Kuching FA sedia hadapi Liga Premier 2020

KUCHING: Kuching FA sedia untuk menghadapi cabaran musim terbaharu Liga Premier 2020 dan Piala Presiden FAM.
Perkara itu diumumkan Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Kuching (KDFA), Fazzrudin Abdul Rahman menerusi Majlis Kesyukuran dan Doa selamat di Kuching pada Ahad.Menerusi acara tersebut, skuad City of Unity yang bersedia untuk mencipta satu lagi kejutan selepas “naik pangkat” dari Liga M3 musim lalu turut memperkenalkan jersi baharu bagi saingan liga musim ini.

Fazzrudin ketika ditemui berkata, bukan mudah untuk pasukannya berada di peringkat ini dan beliau optimis dengan kemampuan skuad yang dikendalikan Ideris Untong ini.

“Saya sudah berkongsi dengan pemain untuk bersedia menghadapi cabaran tersebut dengan fokus kepada tanggungjawab diberikan iaitu menjadi seorang pemain bola sepak ataupun seorang jurulatih ataupun menjadi seorang penolong pengurus,” jelasnya.

Tanpa meletakkan sasaran untuk musim sulung dalam Liga Malaysia, Fazzrudin mahu Kuching FA untuk terus fokus dalam setiap perlawanan sekali gus meningkatkan mutu permainan pada tahap terbaik.

“Sudah tentu cabaran pada tahun 2016 sewaktu kita memasuki Liga Bola Sepak Rakyat berbeza dengan Liga FAM dan berbeza dengan Liga Menteri dan sudah tentu cabaran Liga Premier pun berbeza juga.”

Aksi sulung Piala Presiden FAM menyaksikan Kuching FA bakal bertemu SarawaK United pada 24 Februari ini.

Manakala bagi saingan Liga Premier pasukan ini akan bertemu UKM FC di Stadium Petra Jaya dijadualkan pada 29 Februari ini.

Tun M luang masa beri sokongan aksi penamat perlumbaan peringkat ketiga LTDL2020

KUALA LUMPUR: Setelah dua peringkat berlangsung, perlumbaan peringkat ketiga PETRONAS Le Tour De Langkawi (LTDL) 2020 menyaksikan kehadiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir yang tiba pada pukul 3.30 petang turut meluangkan masa melihat sendiri aksi penamat kesemua 122 peserta dari 21 buah negara yang mengambil bahagian.Beliau turut menyarungkan jersi kuning (pendahulu keseluruhan) kepada pelumba Vino Astana Motor, Yevgeniy Fedorov.

Federov sebelum ini berjaya mendahului perlumbaan peringkat pertama yang berlangsung di Kuching, Sarawak pada 7 Januari lalu.

Terdahulu pelumba dari Jerman, Max Walscheid mengungguli perlumbaan peringkat ketiga itu bermula dari Temerloh dan berakhir di ibu negara pada Ahad.

Pelumba pasukan NTT Pro Cycling Team itu berjaya mencatatkan masa tiga jam 51 minit 42 saat meninggalkan Riccardo Minali dari pasukan Nippo Delko Provence yang hanya meraih tempat kedua.

Manakala pasukan Team Sapura Cycling berjaya melengkapkan pentas podium selepas pelumba terbaik Turki, Ahmet Orken mendapat tempat ketiga dalam perlumbaan sejauh 162.5 kilometer itu.

Bagi pelumba Malaysia, Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff dari Team Sapura Cycling yang sebelum ini terlibat dengan insiden di Terengganu berjaya menyarung jersi merah (Raja Bukit) selepas menguasai dua daripada tiga zon pendakian.

Perlumbaan peringkat keempat esok, menjadi antara tumpuan pelumba bermula dari Putrajaya dan berakhir di Genting Highlands.

Guardiola tidak pasti Sterling cergas lawan Real Madrid

PEP Guardiola percaya Manchester City akan turun tanpa Raheem Sterling selama beberapa minggu dan dia tidak pasti penggempur itu sempat cergas untuk menentang Real Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.
Ahad lalu, penggempur England, Sterling, mengalami kecederaan paha sewaktu City tewas 2-0 di tangan Tottenham Hotspur dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan bakal terlepas aksi di laman sendiri menentang West Ham United.City masih belum menjelaskan secara terperinci kecederaan yang dialami Sterling dan Guardiola tidak dapat memberi sebarang jaminan pemain berusia 25 tahun itu akan sedia untuk kembali beraksi sebelum penghujung bulan ini.

