Terbuka Australia: Thiem tempah aksi dengan Djokovic untuk takhta kejuaraan

BINTANG Austria Dominic Thiem mara ke final Terbuka Australia buat kali pertama selepas menundukkan Alexander Zverev dalam aksi separuh akhir sebentar tadi.

Thiem yang kalah pada pusingan pertama mula dengan 3-6 bagaimanapun mula menunjukkan belang selepas melakar kemenangan menerusi set kedua, tiga dan empat dengan 6-4, 7-6 dan 7-6.

Kemenangan ini turut menyaksikan Thiem muncul sebagai bintang tenis pertama negaranya yang melayakkan diri ke pusingan akhir Terbuka Australia.

Sebelum ini di pusingan suku akhir, Thiem lakar rentak permainan yang padu untuk menyekat kemaraan bintang Sepanyol, Rafael Nadal yang berada pada ranking nombor satu dunia.

Menerusi perlawanan yang berlangsung di Rod Laver Arena itu, Thiem tampil aksi tidak konsisten di pusingan pertama dan Zverev berjaya menguasai rentak permainan seterusnya menang mudah 6-3.

Pusingan kedua menyaksikan Thiem kembali mengasak untuk memenangi set tersebut dengan 6-4.

Pusingan ketiga dan keempat lebih sengit apabila kedua-dua mereka lebih bijak dan peka dalam mengimbangi rentak permainan dan berjaya mengawal tekanan sehingga dua set terakhir ini terpaksa diheret ke pusingan tie break.

Menerusi pusingan sengit ini, Thiem berjaya menguasai kedua-dua set untuk menyekat laluan Zverev untuk beraksi di final.

Pusingan akhir yang akan berlangsung pada 2 Februari ini menyaksikan Thiem bakal berhadapan dengan juara bertahan Novak Djokovic dari Serbia yang juga buru kejuaraan kelapannya pada kejohanan kali ini.

Djokovic mara selepas berjaya leburkan misi Roger Federer untuk merangkul trofi Grand Slam yang ke-21 dengan 7-6, 6-4 dan 6-3.

KBS serah kepada SPRM isu presiden persatuan ditahan

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan berhubung penahanan seorang presiden persatuan sukan kebangsaan kerana disyaki menyalahgunakan kuasa.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau yakin SPRM akan menjalankan siasatan dengan telus dan adil berhubung perkara berkenaan.

“Saya rasa dalam bab ini, lebih baik kita berikan ruang kepada SPRM untuk melakukan siasatan. Saya tidak pasti apa tujuannya (punca penahanan), dan biarkan mereka (SPRM) uruskan perkara ini,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkara berkenaan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki dilaporkan telah mengesahkan perkara berkenaan dan Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan suspek direman sehingga Ahad.

Suspek dilapor ditahan di rumahnya di Melaka, pada Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM.

Terdahulu, Syed Saddiq ditemui pemberita selepas hadir pada majlis penajaan oleh Genting Malaysia Berhad kepada penganjur kejohanan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020, Human Voyage (M) Sdn Bhd di Menara KBS, di sini.

Pada majlis berkenaan, Naib Presiden (Perhubungan Korporat dan Komunikasi) Genting Malaysia Berhad, Datuk Seri Kay Prakash menyerahkan cek penajaan berjumlah RM5 juta untuk Ketua Pegawai Operasi Human Voyage, Shahaizereen Abdul Hamid bagi penganjuran kejohanan berbasikal terulung Asia berkenaan.

Pelantikan Misbun lonjak semangat pemain muda, kata Yoke Meng

JURULATIH skuad badminton remaja negara, Kwan Yoke Meng, menyambut baik kehadiran Datuk Misbun Sidek selaku pengarah teknikal skuad remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM) yang baru.

Sasaran sama diletakkan setiap tahun supaya skuad remaja negara mampu menyerlah dalam Kejohanan Remaja Asia serta Kejohanan Remaja Dunia.

Menurutnya, kehadiran Misbun seperti menyuntik semangat buat skuad kebangsaan bangkit setelah beraksi hambar dalam dua kejohanan itu tahun lalu, sekali gus mencipta kelainan.

Yoke Meng ketika ini sedang mempersiapkan pasukan negara bagi menghadapi dua kejohanan awal musim, iaitu Kejohanan Kebangsaan Remaja B-18 diikuti Kejohanan Antarabangsa, bermula Mac depan.

“Sudah tentu ia akan membantu pemain.

“Dia seorang legenda dan akan menyuntik semangat kepada pemain.

“Pengalaman luasnya akan meningkatkan status (pemain),” katanya di ABM, Bukit Kiara, semalam.

Dalam pada itu, pemain remaja negara, Muhammad Fazriq Mohd Razif, percaya Misbun mampu membentuk skuad remaja kebangsaan sebagai sebuah pasukan ampuh.

