Kuala Lumpur perlu muncul juara Liga Premier – Khalid

KUALA LUMPUR: Pasukan Kuala Lumpur mensasarkan untuk muncul juara Liga Premier 2020, untuk membolehkan pasukan itu kembali ke saingan utama Liga Malaysia, Liga Super pada musim seterusnya.
Bagi merealisasikan objektif itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) Khalid Samad meminta semua para pemain dan pengurusan pasukan, untuk memberikan fokus dan komitmen penuh.Beliau yang juga merupakan Menteri Wilayah Persekutuan itu turut memberikan amaran, bahawa mana-mana pemain yang gagal menyerlah dan sekadar menjadi ‘penumpang’ dalam pasukan, akan disingkirkan daripada pasukan kendalian Muhammad Nidzam Adzha itu.

“Saya merasakan pasukan ini tidak sepatutnya berada di Liga Premier pada asalnya, saya tidak memahami apa yang berlaku pada musim lepas (sehingga tersingkir dari Liga Super) kerana kita mempunyai bakat yang secukupnya.

“Matlamat kita adalah untuk muncul juara Liga Premier musim ini, kerana tidak mahu Kuala Lumpur duduk di divisyen kedua lebih dari setahun, kita harus menang perlawanan pertama dan terus kekal di tangga teratas sehingga akhir musim. Kontrak (pemain) dengan KLFA adalah untuk menzahirkan prestasi permainan yang terbaik dan itu tanggungjawab mereka.

“Kita sebagai majikan, tanggungjawab kita adalah memastikan semua yang dijanjikan (gaji, kelengkapan dan kemudahan) dipenuhi,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani pemain bagi pasukan Liga Premier musim 2020 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, pada Rabu.

Tanpa mendedahkan jumlah bajet, Khalid berkata dana bagi musim ini yang bakal bermula pada 28 Feb, mencukupi untuk perbelanjaan pasukan dan pembayaran gajji pemain.

Seramai 26 pemain telah menandatangani kontrak pada hari ini, termasuk dua pemain import, iaitu pemain tengah dari Brazil, Paulo Josue yang dinamakan sebagai kapten pasukan selepas kekal bersama pasukan itu buat musim keempat dan pemain baharu di bahagian pertahanan, Azamat Baimatov dari Kyrgyzstan.

Antara pemain tempatan bersama skuad ‘The City Boys’ adalah pemain kebangsaan, Akram Mahinan, pemain veteran Shukor Adan, S. Subramaniam, Qayyum Marjoni dan Nik Shahrul Azim Abdul Halim.

Sementara itu, Muhammad Nidzam berkata keputusan mengenai dua lagi pemain import akan diputuskan selepas aksi persahabatan menentang UiTM FC pada Jumaat ini, di mana pasukan itu sedang menguji dua pemain di bahagian serangan, iaitu pemain Perancis, Guy Gnabouyou dan bekas pemain Melaka United, Davy Angan dari Ivory Coast.

“Mesej dari presiden adalah jelas, jadi kita akan berazam untuk mencapai matlamat itu. Kita perlu membentuk keharmonian dan kerasian, kerana hanya tujuh pemain dari musim lalu kekal bersama pasukan…Lebih kurang 70-80 peratus adalah pemain baharu,” katanya.

Sistem ranking baharu FIH tidak semestinya beri kelebihan – Subahan

SERDANG: Sistem ranking baharu yang bakal dilaksanakan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) bermula 1 Jan 2020, tidak semestinya memberikan kelebihan kepada pasukan Asia.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal berkata adalah terlalu awal untuk membuat andaian mengenai sistem itu kerana terdapat percanggahan maklumat.

“Ada pihak yang kata akan memberi manfaat, ada yang kata tidak kerana nak ikut seperti FIFA, semua aksi persahabatan ada mata. Tetapi saya rasa ia akan memberikan kelebihan kepada pasukan Eropah, terutamanya yang beraksi dalam kejohanan Liga Pro.

