Dia bukan hamba kamu! – Pemain tenis Perancis dikecam kerana minta kupas pisang

DIA bukan hamba kamu!
Itu teguran yang diterima oleh pemain tenis Perancis, Elliot Benchetrit semasa perlawanan Terbuka Australia baru-baru ini.Benchetrit dimarahi pengadil kerana meminta seorang gadis pengutip bola mengupas pisang untuknya semasa perlawanan menentang pemain Kazakhstan, Dmitry Popko.

Bukan saja pengadil, malah tindakan Benchetrit yang dianggap ‘mengada-ngada’ itu turut menimbulkan kemarahan warganet.

Namun Benchetrit mempertahankan tindakannya dan berkata bahawa gadis itu “tidak kisah pun” dan tidak membantah permintaannya untuk berbuat demikian.

“Saya meminta gadis bola mengupas pisang untuk saya kerana saya telah memakai krim di tangan supaya tidak berpeluh.

“Namun, kali kedua saya meminta tolong gadis tersebut, saya telah ditegur oleh pengadil yang berkata dia bukan hamba saya dan saya boleh mengupasnya sendiri,” katanya.

Benchetrit berkata dia terkejut dengan komen tersebut dan kesal dengan reaksi yang timbul daripada kejadian itu.

Meskipun terpalit dengan insiden ‘kupas pisang’ itu, beliau berjaya memenangi perlawanan pada Sabtu lalu.

Awas pemain bola remaja.. tanduk bola ada kaitan dengan penyakit dementia

SCOTLAND bakal menjadi negara pertama di Eropah ambil langkah menghalang pemain bola sepak remaja berumur 12 tahun ke bawah menanduk bola. Langkah ini diambil bagi tujuan mengelak kemungkinan timbul masalah dementia di alam dewasa kelak.
Dunia sukan digemparkan apabila satu laporan pada Oktober lalu mengaitkan gejala dementia dalam kalangan bekas pemain bola sepak profesional sebagai faktor yang menjejas kesihatan hingga membawa maut.Menurut laporan tersebut, pemain bola sepak tiga setengah kali ganda lebih terdedah kepada risiko menghidap dementia berpunca daripada aksi tandukan.

Isu pemain bola sepak terdedah kepada penyakit dementia timbul setelah otak bekas pemain West Brom dan England Jeff Astle dibedah siasat pada 2014 – 12 tahun selepas kematiannya pada umur 59.

Astle sememangnya menghidap tanda-tanda awal dementia dan disahkan meninggal akibat dementia kronik (chronic traumatic encephalopathy atau CTE).

Sebelum ini, CTE hanya dikesan dalam kalangan ahli sukan tinju yang memang terdedah kepada tumbukan terus ke kepala. Hentakan yang bertalu-talu menyebabkan otak peninju mengalami trauma teruk.

Sebelum ini, langkah larangan yang sama dikenakan di Amerika pada 2015.

Pegawai perubatan Persatuan Bola Sepak Scotland (Scottish Football Association) John MacLean mengaku tidak terdapat bukti yang konklusif mengaitkan aksi tanduk bola dengan penyakit dementia.

Namun, Dr MacLean yang turut terlibat sebagai ahli pasukan penyelidik tentang isu ini, menyifatkan langkah berjaga- jaga merupakan tindakan munasabah.

“Kita tidak mampu hanya tunggu dan lihat – ini adalah masa untuk bertindak,” nasihat Dr MacLean.

Dr McLean mahu aksi tanduk bola dibendung bermula dalam kalangan remaja berumur bawah 12 tahun.

Tambahnya, pergerakan di padang latihan perlu pengawasan kerana aksi tanduk bola lebih banyak berlaku di luar permainan sebenar.

Sementara itu, bekas ketua pegawai eksekutif FA Scotland, Gordon Smith, menyarankan bola kulit yang diguna sekarang diganti dengan bola plastik (PVC) di padang latihan yang melibatkan remaja bawah umur 12 tahun.

