIM Endurance World Championship (EWC) motosikal.

“Masih terdapat beberapa tempat yang boleh saya perbaiki dan saya akan memeriksa dengan ketua kru untuk melihat bahagian mana yang kita kalah di trek tetapi ia adalah menakjubkan, pengalaman yang mengujakan untuk saya dan kami juga diuji pada waktu malam.

“Kami ada satu perlumbaan pada waktu malam, ‘Race 3’, ia adalah satu peluang yang baik dapat melakukan ujian di sini.

“Pada masa yang sama, kami mempunyai lebih 20 kilometer bagi kereta (mengikut peraturan wildcard), jadi ia tidak mudah, tetapi saya akan cuba memperbaiki langkah demi langkah.

“Saya tidak sabar untuk membuat kemunculan terbaik pada hujung minggu apabila beralih dari perlumbaan motosikal kepada perlumbaan kereta pula.

“Ia agak sukar tetapi saya akan cuba membina keyakinan saya, terus bertenang dan memastikan semuanya terkawal,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh WTCR, pada Rabu.

Rakan sepasukannya dalam Hyundai Team Engstler, Mitchell Cheah turut diuji dengan wildcard ketiga daripada tiga wildcard Malaysia, Douglas Khoo dan pelumba Brazil, Joao Paulo de Oliveira, yang melengkapkan senarai pelumba yang mengambil bahagian dalam perlumbaan super finale WTCR Race of Malaysia.

Malaysia gagal penuhi sasaran 70 emas dan kedudukan empat terbaik

MANILA: Kontinjen Malaysia dengan penyertaan besar 773 atlet gagal mencapai sasaran 70 pingat emas dan kedudukan empat terbaik keseluruhan pada temasya Sukan SEA ke-30 di Filipina.
Berbaki sehari sebelum temasya dwitahunan itu melabuhkan tirainya malam ini, kontinjen Malaysia mencapai kedudukan kelima carta pungutan pingat dengan mengumpul 55 emas, 58 perak dan 71 gangsa, ketinggalan 170 peratus pungutan emas oleh juara keseluruhan Filipina.Filipina muncul juara keseluruhan buat kali kedua selepas edisi 2005.

Filipina mengumpul 149 pingat emas, 117 perak dan 119 gangsa diikuti kebangkitan kuasa besar baharu serantau, Vietnam dengan 96 emas, 85 perak dan 104 gangsa (96-85-104) .

Vietnam muncul sebagai kontinjen yang perlu diberi perhatian apabila merangkul ibu segala pingat buat pertama kali selepas lima final dengan menewaskan Indonesia 3-0 pada final bola sepak serta muncul juara keseluruhan acara olahraga dengan menggondol 16 daripada 49 emas dalam sukan itu.

Thailand pula menghuni tangga ketiga dengan catatan 92-102-122 diikuti Indonesia 72-83-111 di tempat keempat.

Skuad hoki dalam dewan lelaki dan wanita menjadi menyumbang emas penutup kontinjen Malaysia apabila mengalahkan masing-masing mengalahkanThailand 3-1.

Pada aksi hari terakhir kontinjen Malaysia, skuad olahraga menghadiahkan dua emas, masing-masing menerusi Muhammad Hakimi Ismail dan Muhammad Irfan Shamsuddin dalam acara lompat kijang dan lempar cakera lelaki.

Muhammad Hakimi menepati ramalan selaku jaguh nombor satu lompat kijang Asia Tenggara setelah mencatat emas hatrik sejak edisi 2015 di Singapura menerusi catatan 16.68 meter, manakala Muhammad Irfan pula mengekalkan emas yang dimenangi sejak edisi 2013 di Myanmar setelah melakar balingan sejauh 57.29 meter.

Kontinjen Malaysia diwakili seramai 773 atlet dan 339 pegawai menyertai 52 daripada 56 acara di tiga kluster, iaitu Manila, Clark dan Subic.

Sukan SEA 2019 selama 11 hari itu akan melabuhkan tirai dengan upacara penutupan rasmi di Stadium Olahraga New Clark City yang dijangka akan disempurnakan oleh Presiden Filipina, Rodrigo Duterte.

Vietnam bakal menjadi hos Sukan SEA pada 2021.

Chong Wei ucap tahniah kepada skuad badminton atas kecemerlangan di Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Lagenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei pada Isnin mengucapkan tahniah kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) serta pasukan badminton negara atas pencapaian mereka di temasya sukan SEA ke-30 di Filipina.

Dalam entri terbaharu di akaun Instagramnya, Chong Wei berkata kejayaan pemain perseorangan wanita S.Kisona meraih pingat emas pertama, disusuli dengan perolehan pingat emas oleh perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia, benar-benar membawa kegembiraan yang berganda.

