Selesai jalani pembedahan, Federer terlepas Terbuka Perancis

ROGER Federer bakal terlepas Terbuka Perancis selepas menjalani pembedahan lutut Rabu lalu.

Juara grand slam 20 kali itu bakal membuat penampilan dalam kejohanan kedua tahun ini dalam saingan Kejuaraan Tenis Dubai minggu depan selepas tewas kepada Novak Djokovic dalam separuh akhir Terbuka Australia, bulan lalu.

Pemain berusia 38 tahun itu mendedahkan semalam bahawa dia mengalami masalah pada lutut kanannya dan menjadi pembedahan di Switzerland, yang sepatutnya membolehkannya menjalani proses pemulihan dengan lebih baik.

Pemain ketiga dunia itu bakal terlepas saingan di Roland Garros Mei ini, tetapi dijangka kembali beraksi di gelanggang permukaan rumput.

Federer berkata menerusi laman Twitter: “Saya telah mengalami kesakitan pada lutut kanan sejak beberapa bulan yang lalu.

“Saya berharap dapat bebas daripada kecederaan ini tetapi selepas membuat pemeriksaan dan berbincang dengan pasukan saya, saya mengambil keputusan untuk menjalani pembedahan Rabu lalu.

“Doktor telah mengesahkan ia adalah keputusan yang tepat dan yakin saya mampu kembali pulih sepenuhnya.

“Namun, saya bakal terlepas saingan di Dubai, Indian Wells, Bogota, Miami dan Terbuka Perancis. Saya bersyukur di atas sokongan daripada semua pihak.

“Tidak sabar untuk kembali beraksi, jumpa anda semua di gelanggang permukaan rumput!”

Federer mengalami kecederaan pangkal paha dalam separuh akhir Terbuka Australia, di mana dia tewas straight set kepada Djokovic — yang merangkul gelaran utama yang ke-17.

Wabak COVID-19 paksa skuad terjun berlatih di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Setiausaha Kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chen, mengesahkan skuad terjun hanya akan berlatih di Kuala Lumpur menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas mereka terpaksa pulang daripada kem latihan di China ekoran wabak Coronavirus.

Skuad terjun kebangsaan jelas sangat terkesan selepas tidak dapat meneruskan kem latihan di China sebagai persiapan ke Tokyo 2020 apabila ASUM mengesahkan tiada perancangan lanjut buat mereka.

Setakat ini, hanya Leong Mun Yee dan Pandelela Rinong akan terbang ke Kanada bagi menghadapi Kejohanan Siri Terjun Dunia yang akan bermula 28 Februari ini.

Penerjun lain akan ke Tokyo untuk saingan Piala Dunia FINA, April depan yang menawarkan tiket terakhir ke Olimpik.

“Mereka sekarang tidak boleh ke China, jadi akan berlatih di Kuala Lumpur. Segalanya berjalan seperti biasa, tidak sebarang perubahan. Pandelela dan Mun Yee akan ke Kanada hujung bulan ini, jadi tiada kejohanan lain sehingga Piala Dunia,” katanya ketika ditemui wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifli.

SLTA boleh terus anjur kejohanan tenis antarabangsa

KUCHING: Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak mahu Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) untuk meneruskan rancangan mereka menganjurkan tiga kejohanan antarabangsa, bermula Mac ini, biarpun semasa negara China dilanda wabak COVID-19 ketika ini.

Menterinya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata SLTA boleh mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) bagi membenarkan kemasukan pemain dari China untuk bertanding pada kejohanan berkenaan.

“Mungkin JPBNS perlu melihat perkara ini, saya tidak boleh memutuskan tentang perkara ini. Ia perlu ada rayuan dan nama (pemain dari China) diberikan kepada kerajaan negeri supaya ada pengecualian kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bagi mempromosi Piala Ketua Menteri Sarawak ke-35, Piala Davis Remaja dan Piala Fed Remaja, pada Selasa.

Kejohanan Piala Ketua Menteri Sarawak bakal disertai 150 pemain tenis dari 37 negara, termasuk 11 pemain dari China dan akan berlangsung di Pusat Tenis SLTA di sini, dari 10 hingga 15 Mac depan.