“Kehadirannya boleh memantapkan pasukan kebangsaan memandangkan dia mempunyai pengetahuan luas dan ia akan membawa manfaat besar,” katanya.

Koronavirus: Pasukan dari China, Hengxiang tarik diri sertai LTdL 2020

KUALA LUMPUR: Pasukan berpangkalan di China, Hengxiang Cycling sah menarik diri daripada menyertai perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 yang bermula 6 Feb, sebagai langkah berjaga-jaga ekoran penularan 2019 novel koronavirus.
Ketua Pegawai Operasi Human Voyage, Shahaizereen A Hamid berkata kekosongan yang ditinggalkan oleh pasukan Hengxiang Cycling itu bagaimanapun tidak menjejaskan perlumbaan dan pihak penganjur akan mengumumkan penggantinya dalam masa terdekat.
“Memang ada lagi pasukan dari China akan bertanding. Satu pasukan sudah tarik diri semalam disebabkan koronavirus. Sekarang kami tengah tunggu dua lagi pasukan dari China dan satu dari Hong Kong untuk pengesahan sama ada akan turut serta atau tidak,” katanya kepada media, pada Selasa.

Shahaizereen berkata sebagai penganjur LTdL 2020, Human Voyage akan bekerjasama dengan beberapa kementerian, terutama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalankan pemeriksaan secara terperinci di lapangan terbang bagi memastikan pelumba, pegawai mahupun petugas media yang tiba dari negara China bebas daripada virus itu.

Jelasnya, pasukan dan petugas media yang tiba dari China akan menjalani pemeriksaan rapi dan dikuarantin oleh KKM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu terlebih dahulu sebelum dibenarkan keluar.

“Selain wakil dari China, pihak penganjur juga akan memantau perkembangan semasa kesemua pegawai, pelumba dan petugas dari dalam dan luar negara sebagai langkah keselamatan tambahan.

“Mereka juga diminta untuk membuat saringan kesihatan terlebih dahulu dan laporan itu akan dihantar kepada kami (penganjur) untuk diserahkan kepada KKM. Kami akan memastikan perlumbaan LTdL2020 berlangsung tanpa sebarang kebimbangan khususnya melibatkan isu kesihatan dan keselamatan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai penganjuran LTdL edisi ke-25 tahun ini, Shahaizereen berkata pihak penganjur tidak mempunyai sebarang masalah berkaitan dana.

Beliau mendedahkan penganjuran kali ini menelan belanja lebih RM18 juta dengan RM8 juta dana kerajaan manakala RM10 lagi melalui penajaan.

Sehingga kini, sebanyak 22 pasukan termasuk satu pasukan profesional dan lima pasukan Profesional Benua mengesahkan penyertaan pada edisi kali ini.

LTdL 2020 melibatkan lapan peringkat perumbaan, bermula di Kuching dan berakhir di Pulau Langkawi, selain dua perlumbaan tambahan, iaitu Kriterium Antarabangsa Kota Kinabalu pada 6 Feb dan Malaysian International Classic Race di Pulau Langkawi pada 15 Feb.

Peminat mahu logo NBA ditukar kepada bayang Kobe Bryant

PEMERGIAN legenda bola keranjang, Kobe Bryant yang maut dalam insiden helikopter terhempas pada Ahad terus diratapi ahli keluarga, rakan terdekat dan peminat di seluruh pelusuk dunia.
Terkini, peminat bintang berusia 41 tahun itu giat mempromosi petisyen yang meminta agar logo Persatuan Bola Keranjang Nasional (NBA) ditukarkan kepada imej Kobe.Logo NBA kini mempamerkan bentuk bayang atau siluet bekas bintang L.A Lakers, Jerry West.

Dalam pada itu, petisyen Change.org dalam laman web memaklumkan: “Sila tandatangan petisyen ini untuk meletakkan imej Kobe Bryant dalam logo baharu NBA.”

Berikut antara reaksi peminat di laman Twitter:

Sehingga pagi Selasa, petisyen berkenaan sudah ditandatangani lebih setengah juta peminat Kobe.

Kobe maut dalam nahas udara di California apabila helikopter persendirian yang dinaikinya terbakar dan terhempas di bandar Calabasas.

Nahas turut mengorbankan lapan penumpang lain termasuk anak Bryant, Gianna Maria Onore, 13, yang dikenali sebagai GiGi.

Juara NBA lima kali itu beraksi bersama Los Angeles Lakers selama 20 tahun dan bersara pada April 2016.

Pencapaian terbaik Bryant dalam arena sukan adalah apabila diangkat sebagai pemain NBA paling berharga (MVP) pada 2008.

Bryant pernah merangkul Oscar untuk filem animasi pendek ‘Dear Basketball’ pada 2018.