APA TERJADI KEPADA OTAK APABILA MENANDUK BOLA?

Sebiji bola beratnya hampir setengah kilogram dan boleh mencapai kelajuan hingga 128 kilometer sejam (kmsj) apabila singgah dan melantun di kepala pemain bola sepak.

Apabila singgah di kepala, otak yang sebenarnya terapung dalam kaviti tengkorak akan melantun ke dinding belakang dan mengakibatkan kelebaman.

Satu kajian University of British Columbia pada 2018 mendapati, saluran darah mengandungi protein, dan  dikaitkan dengan kerosakan sel saraf bertambah setelah berlaku aksi hentaman di kepala.

Sekali tanduk mungkin tidak memudaratkan, tetapi jika dihimpun jumlah tandukan sepanjang karier permainan, sudah tentu mampu memberi kesan parah pada kemudian hari.

Arsenal perlu pertingkat pengurusan perlawanan – Arteta

MIKEL Arteta mengakui Arsenal perlu belajar mengawal perlawanan selepas sekali lagi melepaskan kelebihan apabila seri 1-1 dengan Sheffield United.

Jaringan John Fleck tujuh minit sebelum tamat perlawanan menyamakan kedudukaan selepas Gabriel Martinelli menjaringkan gol yang kesembilan musim ini ketika bertembung di Stadium Emirates.

Arteta berasakan kurangnya tumpuan dalam perlawanan menyaksikan pasukan kendaliannya sejak mengambil alih tempat Unai Emery bulan lalu namun menolak skuadnya kurang pemain yang bertindak sebagai pemimpin.

“Kami harus mempertingkatkan daripada aspek pengurusan perlawanan,” katanya. “Kami boleh membincangkan mengenai perkara yang telah berlaku dan situasi yang boleh dielakkan.

“Namun, terdapat 100 juta keputusan yang boleh dilakukan dalam satu perlawanan bola sepak.

“Dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini, sebagai contoh ketika bertemu Crystal Palace, kami memandang mudah ketika mereka mengambil sepakan percuma dan kami dihukum atas kelalaian diri sendiri.”

Arsenal sekadar menang satu perlawanan daripada lima aksi di bawah kendalian Arteta, tiga daripadanya berakhir dengan seri 1-1, namun pengendali kelahiran Sepanyol itu percaya peningkatan telah mula dilakukan.

“Kami telah menjalani latihan dan berusaha untuk meningkatkan daripada setiap aspek dan terdapat ruang yang mahu saya perbaiki lagi.

“Kami akan cuba mendapatkan pelan terbaik bagi setiap perlawanan dan berusaha untuk mengelak daripada setiap perkara yang boleh menggagalkan pasukan.”

Martinelli membantu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Pierre-Emerick Aubameyang ketika berdepan The Blades, penyerang muda itu telah menjaringkan gol kedua sejak turun empat kali dalam kesebelasan utama pasukan.

Ketika Aubameyang diketepikan untuk perlawanan berdepan Chelsea dan Bournemouth, Arteta mengakui kepentingan pemain-pemain lain untuk memberikan impak dalam perlawanan.

“Ia adalah satu kebimbangan apabila kehilangan khidmat seorang pemain yang berkualiti. Tetapi ia sudah berlaku — kami mengetahui dia tidak dapat bersama pasukan.

“Pasukan ini mampu mencipta sesuatu, kami memerlukan pemain-pemain beraksi cemerlang dan terdapat beberapa pemain yang cemerlang keika berdepan United.”

Klopp ikrar guna kelebihan beraksi di Anfield berdepan United

JURULATIH Liverpool, Jurgen Klopp memberikan amaran aksi di di Anfield akan menjadi faktor penting buat pasukan itu sekaligus menggesa The Reds untuk mengawal rentak menjelang pertembungan dengan Manchester United nanti.