Jaguh berumur 37 tahun itu turut melabelkan beregu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik sebagai ‘Memang Ganas’ selepas mereka meraih pingat emas yang ketiga di gelanggang badminton, sekali gus menamatkan kemarau 16 tahun.

“Pasangan campuran kita Goh Soon Huat-Shevon Lai pula raih pingat perak! Syabas!,” katanya.

Chong Wei turut mengucapkan tahniah dengan kehebatan pasukan lelaki dan wanita, yang berjaya memenangi pingat perak dan gangsa masing-masing dalam acara berpasukan.

Skuad badminton negara menamatkan kempen di Filipina dengan menambah empat lagi pingat gangsa menerusi acara beregu wanita, beregu lelaki, dan beregu campuran.

Dua pasangan beregu wanita yang memenangi pigat gangsa terdiri daripada pasangan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Vivian Hoo-Yap Cheng Wen, manakala pasangan beregu lelaki terdiri daripada Teo Ee Yi-Ong Yiew Sin, dan beregu campuran Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Sukan SEA 2019 mungkin jadi penampilan terakhir Hup Wei

NEW CLARK CITY: Jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei tidak menolak kemungkinan bahawa Sukan SEA ke-30 di sini, bakal menjadi penampilan terakhirnya pada temasya sukan dwi tahunan itu.

Anak jati Selangor itu yang membuat penampilan sulung pada edisi 2007 di Korat, Thailand mendedahkan fokusnya kini adalah melayakkan diri secara merit ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Mungkin ya (penampilan terakhir Sukan SEA)…kita tengok selepas ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas acara berkenaan di Stadium Olahraga New Clark City, Filipina pada Ahad.

Terdahulu, Hup Wei memenangi pingat emas dalam acara itu walaupun rakan senegara Nauraj Singh Randhawa melakukan lompatan pada ketinggian yang sama iaitu 2.21m.

Hup Wei diisytiharkan sebagai pemenang selepas kiraan semula kerana beliau melakukan lompatan pada ketinggian itu dahulu, dan perak menjadi milik Nauraj sementara atlet Thailand, Tawan Kaeodam terpaksa berpuas hati dengan kutipan gangsa setelah mencatat lompatan setinggi 2.15 meter.

Hup Wei yang mempunyai catatan peribadi terbaik, 2.27 meter, pernah meraih pingat emas pada tiga edisi terdahulu — 2007 di Thailand, 2009 di Laos dan 2011 di Indonesia.

Dalam pada itu, jaguh Paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli berpuas hati dengan pingat perak yang dimenanginya dalam acara lontar peluru lelaki dengan lontaran sejauh 17.03 meter, sekali gus memperbaiki kutipan gangsa yang diraih pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

“Saya berpuas hati dengan kejayaan saya meraih pelbagai kejayaan pada musim ini, termasuk memenangi pingat perak pada Kejohanan Para Dunia, selain menjadi atlet Paralimpik pertama memenangi pingat pada Sukan SEA,” kata anak jati Gombak, Selangor itu.

Brooker mahu lebih ramai penerjun layak ke Sukan Olimpik 2020

NEW CLARK CITY : Skuad terjun negara perlu mengambil peluang mencatatkan keputusan positif pada kejohanan Terjun Piala Dunia FINA 2020 di Jepun dari 21 hingga 27 April depan.

Jurulatih negara, Christian Brooker, berkata kejohanan di Pusat Akuatik Tokyo itu merupakan kejohanan kelayakan terakhir untuk penerjun menempah tiket ke Sukan Olimpik 2020 di venue tersebut.

Sukan Olimpik Tokyo akan bermula 22 Julai hingga 9 Ogos, tahun depan.

Katanya, beliau akan menghantar kesemua penerjun utama yang belum layak ke Olimpik untuk Piala Dunia tersebut.

“Pada pusingan kelayakan terakhir itu, penerjun kita perlu berada dalam kelompok 18 utama dalam acara individu dan tujuh terbaik dalam acara seirama`bagi menjamin tiket ke Olimpik,” katanya selepas berakhirnya acara terjun Sukan SEA ke-30 di Pusat Akuatik New Clark City di sini, hari ini.

Setakat ini, empat penerjun wanita telah layak ke Sukan Olimpik 2020 iaitu Pandelela Rinong, Leong Mun Yee, Wendy Ng dan Nur Dhabitah Sabri.