Piala Davis Remaja pula dijadual diadakan dari 5 hingga 10 April, manakala Piala Fed Remaja dari 30 Mac hingga 4 April. Kedua-dua kejohanan itu dijangka disertai, antaranya pemain dari China.

Sudah tiga tahun, Tunku Ismail perhati Matt Davies

JOHOR BAHRU: Penyertaan Matthew Davies atau Matt Davies dalam skuad Harimau Selatan disifatkan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai satu pelaburan terbaik dan jangka masa panjang.
Menurut Tunku Ismail, selain masih muda, bekas kapten Pahang itu juga diyakini mampu menguatkan lagi skuad Benjamin Mora dalam mengharungi kempen Liga Malaysia, bermula hujung bulan ini.

“Kami berbesar hati apabila mendapat Matt Davies yang memiliki sikap profesional dan tahu apa yang diinginkan kelab ini. Pastinya kehadirannya akan memantapkan lagi pasukan terutama di benteng,” kata Tunku Ismail seperti dilaporkan portal Berita Harian.

Kehadiran Davies dalam pasukan JDT, kata Tunku Ismail, tidak akan menjejaskan tempat pemain lain terutama posisi bek kanan kerana Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham mengalami kecederaan agak lama.

Dalam masa sama, Tunku Ismail berkata, S Kunanlan juga akan tetap bersama JDT.

Sementara itu, ditanya mengenai nilai perpindahan Matt Davies ke JDT, Tunku Ismail bagaimanapun, enggan mendedahkannya.

Sebaliknya, beliau memaklumkan segala urusan perpindahan itu antara beliau dan Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.

“Ia antara dua pemilik kelab dan itu antara saya dan Tengku Muda Pahang,” kata Tunku Ismail lagi.

Dalam pengumuman penyertaan Matt Davies ke JDT, Tunku Ismail turut mendedahkan, sudah tiga tahun beliau memerhati kelibat pemain berusia 25 tahun itu.

Ketika itu, Matt Davies masih bersama dengan skuad Tok Gajah dan Tunku Ismail berpendapat, pemain berkenaan telah menimba pengalaman yang cukup baik.

Tunku Ismail turut memberitahu, beliau juga sedang merancang untuk membawa beberapa lagi pemain baharu pada masa depan ke dalam JDT

“Itu perancangan kami musim depan dan kebanyakan pemain tempatan dan mungkin seorang pemain import dan nanti kita akan umumkan jika segala urusan dinoktahkan,” kata beliau lagi.

Spekulasi tidak bawa kesan terhadap Martinez, kata pengurus Inter

ANTONIO Conte yakin Lautaro Martinez tetap memberi perhatian sepenuhnya kepada Inter Milan di tengah-tengah spekulasi yang mengaitkan penyerang itu dengan perpindahan.
Martinez menyinar ketika bergandingan di samping Romelu Lukaku pada musim ini dengan merekodkan 16 jaringan dalam semua kejohanan buat pemimpin Serie A itu.Prestasinya itu telah mengundang minat beberapa kelab utama di Eropah apabila Barcelona dilaporkan ingin memancing pemain berusia 22 tahun berkenaan sebagai pengganti jangka panjang kepada Luis Suarez.

Conte, bagaimanapun, menolak cadangan bahawa anak buahnya itu akan terganggu dengan spekulasi masa depannya.

“Lautaro baru berusia 22 tahun tetapi dia sangat matang dan bijak mengendalikan situasinya,” kata Conte dalam sidang media menjelang perlawanan menentang pencabar Serie A, Lazio.

“Khabar angin tidak membawa makna besar. Ia hanya cakap-cakap di media. Pemain saya tetap kekal fokus.

“Pemain tahu apa yang dituntut daripada mereka. Kami langsung tidak mempedulikan khabar angin. Pemain perlu fokus dengan aksi di padang.”

Conte menegaskan fokus utama mereka adalah untuk terus mencabar kejuaraan liga meskipun percaya mereka akan menghadapi Lazio, yang mendahului Nerazzurri daripada segi perkembangan, awal pagi esok.

“Meraih kemenangan bukannya mudah khususnya di Itali. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, hanya sebuah pasukan yang telah memenangi liga,” tambahnya.

