COVID-19: MotoGP Qatar batal | Astro Awani

DOHA: Sesi perlumbaan pembukaan MotoGP di Qatar 8 Mac depan dibatalkan.

Ia susulan larangan perjalanan yang dikeluarkan negara itu ke atas pengunjung dari Itali gara-gara penularan COVID-19.

Menurut penganjur, acara itu tidak akan diteruskan kerana Itali memainkan peranan penting dalam perlumbaan itu.

Sehingga Ahad, semua penumpang yang tiba di Doha dengan penerbangan terus dari Itali atau yang berada di Itali sejak dua minggu lalu akan dikuarantin selama 14 hari.

Bagaimanapun perlumbaan Moto2 dan Moto3 masih diteruskan.

Ini memandangkan sebahagian pelumba sudah berada di Qatar untuk sesi ujian sejak minggu lepas.

EPL: Liverpool dimalukan Watford dengan kekalahan 3-0

PENDAHULU Liga Perdana Inggeris (EPL) Liverpool dimalukan oleh pasukan yang berada di ambang penyingkiran, Watford 3-0 dalam perlawanan awal pagi ini.

Ini merupakan kekalahan pertama Liverpool pada musim ini selepas 28 perlawanan.

Kekalahan itu juga sekali gus memecahkan rekod tanpa kalah paling lama di EPL kerana kali terakhir Liverpool dikalahkan dalam perlawanan liga adalah pada 3 Jan, 2019.

Kemenangan bergaya Watford itu nyata tidak diduga oleh Liverpool yang sepatutnya menyaksikan perlawanan pasti menang kerana The Reds hanya berdepan pasukan yang berada di kedudukan terbawah liga.

Nyata, dua jaringan oleh Ismaila Sarr pada minit ke-54 dan 60, serta Troy Deeney pada minit 72, sudah cukup menyentap ego Liverpool untuk menerima hakikat pasukan itu bukan kebal daripada kekalahan.

Namun, kekalahan itu tidak menggugat kedudukan pasukan itu di persada liga, yang masih mendahului dengan kelebihan 22 mata mengatasi pasukan terdekat Manchester City.

Piala Sumbangsih: JDT mulakan kempen musim 2020 dengan kemenangan

ISKANDAR PUTERI: Jaringan tunggal Mauricio dos Santos memastikan kemenangan Johor Darul Ta’zim (JDT) ke atas Kedah dalam aksi Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Dalam aksi pembuka tirai Liga Malaysia musim 2020, kedua-dua pasukan memulakan permainan dalam stadium baru juara bertahan itu dengan seimbang apabila saling melancarkan serangan.

Beraksi di laman sendiri, JDT yang diperkuat barisan sokongan padu penyokong tidak terkesan dengan corak serangan pantas trio skuad Lang Merah — Kpah Sherman, Tchetche Kipre dan Hadin Azman — yang memiliki peluang untuk mendahului permainan namun gagal menemui sentuhan jaringan.

Sebelum tamat separuh masa pertama, pemain pertahanan, Mauricio, bijak mencari ruang untuk menanduk masuk hantaran Gonzalo Cabrera untuk meletakkan skuad kendalian Benjamin Mora mendahului 1-0.

Juara Liga Super enam kali itu menggandakan asakan dalam separuh masa kedua dalam usaha untuk mencari gol tambahan, pada minit ke-53, Safawi Rasid berjaya melepaskan percubaan namun sekadar melewati palang gol.

Anak buah Aidil Shahrin Sahak berusaha untuk bangkit memberikan tentangan namun barisan pertahanan JDT terlalu ampuh dan kemenangan memihak buat JDT sekali gus meraih tiga mata bagi saingan Liga Super.

Liga Juara-Juara: Guardiola cipta rekod kemenangan terbanyak

PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola, mengatasi rekod Alex Ferguson, Jose Mourinho dan Carlo Ancelotti sebagai pengurus yang meraih paling banyak kemenangan dalam pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah.