Liverpool terpaksa bangkit daripada ketinggalan untuk seri 1-1 di Old Trafford Oktober lalu dan berjaya mengelak daripada kekalahan menerusi jaringan Adam Lallana pada penghujung permainan selepas Marcus Rashford meletakkan United mendahului permainan.

United melakukan taktikal serangan balas walaupun beraksi di laman sendiri, dan pengurus mereka, Ole Gunnar Solskjaer, minggu ini telah berkata pasukannya telah menemui jalan untuk berdepan Liverpool.

Kata-kata itu mungkin akan kembali menghantui pengendali kelahiran Norway itu dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu ini.

“Mungkin mereka telah menemui cara spesifik untuk berdepan Liverpool, tetapi beraksi di Old Trafford dan Anfield memiliki perbezaan yang besar dan kami mahu membuktikannya,” kata Klopp.

Berbanding merisaukan tentang pasukan yang cenderung untuk bertahan, misi terbaru Klopp adalah mematahkan jentera serangan United yang dimiliki kepantasan yang luar biasa.

“Perlawanan ini meminta kami untuk beraksi dengan sempurna. Jika anda hilang bola pada waktu yang salah, mereka akan menghukum kami.”

Seri dengan United merupakan satu-satunya perlawanan menyaksikan pendahulu liga, Liverpool kehilangan mata dalam saingan EPL musim ini.

Klopp sekali lagi menjelaskan bahawa dirinya terkejut dengan taktikal United dalam pertembungan sebelum ini, namun tidak menyesal dengan ulasannya mengenai corak permainan bertahan musuh tradisi mereka itu.

“Pelik ketika anda berdepan pasukan yang berkualiti seperti United dengan cara mereka bermain.

“Kami menghadapi perkara yang sama dengan Tottenham. Selepas 70 minit, kami menguasai 80 peratus perlawanan, ia bukan sesuatu yang normal. Selain itu, serangan balas adalah cara terbaik buat Tottenham dan Man United.”

Klopp turut mengesahkan Fabinho dan Joel Matip kembali cergas untuk kembali bersama skuad Liverpool selepas diketepikan sebelum ini ekoran kecederaan.

KAFA akan selesaikan hutang kepada pemain sebelum 31 Jan ini

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan menyelesaikan tunggakan hutang yang melibatkan pemain, pegawai dan jurulatih pasukan Kelantan sebelum 31 Jan ini.

Setiausaha Agungnya Husin Deraman berkata pihaknya sudah menjelaskan tunggakan hutang itu sebanyak RM2 juta kepada sebahagian daripada 19 pemain termasuk pegawai dan jurulatih berkenaan.

“Baki tunggakan hutang itu akan diselesaikan secepat mungkin bagi mengelakkan kami dikenakan pemotongan mata.

“Tunggakan itu merupakan hutang yang gagal dijelaskan sejak 2016 merangkumi bekas pemain, jurulatih dan pegawai selain hutang terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan lain-lain,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, pada Jumaat.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Kelantan, Melaka dan PDRM bakal berdepan dengan hukuman pemotongan mata jika gagal melunaskan tunggakan hutang pemain dan pegawai pasukan sebelum 31 Jan ini.

Husin berkata pihaknya sedang berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan semua masalah berkaitan hutang bagi mengelak pasukan Kelantan dikenakan pemotongan mata.

“Dalam hal ini kami tidak lepas tangan sebaliknya meneruskan usaha walaupun berdepan dengan pelbagai bebanan dan cuba menyelesaikan dengan tolak ansur semua pihak secara ansuran.

Kami telah mengadakan rundingan dengan semua bekas pemain serta jurulatih yang terlibat dengan isu tunggakan hutang itu agar ia memberi hasil yang positif kepada dua-dua belah pihak,” katanya.

Kelantan pernah dikenakan hukuman pemotongan tiga mata oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sehingga memberi kesan kepada kedudukan pasukan dalam carta Liga Premier musim lepas kerana gagal menjelaskan tuntutan pembayaran gaji tertunggak dan pampasan kontrak bekas Pengarah Teknikal KAFA, Alfredo Carlos Gonzalez.