“Begitu juga senario di Perancis dan Jerman. Lazio telah memenangi trofi baru-baru ini dan ia memerlukan masa tetapi mereka masih mengekalkan skuad utama. Mereka bertambah mantap pada setiap tahun, mereka adalah sebuah pasukan yang ampuh dan mendahului kami dalam soal pembangunan.

“Lazio telah beraksi dengan baik dan perancangan merupakan aspek penting, begitu juga dengan kesabaran.

“Anda memerlukan masa dan kesabaran dalam bola sepak. Itulah satu-satunya cara untuk berkembang dan ia menjadi tujuan kami.”

Anda penggemar sukan? Ini antara acara yang terjejas akibat COVID-19

CEGAH sebelum parah!

Kebanyakan acara sukan berprestij antarabangsa terpaksa ditunda bagi mengelakkan berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini yang berpunca daripada COVID-19.

Boleh dikatakan hampir keseluruhan acara yang bakal dianjurkan bagi suku pertama 2020 ini dibatalkan mahupun ditunda berikutan penularan wabak koronavirus yang semakin hari makin mengorbankan nyawa.

Berdasarkan maklumat yang dikongsikan oleh Reuters, ini antara beberapa acara sukan berprestij antarabangsa yang terkesan akibat virus yang mengakibatkan lebih 67,000 kes dan melebihi 1,500 kematian.

Olahraga

Kejuaraan Olahraga Tertutup Dunia, yang dijadualkan di Nanjing dari 13-15 Mac ditangguhkan sehingga tahun depan. Untuk itu, Olahrga Dunia sedang bekerjasama dengan pihak penganjur bagi menganjakkan acara dwitahunan itu kepada 2021.

Persatuan Olahraga Asia membatalkan kejohanan tertutup pada 12-13 Februari di Hangzhou.

Bola sepak

Perlawanan Liga Juara-Juara Asia yang melibat beberapa kelab bola sepak China, Guangzhou Evergrande, Shanghai Shenhua dan Shanghai SIPG ditangguhkan.

Kelab Guangzhou dan Shanghai itu dikatakan bakal menyertai perlawanan pada April, manakala perlawanan peringkat kumpulan akan berlangsung pada Mei.

Shanghai Shenhua dan Shanghai SIPG dijangka bermain di Perth Glory dan Sydney FC tetapi Australia berusaha menjadualkan semula perlawanan selepas kerajaan negara itu mengenakan larangan perjalanan ke atas warga asing yang tiba dari China.

Empat pasukan wanita bagi acara kelayakan kejuaraan Olimpik yang terdiri daripada negara China, Australia, Taiwan dan Thailand dipindahkan dari Wuhan dan ditentukan untuk berlangsung di Australia oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Pada masa sama, Vietnam berkata ia tidak akan membenarkan acara sukan dihoskan pada bulan Februari, bermakna perlawanan peringkat kumpulan AFC Cup rumah untuk Ho Chi Minh City dan Than Quang Ninh perlu ditukar ke lekapan jauh.

Selain itu, Persatuan Bola Sepak China berkata perlawanan domestik di semua peringkat akan ditangguhkan.

AFC memberitahu pertandingan peringkat awal Zon Timur Piala AFC 2020 akan ditangguhkan dalam masa beberapa bulan sebelum dijadualkan semula pada 7 April kerana kekangan perjalanan dari beberapa negara.

Sukan permotoran

Perlumbaan F1 Grand Prix Shanghai dijadulkan berlangsung pada 19 April selepas keputusan itu dibuat oleh dua badan penyelia perlumbaan, iaitu FIA dan Formula 1.

Pihak penganjur akan menimbang tarikh alternatif yang berpotensi pada akhir tahun ini jika keadaan bertambah baik.

Juga, perlumbaan Formula E pula telah membatalkan rancangan untuk perlumbaan di Sanya pada 21 Mac.

Tennis

Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) mengubah jadual acara Pingat Persekutuan Asia/ Oceania Kumpulan I yang menampilkan China, Taiwan, Indonesia, Korea Selatan dan Uzbekistan.

