Kasma kembali warnai ARCC

Kuala Lumpur: Selepas semusim beraksi di saingan Moto2 pada Kejohanan Motosikal Dunia, Kasma Daniel Kasmayudin kembali beraksi dalam saingan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) serta Kejuaraan Cub Prix Malaysia untuk musim 2021.

Bekas pelumba ONEXOX TKKR SAG Racing Team itu akan beraksi dalam kelas ASB1000 bersama Yamaha Factory Asean di saingan ARRC serta Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor dalam Kejuaraan Cub Prix menerusi kategori CP150.

“Saya mengambil keputusan meneruskan karier perlumbaan saya dan tidak sabar untuk beraksi semula di saingan Cub Prix dan Kejuaraan Motosikal Asia. Mungkin ramai bakal memberikan pandangan negatif terhadap keputusan saya ini tetapi bagi saya, keputusan ini wajar kerana ia akan memberi peluang kepada saya untuk terus menjadi pelumba profesional,” kata Kasma.

Kepulangan pelumba berusia 21 tahun itu ke kancah ARRC dan Cub Prix sememangnya menarik perhatian ramai peminat.

Pada saingan Cub Prix, Kasma pernah memenangi gelaran juara CP115 pada 2015, diikuti juara CP130 pada 2016 dan mencatat sejarah sebagai pelumba pertama menjuarai kategori CP150 pada 2017.

Kasma pernah beraksi di Kejuaraan FIM CEV Repsol dan seterusnya ke kategori Moto2 pada musim 2020. Meskipun Kasma masih mempunyai baki kontrak bersama SAG Team sehingga hujung musim ini, namun dia serta pasukan dari Sepanyol itu mencapai persetujuan untuk berpisah dan tidak meneruskannya.

Selangor FC ibarat gergasi luka

Kuala Lumpur: Episod malang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Selasa lalu mahu segera dilupakan Selangor FC menjelang aksi ketiga Liga Super menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam esok.

Kekalahan 1-3 kepada Terengganu FC sememangnya menyentap semangat skuad Red Giant yang sebelum itu tersenyum gembira apabila meraih kemenangan pertama pada aksi sulung musim ini dengan menundukkan Sri Pahang 3-1 pada minggu lalu.

Antara tonggak yang memperagakan aksi mengagumkan sudah tentunya pemain tengah dari Switzerland, Oliver Buff yang mencetak dua gol bertemu skuad Tok Gajah, namun sedikit tenggelam ketika berdepan skuad Penyu.

Jelas Buff, dia mahu rakan sepasukan kembali bangkit dengan memanfaatkan aksi di tempat sendiri untuk memungut tiga mata.

“Kita harus berikan aksi terbaik dan segala-galanya untuk meraih tiga mata maksimum pada malam esok,” katanya yang cukup berpengalaman di pentas Eropah apabila pernah beraksi untuk Zurich FC di liga negaranya dan Real Zaragoza di Sepanyol.

Pertembungan dengan Kuala Lumpur yang juga aksi ‘derby’ dua jiran tetangga itu bakal memasuki perlawanan ke-80 bagi kedua-dua pasukan dengan Selangor melakar 50 kemenangan berbanding 15 oleh skuad Warga Kota dan 14 kali seri.

Malah, aksi terakhir kedua-dua seteru lama itu pada 2019 menyaksikan skuad Merah Kuning menang 2-1 dengan secara keseluruhannya 153 gol berjaya diledak Selangor.

Sementara itu, Selangor FC sah terpaksa melupakan khidmat pemain tengah bertahan, Halim Saari yang mengalami kecederaan ligamen dan berkemungkinan terpaksa berehat untuk sembilan bulan.

Dijangka, pemain tengah kebangsaan, Brendan Gan akan kembali beraksi mengisi tempat Halim selepas dia mengalami cedera ringan sebelum ini untuk bergandingan semula bersama Buff.

Da Silva wira KL City FC

Kuala Lumpur: Pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) memberikan ‘tunjuk ajar’ kepada skuad UiTM apabila meraih kemenangan pertama menerusi jaringan 1-0 pada saingan Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.

Kedua-dua pasukan yang tampil dengan misi mahu mencipta kemenangan selepas tewas pada perlawanan pertama dilihat kurang menyengat pada awal babak perlawanan apabila tiada gerakan berbahaya dilakukan untuk mencipta gol.

Anak buah Bojan Hodak akhirnya berjaya mencetak gol pertama apabila penyerang importnya Dominique Da Silva bijak menyempurnakan hantaran Irfan Zakaria sekali gus menyaksikan KL City FC berada di depan pada minit 14.

Walaupun kedua-dua pasukan cuba mengatur serangan namun tiada sebarang gol dicipta kedua-dua pasukan hingga tamat separuh masa pertama.

Sebaik babak kedua bersambung menyaksikan skuad kendalian Frank Bernhardt dilihat lebih agresif memburu gol penyamaan menerusi serangan bertali arus ke kubu lawan.