Farah Ann sifatkan insentif Sukan SEA dorongan lebih berjaya

SHAH ALAM: Ratu gimnas negara menyifatkan pemberian insentif Sukan SEA ke-30 Filipina oleh kerajaan Selangor kepada atlet negeri itu, sebagai dorongan untuk mereka mengukir lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.
Farah Ann Abdul Hadi berkata insentif berkenaan turut mencerminkan sokongan kerajaan negeri terhadap pencapaian atlet negeri itu.“Terima kasih kepada kerajaan negeri dan mereka yang terlibat kerana sentiasa menyokong saya dan rakan atlet lain serta memberi kata-kata semangat kepada kami untuk terus menjadi yang terbaik dalam setiap sukan yang kami sertai.

“Ini juga sebagai galakan kepada kami untuk terus berusaha mencatat lebih kejayaan pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas menerima insentif berjumlah RM15,000 susulan kejayaannya meraih tiga emas dalam temasya sukan dwitahunan tersebut.

Terdahulu, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan menyampaikan insentif Sukan SEA Filipina 2019 berjumlah RM152,000 kepada 56 atlet negeri ini dalam satu majlis di sini.

Dalam temasya sukan yang berlangsung pada 30 Nov hingga 11 Dis tahun lepas di Filipina, seramai 26 atlet Selangor meraih emas, 11 atlet memenangi pingat perak manakala 15 menyumbang gangsa daripada 28 jenis sukan yang disertai mereka.

Pemenang pingat emas menerima insentif sebanyak RM5,000 bagi setiap pingat yang diraih, perak (RM3,000) dan gangsa (RM1,500), manakala jurulatih pula masing-masing menerima RM2,000.

Mengulas lanjut, Farah Ann berkata beliau kini sedang mempersiapkan diri bagi menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Persiapan latihan sudah tentu tertumpu kepada Sukan Olimpik Tokyo 2020 kerana ini adalah pertama kali saya layak ke Olimpik dan ia sangat mengujakan. Sasaran saya pada temasya sukan itu untuk buat sehabis baik,” katanya.

Farah Ann mencipta sejarah tersendiri apabila layak ke sukan Olimpik itu, selepas mencatat keputusan memberangsangkan pada Kejohanan Gimnastik Dunia 2019 di Stuttgart, Jerman baru-baru ini.

Kembali ke Octagon hujung minggu ini, McGregor jangka dapat bayaran RM326 juta

HUJUNG minggu ini bakal menyaksikan kemunculan semula bintang UFC Conor McGregor selepas hampir 15 bulan menyepi dari sebarang pertarungan seni bela diri campuran (MMA).
Jaguh kontroversi dari Ireland itu disahkan akan bertarung pada 18 Januari ini (19 Jan di Malaysia) menentang petarung Amerika Syarikat, Donald Cerrone.Pertarungan divisyen welterweight ‘McGregor vs Cowboy’ itu akan berlangsung dalam acara utama di UFC 246 di T-Mobile Arena, Las Vegas, Nevada.

McGregor, 31, sebelum ini lebih banyak beraksi dalam kelas lightweight (70.3 kg) dan featherweight (65.8 kg), namun kini dia beralih kepada kelas yang lebih berat iaitu 77.1 kg.

Bagaimanapun ini bukanlah pertama kali untuknya kerana pada tahun 2016 dahulu, McGregor pernah bertarung dengan Nate Diaz di mana dia tewas sekali dan menang sekali.

Menurut ketua jurulatih kemnya, John Kavanagh, ini merupakan keadaan fizikal terbaik untuk McGregor.

Bercakap kepada ESPN dalam temu bual bersama Ariel Helwani, Kavanagh mendedahkan dia amat bergembira dengan perkembangan di kem latihan McGregor.