Pasukan kendaliannya itu bangkit daripada ketinggalan untuk membenam Real Madrid 2-1 dalam perlawanan pertama pusingan 16 di Santiago Bernabeu awal pagi tadi.

Dengan kemenangan itu, Guardiola, yang pernah menjulang dua kejuaraan Liga Juara-Juara sewaktu membimbing Barcelona, mencipta satu sejarah baru.

Ia merupakan kemenangannya yang ke-28 dalam pusingan kalah mati kejohanan itu untuk mengatasi Ferguson, Mourinho dan Ancelotti, yang masing-masing merekodkan 27 kemenangan.

Guardiola juga menjadi pengurus yang mencatatkan kemenangan paling banyak ke atas Real Madrid (10) dalam kesemua kejohanan sepanjang abad ke-21 — mengatasi Ernesto Valverde dan Diego Simeone.

Tenis, saya ucapkan selamat tinggal – Maria Sharapova umum bersara

SELEPAS 28 tahun beraksi dalam gelanggang tenis, bintang yang berasal dari Rusia, Maria Sharapova akhirnya bersara.

Sharapova yang pernah merangkul gelaran Grand Slam sebanyak lima kali sepanjang kerjayanya, mengumumkan persaraannya itu pada usia 32 tahun.

Pengumuman yang penuh beremosi itu dibuat menerusi satu penulisan ekslusif oleh Sharapova yang dikongsikan kepada Vanity Fair pada Rabu.

“Saya telah memberikan seluruh hidup saya kepada tenis dan tenis telah memberikan satu kehidupan kepada saya. Saya akan rindukan setiap saat dalam dunia tenis,” katanya. Menurutnya, faktor kesihatan merupakan punca utama baginya untuk membuat keputusan mengakhiri kariernya itu.

Beliau yang juga bekas pemain tenis nombor satu dunia, mendakwa bahawa kecederaan bahu yang dialaminya itu membuatkan dirinya terpanggil untuk bersara daripada dunia tenis.

Sebelum ini, Sharapova juga pernah mendedahkan bahawa beliau ingin bersara selepas tamatnya sukan Olimpik 2016 di Rio.

Untuk rekod, Sharapova pernah digantung 15 bulan akibat kegagalan ujian doping ketika dalam saingan Terbuka Australia tahun 2016.

Ucapan isteri mendiang Kobe Bryant undang sebak

KIRA-KIRA 20,000 pengunjung membanjiri Stadium Staples Center, Los Angeles pada Isnin bagi memperingati mendiang legenda bola keranjang, Kobe Bryant.

Antara yang turut hadir adalah ahli keluarga, rakan-rakan dan para peminat.

Memorial tersebut dimulakan dengan persembahan khas oleh penyanyi popular, Beyonce dan majlis memperingati Kobe itu dikendalikan oleh hos Jimmy Kimmel.

Memorial itu turut diserikan lagi dengan ucapan oleh isteri mendiang, Vanessa Bryant dan beberapa rakan rapatnya termasuk bekas pemain bola keranjang Michael Jordan.

Vanessa dalam ucapannya berkata, Bryant merupakan seorang bapa penyayang dan seorang suami yang setia.

“Kobe merupakan MVP (Most Valueable Player) buat anak-anaknya. Dia tidak pernah lupa untuk menutup tandas dan selalu mengingatkan anak-anak perempuannya cantik dan bijak. Mendiang juga mengajar mereka untuk sentiasa berani dan bertabah ketika keadaan susah.

“Tuhan mengetahui bahawa kedua-dua mereka tidak dapat dipisahkan. Tuhan perlu mengambil kedua-duanya sekali untuk bersama. Sayang, tolong jagakan Gigi, saya akan jaga Nani, Bibi dan Coco. Kami masih lagi kumpulan terbaik. Kami sayang dan rindu kamu Booboo dan Gigi,” katanya.