Selepas aksi menentang West Ham, City akan mengharungi tempoh rehat pendek sebelum menentang Leicester City pada 22 Februari depan dan berkunjung ke Santiago Bernabeu, empat hari kemudian.

Kehilangan tonggak utama seperti Sterling dilihat memberikan tamparan hebat buat City dalam usaha menundukkan pendahulu LaLiga, Real.

Ditanya tentang situasi Sterling ketika sidang media, Guardiola berkata: Sudah tentu ia memerlukan beberapa minggu tetapi kami akan lihat sebelum berdepan Leicester, Real dan aksi lain. Ketika ini, saya tidak tahu.

“Ia satu masalah. Kecederaan sentiasa menjadi masalah tetapi itulah hakikatnya.”

Guardiola berkata isu kecederaan adalah sesuatu yang tidak bernasib baik terutama buat pemain.

Quartararo, Morbidelli menguasai hari pertama ujian pramusim MotoGP di Litar Sepang

SEPANG: Pelumba pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli menguasai kedudukan teratas pada hari pertama sesi ujian pramusim MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), di sini, pada Jumaat.

Menurut kenyataan pasukan itu, Quartararo melakukan 52 pusingan dan mencatatkan masa terpantas 1 minit 58.945 saat (s) sepusingan manakala Morbidelli hanya ketinggalan 0.051s dan pelumba Team Suzuki Ecstar, Alex Rins mencatatkan masa ketiga terpantas dengan 1:59.195s.

Dalam saingan musim lalu, Quartarao menduduki tempat kelima keseluruhan selepas mengumpul 192 mata.

Pelumba berusia 21 tahun itu mendapat tempat kedua di Grand Prix (GP) Catalan, GP Belanda (3), GP Austria (3), GP San Marino (2), GP Thailand (2), GP Jepun (2) dan GP Valencia (2).

“Saya rasa bersemangat selepas hampir tiga bulan tidak turun ke litar. Hari ini (Jumaat) hanya membiasakan diri menunggang jentera MotoGP.

“Kami guna jentera versi tahun lalu hanya untuk melakukan beberapa pusingan dan pada awal sesi, berjaya melakukan catatan masa terbaik dengan tayar pertengahan.

“Kami berharap cuaca lebih baik esok (Sabtu) supaya dapat berusaha dengan lebih dan tidak sabar untuk melihat hasil pertama jentera baharu. Semua pelumba bermula dengan jentera baharu dan ia tidak mudah untuk mereka,” kata Quartararo.

Pelumba Perancis itu dijangka menggunakan jentera baharu, Yamaha YZR-M1 berspesifikasi A bagi musim ini.

Dalam pada itu, Mordebidelli berkata secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan program ujian hari pertama dan akan cuba melakukan beberapa perkara kecil untuk menyesuaikan diri dengan jentera hari ini.

“Kami agak pantas ketika laluan lurus dan itu tanda positif yang kami mahukan,” katanya

Sesi ujian pramusim di litar tersebut akan disambung mulai jam 10 pagi ini hingga jam 6 petang sebelum sesi berkenaan berakhir pada Ahad ini.

Koronavirus: Perlumbaan GP Shanghai April ini mungkin ditunda

SHANGHAI: Perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Shanghai berdepan risiko susulan penularan wabak novel koronavirus yang melanda negara itu sejak Disember lalu.
Penganjur perlumbaan kini masih meneliti keadaan semasa sebelum satu keputusan bakal diumumkan oleh Persatuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan GP Shanghai.GP Shanghai dijadualkan berlangsung pada 19 April.

“Mungkin perlumbaan ini tidak akan berlangsung pada bulan April, ia akan ditunda. Kami akan melihat peluang dan ruang sama ada perlumbaan ini sesuai untuk diadakan pada hujung tahun.

“China merupakan sebuah negara yang membangun dengan pasaran yang hebat, jadi kami memang mahu mengadakan perlumbaan di China,” kata Pengarah Urusan F1, Ross Brawn kepada motorsport.com.

Dalam pada itu, jika perlumbaan GP Shanghai dibatalkan, ia sekali gus menandakan terdapat empat minggu cuti dalam pertengahan kalendar F1.

GP Vietnam yang julung kalinya diadakan bakal berlangsung pada awal April tanpa GP Shanghai.