Acara yang berlangsung pada 4-8 Februari lalu kemudian ditangguhkan selepas Kazakhstan enggan menjadi tuan rumah pengganti.

Badminton

Kejohanan China Masters yang berlangsung pada 25 Februari hingga 11 Mac di Hainan ditunda selepas beberapa pemain menarik diri.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berkata pihaknya berharap kejuaraan Badminton Asia masih boleh diteruskan di Wuhan mulai 21 hingga 26 April.

Manakala, China dan Hong Kong terpaksa mengundurkan diri daripada Kejohanan Berkumpulan Badminton Asia 11-16 Februari di Manila, kata penganjur.

Sukan tinju

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa mengumumkan Jordan sebagai tuan rumah para pemenang tinju untuk Asia dan Oceania selepas peristiwa di Wuhan dibatalkan. Ia akan berlaku di Amman dari 3 hingga 11 Mac.

Hoki

Pertandingan Liga Hoki Pro antara China dan Australia, yang dijadualkan pada 14-15 Mac di Changzhou, tidak akan diadakan.

Olimpik Tokyo 2020

Meskipun acara berprestij Olimpik Tokyo 2020 bakal tiba dalam lebih kurang lima bulan sahaja lagi, wabak ini turut menganggu perjalanan pusingan kelayakan.

Dengan beberapa acara kelayakan Olimpik yang dibatalkan atau ditunda, virus itu telah membangkitkan kebimbangan mengenai Sukan Musim Panas Tokyo, yang bermula pada 24 Julai.

Ia berikutan kejadian kuarantin yang telah mengarahkan seramai 174 orang kapal persiaran dari Yokohama, selatan Tokyo dan terdapat pengesahan positif dilaporkan.

Penganjur Olimpik telah menubuhkan pasukan petugas untuk berdepan dengan pihak berkuasa kesihatan tentang bagaimana untuk bertindak balas terhadap wabak itu.

Manchester City digantung dua musim

TIADA lagi Manchester City di Kejohanan Eropah untuk dua musim akan datang.

Ini berikutan, kelab berkenaan digantung menyertai saingan kerana melanggar peraturan “fair-play” kewangan.

Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) turut mengumumkan City didenda 30 juta euro (RM134 juta).

Badan induk bola sepak Eropah itu turut mendakwa, pasukan Sky Blues itu gagal memberi kerjasama dalam siasatan

Keputusan oleh UEFA itu bagaimanapun masih boleh dirayu oleh City.

Dalam kenyataannya, kelab itu berkata, mereka akan merayu penggantungan itu di Mahkamah Timbang Tara secepat mungkin.

Pada musim ini, pasukan kendalian Pep Guardiola itu bakal berdepan Real Madrid dalam kelompok 16 terakhir Liga Juara-juara.

Sebagai rekod, ini bukan kali pertama City didakwa melanggar peraturan kewangan bola sepak.

Sebelum ini pada 2014, mereka didenda 60 juta euro (RM269 juta) kerana kesalahan berkenaan.

Buru slot tambahan Sukan Olimpik Tokyo 2020 – Azizulhasni

NILAI: Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI di Berlin, Jerman, pada 26 Feb hingga 1 Mac ini akan menjadi platform bagi skuad negara meraih satu lagi slot tambahan dalam acara keirin dan pecut individu pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Jaguh trek negara, Mohd Azizulhasni Awang berkata, justeru dalam usaha meraih sasaran itu, beliau serta Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Mohd Fadhil Mohd Zonis perlu berada di kedudukan enam terbaik secara keseluruhan dalam acara pecut pada kejohan tersebut.
“Fokus pada kejohanan dunia adalah untuk mendapatkan satu lagi slot dalam acara pecut supaya di Olimpik Tokyo nanti kita dapat sekurang-kurangnya dua individu bersaing dalam acara keirin dan pecut,” katanya pada sidang media mengenai persiapan skuad trek negara ke Berlin, di sini, pada Khamis.

Selain sasaran berada di pentas podium, katanya, beliau akan menggunakan kejohanan itu untuk melakukan sebarang pelarasan sebelum menghadapi Sukan Olimpik 2020.

