Bekas pemegang rekod dunia Wilson Kipsang digantung sementara

PELARI maraton Kenya, Wilson Kipsang, berdepan penggantungan sementara kerana dakwaan melanggar undang-undang antidoping, demikian diumumkan Unit Integriti Olahraga (AIU).

Bekas pemegang rekod dunia itu menerima notis dakwaan susulan gagal dan melakukan gangguan atau cuba melakukan gangguan keberadaannya, kata AIU dalam laman web rasminya.

Di bawah undang-undang antidoping Olahraga Dunia, setiap atlet perlu memaklumkan pihak berkuasa pemeriksaan mengenai keberadaan mereka selama sejam setiap hari.

Gagal melakukan ujian itu sebanyak tiga kali dan/atau gagal melakukannya dalam tempoh 12 bulan akan mengakibatkan penggantungan secara automatik.

Kipsang mengungguli lima daripada enam perlumbaan maraton utama yang disertainya, dua kali di London selain kejayaan di Berlin, New York dan Tokyo.

Pelari berusia 37 tahun itu memenangi pingat perak dalam Sukan Olimpik London 2012 tetapi menarik diri dalam edisi di Rio de Janeiro pada 2016.

Tiada dana untuk atlet Olimpik 2020? Ini amaran Syed Saddiq…

PUTRAJAYA: Menurut Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini memberi amaran bahawa alasan tiada dana untuk disalurkan kepada atlet yang akan membawa maruah negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 tidak lagi boleh diguna pakai.

Sebaliknya, beliau menegaskan, kelengkapan atlet yang merupakan sebahagian daripada persiapan rapi mereka menuju ke temasya berprestij itu harus diberi perhatian.

Katanya, selama ini, kebajikan atlet kebangsaan amat dititikberat dalam memastikan para atlet mampu beraksi cemerlang ketika mewakili negara.

Sehubungan itu, Kementerian Belia dan Sukan, katanya, mengambil serius perkara yang melibatkan dana termasuk setiap keperluan atlet bagi persediaan mereka mewakili negara.

Syed Saddiq secara peribadi juga akan memantau keperluan atlet yang bakal berjuang meraih pingat di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Hujah kita tiada dana itu tidak boleh digunakan lagi. Saya akan buat banyak spotcheck, jumpa setiap persatuan atlet-atlet.

“Kalau saya dengar lagi ada atlet khususnya yang telah pun melayakkan diri ke sukan Tokyo Olympic dan memohon perkara kecil tetapi tidak diluluskan, tidak dilaksanakan kerana tidak ada duit, I will hold you accountable…this is a warning…,” kata Syed Saddiq.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Amanat 2020 kepada kakitangan Kementerian Belia dan Sukan, di sini pada Jumaat.

Pada majlis itu, Syed Saddiq turut menyampaikan sijil kepada 15 penerima Anugerah Khas Pekerja Terbaik kementeriannya.

Tahun ini, beberapa atlet sukan negara akan beraksi di Olimpik Tokyo 2020 dalam misi perjuangan mereka untuk melakar sejarah meraih pingat emas Olimpik pertama negara.

Antara atlet yang akan menyahut cabaran di kejohanan sukan terbesar dunia itu ialah Farah Ann Abdul Hadi, Khairulnizam Mohd Affendy, Leong Mun Yee, Pandalela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri.

Temasya Olimpik Tokyo 2020 dijadualkan berlangsung dari 24 Julai hingga 9 Ogos 2020 dan akan disertai seramai 15, 490 atlet Olimpik dan Paralimpik dari seluruh dunia.

Fernandinho dedah semakin hampir lanjut kontrak

Fernandinho semakin hampir untuk menandatangani kontrak lanjutan bersama Manchester City selepas didedahkan oleh pemain berusia 34 tahun itu.
Dia yang menyertai juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu daripada Shaktar Donetsk pada 2013 bakal menamatkan kontrak sedia ada di penghujung musim ini.Pengendali City, Pep Guardiola, secara terbuka menyatakan keinginan untuk mengekalkan Fernandinho di Etihad dan dia tampak bakal terus memiliki khidmat pemain tengah itu.

“Apabila saya memperbaharui kontrak di penghujung 2018, kami meletakkan klausa di mana sekiranya saya mencapai beberapa sasaran, kontrak saya secara automatik akan dilanjutkan,” kata pemain Brazil itu.

“Perbincangan telah bermula, kami berbincang tentangnya bulan lalu. Saya hampir untuk mencapai sasaran itu dan memperbaharui kontrak tetapi kami hanya boleh mengesahkannya selepas menandatangani kontrak baru.”

Tatkala City bergelut dengan isu kecederaan di bahagian pertahanan musim ini, Fernandinho bertindak selaku bek tengah dan dia gembira dengan situasi itu.

