Skuasy: Ramai pemain junior tunjuk peningkatan dan berpotensi – Nicol

GEORGE TOWN: Bekas pemain skuasy nombor satu dunia Datuk Nicol Ann David pada Ahad berkata, Malaysia mempunyai ramai bakat baharu dalam sukan skuasy dan boleh ditampilkan sebagai pemain profesional masa hadapan.

Juara dunia lapan kali itu berkata pada masa ini, ramai pemain junior yang telah tunjukkan peningkatan dan ada antara mereka mempunyai potensi yang baik.

“Saya lihat ada ramai pemain junior berbakat yang berpotensi untuk dijadikan pelapis dalam sukan skuasy. Saya harap mereka terus berlatih bersungguh-sungguh dan kita lihat bagaimana mereka boleh kembangkan potensi yang mereka ada,” katanya kepada pemberita selepas majlis ‘Penghargaan kepada Datuk Nicol David, Sesi Bertemu dan Bermesra’, di sini pada Ahad.

Turut hadir, Ketua Menteri Chow Kon Yeow; Exco Belia dan Sukan Soon Lip Chee; dan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng.

Nicol berkata, pada tahun hadapan beliau bercadang untuk memfokuskan kepada usaha memperkasakan wanita dan remaja dalam skuasy melalui Yayasan Nicol David.

“Saya mahu berkongsi pengalaman saya melalui sesi motivasi dan sesi libat sama. Saya mahu lihat apa yang boleh saya tawarkan dengan yayasan saya, dalam usaha membantu remaja wanita dan lelaki, dalam memperkasakan mereka melalui sukan dan menggunakan bahasa inggeris sebagai satu kelebihan tambahan.

“Saya juga mahu lakukan sesuatu bersama Kementerian Belia dan Sukan dan mencari cara bersama wanita dan segmen sukan dan juga remaja, untuk mendorong mereka berjaya dan berharap dalam melakukan beberapa program bersama,” tambahnya.

Ketika ditanya sama ada beliau ada menerima tawaran sebagai jurulatih kebangsaan, Nicol berkata, beliau tidak akan menjadi jurulatih sepenuh masa, tetapi akan melatih berdasarkan program.

Juventus guna tulisan Arab buat jersi edisi Riyadh

ROM: Kelab bola sepak terkenal, Juventus buat julung kalinya melancarkan jersi edisi Riyadh yang akan digunakan oleh pasukan tersebut untuk Piala Supercoppa Itali pada musim ini.

Apa yang menjadikannya istimewa dan terhad adalah nama pemain yang tertera di belakang jersi ditulis dengan tulisan bahasa Arab.

Jersi tersebut kini sudah mula dijual di Store Rasmi Kelab Juventus untuk peminat mereka memilikinya, namun dikatakan jersi yang mempunyai nama Cristiano Ronaldo sudah habis dijual.

Kaligrafi Arab yang digunakan itu direka oleh Shaker Kashgari dari Arab Saudi sebagai memberi penghormatan kepada kaligrafi purba.

Kaligrafi Arab yang digunakan itu direka oleh Shaker Kashgari dari Arab Saudi sebagai memberi penghormatan kepada kaligrafi purba.

Perkongsian tersebut membuatkan warga maya terpegun melihat keunikan dibawa Juventus dan rata-rata netizen khususnya rakyat Malaysia memuji tindakan dilakukan oleh kelab bola sepak tersebut.

“Juventus, kelab bola sepak terkenal pun menggunakan jawi untuk membuat jersi edisi terhad mereka. Sangat mengagumkan. Di Malaysia, jawi yang sememangnya digunakan sejak dahulu lagi ditentang oleh Cina yang merupakan rakyat Malaysia sendiri. Apa nak jadi,” tulis Adam Lim di Twitter.

Liana Ahmad pula memberitahu “Terbaik Juventus menggunakan tulisan jawi untuk jersi edisi terhad mereka. Cantik dan teringin untuk membelinya,” katanya.

JDT ikat Liridon Krasniqi | Astro Awani

ISKANDAR PUTERI: Juara Liga Super enam kali Johor Darul Taa’zim (JDT) telah menyelesaikan urusan mengikat bekas pemain Kedah Liridon Krasniqi, menjadikan beliau pemain terkini menyertai pasukan tersebut.