Mengenai persiapannya menjelang kejohanan trek dunia itu, Azizulhasni berkata meskipun hanya 90 peratus pulih selepas terbabit dalam kemalangan pada siri Piala Dunia di Brisbane, Australia, Disember lalu, namun persiapan tetap diteruskan.

“Bahu saya masih sakit kalau latihan di gimnasium atau berkayuh di atas ‘roller’ tetapi kayuhan di gelanggang tidaklah menjejaskan, tetapi secara keseluruhannya persiapan sudah mantap,” katanya.

Pada kejohanan trek dunia, Azizulhasni akan bersaing dalam acara keirin, Fadhil dalam acara 1 kilometer ujian masa dan ketiga-tiga pelumba negara itu turut mengambil bahagian dalam acara pecut.

Ditanya mengenai tekanan yang dihadapi apabila dijadikan sandaran utama bagi meraih pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik Tokyo, Azizulhasni, berkata perkara itu dijadikan sebagai tanggungjawab dan harus mengawal serta menerima tekanan yang diberikan.

Sukan Olimpik 2020 di Tokyo dijadual bermula 22 Julai hingga 9 Ogos ini.

COVID-19: Perlumbaan F1 Grand Prix Shanghai ditunda

SHANGHAI: Perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Shanghai yang dijadualkan berlangsung 19 April depan, telah ditunda susulan wabak COVID-19 yang melanda China.
Memetik laporan Reuters, keputusan itu dibuat oleh dua badan penyelia perlumbaan, iaitu FIA dan Formula 1.“Berikutan kebimbangan kesihatan yang berterusan dan dengan pengisytiharkan wabak ini sebagai darurat kesihatan global oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), FIA dan Formula 1 telah mengambil langkah (untuk menunda acara) ini.

“FIA dan Formula 1 akan terus bekerjasama rapat dengan pasukan, penganjur, CAMF (Persekutuan Sukan Automobil dan Motosikal Republik Rakyat China) dan pihak berkuasa tempatan untuk memantau perkembangan wabak tersebut,”  kata FIA dan Formula 1 dalam satu kenyataan bersama.

Menurut kenyataan itu lagi, satu tarikh yang sesuai juga akan dipertimbangkan sekiranya keadaan bertambah baik.

Jika perlumbaan GP Shanghai dibatalkan, ia sekali gus menandakan terdapat empat minggu cuti dalam pertengahan kalendar F1.

GP Vietnam yang julung kalinya diadakan bakal berlangsung pada awal April tanpa GP Shanghai.

Tiada perlumbaan lain selepas itu sebelum GP Belanda yang dijadualkan pada awak bulan Mei.

Perlumbaan F1 di China diadakan di Litar Antarabangsa Shanghai sejak 2004.

BAM tawar diskaun kepada pembelian awal tiket Terbuka Malaysia 2020

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menawarkan diskaun 15 peratus bagi pembelian tiket awal menyaksikan Terbuka Malaysia 2020 bermula hari ini hingga 23 Februari dan diskaun 10 peratus dari 24 hingga 29 Feb.
Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh Chee Keong berkata kanak-kanak berumur empat hingga 18 tahun layak untuk membeli tiket kelas pelajar untuk bahagian Premium, bahagian Lower Tier dan Upper Tier.“Kami berharap para peminat akan mengambil kesempatan terhadap tawaran ini dan membeli tiket mereka awal. Diskaun yang banyak jika mereka membeli tiket semasa tempoh tawaran.

“Bagaimanapun yang lebih penting, pembelian tiket awal akan menjamin peminat mendapat tempat pilihan mereka,” katanya.

Semua tiket, termasuk kategori ‘Super Fan’ yang menawarkan akses ke tempat duduk tepi gelanggang dan menerima imbuhan seperti buku cenderamata dan poster rasmi yang ditandatangani oleh pemain kebangsaan dan hospitaliti eksklusif di Axiata Arena, tertakluk kepada tawaran.

Tiket pelajar bermula dari RM13 (hari pembukaan) dan akan meningkat apabila kejohanan berlangsung.

Peminat dapat membeli tiket mereka secara dalam talian di https://myticket.asia/ atau di kaunter tiket semasa hari perlawanan pada Axiata Arena mulai 31 Mac.