“Liga Pro ini mahal, kita bukan tak boleh masuk, tapi tak mampu… jadi kami tidak ada pilihan kerana ia sudah diputuskan FIH dan AHF (Persekutuan Hoki Antarabangsa). Saya berharap ia tidak akan mengganggu mata ranking kita.

“Perkara baik adalah kejohanan Piala Sultan Azlan Shah, dijadualkan pada April ini, akan turut mendapat mata ranking. Beberapa negara seperti Australia dan England dah bersetuju untuk menyertai, mungkin ada juga Kanada, Jepun, Korea Selatan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis pelancaran Kejohanan Hoki 5-sebelah (5s) Peringkat Antarabangsa Akademi Sukan UPM-Sejati-Milo di UPM, di sini hari ini.

Menurut FIH, sistem kiraan baharu itu, lebih adil kepada semua pihak, berbanding sistem kiraan lama yang diperkenalkan pada 2003, yang didakwa memberi kelebihan kepada pasukan Eropah.

Pasukan hoki lelaki Malaysia kini menduduki tangga ke-11 dunia, manakala pasukan wanita berada di tempat ke-20.

Sementara itu, Subahan berkata mesyuarat pertama Jawatankuasa Penilaian Semula bagi mengenal pasti punca kegagalan skuad hoki wanita dan lelaki negara melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo akan diadakan pada 14 dan 15 Jan ini.

Beliau berkata jawatankuasa itu akan menyediakan laporan terperinci kegagalan itu dalam masa dua bulan, sebelum dibentang kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail pada akhir Februari.

Olimpik Tokyo: Rachel dedah faktor Farah Ann tidak ke Amerika Syarikat

USIA menjadi antara faktor utama yang dijelaskan Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Rachel Lau, mengenai punca ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi, memilih untuk tidak berlatih di Amerika Syarikat.
Berbaki tujuh bulan sebelum Sukan Olimpik Tokyo 2020, MGF masih runsing memikirkan persiapan buat gimnas negara, Farah Ann, untuk menghadapi temasya ituSebelum ini, badan induk itu membuat perancangan menghantar atlet berusia 25 tahun itu ke Amerika Syarikat sebagai persediaan ke temasya yang bermula dari 24 Julai hingga 9 Ogos depan, namun Farah Ann berhasrat menjalani persiapan di tanah air sehingga menyebabkan MGF buntu.

Antara faktor yang menyebabkan dia memilih untuk menjalani persiapan di tanah air berbanding di luar negara adalah disebabkan usianya.

“Dia fikir lebih berusia berbanding kebanyakan gimnas ketika ini. Dia bakal memasuki usia 26 tahun pada 2020. Dalam masa sama, tubuhnya tidak mampu menanggung latihan keras di Amerika Syarikat. Saya faham dia mahu memastikan dirinya bebas daripada sebarang kecederaan,” kata Rachel.

Selain itu, MGF masih mempunyai misi untuk sekurang-kurangnya melayakkan dua lagi gimnas negara ke Olimpik walaupun berbaki hanya tujuh bulan.

“MGF bercadang untuk cuba melayakkan dua lagi gimnas, Tan Fu Jie, daripada pasukan gimnastik artistik lelaki dan Tan Ing Yueh. Ia bukan sahaja untuk 2020 tetapi demi perancangan jangka panjang.”

FAS sasar lahir 250 pengadil di Selangor menjelang akhir 2020

SHAH ALAM: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) meletakkan sasaran untuk melahirkan 250 pengadil bagi mengadili perlawanan bola sepak di Selangor, menjelang akhir tahun depan.
Naib Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAS, Abdul Basith Abdul Hamid berkata beberapa program akan dilaksanakan bagi menarik minat ramai, terutamanya golongan belia, menyertai bidang pengadilan.“Kami telah menyusun beberapa program untuk menarik minat golongan belia dan menjadikan bidang pengadilan ini sebagai kerjaya kedua mereka.

“Kerjaya ini juga akan mampu menghasilkan atau menjana pendapatan yang agak lumayan dan melonjakkan taraf ekonomi mereka,” katanya kepada pemberita pada majlis Perasmian Seminar Pengadil Persatuan Bola Sepak Liga FAS 2020.