Pengumuman tersebut dibuat jurulatih JDT Benjamin Mora pada satu sidang media yang diadakan di Iskandar Puteri pada Jumaat.

Mora berkata pemain berasal dari Kosovo itu, akan didaftarkan sebagai pemain tempatan bulan hadapan selepas semua proses dokumentasi selesai.

Katanya Krasniqi adalah aset kepada pasukan dan percaya, pemain tengah itu akan dapat menyumbang kepada kejayaan pasukan, berdasarkan kepada pengalamannya.

“Dengan kualiti, skil dan karakter beliau, dia akan dapat sesuaikan diri dengan baik bersama JDT. Beliau satu aset pasukan dan juga kepada pasukan kebangsaan.

“Ini amat penting untuk kelab, (Krasniqi) amat dikenali dan pemain yang bagus. Saya ucapkan yang terbaik untuk beliau disamping dia tahu apa yang diwakili, logo JDT dan identiti dan saya rasa, dia akan lakukan yang terbaik untuk kami musim hadapan,” kata Mora.

Sementara itu pemain berusia 27 tahun itu melahirkan perasaan gembira beliau, untuk dapat menjadi sebahagian daripada sebuah pasukan ternama.

“Apa yang buatkan saya bersama JDT… mudah untuk menjawabnya, kerana JDT adalah sebuah kelab terbaik di Asia Tenggara, kelab yang terbaik dengan impian yang besar, dengan program yang besar.

“Siapa yang tidak mahu menjadi sebahagian daripada kelab ini? (Terutamanya) bersama seorang pemimpin yang berjaya,” katanya.

Bekas pemain Kedah itu, telah membantu pasukan Lang Merah menjuarai beberapa piala daripada 2015 hingga 2018, sebelum menyertai Melaka United tahun ini.

BAM cari jalan atasi enam masalah utama program remaja

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengenal pasti enam masalah besar yang membelenggu program remaja sehingga Malaysia gagal mencabar kejohanan Asia dan dunia bagi musim 2019.

Tahun ini menyaksikan skuad remaja negara merekodkan pencapaian unik dalam dua kejohanan itu dan selepas sekian lama, Malaysia pulang dengan tangan kosong.

Situasi berkenaan memaksa badan induk itu menerusi jawatankuasa pembangunan yang diketuai Datuk Ng Chin Chai bagi mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pemegang taruh.

BAM baru selesai melaksanakan bengkel khas dan bakal membentangkan kertas kerja untuk program lebih baik buat bakat muda negara.

“Selepas bengkel hari ini, kami akan merumuskan jalan penyelesaiannya dan menyerahkan perancangan berkenaannya kepada Jawatankuasa BAM pada April depan,” kata Chin Chai di Akademi Badminton Malaysia (BAM), Bukit Kiara hari ini.

Antara faktor utama yang disifatkan sebagai kebimbangan yang membelenggu program remaja negara adalah membabitkan penyertaan kejohanan serta unsur berkait dengan pemain dan jurulatih.

“Enam isu telah dikenal pasti dan dibincangkan hari ini.

“Antaranya, masalah pemain tidak cukup menyertai pertandingan, sejauh mana struktur pertandingan, sama ada baik atau perlu penambahbaikan.

“(Begitu juga dengan) pemikiran dan sikap jurulatih dan pemain. Adakah ia bagus serta sejauh manakah kemampuan jurulatih, apakah ia mencukupi atau tidak.”

Hadi Fayyadh terus beraksi dalam liga J musim depan

KUANTAN: Penyerang muda bawah 22 tahun kebangsaan, Hadi Fayyadh Abdul Razak kekal beraksi bersama Kelab Divisyen Dua Liga Bolasepak Profesional Jepun (Liga J), Fagiano Okayama bagi tempoh setahun lagi.
Pengarah Urusan Yakult (Malaysia) Sdn Bhd Hiroshi Hamada berkata syarikatnya sedia menyambung penajaan pemain itu kerana mendapati beliau mempunyai potensi besar untuk menyinar pada masa hadapan.Katanya Hadi Fayyadh selaku pemain penyerang telah menunjukkan komitmen yang baik sepanjang sesi latihan selama setahun dengan kelab tersebut.