Mengenai Sukan SEA Filipina, Brooker gembira dengan pencapaian sasaran empat pingat emas serta memuji beberapa penerjun, khususnya Muhd Syafiq Puteh dan Jasmine Lai yang menampilkan aksi cemerlang pada temasya dwitahunan itu.

Kem terjun negara menyapu bersih semua pingat emas ditawarkan dalam sukan itu dengan emas terakhir disumbangkan oleh gandingan Nur Dhabitah-Wendy dalam acara 3m papan anjal seirama.

Gandingan tersebut merampas semula pingat emas daripada penyandang Ashley Tan-Tan Kay Yian dari Singapura dengan catatan 270.6 mata.

Gandingan Singapura itu meraih pingat perak dengan 228.06 mata manakala gandingan Thailand, B.Surincha-Y.Ramanya mendapat gangsa selepas mengumpul 208.14 mata.

Sebeum itu, penerjun elit negara, Ooi Tze Liang mengekalkan emas acara 3m papan anjal individu lelaki, selain emas bersama Muhd Syafiq dalam acara 3m papan anjal seirama.

Andre Anura lebur rekod kebangsaan berusia 12 tahun

NEW CLARK CITY: Skuad olahraga negara membuka kempen Sukan SEA ke-30 di Filipina dengan pencapaian sederhana setelah sekadar mengutip dua pingat perak dan satu gangsa pada hari pertama pertandingan di Stadium Olahraga New Clark City, di sini, pada Sabtu.

Atlet kelahiran Sabah, Andre Anura Anuar, bagaimanapun, mencuri tumpuan setelah memecahkan rekod lompat jauh kebangsaan selama 12 tahun milik Josbert Tinus dengan lompatan 8.02 meter (m) untuk meraih pingat perak.

Catatan berkenaan, sekali gus menyaksikan Anura memadam rekod terdahulu iaitu 7.88m dengan jarak dilakar Josbert pada Kejohanan Terbuka Thailand cdi Bangkok pada Oktober 2007.

“Saya tidak sangka buat lompatan melebihi 8 meter kerana sasaran saya hanya lakukan yang terbaik, dan saya bersyukur dapat pecahkan rekod kebangsaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas berakhirnya acara berkenaan.

Anura melakar catatan peribadi terbaik 7.90m yang dilakukannya pada Kejohanan Terbuka Berwang di Kota Kinabalu pada 2 Nov lalu, namun tidak disahkan oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) kerana beliau mendapat bantuan angin melebihi 2.0 meter per saat.

Pingat emas acara berkenaan dimenangi oleh atlet Indonesia, Sapwaturrahman yang mencipta rekod baharu Sukan SEA iaitu 8.03m dan berjaya memadam rekod terdahulu dicipta atlet Filipina, Henry Dagmil pada edisi 2007 di Korat, Thailand.

Atlet Thailand, Suttisak Singkhon meraih gangsa dalam acara berkenaan dengan lompatan sejauh 7.89m.

Dalam pada itu, pemegang rekod kebangsaan acara lompat bergalah lelaki, Iskandar Alwi sekadar mencatat ketinggian 5.0m untuk meraih pingat gangsa dalam acara berkenaan.

Wakil tuan rumah, Ernest John Obiena memenangi acara berkenaan setelah mencatat rekod baharu Sukan SEA iaitu 5.45m, sekaligus memadam rekod terdahulu, iaitu 5.35m yang dilakar atlet Thailand, Porranot Purahong pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Purahong terpaksa berpuas hati dengan kutipan perak setelah mencatat lompatan setinggi 5.20m.

Pelari kelahiran Australia, Russell Alexander Nasir Taib pula menghadiahkan pingat gangsa untuk Malaysia dalam acara 200m setelah mencatat masa 21.11 saat (s).

Dua atlet Thailand, Chayut Khongprasit dan Siripol Punpa meraih dua kedudukan teratas selepas masing-masing melakar catatan masa 20.71s dan 20.78s.

Pemegang rekod kebangsaan acara baling tukul besi, Jackie Wong Siew Cheer pula meraih pingat perak menerusi balingan sejauh 63.83m manakala rakan sepasukan, Sadat Marzuki Ajisan menduduki tangga keempat dari tujuh peserta dengan balingan 57.35m.

Atlet Thailand, Kittipong Boonmawan mencipta rekod baharu Sukan SEA menerusi balingan sejauh 67.56m, sekali gus memadam rekod terdahulu, 65.90m dicipta Wong pada 2017.

Atler Myanmar, Aung Ye Htet meraih gangsa dengan balingan sejauh 58.88m

Sukan SEA: Permulaan positif – Atlet e-sukan teruja dengan pengiktirafan

MANILA: Buat pertama kalinya temasya sukan gilang-gemilang Sukan SEA menampilkan kategori sukan elektronik (e-sukan) sebagai sukan kompetitif di Sukan SEA Filipina 2019.