Abdul Basith berkata FAS juga komited dalam usaha melahirkan lebih ramai kaum wanita menyertai bidang pengadilan di Selangor, dan menurutnya bidang pengadilan yang berkembang maju ketika ini akan membuka lebih banyak peluang buat kaum wanita menceburinya.

Seminar tahunan pada Ahad bertujuan mengulangkaji undang-undang permainan supaya pengadil dapat membuat keputusan yang tepat, dan ia menyaksikan penyertaan 174 pengadil yang akan mengharungi Liga FAS musim 2020.

Majlis dirasmikan oleh Pengerusi Ahli Jawatankuasa FAS, Chandra Sekar, dan ia turut dihadiri Ketua Jurulatih Selangor, B. Sathianathan.

Ibrahimovic kembali sertai Milan

ZLATAN Ibrahimovic telah menyertai AC Milan buat kali kedua.
Pemain berusia 38 tahun itu merupakan ejen bebas sejak meninggalkan LA Galaxy ketika penghujung musim Liga Bolasepak Major (MLS), bulan lalu.Dia telah menghabiskan tempoh 18 bulan bersama Galaxy dan dinamakan dalam Kesebelasan Terbaik MLS bagi tahun 2018 dan 2019 selepas mencatat 53 gol.

Beberapa kelab dikaitkan dengan bekas pemain Sweden itu termasuk Fiorentina, Napoli dan Bologna tetapi dia membuat keputusan untuk kembali ke San Siro.

Bekas penyerang Sweden itu telah menandatangani kontrak sehingga penghujung musim ini berserta pilihan lanjutan musim 2020-21.

“Saya kembali ke kelab yang sangat saya hormati dan bandar yang dicintai, Milan,” katanya kepada laman web rasmi The Rossoneri.

“Saya akan berjuang dengan rakan sepasukan untuk mengubah nasib musim ini. Saya akan lakukan apa sahaja untuk mencapainya.”

Ibrahimovic memenangi Serie A ketika beraksi bersama Milan selama dua musim sebelum ini sebelum ia berakhir pada Julai 2012 apabila dia membuat keputusan untuk menyertai gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG).

Dia turut menikmati tempoh di Manchester United serta LA Galaxy dan kini kembali menyertai Milan yang melalui musim yang suram.

Milan kini menduduki tangga ke-11 liga, 14 mata ketinggalan daripada kelompok empat teratas dan dibelasah Atalanta 5-0 dalam aksi terakhir tatkala pengendali, Stefano Pioli, gagal memberi kesan besar sejak menggantikan Marco Giampaolo, Oktober lalu.

FAM mungkin ikut cara Vietnam, Thailand

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menolak kemungkinan untuk mengikut cara Vietnam dan Thailand dengan mencanang bahawa ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, merupakan pilihan tepat untuk mengendalikan skuad B-22 negara tahun depan.

Jawatan jurulatih skuad B-22 negara itu sedang hangat diperkatakan selepas FAM memutuskan untuk tidak melanjutkan kontrak Datuk Ong Kim Swee.

Kim Swee gagal mencapai indeks prestasi utama (KPI) selepas pasukan bimbingannya terkandas seawal peringkat kumpulan dalam Sukan SEA Filipina awal bulan ini.

Ada pihak mencadangkan agar mandat itu diberikan kepada Cheng Hoe — sama seperti Park Hang Seo (Vietnam) dan Akira Nishino (Thailand), yang memegang dua jawatan itu buat majikan masing-masing.

“Keputusan untuk (melantik) jurulatih skuad B-22 itu akan dibincangkan dalam (mesyuarat) Jawatankuasa Skuad Kebangsaan pada Februari atau Mac depan.

“Saya mahu tambah di sini bahawa adalah tidak mustahil untuk ketua jurulatih skuad kebangsaan memikul (tanggungjawab dalam) pasukan B-22,” kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Pilihan badan induk itu dilihat cukup rasional kerana ia akan memudahkan peralihan pemain daripada skuad B-22 kepada skuad senior.