“Beliau telah menunjukkan persembahan yang baik dan beliau baru berumur 19 tahun. Saya percaya bakatnya boleh digilap untuk menjadi pemain yang lebih baik. Kecederaannya tahun lepas dan masalah bahasa menjadi kekangan kepada beliau untuk menunjukkan bakatnya.

“Saya percaya ia boleh diperbaiki dan kebanyakan pemain untuk Liga J menunjukkan persembahan terbaik pada umur 21 dan 22 tahun,” katanya pada sidang media di Akademi Mokhtar Dahari di sini, pada Rabu.

Hamada menambah pihaknya juga akan terus menaja pemain berpotensi itu sebagai tanda kepercayaan dan sokongan kepada Hadi Fayyadh yang disifatkan sebagai pelaburan jangka panjang untuk sukan bola sepak termasuk semasa berada di Jepun.

Sementara itu, Hadi Fayyadh mengakui meskipun persembahannya pada musim lalu tidak konsisten, beliau masih optimis mampu menyinar di negara matahari terbit itu dengan sokongan padu keluarga, Yakult Malaysia dan kelab yang diwakilinya.

“Persembahan saya musim lalu ada naik turun terutamanya semasa mengalami kecederaan selama dua bulan selain sedang cuba menyesuaikan diri di sana.

“Tetapi tiada yang mustahil untuk saya bangkit dan merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan… saya juga sudah tahu apa yang dikehendaki oleh jurulatih dan akan berusaha memenuhi jangkaannya,” katanya.

Hadi Fayyadh menambah beliau juga masih tetap berlatih walaupun dalam tempoh berehat bagi memastikan dirinya tetap cergas dan tidak sukar untuk mengejar keupayaan rakan sepasukan sekembalinya ke Jepun.

Malaysia hantar kontinjen keempat terbesar Sukan Para ASEAN 2020

KUALA LUMPUR: Malaysia dengan 215 atlet menjadi kontinjen keempat terbesar menyertai temasya Sukan Para ASEAN 2020 di Filipina, Januari depan, menurut Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF).
Thailand menghantar kontinjen terbesar dengan 317 atlet diikuti juara bertahan, Indonesia (306) manakala tuan rumah, Filipina menyenaraikan 274 atlet pada temasya sukan dwitahunan itu yang akan berlangsung di tiga kluster – New Clark City, Subic dan Manila dari 18 hingga 24 Januari depan.Vietnam akan diwakili oleh 109 atlet, Myanmar (108), Kemboja (76), Singapura (61), Laos (31), Brunei (31) dan Timor Leste menghantar 10 atlet.

Menurut kenyataan APSF hari ini, sukan edisi ke-10 itu menjadi temasya terbesar dalam sejarah 19 tahun sukan itu dengan penyertaan 1,533 atlet dan 829 pegawai dari 11 negara, melepasi jumlah 1,452 atlet pada edisi lalu di Kuala Lumpur pada 2017.

Sebanyak 16 sukan akan dipertandingkan dengan sukan tempuh halangan para sebagai sukan demonstrasi.

Sukan yang dipertandingkan ialah olahraga, memanah, badminton, boccia, catur, berbasikal CP, bola sepak, goalball, judo, powerlifting, renang, tenpin boling, ping pong, triatlon, bola tampar duduk dan bola keranjang berkerusi roda.

Temasya sukan tersebut merupakan platform terbaik untuk atlet memburu tiket kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Syed Saddiq mohon maaf atas kegagalan kontinjen negara capai sasaran Sukan SEA 2019

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bertanggungjawab sepenuhnya dan memohon maaf atas kegagalan kontinjen negara mencapai sasaran ditetapkan pada Sukan SEA 2019 di Filipina.
“Sebagai Menteri Belia dan Sukan, saya memikul tanggungjawab penuh di atas kegagalan untuk memenuhi prestasi yang ditetapkan. Ia adalah tanggungjawab bersama di dalam pasukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), saya, MSN (Majlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara), persatuan kebangsaan…saya ingin memohon maaf kepada semua peminat sukan tanah air di atas kegagalan ini.“Saya telahpun memaklumkan kepada semua supaya tidak membebankan atlet dengan kata-kata negatif. Ambil celaan dan tanggungjawab bersama, ia disasarkan kepada kami dan bukan kepada atlet yang berjuang sekian lama untuk mengharumkan nama negara,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengurus MSN, hari ini.