Pada masa sama, ucapan Jordan turut mengundang sebak para pengunjung.

“Kobe Bryant merupakan inspirasi yang amat mengambil berat tentang corak permainan saya atau corak permainannya sendiri. Mendiang mahu menjadi pemain bola keranjang terbaik.

“Sepanjang pengenalan ini, saya selalu ingin menjadi abang yang terbaik untuk mediang,” ujarnya.

Pada masa sama, ucapan Jordan turut mengundang sebak para pengunjung. Foto: AP

Upacara penghormatan terakhir itu turut dimeriahkan dengan persembahan oleh penyanyai popular Alicia Keys dan Christina Aguilera.

Memorial itu diakhiri dengan tontonan filem pendek “Dear Basketball” yang menceritakan pahit manis perjalanan Bryant sepanjang bergelar pemain bola keranjang yang pernah merangkul Anugerah Akademi pada 2016.

Upacara penghormatan terakhir itu turut dimeriahkan dengan persembahan oleh penyanyai popular Alicia Keys dan Christina Aguilera. Foto: AP

Penjualan tiket memorial yang habis terjual itu akan disalurkan kepada Badan Sukan Mamba dan Mambacita yang menyokong program sukan buat anak muda kendalian Bryant sebelum ini.

Penjualan tiket memorial itu akan disalurkan kepada Badan Sukan Mamba dan Mambacita yang menyokong program sukan buat anak muda kendalian Bryant sebelum ini. Foto AP

Beberapa jam sebelum memorial tersebut, Vanessa Bryant memfailkan saman terhadap pemilik helikopter yang menyebabkan suami dan anak perempuannya, Gianna Maria Onore meninggal dunia apabila helikopter persendirian itu terhempas Januari lalu.

Saman tersebut mendakwa juruterbang helikopeter itu cuai dan lalai ketika menerbangkan helikopter itu dalam keadaan cuaca buruk.

Dalam pada itu, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional masih belum merumuskan punca kemalangan tersebut.

Sebelum ini media melaporkan helikopter itu tiada masalah teknikal ketika diterbangkan.

Laporan akhir dijangka akan siap dalam masa setahun atau lebih.

Sukma Johor 2020: Persiapan hanya tinggal 10 peratus

KANGAR: Persiapan kemudahan untuk menghadapi kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) Johor edisi ke-20 yang dijadualkan bermula pada Julai depan hanya tinggal kira-kira 10 peratus untuk disiapkan sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata persediaan itu adalah dari segi fasiliti sukan dan kemudahan penginapan bagi menerima kontinjen seluruh negara.

“Saya lihat kebanyakan venue dan fasiliti sukan ada yang sudah mencapai lebih 90 peratus siap, antaranya ialah Stadium Olahraga, Velodrom Johor dan Arena MAS di Taman Impian Emas telah siap sepenuhnya. Jadi saya yakin, akhir April depan semuanya dapat disiapkan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas kepada pemberita menyerahkan watikah jemputan rasmi Kontinjen Perlis sempena Sukma 2020 kepada Kerajaan Negeri Perlis yang diterima oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan dan Prasarana Awam, Pengangkutan, Belia dan Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hamizan Hassan di Kompleks Dewan Undangan Negeri di sini, pada Isnin.

SUKMA 2020 akan berlangsung di tiga daerah di Johor iaitu di Johor Bahru, Kota Tinggi dan Muar dari 11 hingga 19 Julai depan.

Stadium Sultan Ibrahim kebanggaan terbaharu rakyat Johor

HARI ini, 22 Februari 2020, merupakan hari yang dinantikan peminat bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) apabila stadium kebanggaan mereka dilancarkan secara rasmi.

Dicanang sebagai stadium dengan kemudahan bertaraf dunia, tidak hairanlah ramai yang tidak sabar melihat sendiri hasilnya.