“Ia bagus selagi anda boleh beraksi di tahap tertinggi,” tambahnya.

“Beraksi dalam pelbagai posisi telah membuka ruang pembelajaran.

“Di bahagian pertahanan, saya melihat permainan dari sudut berbeza. Ia bagus dan tunjuk ajar yang saya terima daripada Guardiola sangat baik.

“Pada usia 34, beraksi dalam Liga Perdana Inggeris adalah sumber kebanggaan. Ramai pemain yang mahu melalui apa yang saya harungi.”

Fernandinho beraksi penuh ketika City menewaskan Manchester United 3-1 dalam separuh akhir pertama Piala EFL, kelmarin dan dijangka turut membintangi kesebelasan utama dalam kunjungan ke Aston Villa bagi saingan Liga Perdana Inggeris, Ahad ini.

Tidak akan menyerah kalah – V Shem

KUALA LUMPUR: Gandingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong tidak akan menyerah kalah selagi belum tiba tempoh tamatnya kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo pada April ini.
V Shem ketika ditemui berkata sebelum tarikh tutup itu, mereka masih lagi berpeluang dan akan berjuang bermati-matian bagi mengutip sebanyak mungkin mata kelayakan walaupun menyedari saingan semakin sengit.Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 kini menduduki ranking ke-10 dunia.

“Sebelum kelayakan Olimpik tutup, kita akan berlawan sebaik mungkin, tidak akan mudah putus asa,” katanya.

Namun, pada perlawanan pusingan pertama Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2020 pada Selasa, gandingan profesional negara itu terpaksa akur tewas kepada ‘junior’ mereka Aaron Chia-Soh Wooi Yik 19-21, 18-21.

“Saya dengan Wee Kiong sudah buat yang terbaik tapi Aaron dan Wooi Yik lebih kuat, lebih muda lebih pantas jadi saya rasa mereka ada potensi yang baik.

“Cuma hari ini, undian pusingan pertama sudah jumpa, nampak satu kalah satu menang… keputusan memang kena macam itulah. Kalau saya menang, dia yang akan kalah. Semua memang tidak suka kalau undi macam ini,” katanya.

Dalam pada itu pasangannya Wee Kiong pula berkata beliau tidak mahu terlalu memikirkan mengenai kelayakan ke Sukan Olimpik sebaliknya mahu memberi lebih fokus kepada setiap kejohanan serta perlawanan yang disertai mereka.

“Kita cuma tidak fikir sangat mengenai layak atau tidak. Kita fokus untuk melakukan peningkatan di setiap pertandingan yang kita sertai. Memang hari ini tidak seronok kalah tapi kita memang ada kurang sikit.

Tentang Aaron-Wooi Yik, memang dalam satu tahun ini mereka sudah meningkat dan prestasi mereka okaylah. Mungkin ini adalah perlawanan pertama pada permulaan 2020, tidak boleh buat apa, sudah kalah,” katanya.

Masters Malaysia: Adik tewaskan abang

KUALA LUMPUR: Kalah atau menang adat bertanding, begitulah pengakhiran beregu lelaki senior Malaysia Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang tidak dapat meneruskan kemaraan dalam Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2020 selepas ditundukkan beregu muda negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik di Arena Axiata, di sini pada Selasa.
Aaron-Wooi Yik menyingkirkan senior mereka V Shem-Wee Kiong seawal pusingan pertama dengan keputusan 21-19, 21-18 menerusi aksi yang lebih baik dan kurang melakukan kesilapan.“Hari ini punya prestasi memang puas hati. V Shem-Wee Kiong senior kita, selalu buat latihan sekali, tiap-tiap hari. Pelan perlawanan pun semua tahu. Cuma siapa pamerkan aksi lebih baik, akan menang,” kata Aaron kepada media selepas perlawanan.

Beregu yang menduduki ranking kelapan dunia itu dijangka bertemu sama ada, beregu nombor satu dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo atau pun pemain dari pusingan kelayakan, Lin Chia Yu-Yang Ming-Tse dari Taiwan di pusingan kedua.

Aaron berharap mereka mampu mempamerkan aksi yang lebih baik dan memberi saingan lebih sengit kepada pihak lawan.

“Kita kena fokus sebab tidak senang untuk kalahkan beregu nombor satu dunia. Memang kita harapkan kemenangan tidak kira sama ada jumpa Marcus-Kevin atau Lin-Yang.

“Kalau pasangan Marcus-Kevin, kita pernah jumpa mereka tiga kali dan memang perlawanan sengit sehingga heret ke set penentuan. Namun kita harap boleh bagi perlawanan sengit untuk mereka,” kata Aaron.