Syed Saddiq berkata berdasarkan kepada laporan awal, beberapa kelemahan yang menyebabkan kegagalan itu telah dikenal pasti.

Antara kelemahan tersebut ialah sikap terlalu yakin dalam kalangan beberapa sukan yang diletakkan sasaran untuk meraih pingat emas seperti sukan memanah, pelayaran dan tenpin boling yang berjaya pada edisi lepas dan kejohanan besar sebelum ini.

Begitu juga dengan sukan baharu diperkenalkan pada temasya kali ini yang sukar untuk dibuat perbandingan sasaran mereka kerana tidak mempunyai latar belakang prestasi yang boleh diukur.

Katanya, kegagalan kontinjen mengambil kira aspek pengadilan dalam penetapan sasaran juga menjadi antara faktor sasaran tidak dapat dicapai.

“Kebangkitan atlet dari negara Vietnam dan Thailand khususnya dalam sukan tradisi seperti olahraga, renang dan pelayaran menyebabkan pingat yang disasarkan tidak dapat dicapai selain daripada Filipina sebagai negara tuan rumah, turut menggagalkan sasaran kita dalam sukan ragbi dan olahraga, khususnya.

Beberapa atlet yang disasarkan telah tewas kepada atlet negara lain terutama tuan rumah yang menggunakan atlet dua kerakyatan, di mana sebelum ini tidak mempunyai sebarang rekod prestasi kerana tidak pernah mewakili negara tersebut,” katanya.

Syed Saddiq bagaimanapun berkata terdapat beberapa pencapaian yang tidak boleh dinafikan terutamanya pencapaian atlet pelapis negara yang agak memuaskan dengan lapan atlet pelapis telah menyumbang dua pingat emas, tiga perak dan lima gangsa.

Kontinjen negara gagal mencapai sasaran awal untuk meraih 70 pingat emas apabila sekadar mengumpul 56 pingat emas, 57 perak dan 72 gangsa pada Sukan SEA Filipina yang menutup tirai pada 11 Dis.

Stadium Nasional kini bersedia untuk Olimpik Tokyo 2020

TOKYO: Meskipun berbaki lebih kurang tujuh bulan lagi menjelang sukan temasya Olimpik Tokyo 2020, Stadium Nasional yang juga bakal menjadi stadium utama bagi acara gemilang tersebut telah pun dilancarkan pada Ahad.
Perdana Menteri Jepun, Abe Shinzo pada Ahad merasmikan pelancaran stadium utama bagi temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020.Stadium yang terletak di tengah bandar Tokyo itu, direka oleh arkitek Jepun, Kengo Kuma dan telah siap sepenuhnya untuk Sukan Olimpik yang bakal bermula Julai depan.

Shinzo menjelaskan stadium baru itu akan meletakkan “atlet terlebih dahulu” dan mudah diakses semua orang tanpa mengira keupayaan mereka.

Pada masa sama, Gabenor Tokyo, Yuriko Koike berkata stadium itu akan mempunyai “warisan sukan” yang berkekalan selepas sukan berlangsung, menyediakan ruang hijau bagi ibu kota Jepun, serta dijadikan pusat pemindahan semasa bencana alam.

Pembinaan stadium tersebut bermula pada Disember 2016 selepas stadium asal yang digunakan sewaktu Olimpik Tokyo 1964 dirobohkan.

Untuk rekod, kerja pembinaan stadium berkenaan lewat dari jadual asal selepas kerajaan mengubah rekaan asalnya kerana kos yang terlalu tinggi.

Megat Shahriman akan letak jawatan

“Saya akan letak jawatan dalam salah satu persatuan selepas Sukan Para Asean Filipina 2020.”

Itu janji Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin selepas dipilih sebagai presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk itu hari ini.

Drama bersiri kemelut MPM akhirnya menemui penghujung apabila beliau berjaya menjawat jawatan presiden MPM tanpa bertanding dalam AGM badan induk itu.

Selepas dipilih sebagai presiden MPM, Megat Shahriman memberi kejutan apabila ingin mengumumkan peletakan jawatannya dalam salah satu persatuan sukan sebaik sahaja berakhir saingan Sukan Para Asean Filipina.