“(Persediaan) beberapa bulan yang lepas amat baik. Buktinya anda akan saksikan Sabtu ini (Ahad di Malaysia),” katanya.

Tambahnya, berdasarkan latihan beberapa bulan ini, McGregor kelihatan hebat seperti sewaktu dia memenangi dua kejuaraan dunia pada 2016 lalu selepas menewaskan Eddie Alvarez.

Dalam pada itu, menerusi temu bual yang sama, McGregor berkata pertarungan ini bukanlah untuk wang semata-mata.

Sebaliknya, McGregor berkata ia didorong oleh semangatnya untuk bertanding dan menghiburkan peminat.

“Tiada had, tiada halangan. Anda boleh buat apa sahaja. Anda boleh pergi ke mana sahaja. Saya tahu apa yang mahu buat dan saya gembira dengan apa yang saya buat.

“Saya gembira lakukan semua ini dan saya akan teruskannya. Kini saya sedang berusaha keras dan saya berada dalam keadaan terbaik dalam hidup saya. Mental dan fizikal,” katanya.

Sungguh pun begitu, McGregor mengakui dia bakal mendapat bayaran yang lumayan untuk perlawanan ini.

“Kita dapat tawaran yang baik. Saya sangat gembira. Saya yakin, bayarannya baik. Saya menjangkakan mungkin AS$80 juta (RM326 juta),” ujarnya.

“Ia akan menjadi malam yang baik. Saya akan bersinar pada 18 Januari nanti. Saya akan buat ‘silap mata’ di dalam (gelanggang) Octagon, seperti yang telah saya lakukan beberapa kali sebelum ini. Tetapi ini akan menjadi sesuatu yang istimewa,” kata McGregor lagi.

Kali terakhir McGregor bertarung ialah dengan juara lightweight UFC dari Rusia, Khabib Nurmagomedov pada Oktober 2018 dalam acara UFC 229, di mana dia tewas menerusi ‘submission’ pada minit 3.03 pusingan keempat.

Selepas perlawanan, timbul kekecohan yang menyebabkan McGregor dan Khabib didenda dan digantung pertarungan oleh Suruhanjaya Atlet Negeri Nevada (NSAC).

McGregor didenda sebanyak AS$50,000 (RM205,355) dan digantung enam bulan, manakala Khabib pula didenda AS$500,000 (RM2,053,953) dan digantung selama sembilan bulan.

Bagi Cerrone, 36, pula, kali terakhir dia bertarung ialah pada acara UFC Fight Night 158 di Vancouver, Kanada yang menyaksikan Cerrone ditundukkan oleh Justin Gaethje melalui keputusan knockout teknikal (TKO) pada minit 4:18 pusingan pertama.

McGregor kini mempunya rekod profesional 21-4, manakala mempunyai rekod 36-13.

Subahan pertahan perbelanjaan hampir RM21 juta

KUALA LUMPUR: Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal menganggap perbelanjaan hampir RM21 juta bagi skuad hoki negara dalam tempoh lima tahun lepas, berbaloi walaupun kedua-dua pasukan lelaki dan wanita gagal layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Beliau berkata daripada jumlah itu, skuad lelaki menerima peruntukan hampir RM15 juta dari 2015 hingga 2019, dengan paling banyak pada fasa terakhir kelayakan untuk tahun 2019 iaitu RM4.7 juta, manakala skuad wanita menerima peruntukan hampir RM6 juta dalam tempoh yang sama.“Perbelanjaan ini hanya meliputi kos membayar gaji pemain dan jurulatih serta jelajah ke luar negara, tidak termasuk liga dan sebagainya. Memang bukan senang untuk mencari dana tetapi jumlah yang dibelanjakan memang berbaloi.

“Jika dibandingkan dengan negara seperti India dan Australia, bajet mereka tiga atau empat kali ganda lebih banyak,” katanya ketika memulakan sesi penilaian empat tahun (2016-2019) skuad kebangsaan di Institut Sukan Negara (ISN) di sini, pada Selasa.