Bertempat di Filoil Flying V Centre, di sini, acara e-sukan kini sebaris dengan acara-acara sukan lain yang dipertandingkan seperti bola keranjang, bola jaring dan bola sepak.

Menjadi pengurus bagi pasukan e-sukan Malaysia, Firdaus Hashim berkata ia adalah permulaan yang positif untuk industri sukan itu.

“Kami sangat terharu apabila mendapat pengiktirafan yang sudah lama kami inginkan, jadi kesemua para pemain sememangnya sangat teruja.

“Walaupun kebiasaannya wang menjadi rebutan para pemain permainan e-sukan, kali ini ia berbeza, kami bermain mewakili negara dan kami menerima sokongan penuh daripada rakyat seluruh negara,” katanya.

Lapor portal e-sukan Newzoo, secara keseluruhan, tahun ini permainan e-sukan menjangkakan pasaran sebanyak AS$1.1 bilion, lebih AS$230 juta berbanding tahun 2018 dipengaruhi perkembangan penajaan, penjualan tiket dan cenderamata.

Industri sukan ini terbukti sangat memberangsangkan apabila ia menerima 454 juta pengguna dilaporkan mengikuti siaran langsung e-sukan secara online seperti di Twitch dan Microsoft’s Mixer.

Malah, penganjuran perlawanan e-sukan juga dilihat menjadi fenomena di seluruh dunia dan menjadi pencabar bagi sukan tradisional lain dari segi saiz dan skala penyertaannya.

Buat pertama kali, e-sukan diperkenalkan di Sukan SEA

“Ramai anak muda kini mula menceburi pelbagai permainan atas talian yang dilihat semakin kompetitif,” kata jurulatih pasukan Indonesia di Sukan SEA Filipina 2019, Reza Servia.

“Kamu perlu menjadi pemain yang hebat dan untuk menjadi pemain yang hebat, kamu kena sentiasa bermain permainan itu.

Namun, kamu perlu ada strategi yang bagus dan kefahaman yang tinggi untuk memahami mekanisme permainan itu,” ujarnya.

Acara e-sukan di temasya Sukan SEA Filipina 2019 bermula dari 5 hingga 6 Disember ini.

Sebanyak enam pingat ditawarkan kepada para atlet iaitu Dota 2, StarCraft II, Hearthstone, Arena of Valor, Mobile Legends: Bang Bang, dan Tekken 7.

Atlet Singapura, Thomas Maria Kopankiewic berharap agar sukan itu akan menjadi acara sukan tetap di mana-mana temasya sukan lain.

“Sangat mengagumkan apabila e-sukan kini menjadi sebahagian daripada Sukan SEA, yang juga di peringkat ASEAN. Mungkin tidak lama lagi e-sukan akan ke Olimpik,” katanya.

Temasya Sukan SEA Filipina 2019 merupakan edisi ke-30 penganjurannya dan ia adalah kali keempat negara Filipina menjadi tuan rumah bagi temasya itu sejak 2005.

Aksi hambar kontinjen Malaysia berterusan pada hari kelima Sukan SEA

MANILA: Kontinjen Malaysia meneruskan aksi hambar pada hari kelima Sukan SEA ke-30 di Filipina, setelah sekadar menambah dua pingat emas, masing-masing menerusi acara pencak silat dan petanque, pada Khamis.
Sumbangan dua emas berkenaan, selain tambahan lima perak dan dua gangsa menyaksikan Malaysia turun dua anak tangga ke kedudukan kelima, dengan kutipan pingat keseluruhan 23 emas, 16 perak dan 24 gangsa.Lima perak berkenaan diperolehi dalam acara petanque (triples wanita), lawan pedang (Epee individu lelaki), tenping boling (beregu campuran), judo (66kg lelaki) dan acara sambo 90kg lelaki, manakala dua gangsa diraih menerusi acara pencak silat (kelas Putera B 40-45kg) serta acara renang (200m kuak dada wanita).

Dengan berbaki enam hari sebelum upacara penutupan, Filipina hampir pasti dinobatkan juara keseluruhan buat kali kedua di laman sendiri, selepas edisi 2005 dengan kutipan 63 emas, 45 perak dan 34 gangsa.

Vietnam juara keseluruhan edisi 2003 di laman sendiri, kekal di tangga kedua dengan kutipan pingat keseluruhan 31 emas, 35 perak dan 41 gangsa, manakala Indonesia naik dua anak tangga ke kedudukan ketiga setelah mengutip 27 emas, 36 perak dan 39 gangsa.