“Memang boleh diuruskan, tiada masalah. Saya mempunyai sumber, malah staf ketika ini berjumlah 300 orang tetapi fokus diperlukan. Saya akan lepaskannya selepas Sukan Para Asean,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden MPM, Dr S Radha Krishnan, yakin presiden baru MPM akan membawa badan itu ke peringkat yang lebih tinggi, namun mahu Megat Shahriman diberikan masa untuk melakukannya.

“Mengenai presiden baru, dia sangat aktif dan masih muda. Diharapkan prestasi yang ditunggu mampu dilakar tetapi berikan dia masa. Kami minta agar kerajaan berikan lebih banyak peruntukan kerana kami juga banyak hadirkan emas,” katanya.

BAM selar kenyataan Zolkples

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyelar kenyataan Datuk Seri Zolkples Embong yang dianggap sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak adil kepada pemenang pingat emas acara badminton Sukan SEA Filipina yang rata-ratanya berusia 21 tahun.

BAM berasa kesal dan sedih kerana kenyataan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi ‘Surat Terbuka Kepada Menteri Belia dan Sukan’ itu yang mengatakan bahawa pemain negara ‘bernasib baik’ kerana pemain terbaik Indonesia dan Thailand tidak menyertai acara individu.

“BAM turut melahirkan rasa kesal dan sedih terhadap kenyataan menyentuh prestasi skuad badminton kebangsaan di Sukan SEA. BAM menegaskan kenyataan Zolkples itu sama sekali tidak akan membantu situasi, sebaliknya menjatuhkan semangat para pemain,” menurut BAM dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Sebagai bekas Setiausaha Kehormat BAM, Zolkples pastinya menyedari bahawa ketiadaan pemain-pemain ‘ternama’ yang bertanding di temasya sukan dwitahunan itu juga adalah keputusan persatuan badminton negara Asia Tenggara dan di luar bidang kuasa BAM.

“Pingat emas yang telah dimenangi oleh wira-wira muda ini tidak harus diperlekehkan. Beliau seharusnya melihat dari perspektif yang lebih positif, di mana pada usia yang muda, pemain ini telah berjaya mengharumkan nama negara.

“Mereka memerlukan sokongan serta galakan dari semua pihak untuk melangkah lebih jauh lagi,” jelas BAM menjawab dakwaan Zolkples mengenai kemampuan pemain muda negara meraih emas sekiranya pemain terbaik rantau Asia Tenggara seperti Anthony Ginting, Jonathan Kristie, Inthanon Ratchanok, Gideon/Sukamulyo dan Ahsan/Setiawan menyertai temasya kali ini.

Menerusi surat terbuka itu Zolkples berkata: “Sukan badminton pula tidak boleh berbangga dengan tiga pingat emas dimenangi. Ini kerana pemain-pemain kita bernasib baik kerana pemain-pemain terbaik dari Indonesia dan Thailand tidak menyertai acara individu.

Pada Sukan SEA Filipina yang berakhir pada 11 Dis, skuad badminton menghadiahkan tiga pingat emas kepada kontinjen negara melalui Lee Zii Jia (perseorangan lelaki), S.Kisona (perseorangan wanita) dan gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki).

Sementara itu, BAM berharap Zolkples yang berpengalaman luas dalam pembangunan sukan negara dapat bersikap positif dan memberikan sokongan dalam usaha untuk membentuk skuad kebangsaan yang mantap dibarisi pemain muda dan tidak menggunakan mereka sebagai bahan untuk meluahkan perasaan sakit hati beliau terhadap pihak tertentu.

Antara isi kandungan lain dalam ‘Surat Terbuka kepada Menteri Belia dan Sukan’, Zolkples melahirkan kerisauan Zolkples terhadap sasaran negara di Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Beliau melahirkan rasa khuatir terhadap kontinjen negara yang akan pulang dengan tangan kosong seperti yang berlaku di Sydney 2000 dan Athens 2004, dimana Zolkples menganggap ia bukan satu perkara mustahil untuk berulang.

Zolkples juga mengulas mengenai prestasi atlet negara yang layak ke Sukan Olimpik terutamanya dari sukan badminton dan terjun yang menjadi sandaran pingat sebagai tenat dan tidak meyakinkan.