Koronavirus: Kejohanan olahraga dalam dewan Asia di China dibatalkan

KUALA LUMPUR: Persatuan Olahraga Asia (AAA) pada Ahad membatalkan Kejohanan Olahraga Asia kesembilan di Hanzhou, China yang dijadualkan pada 12 dan 13 Februari disebabkan penularan wabak 2019 novel koronavirus di negara itu.

Ahli Majlis AAA, Karim Ibrahim berkata badan olahraga Asia itu telah membuat keputusan menerusi mesyuarat secara dalam talian pada petang Ahad, berikutan merebaknya virus itu di beberapa negara yang berasal dari Wuhan di tanah besar China.

“AAA membuat keputusan bagi menjaga keselamatan dan kesihatan atlet dan pegawai yang terlibat dalam kejohanan itu.

“Bagaimanapun mesyuarat Jawatankuasa Stastistik AAA di Malaysia yang saya pengerusikan, akan diteruskan seperti dijadulkan pada 30 dan 31 Jan di Kuala Lumpur,” katanya kepada Bernama.

Agensi berita Xinhua melaporkan 1,975 kes pneumonia yang disebabkan koronavirus telah disahkan, dengan 56 kematian sehingga Sabtu.

Kementerian Kesihatan Malaysia juga telah megesahkan empat warganegara China, yang memasuki Malaysia melalui Johor daripada Singapura, telah disahkan positif virus tersebut.

Dua gol lagi dicetak Haaland bersama Dortmund

DORTMUND 5 COLOGNE 1

Permulaan cemerlang Erling Haaland bersama Borussia Dortmund diteruskan awal pagi tadi apabila meledak dua gol ketika hadir sebagai pemain gantian untuk mengatasi Cologne 5-1.

Pemain berusia 19 tahun itu meledak hatrik dalam penampilan sulungnya berdepan Augsburg selepas diperkenalkan pada minit ke-56, selepas berhijrah dari Salzburg bulan ini.

Pemain kebangsaan Norway itu mengulangi persembahan yang sama apabila sekali lagi hadir ke dalam perlawanan sebagai pemain gantian — 25 minit sebelum tamat perlawanan — dan telah berjaya mencetak lima gol dalam tempoh satu jam menyarung jersi Dortmund.

Skuad kendalian Lucien Favre itu telah mendahului 3-1 sebelum Haaland diperkenalkan — hasil jaringan yang diledak oleh Raphael Guerreiro, Marco Reus dan Jadon Sancho, sementara Mark Uth menjaringkan gol buat pelawat.

Haaland pantas menyudahkan bola muntah apabila penjaga gol, TImo Horn gagal kemas menolak keluar percubaan Sancho sebelum melengkapkan kemenangan pasukan pada minit ke-87.

Dortmund kini empat mata di belakang RB Leipzig, yang mendahului saingan Bundesliga.

Selangor tarik dari daripada kejohanan bola sepak jemputan di China

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengambil keputusan menarik diri daripada Kejohanan Jemputan Bola Sepak Antarabangsa Piala Meizhou Hakka di Wilayah Guandong, China yang dijadual berlangsung mulai hari ini sehingga 29 Jan.

FAS dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dalam laman sesawangnya www.faselangor.my menyatakan keputusan itu dibuat bagi memastikan keselamatan pemain dan pegawai Selangor berikutan wabak koronavirus yang melanda China pada masa ini.

“FA Selangor memohon maaf kepada penganjur kejohanan, Meizhou Hakka FC dan akan melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan perkara ini sebaik mungkin,” katanya.

Kejohanan jemputan itu mengetengahkan empat pasukan, Chonburi FC, Thailand; Sangju Sangmu, Korea Selatan; Selangor dan juga Meizhou Hakka FC, selaku tuan rumah.

Sekurang-kurangnya 25 orang dilaporkan mati akibat wabak satu virus pernafasan baharu di China, menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaannya pada Jumaat.

Agensi Anadolu melaporkan suruhanjaya itu mencatatkan 830 kes yang disahkan di seluruh negara sejak wabak novel koronavirus menular yang kali pertama dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) oleh pegawai Kerajaan China pada 31 Dis lepas di Wuhan, ibu negeri Wilayah Hubei di tengah China.

Mourinho akui kekurangan penyerang

TOTTENHAM HOTSPUR 2 NORWICH CITY 1

Jose Mourinho berkata Tottenham Hotspur sedang mengalami kekurangan penyerang yang memaksanya untuk terus berfikir, namun masih bertenang mengenai aktiviti kelab itu dalam jendela perpindahan bulan ini.

Dengan ketiadaan penyerang utama, Harry Kane, giliran Dele Alli dan Son Heung-min membawa watak penjaring ketika Spurs menewaskan Norwich City 2-1 di laman sendiri awal pagi tadi walaupun pasukan bawahan Liga Perdana Inggeris itu memiliki peluang untuk mengikat kedudukan.