Tiada perlumbaan lain selepas itu sebelum GP Belanda yang dijadualkan pada awak bulan Mei.

Perlumbaan F1 di China diadakan di Litar Antarabangsa Shanghai sejak 2004.

Kane akan berehat hingga Mei depan, kata Mourinho

JOSE Mourinho berkata Harry Kane tidak akan kembali beraksi buat Tottenham Hotspur hingga penghujung Mei depan, situasi yang pasti menjadi tamparan buat pasukan kelab dan negara pemain itu.
Penyerang Spurs berkenaan dilanda kecederaan paha ketika pasukannya tewas kepada Southampton pada malam tahun baru lalu dan terpaksa menjalani pembedahan.Pada awalnya, Kane dijangka akan diketepikan hingga April ini memandangkan pemain berusia 26 tahun itu sudah memulakan proses pemulihannya.

Bagaimanapun, Mourinho tidak yakin dengan prognosis itu dengan berkata dia tidak menjangkakan kapten England itu akan dapat kembali bermain sebelum 9 atau 10 Mei depan dengan Spurs akan bertemu Leicester City dalam perlawanan kedua terakhir musim ini sebelum bertemu Crystal Palace pada 17 Mei depan.

“Mungkin kami memerlukan perlawanan itu untuk sesuatu.

“Untuk berada di tangga keempat, kelima atau keenam.

“Mungkin dia akan dapat membantu kami dalam perlawanan itu. Saya harap begitu.

“Adakah itu senario terbaik buat ketika ini? Ya, saya rasa begitu,” katanya.

Jika ramalan Mourinho itu benar, ia bermakna Kane dapat ditampilkan dalam dua perlawanan liga sebelum menyertai skuad England kendalian Gareth Southgate dalam Euro 2020.

England akan mengadakan dua perlawanan persahabatan Jun depan — menentang Austria dan Romania — sebelum bertemu Croatia dalam perlawanan pembukaan Euro pada 14 Jun depan.

Namun, isu itu bukan masalah Mourinho.

“Itu masalah Southgate dan (penolong pengurus England) Steve Holland, bukan saya.

“Bagaimana perasaan saya jika saya pengurus England?

“Saya tidak tahu. Saya bukan (pengurus England),” tambahnya.

Koronavirus: AFC tunda perlawanan Liga Juara-juara babitkan kelab dari China

KUALA LUMPUR: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah memutuskan untuk menunda perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) membabitkan kelab-kelab dari China susulan penularan wabak novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) selepas satu mesyuarat tergempar yang diadakan di ibu pejabatnya di sini pada Selasa.

Mesyuarat itu, yang dihadiri enam ahli persatuan yang terlibat dalam pertandingan kelab peringkat teratas di Asia, memutuskan untuk menunda tiga hari perlawanan pertama dalam pertandingan itu susulan sekatan perjalanan dan langkah keselamatan.

AFC berkata jika perlawanan yang dijadualkan untuk pasukan dari China boleh diadakan mengikut jadual, maka mereka akan meneruskannya seperti yang telah dirancang, termasuk hari kedua perlawanan antara Chiangrai United dan Beijing FC pada 18 Feb jika pasukan China itu, yang kini berada di kem di Korea Selatan, tidak tertakluk kepada langkah-langkah kuarantin.

Setiausaha Agung AFC Datuk Windsor John dalam satu kenyataan menyebut Chiangrai United telah menegaskan bahawa mereka akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan Thailand dan pegawai perubatan untuk memantau situasi semasa serta yang bergerak pantas.

AFC akan terus menilai dengan teliti impak penularan wabak itu, namun mencadangkan agar perlawanan yang ditunda membabitkan kelab-kelab dari China akan dijadualkan semula pada April dan Mei manakala Pusingan Zon Timur 16 perlawanan dicadangkan berlangsung pada 16 dan 17 Jun dengan aksi timbal balik pada 23 dan 24 Jun.

Bagaimanapun, wakil terbabit bersetuju bahawa satu tarikh akhir untuk menilai situasi terkini akan ditetapkan 21 hari sebelum setiap perlawanan dan jika diputuskan bahawa perlawanan tidak dapat diteruskan seperti yang dicadangkan, kelab tuan rumah hendaklah mencalonkan satu venue yang neutral sekurang-kurangnya 14 hari sebelum hari perlawanan.