Sementara itu, Wooi Yik mengakui kemenangan pada pusingan pertama ke atas pemain senior sedikit sebanyak menaikkan keyakinan mereka untuk beraksi lebih baik pada kejohanan ini.

Katanya, jika terpaksa menentang pasangan Marcus-Kevin, beliau akan tetap lawan walaupun mengetahui perlawanan akan lebih sengit.

Turut melangkah ke pusingan kedua ialah pasangan yang baharu sahaja digugurkan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

Kedua-dua mereka mempamerkan aksi cemerlang dengan mengejutkan pasangan ke-12 dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, 21-15, 18-21, 21-15

Beregu ke-19 dunia itu dijadual bertemu sama ada beregu pilihan kelapan kejohanan, Han Cheng Kai-Zhou Hao Dong dari China atau beregu dari pusingan kelayakan, Jones Ralfy Jansen-Peter Kaesbauer dari Jerman.

Demi keselamatan atlet negara, KOM buat pusingan U

PRESIDEN Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk S.M. Muthu, mengesahkan skuad negara terpaksa membatalkan penyertaan dalam Kejohanan Olahraga Dalam Dewan di Tehran, Iran bermula Khamis ini selepas mendapat maklum balas Kedutaan Malaysia di republik itu.
KOM membuat pusingan ‘U’ beberapa jam sebelum skuad negara berlepas ke Tehran, dengan pembatalan itu terpaksa dibuat demi keselamatan atlet negara ketika risiko konflik ketenteraan di antara Iran dan Amerika Syarikat kian meningkat.“Kami mengambil keputusan untuk tidak menghantar atlet negara beraksi di Tehran bagi memastikan keselamatan mereka terjamin,” kata Muthu.

Skuad olahraga negara pada awalnya merancang menghantar lima atlet.

Jaguh lompat tinggi, Lee Hup Wei, awal-awal lagi menarik diri ekoran faktor keselamatan selain kejohanan itu tidak menawarkan mata kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Atlet negara juga akur dengan keputusan KOM dan kembali fokus terhadap sesi latihan menjelang saingan berikutnya, Kejohanan Dalam Dewan Asia di China bulan depan.

“Ini adalah keputusan yang baik daripada KOM. Krisis yang berlaku di Iran adalah faktor utama kami tidak beraksi di sana,” kata atlet lompat jauh negara, Andre Anura Anuar.

Sementara itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia mengadakan rundingan dengan mana-mana persatuan yang tetap mahu menghantar atlet mereka ke wilayah bergolak.

Keutamaan perlu diberikan terhadap kejohanan kelayakan Olimpik Tokyo atau persatuan perlu merancang pelan B.

“Mengenai isu ini, lebih baik kami duduk bersama dan membincangkan perkara ini. Kami baru sahaja menerima maklum balas daripada kedutaan di Iran, benarkan saya bercakap dengan mereka terlebih dahulu,” kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman.

Bintang UFC Jorge Masvidal mahu turun bantu padam kebakaran hutan di Australia

BINTANG UFC Jorge Masvidal menawarkan diri untuk memberi sumbangan bagi insiden kebakaran hutan di Australia.
Petarung welterweight dari Amerika Syarikat itu berkata, beliau akan terbang ke negara tersebut pada Februari depan dan ingin sendiri turun untuk membantu memadamkan kebakaran di situ.“Saya akan berada di Australia pada Februari nanti dan ingin membantu. Sumbangan dari lawatan saya digunakan untuk membantu tetapi saya juga mahu membantu secara fizikal untuk memadamkan kebakaran,” kata Masvidal menerusi Twitternya pada Ahad.

Kebakaran hutan yang berlaku di Australia telah mencecah 5 juta hektar yang turut memusnahkan 1,500 rumah dan menyebabkan 23 dilaporkan meninggal dunia.

Setakat ini 148 titik panas dicatatkan di New South Wales sementara 12 diisytiharkan dalam keadaan bahaya.

Tragedi ini turut mencatatkan jumlah tertinggi mangsa yang terpaksa berpindah.

Ketiadaan KPI dalam kontrak pemain merugikan pasukan – Nokman

KUALA LUMPUR: Ketiadaan klausa untuk memotong gaji pemain, jika mereka mempamerkan prestasi kurang memuaskan dalam kontrak yang ditandatangani di antara pemain dan pihak pasukan Liga Malaysia, akan merugikan pasukan.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) Nokman Mustaffa berkata, pihak pengurusan pasukan kini tidak boleh memotong sebahagian bayaran kepada pemain, walaupun seseorang pemain itu gagal mencapai petunjuk indeks prestasi (KPI) yang ditetapkan.“Dua tahun lepas dalam kontrak ada mengenai prestasi dan KPI dalam kontrak, tetapi MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) dah buang pada 2019, hanya ada mengenai disiplin. Jadi kita tidak tahu bagaimana nak memastikan pemain beri yang terbaik.