“Kita perlu sedar bahawa kami ada perjalanan yang amat penting bersama jurulatih Tan Cheng Hoe hingga Jun depan.

“Dan saya rasa kami perlu meletakkannya sebagai kepentingan dalam perbincangan dan keputusan yang akan dikeluarkan FAM,” tambahnya.

Hadi Fayyadh teruja sertai penampilan Fagiano Okayama di Liga J2

KUALA LUMPUR: Penyerang pasukan Bawah-22 tahun Kebangsaan (U-22) Hadi Fayyadh Abdul Razak, teruja untuk bermain perlawanan pertamanya di Division 2 Liga Professional Jepun (Liga J) selepas 12 bulan bertungkus lumus untuk layak bermain bersama pasukan utama Fagiano Okayama.

Bekas penyerang Johor Darul Ta’zim II (JDT II) berusia 19 tahun itu, baru-baru ini telah bersetuju dengan penyambungan kontrak, untuk terus bersama Fagiano Okayama untuk satu tahun lagi, sehingga Disember 2020.

Hadi Fayyadh yang mengalami kecederaan hamstring selama dua bulan, selain menghadapi masalah perhubungan kerana bahasa, kini berharap untuk melupakan perkara itu bagi memastikan tempat dalam pasukan utama sekerap mungkin.

Beliau berhasrat untuk membantu Fagiano Okayama, meningkat ke liga tertinggi iaitu Liga J1 pada 2021.

“Tentunya (akan buat penampilan pertama) kerana tahun ini saya alami kecederaan untuk beberapa bulan, jadi ia agak sukar bagi saya. Saya berharap semua berjalan sebaiknya musim hadapan, dengan sasaran saya untuk bekerja keras untuk kelab saya dan negara. Saya berharap untuk buat penampilan untuk pasukan dan menjaringkan sebanyak gol yang boleh.

“Saya berharap, tahun hadapan akan menjadi tahun untuk saya, bantu pasukan menang semua perlawanan dan bermain di Liga J1 pada musim 2021,” katanya kepada wartawan ketika ditemui di Rumah Rasmi Duta Jepun ke Malaysia di sini pada Khamis.

Terdahulu, Hado Fayyadh mengadakan pertemuan bersama Duta Jepun ke Malaysia, Hiroshi Oka.

Oka berkata, penyambungan kontrak Hadi Fayyadh akan membantu meningkatkan lagi hubungan antara Malaysia dan Jepun.

“Saya gembira untuk bertemu Hadi di kediaman saya … beliau merupakan pemain bola sepak Malaysia pertama bermain di Liga Professioanl Jepun. Saya gembira untuk mengetahui yang beliau akan terus bermain untuk Fagiano Okayama.

“Saya nantikan aksinya di Jepun, supaya beliau boleh merapatkan lagi hubungan rakyat Jepun-Malaysia,” kata Oka kepada pemberita.

Sedar akan kekurangan pemain Malaysia di Liga Professional Jepun, Oka berkata “kami mahukan untuk melihat lebih ramai orang Malaysia di Jepun dalam ada juga jenis bidang … apa juga sukan. Kami suka lebih ramai orang Malaysia akan datang ke Jepun dan ia akan membuatkan perhubungan antara Malaysia dan Jepun lebih kuat”, katanya.

Klopp hanya mampu ungkapkan Wow

MESEJ Krismas daripada Jurgen Klopp kali ini ternyata lain sekali daripada yang sebelum-sebelumnya.

Sambil berulang kali mengatakan dia bukan jenis yang gemar merenung ke belakang kepada peristiwa lalu, namun pengurus Liverpool itu juga manusia biasa yang mudah terbuai-buai oleh sesuatu yang indah.

Laman uk.sports.yahoo.com berkongsi bagaimana jurulatih berbangsa Jerman itu menyorot pencapaian pasukannya sepanjang 2019 dengan hanya satu perkataan: “Wow”.

Skuad The Reds itu ditabalkan Raja Eropah buat kali keenam hasil kemenangan 2-0 ke atas lawan domestik, Tottenham Hotspur, dalam final Liga Juara-Juara UEFA (UCL) di Wanda Metropolitano, Madrid, 1 Jun lalu.

Perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2018-19 pula menyaksikan Liverpool terlepasnya dengan perbezaan hanya satu mata dengan Manchester City tapi anak buah Klopp itu kini berkelebihan 10 mata di puncak liga dan memiliki satu perlawanan dalam tangan sambil mereka berkira-kira untuk unggul kali ini.

Liverpool turut menambah Piala Super UEFA dan Piala Dunia Kelab FIFA dalam koleksi mereka di bawah bimbingan Klopp – yang di sebalik bertegas bahawa dia bukan seorang yang gemar merenung ke belakang – menyorot tempoh 12 bulan yang membanggakan dengan menyifatkan pemain-pemainya “raksasa mentaliti”.

“Ia secara alamiah adalah satu tempoh untuk menyorot satu tahun menakjubkan buat pemain-pemain ini, kelab ini, dan tentunya penyokong kami,” tulis Klopp dalam ucapan Krismasnya di laman rasmi kelab itu.

“Saya fikir anda sudah cukup mengenali saya, saya bukanlah jenis yang gemar memandang ke belakang, tidak ketika masih ada kerja yang perlu dilakukan.

“Tapi bagaimana saya boleh tidak mengendahkan apa yang kami semua alami tahun ini?

“Saya hanya ada satu perkataan untuknya: Wow.

“Saya sangat bangga dengan banyak perkara, pertamanya untuk semua orang yang memiliki peluang meraikan Liverpool sebagai pemenang trofi sekali lagi.

“Untuk sepanjang hayat saya, saya tidak akan lupakan malam itu di Madrid dan keesokannya di Liverpool sambil kami membawa pulang trofi UCL.

“Saya masih ingat saya pernah berkata bandaraya ini (Liverpool) akan ‘meledak’ apabila kami memenangi trofi tapi saya mungkin telah memandang rendah kepadanya sedikit.

“Semua pemandangan itu… Saya tidak dapat memikirkannya sekarang tanpa membuat bulu roma saya berdiri.

“Hari itu, anda membuat kami mengharungi semua jenis emosi dan apabila saya bertentang mata dengan orang ramai dari atas bas, ia mengukuhkan apa yang saya tahu sejak 8 Oktober 2015 – saya adalah lelaki paling bertuah untuk menjadi sebahagian kelab ini, sebahagian keluarga istimewa ini.

“Hakikat bahawa kami juga dapat menyusuli kejayaan UCL dengan dua lagi trofi — Piala Super dan Piala Dunia Kelab FIFA — di samping minggu demi minggu dalam Liga Perdana, menceritakan segala-galanya mengenai pemain-pemain ini.

“Secara serius, saya tidak mungkin lebih bangga dengan menjadi pengurus pemain-pemain ini.
“Saya telah menggelar mereka ‘raksasa mentaliti’ pada detik berbeza sepanjang 2019 kerana mereka terus menghasilkan (kemenangan) tanpa mengira apa keadaannya.

“Sudah tentu ini tidak mungkin lebih baik daripada malam kami menentang  Barcelona di Anfield apabila mereka memberikan lebih daripada 100 peratus, mereka mengerah diri mereka sehabis maksimum dan menghasilkan sesuatu yang istimewa.”

Ibu terkenang perangai arwah Izuan

KOTA BHARU: Ibu kepada jurulatih badminton Allahyarham Izuan Ibrahim antara insan yang paling sedih atas ‘kehilangan’.

Ragayah Mohd Noor, 58, berkata, dia masih terkenang sikap Allahyarham yang sentiasa ceria serta menjadi penyeri dalam keluarga.

Katanya, anak ketiga daripada lima beradik yang juga tunggal lelaki dalam keluarga sangat disenangi rakan-rakannya.

“Arwah suka membuat lawak dan kehadirannya sangat dirindui keluarga setiap kali berkumpul. Arwah selalu membuat mimik muka kelakar. Dia tidak pernah lupa untuk pulang ke rumah serta meletakkan keutamaan untuk menjenguk saya di sini.