Pada aksi semalam, skuad pencak silat negara menghadiahkan kilauan pingat emas pertama, menerusi pesilat kebangsaan, Zulfakar Zulfazly yang berjaya mengatasi pesilat Indonesia, Hanifan Yudani Kusumah menerusi keputusan 3-2, dalam kelas Putera D (60-65kg) di Pusat Konvensyen dan Pameran Subic.

Emas kedua hadir dalam suasana yang berbeza setelah trio petanque lelaki yang dibarisi Muhammad Hafizuddin Mat Daud, Syed Akmal Fikri Syed Ali dan Saiful Bahri Musmin, diheret bertarung hampir tiga jam, sebelum menumbangkan juara bertahan, Thailand menerusi keputusan dramatik 13-11 pada aksi final triples lelaki di CDC Lot, yang terletak bertentangan Royce Hotel and Casino, Clark.

Kontinjen Malaysia akan meneruskan pemburuan emas pada hari keenam, hari ini dalam beberapa acara, antaranya terjun, renang, marathon, berbasikal, pentathlon, muay thai dan petanque.

Hari suram buat negara di Sukan SEA, hanya tiga emas, pasukan bola sepak pulang awal

MANILA: Sejarah skuad bola sepak bawah 22 tahun negara diaibkan oleh Kemboja dangan keputusan jaringan 1-3, yang sekaligus menyingkirkan skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu dari saingan separuh akhir Sukan SEA ke-30; menyuramkan kem negara pada hari keempat temasya dwitahunan itu.
Kegagalan skuad negara itu membawa pelbagai persoalanan mengenai tahap persiapan skuad dan percaturan taktikal yang dianggap memberi kesan buruk pada kempen kali ini.Kim Swee tetap mempertahankan formasi 3-4-3 yang diguna pakai sepanjang pusingan awal saingan, namun apa yang jelas ialah ia hanya mampu memperagakan aksi hambar dalam misi hidup mati skuad negara semasa memburu slot separuh akhir bagi merebut ibu segala pingat temasya itu.

Namun sumbangan dua emas daripada sukan gimnastik artistik dan satu emas daripada sukan boling padang, sedikit sebanyak mengubat persembahan hambar yang ditampilkan kontinjen Malaysia pada Rabu.

Tambahan tiga pingat emas selain enam perak dan sembilan gangsa yang diraih kontinjen Malaysia pada Rabu, jelas tidak mengubah kedudukan di tangga ketiga keseluruhan menerusi kutipan 21 emas, 12 perak dan 23 gangsa.

Selain tiga emas berkenaan, Malaysia turut meraih perak dalam tiga acara sukan berhalangan, selain masing-masing, satu perak dalam acara lawan pedang (foil individu lelaki) acara renang (400m gaya bebas lelaki), dan muay thai.

Lapan pingat gangsa Malaysia hadir menerusi satu acara boling padang (triples wanita), tenpin boling (berpasangan lelaki dan wanita), menembak (1,500 PPC individu dan berpasukan wanita), angkat berat (wanita 71kg dan lelaki 73kg), serta acara renang (4x200m gaya bebas berganti-ganti lelaki).

Tuan rumah, Filipina terus mengungguli carta kutipan pingat menerusi kutipan 56 emas, 41 perak dan 25 gangsa, manakala Vietnam kekal menghuni tangga kedua dengan kutipan 27 emas, 32 perak dan 36 gangsa.

Kilauan emas pertama Malaysia hadir dalam acara boling padang fours lelaki menerusi gandingan pemain veteran Fairul Izwan Abdul Muin bersama tiga pemain lain — Muhammad Idham Amin, Daeng Dhadyry Dahasry dan Zulhilmie Redzuan yang melakar kemenangan selesa 24-6 ke atas Brunei pada aksi final di CDC Lot of Friendship Gate.

Gimnas wanita kebangsaan, Tracie Ang terus menceriakan kem negara setelah mengungguli acara titian imbangan menerusi kutipan12.867 mata, sebelum ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi menyumbang emas ketiga selepas memenangi acara senaman lantai dengan mengumpul 12.600 mata.

Lebih manis, ia merupakan emas ketiga berturut-turut yang dilakar atlet kelahiran Selangor itu yang sebelum ini mengungguli acara individu all-round dan palang bertingkat sebelum ini.

Kontinjen Malaysia akan meneruskan pemburuan emas pada hari keempat, hari ini dalam beberapa acara, antaranya termasuk pelayaran, tenpin boling, dan pentathlon, berbasikal dan menembak.