Dinamakan Stadium Sultan Ibrahim, upacara pecah tanah dilakukan pada Januari 2016, namun pembinaannya ditangguhkan beberapa bulan susulan pelarasan yang dibuat oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berkenaan lokasi stadium, aspek teknikal dan reka bentuk.

Gambaran bahagian dalam stadium berkapasiti 40,000 penonton. - Facebook/JDT

Dibina dengan kos RM200 juta di Iskandar Puteri, stadium ini akan menjadi home buat Harimau Selatan, menggantikan Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Stadium berkenaan akan digunakan oleh pasukan JDT II yang beraksi dalam Liga Premier.

Selain memuatkan kapasiti penonton seramai 40,000, stadium yang dibina di atas tanah berkeluasan 28.3 hektar ini juga sebahagian dari Bandar Sukan JDT yang menempatkan hotel, pangsapuri, pusat membeli-belah, padang ragbi, gelanggang tenis dan beberapa fasiliti sukan moden.

Warna rasmi pasukan iaitu merah, biru dan putih dijangka akan menghiasi keseluruhan lokasi stadium dan akan dipancarkan menerusi lampu-lampu LED yang dipasang di luar dan dalam stadium.

Stadium Sultan Ibrahim ketika dalam pembinaan.

Acara perasmian gilang-gemilang akan dilangsungkan malam ini, dengan penghibur antarabangsa, Leona Lewis akan membuat persembahan.

Stadium Sultan Ibrahim akan mula digunakan dalam aksi pembuka tirai perlawanan Piala Sumbangsih antara JDT menentang juara Piala FA, Kedah pada 28 Februari ini.

Usain Bolt Malaysia perbaharui rekod kejohanan 200m di Ipoh

IPOH: Julukan ‘Usain Bolt’ Malaysia ternyata tepat dengan pelari remaja negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi yang mencipta rekod baharu kejohanan dalam acara 200m di Kejohanan Olahraga Perak All-Comers 1 di Stadium Perak, di sini pada Sabtu.

Atlet berusia 16 tahun itu menepati sasaran meraih pingat emas selepas mencatat 21.04 saat (s), mengatasi catatan masa 21.44s yang dilakukan G. Aravinn pada 2016.

Rekod kebangsaan acara 200m iaitu 20.77s dimiliki oleh Russel Alexander Nasir Talib yang dicipta pada Kejohanan Trek Klasik Queensland, Brisbane, Australia pada Mac 2019.

Muhammad Azeem, yang mewakili Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Perak, berkata beliau bukan sahaja gembira kerana memecah rekod kejohanan, malah berjaya memperbaiki catatan peribadi iaitu 21.15s yang dilakukan di Kejohanan Sekolah-Sekolah Thailand (TSSG) di Khon Kaen, timur laut Thailand, Ogos tahun lalu.

“Sebenarnya, fokus hanya untuk buat yang terbaik, tidak sangka boleh pecahkan rekod kejohanan dan rekod peribadi.

“Saya gembira dan amat bersyukur kerana ini kejohanan pertama yang saya sertai tahun ini di tempat sendiri. Memang rezeki sayalah,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, pada Sabtu.

Pelari yang mencetuskan fenomena baharu arena olahraga negara itu menewaskan V. Haarissh dari Selangor yang mencatat 22.04s untuk pingat perak, manakala Mohd Hafiz Danial Roslan dari Kelantan meraih gangsa dengan masa 22.28s.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat itu berkata beliau sedang mempersiapkan diri untuk Kejohanan Remaja Asia ke-19 di Bangkok, Mei ini, yang juga platform terbaik untuk layak secara merit ke Kejohanan Remaja Dunia Bawah 20 tahun di Kenya, Julai nanti.

“Untuk itu saya akan buat persiapan awal dan kejohanan terdekat untuk pemanas badan adalah kejohanan MSS di Negeri Sembilan pada April ini,” katanya, yang turut beraksi dalam acara 100m esok.