“Dia anak yang sangat baik, apabila berkumpul pada hari raya atau keraian, dialah penyeri, kehadirannya selalu disedari ramai kerana telatahnya yang mesra,” katanya yang sebak ketika ditemui di rumahnya di Taman Uda Murni di sini hari ini.

Izuan anak kelahiran Kelantan yang namanya dikenali rakyat Malaysia apabila membantu Jepun menjuarai Piala Thomas buat pertama kali pada tahun 2014 sebagai jurulatih.

Ragayah tidak dapat menahan sebak setiap kali menerima salam takziah daripada keluarga dan kenalan namun tetap reda dengan pemergian itu.

Ragayah berkata, minat Allahyarham terhadap badminton bermula sejak kecil seawal usia lapan tahun yang diwarisinya daripadanya Ragayah sendiri dan dilatih dengan arwah Hashim Ihsan serta Misbun Sidek.

“Arwah ada juga memberitahu saya dia sedih meninggalkan Jepun dan pemain Jepun juga sayang padanya namun semangat untuk berbakti kepada negara sendiri lebih kuat menyebabkan dia balik ke Malaysia.

“Tinggal tujuh hari sahaja lagi untuk dia berbakti bersama BAM (Persatuan Badminton Malaysia) namun ALLAH lebih menyayanginya. Kami sekeluarga reda dan sudah tentu ada hikmah di sebalik ujian ini,” katanya.

Sementara itu, bekas anak didik Allahyarham yang berasal dari Johor, Muhammad Affan Atabek Baharuddin, 17, sempat menerima pesanan terakhir daripada bekas jurulatih persendiriannya itu.

Katanya, arwah berpesan supaya dia meneruskan perjuangan dalam sukan badminton dan terus menggunakan ilmu yang pernah dicurahkan walaupun dia sudah tiada suatu hari nanti.

“Arwah sepatutnya ke Jepun bersama sama untuk berlatih badminton namun hanya saya yang pergi kerana dia jatuh sakit. Walaupun hanya dua bulan sempat menjadi jurulatih peribadi, saya sudah menganggapnya seperti abang kandung.

Muhammad Affan Atabek (kanan) yang tidak dapat menahan sebak terkenan pesanan terakhir arwah kepadanya.

“Arwah tidak lokek dan sangat profesional ketika melatih serta suka memberi motivasi. Beliau juga berpesan supaya saya memanfaatkan ilmu yang diajarkan walaupun saya berada di bawah jagaan jurulatih lain. Itu nasihat terakhirnya sebelum dia sakit,” katanya sebak.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.20 malam semalam di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Sebelum itu Allahyarham diberi bantuan pernafasan dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak 19 Disember lalu selepas dikesan mengalami pendarahan otak susulan muntah-muntah akibat migrain seterusnya tidak sedarkan diri.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Siti Marsyhtah Muhammad dan tiga anak.

Jenazahnya Izuan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Banggol Pantai Cahaya Bulan di sini malam tadi.

Bola ditendang, Uighur tertekan, Ozil bersuara, Toure suruh diam sahaja

BERBEZA dengan beberapa pemimpin dunia yang senyap tidak bersuara membantah isu penahanan warga Uighur beragama Islam di Xinjiang, pemain bola sepak pula yang lebih lantang bersuara.

Nasib warga Islam Xinjiang yang terlalu sensitif untuk perbincangan terbuka dalam kalangan pemimpin dunia kini menarik perhatian pemain bola sepak antarabangsa – ada yang mengutuk tindakan penindasan itu, ada pula yang suruh berdiam sahaja.

Mesut Ozil dan Yaya Toure adalah dua pemain bola sepak yang tidak asing lagi dalam kalangan peminat Liga Perdana Inggeris (Premier League). Ozil warga Jerman dan mempunyai asal-usul Turki manakala Yaya Toure pula warga Ivory Coast tetapi lebih melakar nama di Eropah – kedua-dua beragama Islam.