Sesi penilaian itu bertujuan untuk bedah siasat punca kegagalan kedua-dua pasukan lelaki dan wanita kebangsaan layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 supaya memastikan kesilapan sama tidak berulang untuk tempoh empat tahun akan datang yang meliputi kelayakan dan kejohanan Piala Dunia 2022 (wanita) dan 2023 (lelaki) serta kelayakan Sukan Olimpik 2024.

“Bukan nak katakan kita gagal kerana pemain tak capai, mereka pun bagi yang terbaik, bagaimanapun kita harus mencari di mana berlaku kesilapan untuk memastikan kita layak ke Olimpik Paris 2024.

“Kita menjangka untuk mengumumkan rumasan awal pada esok (Rabu), manakala laporan penuh dijangka dibentangkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Mac nanti,” katanya.

Skuad lelaki yang menerima jolokan ‘The Speedy Tigers’ mempunyai peluang terbaik mara ke Olimpik sebagai juara Sukan Asia 2018, tetapi tewas kepada Jepun dalam final, manakala pada pusingan play-off terakhir kelayakan, pasukan ke-11 dunia itu tewas kepada Great Britain dengan agregat 3-9 di London pada November lepas.

Pasukan wanita yang melonjak ke ranking ke-20 dunia, gagal mara ke pusingan kelayakan terakhir apabila menamatkan kempen Final Siri FIH di Banbridge, Ireland pada Jun lepas di tempat ketiga, dengan hanya dua pasukan teratas akan layak ke play-off.

Sesi penilaian itu dianggotai oleh 16 ahli panel, termasuk Subahan, kedua-dua Timbalan Presiden KHM, Prof Datuk Dr S Shamala dan Jadadish Chandra Bipin, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail bekas pemain, wakil daripada Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan media.

Seramai 10 pemain pasukan lelaki dan lima pemain wanita akan menjalani sesi perbincangan tertutup secara individu bersama ahli panel pada Rabu, manakala sesi pertemuan dengan pihak jurulatih dijangka diadakan pada waktu lain.

Momota: Syarikat pengangkutan telah lama bekerjasama dengan BAM

KUALA LUMPUR: Syarikat penyedia perkhidmatan pengangkutan kejohanan badminton Masters Malaysia 2020 adalah sebuah syarikat bereputasi baik dan telah bekerjasama dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kira-kira sedekad.
“Syarikat pengangkutan tersebut, telah bekerja bersama BAM untuk lebih daripada 10 tahun,” kata Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh ketika ditanya mengenai kredibiliti syarikat penyedia pengangkutan tersebut.Salah sebuah van syarikat tersebut yang membawa pemain badminton nombor satu dunia, Kento Momota dan tiga lagi pegawai, terlibat dalam perlanggaran dengan sebuah lori kira-kira jam 4.40 pagi Isnin di KM13.7 Lebuhraya Maju Expressway (MEX).

Pemandu van tersebut, B. Nageswarau maut di tempat kejadian.

Goh berkata, BAM telah sentiasa berhubung dengan Persatuan Badminton Nippon (NBA) bagi memberikan perkembangan terkini mengenai Momota dan mereka yang terlibat.

“Kami akan sentiasa memberikan maklumat terkini kepada mereka melalui kesemua saluran,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.

Selain Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman dan isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang juga merupakan bekas patron BAM, Momota turut dilawati Duta Jepun ke Malaysia Hiroshi Oka.

Juara dunia 2018 dan 2019 itu kini sedang dirawat di Hospital Putrajaya akibat luka di beberapa bahagian muka termasuk di sinus maksila dan patah tulang hidung.

Kenny mendedahkan sejumlah 400 orang pemain, jurulatih, pegawai dan pengadil telah dibawa di sepanjang kejohanan enam hari tersebut.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama penyedia pengangkutan tersebut.

Sementara itu Kedutaan Jepun dalam satu kenyataan berasingan meminta pihak media untuk tidak mengganggu Momota dan pegawai-pegawai lain, yang masih menerima rawatan di Hospital Putrajaya.