“Sebelum ini kita pernah hantar surat kepada pemain luar negara, dia hantar balik surat menerusi peguam memberi amaran kepada kita, kerana tidak termaktub dalam kontrak. Jika ia melibatkan pemain import yang menerima gaji puluhan ribu Ringgit, memang merugikan kita dan tidak adil buat pasukan,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis menandatangani kontrak di antara KLFA dan pemain pasukan Liga Premier Kuala Lumpur bagi musim 2020, di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, pada Rabu.

Skuad ‘The City Boys’ pada musim lepas menghadapi masalah prestasi daripada penyerang import dari Brazil, Guilherme de Paula, manakala rakan senegaranya, Junior Aparecido menimbulkan masalah pada musim 2018.

MASMMAA sasar lahirkan lebih ramai atlet MMA di Malaysia

KUALA LUMPUR: Persatuan MMA Malaysia (MASMMAA) menyasarkan untuk melahirkan lebih ramai atlet seni bela diri campuran (MMA) di negara bagi memperkembangkan lagi sukan tempur itu di tanah air.
Menurut presidennya Rashid Salleh, tahun 2019 menyaksikan sambutan yang agak menggalakkan bagi sukan tersebut menerusi penganjuran beberapa kejohanan MMA tempatan.Bagaimanapun, katanya terdapat beberapa cabaran yang masih perlu diharungi oleh sukan itu di negara ini.

“Tahun-tahun yang lalu merupakan tahun yang agak mencabar bagi sukan MMA amatur di Malaysia, tetapi pada 2019 kita telah melihat sedikit kebangkitan.

“Di tahun pertama saya sebagai Presiden MASMMAA, kita telah menyaksikan penganjuran beberapa kejohanan tempatan dan pihak penganjur agak berterus terang tentang kurangnya perhatian yang diberikan terhadap sukan ini. Kami ambil maklum tentang perkara itu,” kata Rashid dalam satu kenyataan di sebuah video yang dimuat naik di laman Instagram MASMMAA.

Katanya, satu lagi cabaran besar yang dihadapi ialah MMA peringkat remaja dan Rashid berkata pihaknya akan terus berusaha untuk memperbaikinya di tahun akan datang.

“Untuk 2020, MASMMAA akan menambah lagi jumlah pegawai di negara ini dan merancang untuk memulakan program kejurulatihan yang akan dikendalikan oleh Persekutuan Seni Bela Diri Campuran Antarabangsa (IMMAF).

“Kami juga bercadang untuk menambah jumlah juri dan ‘cutman’,” katanya lagi.

Menurutnya, pihak MASMMAA mahu menyaksikan penyertaan lebih ramai atlet di Malaysia melalui sesi ujibakat serta pertandingan MMA di seluruh negara.

Berdasarkan ranking IMMAF, Malaysia kini berada di tempat ke-25 dunia untuk sukan tersebut.

Pada November lalu, untuk pertama kalinya Malaysia telah berjaya meraih pingat dalam kejohanan dunia IMMAF yang diadakan di Manama, Bahrain menerusi atlet wanita negara, Colleen Augustin.

Selain itu, sebuah acara amal untuk memupuk kesedaran serta mengumpul dana bagi sukan itu turut dianjurkan bersama oleh badan media Twentytwo13 dan MASMMAA.

Setakat ini, beberapa promosi tempatan telah pun giat mengetengahkan sukan ini ke peringkat lebih tinggi seperti Ultimate Beatdown, F3, Octagon Fighting Championship, Malaysian Fight Fest dan beberapa lagi.

Sebelum ini, kejohanan amatur Malaysian Invasion (MIMMA) juga telah melahirkan beberapa atlet-atlet handalan negara seperti Agilan Thani, Jihin Radzuan, Keanu Subba dan Muhammad Aiman.

Mereka menyertai atlet-atlet terkenal tanah air seperti Ev Ting, Gianni Subba, Saiful Merican, Ann Osman, AJ Lias Mansor dan Peter Davis yang beraksi dalam promosi terbesar Asia, ONE Championship.

Calum Chambers gantung but akibat kecederaan

PEMAIN pertahanan Arsenal, Calum Chambers terpaksa ‘gantung but’ bagi tempoh enam ke sembilan bulan selepas menjalani pembedahan ligamen.
Chambers terpaksa berehat selepas mengalami kecederaan itu ketika aksi menentang Chelsea pada Ahad.Perlawanan itu menyaksikan Arsenal tewas 2-1 kepada The Blues.

Susulan perkembangan ini, The Gunners dijangka mencari pemain bagi menggantikan kekosongan ditinggalkan Chambers ketika jendela perpindahan Januari.