Seorang lantang bersuara membela nasib yang ditimpa warga Uighur di Xinjiang sementara seorang lagi berpendirian lebih baik diam.

Minggu lepas Mesut Ozil menegur sikap tidak peduli dunia secara amnya – dan umat Islam secara khusus; sementara warga Islam etnik Uighur di Xinjiang ditindas pemerintah.

Ozil menulis dalam laman media sosialnya; “Quran dibakar, masjid di tutup, sekolah agama Islam dan madrasah diharamkan, pendakwah dibunuh. Namun, orang Islam berdiam sahaja.”

Kenyataannya mengundang tindak balas dari China yang mengutuk apa yang disifat sebagai campur tangan dalam hal dalam negara.

Kelab Ozil – Arsenal, juga terpalit apabilanya China membatalkan penyiaran permainan kelab itu serta menggerakkan kutukan meluas kalangan peminat The Gunners di China.

Tidak lama selepas itu, suara Yaya Toure pula kedengaran membidas tindakan Ozil. Toure, bekas pemain Manchester City menyifatkan tindakan Ozil tidak sesuai dan tidak sepatutnya disuarakan oleh ahli sukan.

Yaya merupakan adik kandung seorang lagi pemain Man City Kolo Toure – mereka pernah beraksi bersama bermain untuk pasukan kebangsaan Cote D’Ivoire.

Selepas berhijrah dari Man City pada tahun 2018, Toure bermain untuk kelab bola sepak Divisyen Satu China Qindao Huanghai dan ini sedikit sebanyak membentuk pendiriannya terhadap isu yang dikira mengaibkan negara yang kini menjadi tempat mencari rezeki.

Ahli sukan jarang-jarang keluar dari zon selesa masing-masing untuk mengetengahkan pendirian mereka tentang isu politik mahupun kemanusiaan.

Sebagai pemain profesional, mereka terikat dengan kontrak yang lumayan dengan pemilik kelab yang selalunya terdiri daripada ahli perniagaan.

Kalangan ahli perniagaan pula, sekiranya mereka beroperasi di negara-negara yang ‘sensitif’ dari segi menegakkan hak kemanusiaan, sudah tentu mereka terpaksa ikut rentak kerajaan yang memegang kuasa.

Bagi negeri China, protes di Hong Kong dan kewujudan kem penempatan warga Uighur di Xinjiang menimbulkan reaksi bantahan satu dunia.

Pasukan bola keranjang National Basketball Association (NBA) Houston Rockets merupakan francais sukan yang pertama merasakan kuasa China yang semakin menekan di pentas politik dan ekonomi dunia.

Ekoran sokongan dan simpati eksekutif Houston Rockets terhadap gerakan menegakkan demokrasi di Hong Kong, China bertindak memutuskan jalinan penyiaran dan pemasaran melibatkan kelab tersebut.

Antara yang menyokong Ozil termasuk Setiausaha Negara Amerika Mike Pompeo dan bekas pengurus Arsenal Arsene Wenger.

Difahamkan, hak penyiaran permainan Liga Perdana Inggeris terkini bernilai lebih dari setengah juta Pound Sterling.

Ada laporan yang tidak dapat pengesahan bahawa beberapa kelab Liga Perdana Inggeris yang mempunyai hubungan komersil dengan entititi korporat China mengeluarkan nasihat pemain mereka yang berugama Islam tidak meniru tindak-tanduk Mesut Ozil.

Ramai pemain beragama Islam kini bermain untuk kelab Liga Perdana Inggeris. Mereka kebanyakannya merupakan imigran generasi kedua setelah ibu bapa mereka berhijrah ke Eropah – terutamanya ke Perancis dan Belgium selepas perang dunia kedua.

Pemain Mesir Mohamad Salah yang kini amat disayangi penyokong Liverpool menjadi satu-satunya pemain yang belum mengeluarkan sebarang kenyataan menyokong mahupun mengkritik tindakan Ozil.

Adakah Salah, yang lebih popular dengan gelaran ‘Mo’, dan rakan penyerang Saido Mane yang juga beragama Islam akan bersuara selantang Mesut Ozil?