“Kita bersama-sama menempuh keadaan yang sukar ini untuk mencari penyelesaian bagi membolehkan kita bermain bola sepak sambil memastikan bahawa kita melindungi keselamatan dan sekuriti semua pemain, pegawai, pihak berkepentingan serta peminat.

“Kami juga menerima hakikat bahawa isu koronavirus ini adalah isu yang lebih besar berbanding sekadar perlawanan bola sepak dan kami berharap mereka yang terjejas akan cepat sembuh,” kata Windsor.

Pada 29 Jan, AFC telah meminda jadual perlawanan asal bagi membolehkan empat kelab China yang terlibat dalam kejohanan beraksi dalam tiga perlawanan pertama di tempat lawan, namun terpaksa menunda perlawanan tersebut susulan sekatan perjalanan dari beberapa kerajaan termasuk Australia, yang menyebabkan kelab-kelab China tidak mungkin dapat melakukan perjalanan untuk beraksi dalam perlawanan yang telah disusun semula itu.

Perlawanan antara juara enam kali Liga Super iaitu Johor Darul Ta’zim, satu-satunya wakil Malaysia dalam kejohanan itu, menentang Guangzhou Evergrande FC pada 19 Feb telah ditunda kepada 20 Mei, namun masih menunggu pengesahan pada 11 Feb.

Harimau Selatan dijangka memulakan kempen mereka terhadap pasukan Jepun, Vissel Kobe dalam perlawanan pembukaan Kumpulan G di Stadium Misaki Park, Kobe pada 12 Feb sebelum menjadi tuan rumah kepada Guangzhou Evergrande FC.

Permulaan tahun ini amat mencabar – Djokovic terkenang Kobe Bryant

PEMAIN tenis terkemuka Serbia, Novak Djokovic, mengingatkan semua agar sentiasa berhubung dan selalu dekat dengan insan yang tersayang.

Dalam ucapannya selepas meraih kemenangan dalam perlawanan akhir Terbuka Australia menentang Dominic Thiem, Djokovic menyifatkan permulaan tahun 2020 merupakan permulaan tahun yang dahsyat dan mencabar.

Malah, beliau juga turut mengenang persahabatannya bersama legenda bola keranjang Amerika Syarikat, mendiang Kobe Bryant yang maut dalam kemalangan helikopter bersama anak perempuannya pada Ahad lepas.

“Banyak perkara yang dahsyat berlaku di awal tahun 2020 seperti kebakaran belukar di Australia dan beberapa konflik di seluruh dunia yang turut menyebabkan banyak nyawa terkorban setiap hari.

“Semestinya, individu yang saya anggap sebagai sahabat dan mentor saya, Kobe Bryant, turut meninggal dunia bersama-sama anak perempuannya.

“Oleh itu, saya ingin mengingatkan bahawa ini adalah petanda kepada kita agar sentiasa dekat antara satu sama lain,” ujar Djokovic dengan nada sedih.

Tambah Djokovic, semua perlu sentiasa berkomunikasi dengan keluarga dan insan yang mereka sayangi.

“Pastikan anda sentiasa bersama keluarga, sentiasa rapat dengan insan yang tersayang serta orang yang sangat mengambil berat tentang kamu.

“Sebagai atlet profesional, kita bertanding dan cuba sehabis baik untuk meraih kemenangan namun, masih ada perkara yang lebih penting di dalam hidup ini yang perlu kita sedari dan kita perlu merendah diri dengan semua yang berlaku di sekeliling kita,” pesannya.

Pada Selasa lalu, Djokovic turut mengenang pemergian Bryant dalam ucapan kemenangan suku akhir menentang Milos Raoni.

Djokovic memuji mendiang dengan menyifatkan Bryant sebagai “seorang atlet paling hebat sepanjang zaman”.

Malah, beliau turut mengenakan jaket berwarna hijau dengan tertera huruf ‘KB’ serta nombor jersi pemain legenda itu.

Beberapa minggu lalu, Bryant maut dalam nahas udara di California apabila helikopter yang dinaikinya terbakar dan terhempas di bandar Calabasas.

Nahas turut mengorbankan lapan penumpang lain termasuk anak Bryant, Gianna Maria Onore, 13, yang dikenali sebagai GiGi.