Kejohanan Olahraga Perak All-Comers berlangsung selama dua hari mulai hari ini dengan penyertaan lebih 1,000 atlet dalam pelbagai acara antaranya jalan kaki, lari berpagar dan lempar cakera.

Kanak-kanak kerdil mangsa buli: ONE Championship taja Quaden tonton, belajar MMA

VIDEO tular seorang kanak-kanak kerdil di Australia, Quaden Bayles yang menangis dan mahu mengakhiri nyawa sendiri akibat dibuli mendapat perhatian ramai termasuk dalam kalangan selebriti terkenal.

Terbaharu, video itu turut mendapat perhatian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) organisasi seni bela diri terkemuka Asia, ONE Championship Chatri Sityodtong yang menjemput kanak-kanak 9 tahun itu ke Singapura untuk mempelajari seni bela diri di gim miliknya Evolve MMA.

Malah, Chatri menerusi muat naik di Twitter dan Instagramnya turut memaklumkan ingin membiayai segala perbelanjaan termasuk penerbangan dan penginapan sepanjang Quaden dan keluarganya di sana, dan menyaksikan acara ONE: King Of The Jungle yang bakal berlangsung 28 Februari ini.

“Saya baharu sahaja bercakap dengan ibu Quaden, Yarraka di telefon. Dia dengan berbesar telah menerima jemputan saya untuk ke Singapura untuk percutian tajaan penuh supaya Quaden dapat belajar seni bela diri di Evolve.

“Jurulatih kami pastinya akan jadikan Quaden kalis buli,” kata Chatri.

Sebelum itu, Chatri dalam sebuah video yang dimuatnaiknya turut memberikan kata-kata semangat kepada Quaden dan berjanji akan menghubunginya menerusi FaceTime.

“Saya hanya ingin memberitahu, kamu mempunyai kawan di Asia.

“Saya mahu kamu tahu bahawa Tuhan menguji tenteranya yang paling berani dan kuat dengan dugaan yang dahsyat, dan pastinya kamu adalah salah seorang daripada mereka,” katanya.

Terdahulu, ibu Quaden, Yarraka Bayles pada Selasa lalu berkongsi video anak lelakinya itu yang menangis dan mahu mengakhiri nyawanya sendiri akibat dibuli.

Menerusi video berdurasi 6:46 itu, Quaden menyatakan dia mahu menikam dirinya sendiri dan mahu orang membunuhnya.

Ini semua kerana menurut Yarraka, Quaden sering dibuli di sekolah akibat kelainan fizikal yang dialaminya itu.

“Saya mahu semua orang termasuk ibu bapa, pendidik, para guru memahi kesan akibat dibuli. Ini apa yang terjadi kepada seseorang kanak-kanak akibat dibuli.

“Jadi tolong mengajar anak-anak anda, ahli keluarga serta rakan-rakan anda tentang kesan dibuli,” katanya.

Yarraka menerusi video tersebut turut menyatakan sebelum ini Quaden ada cubaan membunuh diri kerana tidak tahan dibuli setiap hari ke sekolah ataupun apabila berada di tempat awam.

Sejak video tersebut tular di media sosial, apa yang terjadi terhadap Quaden mula menarik perhatian ramai.

Salah seorang selebriti yang mahu membantu Qauden adalah pelakon antarabangsa, Hugh Jackman.

Dalam perkongsian menerusi video di lama Twitter peribadinya, Jackman turut mengingatkan orang ramai untuk menghentikan buli.

Selain itu, kempen mengumpul dana untuk membantu Quaden menerusi GoFundMe untuk menghantar kanak-kanak itu ke Disneyland berjaya mengumpul dana berjumlah lebih AS$167,000 (RM700,000.31).

Brad Williams yang memulakan kempen tersebut menjelaskan, jumlah yang berjaya dikutip adalah melebihi sasaran awal iaitu AS$10,000 (RM41,000.94).

Baki tersebut juga akan disalurkan kepada organisasi antibuli dan antikeganasan.