Skuad kendalian Mourinho itu menerima satu lagi tamparan hebat apabila Harry Winks turut mengalami kecederaan dan pengurus itu mengakui dia tiada pilihan lain di bangku pemain simpanan selepas Norwich menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Teemu Pukki pada minit ke-70.

“Ia kemenangan yang amat penting buat kami ketika berdepan lawan yang amat sukar,” katanya kepada BBC Sport.

“Kami menderita dalam babak kedua dan kami hanya boleh menyalahkan diri sendiri.

“Kami berada dalam situasi di mana saya perlu berfikir, berfikir dan berfikir.

“Saya melihat ke arah bangku pemain simpanan dan kami tiada penyerang.

“Saya terpaksa mengeluarkan Erik Lamela kerana dia kelihatan letih tetapi kami menunjukkan reaksi yang luar biasa untuk menjaringkan gol kedua.

“Apabila Chelsea mahukan kemenangan, mereka membawa masuk Michy Batshuayi.

“Apabila Manchester City mahu mengeluarkan Gabriel Jesus, mereka membawa masuk Sergio Aguero.

“Kami amat-amat tidak bernasib baik dengan kecederaan pemain.

“Kami mendapatkan kembali khidmat Hugo Lloris dan kami kehilangan Harry Winks, luar biasa,” katanya.

Spurs dikaitkan untuk mendapatkan penyerang Juventus, Paulo Dybala, dan penggempur Paris Saint-Germain (PSG), Edinson Cavani, dalam jendela perpindahan bulan ini dengan Kane dijangka akan direhatkan sekurang-kurangnya sehingga Mac ini.

Gedson Fernandes, yang menyertai kelab itu secara pinjaman daripada Benfica, melakukan penampilan pertamanya selaku pemain gantian dalam babak kedua tetapi Mourinho tidak tergesa-gesa untuk mendapatkan pemain baru.

“Semua dalam kelab ini mahu memberikan kondisi terbaik buat pasukan tetapi kami memikirkannya dan berkomunikasi setiap hari.

“Kami perlu terus bertenang,” katanya lagi.

United akan perbaiki prestasi dengan pemain baru

MANCHESTER UNITED 0 BURNLEY 2

Ole Gunnar Solskjaer percaya Manchester United sudah memperoleh gambaran yang jelas dan akan memperbaiki prestasi dengan kemasukan pemain baru bulan ini selepas tewas 0-2 kepada Burnley dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di laman sendiri awal pagi tadi.

United memaparkan aksi buruk ketika berdepan skuad kendalian Sean Dyche itu dan kelihatan amat lemah di bahagian serangan tanpa penyerang utama, Marcus Rashford, yang mungkin tidak dapat diturunkan hingga April depan kerana kecederaan belakang.

Chris Wood dan Jay Rodriguez muncul penjaring Burnley, yang tidak berdepan masalah untuk mempertahankan kelebihan itu sehingga tamat perlawanan.

United kerap dikaitkan untuk mendapatkan pemain tengah Sporting CP, Bruno Fernandes, walaupun laporan media mendakwa kedua-dua pasukan itu gagal mencapai kesepakatan mengenai perpindahan pemain kebangsaan Portugal itu.

Solskjaer menegaskan United sedang berusaha untuk memperkuatkan skuad mereka walaupun gagal menjawab soalan sama ada dia mendapat sokongan daripada pihak pengurusan tertinggi kelab itu atau tidak.

Dia berkata kepada BT Sport: “Kami mahu memperbaiki keadaan, kami mempunyai sasaran tersendiri.

“Hari seperti ini menunjukkan bagaimana baiknya sesetengah mereka (pemain muda dalam skuad United) melakukannya dalam musim ini — sesetengah keputusan dan prestasi mereka amat luar biasa.

“Ini merupakan kekalahan kedua kami di laman sendiri sejak Ogos lalu.

“Saya fikir kami dapat mengekalkannya dengan memenangi perlawanan ini tetapi ia tidak terjadi.

“(Perpindahan) sentiasa akan menjadi perbualan buat ketika ini.

“Kami sudah dapat melihatnya dengan jelas dan akan memulakan tugas mendapatkan pemain baru.

“Sekarang ialah jendela perpindahan, jadi saya akan terus menjawab soalan seperti ini sehingga ia ditutup.

“Kami sedang mengusahakan beberapa perkara.

“Bagi saya, perkara terpenting adalah kami perlu memaparkan prestasi terbaik di atas padang.

“Persembahan hari ini tidak cukup baik untuk pasukan Manchester United,” katanya.

Kekalahan itu menyaksikan United kekal di tangga kelima dengan ketinggalan enam mata di belakang Chelsea dengan 34 mata, berkongsi jumlah mata yang sama dengan Tottenham Hotpsur dan Wolves.