“Kami berterima kasih atas kefahaman dan kerjasama. Sila hubungi kami jika anda mempunyai sebarang pertanyaan,” menurut kenyataan tersebut.

Pegawai yang terlibat ialah pembantu jurulatih Yu Hirayama, 35, (luka pada tulang kering sebelah kanan); pegawai fisioterapi Morimoto Akifumi, 42, (konkusi otak dan fraktur tertutup) dan William Thomas, 30, seorang operator sistem Hawkeye (luka di kepala dan bahagian bawah kaki).

Momota dalam perjalanan pulang ke Jepun selepas memenangi gelaran pertamanya di Masters Malaysia di Arena Axiata di sini semalam.

Beliau mengalahkan bekas juara dunia Viktor Axelsen dari Denmark pada perlawanan akhir pada Ahad.

Momota sepatutnya bermain di Masters Indonesia yang dijadualkan bermula hari ini hingga Ahad di Istora Senayan, Jakarta, namun menarik diri atas sebab-sebab kesihatan.

Keputusan AIAC hanya antara Akhyar dan Kedah – Stuart Ramalingam

KUALA LUMPUR: ‘Kemenangan’ Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) membabitkan isu perpindahan kontroversi bekas pemain Kedah Muhammad Akhyar Abdul Rashid yang dirujuk ke Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di Kuala Lumpur, tidak melibatkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam berkata meskipun Muhammad Akhyar kini bersama JDT, keputusan AIAC tersebut hanya antara pemain sayap berumur 19 tahun itu dengan KFA.“Supaya semua lebih memahami, kes ini adalah mengenai Akhyar dan Kedah berhubung kontrak bersama bekas majikannya sebelum ini. Mudah sahaja. Ia tidak melibatkan JDT atau mana-mana pihak.

“Apabila kes ini dibawa ke timbang tara, ia antara peguam kedua-dua pihak. Malah FAM tidak menerima sebarang maklum balas atau diundang untuk ke sana (AIAC) sebagai saksi sehingga lah keputusan keluar seperti yang kita tahu mengenai kes ini,” katanya kepada Bernama pada Ahad.

Pada Sabtu, Setiausaha Kehormat KFA Asmirul Anuar Aris mengesahkan kes yang berlarutan hampir satu tahun itu berpihak kepada KFA meskipun KFA tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan yang ditawarkan.

Muhammad Akhyar yang juga pemain kebangsaan sah menjadi milik JDT pada Disember 2018 ketika FAM dan KFA masih berbalah mengenai isu perpindahan pemain terbabit.

Sebelum itu, KFA mengemukakan rayuan kepada FAM selepas tidak berpuas hati dengan keputusan badan induk itu yang menetapkan nilai pampasan RM75,000 kepada mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmat Akhyar.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Rayuan FAM mengekalkan keputusan bahawa pemain itu hanya perlu membayar RM210,000 untuk menebus baki kontraknya bersama KFA untuk berhijrah ke pasukan lain manakala pasukan baharunya perlu membayar RM75,000 kepada KFA.

Mengulas lanjut, Stuart memberi jaminan kes seperti itu tidak akan berulang di masa hadapan selepas FAM mengenal pasti kelemahan pada Artikel 15.A, Peraturan Status dan Perpindahan Pemain FAM.

“Kita nampak kelemahan dalam Artikel 15.A yang telah digunakan beberapa kali sebelum ini, jadi dalam garis panduan RSTP (Peraturan Status dan Perpindahan Pemain) untuk musim 2020, klausa yang kontroversi telah dikeluarkan sekali gus selaras dengan garis panduan FIFA dan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia).

“Ia untuk pastikan tiadanya kekeliruan dalam kes ini yang akan berlaku lagi. Perkara ini telah dimaklumkan kepada semua pasukan dan berkuat kuasa awal tahun ini,” katanya.