Koronavirus: AFC adakan mesyuarat tergempar mengenai jadual ACL

KUALA LUMPUR: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akan mengadakan satu mesyuarat tergempar pada Selasa ini untuk membincangkan kemungkinan menjadualkan semula perlawanan kelab-kelab terbaik di benua ini, dalam kejohanan Liga Juara-Juara AFC (ACL) berikutan wabak 2019 novel coronavirus.

Perlawanan peringkat kumpulan Zon-Timur dijadualkan pada 11 dan 12 Feb ini tetapi kekangan perjalanan dan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap virus maut itu boleh memaksa badan pentadbir bola sepak Asia itu mengambil beberapa langkah, antaranya menunda tarikh perlawanan.

Mesyuarat yang dijadualkan di ibu pejabat AFC di sini, akan melibatkan keseluruhan pemegang kepentingan — persatuan-persatuan ahli, liga, kelab dan agensi komersial yang menyertai pertandingan kelab-kelab terbaik Asia itu.

“Mesyuarat itu akan membincangkan kesan kekangan perjalanan yang dilaksanakan pelbagai kerajaan berikutan penularan wabak koronavirus dan langkah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengisytiharkan wabak itu sebagai satu darurat kesihatan awam.

Selaku badan pentadbir bola sepak di Asia, AFC komited untuk menjaga pertandingan ini dan membuat perancangan yang wajar dan sesuai, termasuk tetapi tidak terhad kepada penjadualan semula perlawanan di Zon Timur,” kata AFC dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Persekutuan Bola Sepak Australia memaklumkan AFC bahawa jadual perlawanan peringkat kumpulan pertama di Perth dan Sydney tidak boleh dilaksanakan kerana kekangan perjalanan berikutan wabak penyakit berkenaan di negara itu.

Perth Glory FC dijadualkan menjadi tuan rumah kepada Shanghai Shenhua pada 11 Feb, sementara Sydney FC akan berhadapan Shanghai SIPG sehari kemudian.

Juara enam kali Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah wakil tunggal Malaysia di kejohanan berprestij Asia itu dan diundi bersama dalam Kumpulan G dengan wakil Jepun, Vissel Kobe; Suwon Samsung Bluewings dari Korea Selatan dan kelab China, Guangzhou Evergrande FC.

Skuad Harimau Selatan akan memulakan sepak mula kempen ACL dengan bertemu Vissel Kobe di Stadium Misaki Park, Kobe, pada 12 Feb sementara Suwon Samsung Bluewings dijadual menjadi tuan rumah kepada Guangzhou Evergrande FC di Stadium Suwon World Cup pada hari sama.

Beberapa acara sukan, termasuk kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 dibatalkan dan ditunda berikutan penularan wabak itu setakat ini.

JDT lancar jersi baharu musim 2020

JOHOR BAHRU: Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) melancarkan jersi baharu bagi musim 2020 di Dataran Bandaraya, di sini, Sabtu malam.

Jersi baharu JDT musim ini didatangkan dengan dua rekaan, iaitu jersi merah biru untuk tuan rumah dan jersi di tempat lawan berwarna putih.

Ketiadaan nama penaja pada bahagian hadapan jersi kali ini adalah sinonim dengan misi untuk menjadi kelab bernilai RM1 bilion.

Pelancaran jersi baharu tersebut disempurnakan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim dan turut dimeriahkan hampir 5,000 peminat kelab berkenaan.

Turut hadir, Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Sukan Nike Malaysia dan Thailand, Ernest Rodrigues berkata, pihaknya berbesar hati untuk meneruskan tajaan jersi JDT sehingga tahun 2023.

Beliau berkata jersi tuan rumah bagi musim kali ini diinspirasikan daripada bendera Johor iaitu sama seperti musim sebelum ini.

“Jersi kedua untuk pelawat berwarna putih yang melambangkan stadium baharu iaitu Stadium Sultan Ibrahim di Gelang Patah.

“Lilitan berwarna emas di bahagian lengan dan leher pula membawa simbolik kejayaan kelab JDT,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran jersi berkenaan, di sini, pada Sabtu.

Jersi baharu berkenaan akan digunakan JDT pada saingan Liga Super, Johor Darul Ta’zim II yang beraksi di Liga Perdana, Johor Darul Ta’zim III bagi saingan Piala Presiden dan Johor Darul Ta’zim IV yang beraksi dalam saingan Piala Belia.

Penyokong boleh mendapatkan kedua-dua jersi itu yang dijual di seluruh daerah dengan harga RM185 sehelai.