Serangan berbahaya pasukan pelawat dilihat gagal diterjemah dengan jaringan gol sekali gus menyaksikan kedudukan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan.

DARREN (tengah) meraikan gol bersama rakan sepasukan. -  FOTO Asyraf Hamzah
DARREN (tengah) meraikan gol bersama rakan sepasukan. – FOTO Asyraf Hamzah

Sementara itu, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyaksikan skuad yang ditunjangi pemain tempatan iaitu PJ City FC sekadar seri 2-2 menentang Melaka United FC.

Kesemua empat gol dijaringkan pada babak kedua selepas babak pertama berakhir tanpa jaringan.

S Kumaahran meletakkan pelawat di depan pada minit ke-55 menerusi tandukan jarak dekat tetapi Darren Lok berjaya menyamakan kedudukan hasil rembatan yang gagal diselamatkan penjaga gol Melaka United, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-70.

Darren menyudahkan penalti untuk kedudukan 2-1 pada minit ke-85 dan ketika kemenangan hampir berpihak tuan rumah, Raafi Nagorgani tertampan bola ke gawang sendiri pada masa kecederaan sekaligus kedua-dua pasukan terikat 2-2.

TFC II, Kuching City FC terikat

Kuala Terengganu: Terengganu FC II (TFC II) dan Kuching City FC (KCFC) sama handal selepas terikat 1-1 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam ini.

Pada awal permainan kedua-dua pasukan tidak banyak melakukan percubaan tepat selain mengamalkan corak berhati-hati kerana keadaan padang basah akibat hujan.

Bagaimanapun, memasuki minit ke-19, gawang pasukan pelawat akhirnya bocor apabila skuad The Turtles kendalian Badrul Afzan Razali memperoleh jaringan menerusi sepakan percuma Amirul Syazwan Nor Azmi.

Skuad The Cats kendalian bekas jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim yang menyenaraikan empat tonggak import berbanding dua pemain TFC II tidak berputus asa sebaliknya terus mencipta gerakan menarik untuk memburu jaringan.

Usaha berterusan pelawat akhirnya berhasil apabila memperoleh gol penyamaan pada minit ke-30 menerusi tandukan Mohd Hairol Mokhtar hasil sepakan sudut kapten, Joseph Kalang Tie.

Pada minit ke-42, perlawanan terhenti hampir dua minit selepas pemain pelawat menyerbu pengadil berikutan kekasaran yang dilakukan Masaki Watanabe ke atas Mohamad Alif Hassan.

Namun kebijaksanaan pengadil, Muhammad Izzul Fikri Kamaruzaman berjaya menenangkan keadaan sebelum perlawanan kembali bersambung dan kedudukan 1-1 kekal hingga tamat permainan.

Musim bola sepak terpendek di dunia

London: Ia salah satu kejohanan bola sepak paling pelik di dunia. Setiap tahun sejak 1971, pemain terbaik Greenland beraksi di Grønlandsbanken Final 6. Kejohanan selama seminggu (kejohanan paling pendek di dunia) itu berlangsung di Lingkungan Artik.

Perlawanan diadakan di pulau gunung berapi purba di mana bongkah ais menghiasi pemandangan dan ikan paus boleh dilihat timbul di permukaan air.

Menariknya, 10 peratus daripada populasi Greenland menyertai kejohanan. Bagaimanapun, permukaan padang yang keras dan berpasir disebabkan cuaca melampau menyaksikan ramai bintang mereka mengalami kecederaan serius termasuk patah kaki, kecederaan hidung serta tangan, sama seperti dialami petarung UFC.

Greenland sebesar Jerman, Perancis, Sepanyol dan Itali tetapi tidak seperti negara gilakan bola sepak, hanya 20 peratus daripadanya diduduki manusia. Selebihnya ais.

Hanya sedikit kawasan berumput dan selama sembilan bulan dalam setahun adalah mustahil untuk bola sepak dilangsungkan kerana permukaan padang dilitupi salji 79 inci.

Oleh kerana faktor cuaca amat mencabar, perjalanan turut sukar walaupun pada musim panas sekaligus penganjuran kejohanan umpama mimpi ngeri.

PADANG tiruan di Qeqertarsuaq.
PADANG tiruan di Qeqertarsuaq.

Bagaimanapun, semua masalah itu bukan halangan kepada masyarakat Greenland menikmati kemeriahan bola sepak malah ia tetap sukan paling popular di negara itu.

Terdapat hampir 5,000 pemain yang juga 10 peratus daripada jumlah populasi penduduk.

Qeqertarsuaq di Disko Island adalah venue popular kejohanan Grønlandsbanken Final 6 di mana pasukan termasuk B-67 atau G-44 bersaing merebut trofi namun mereka perlu berlayar terlebih dahulu ke pulau itu.

Lapan pasukan dari seluruh Greenland berentap dan mereka layak selepas memenangi zon kelayakan masing-masing pada Julai.

Sebelum 2016, kejohanan berlangsung di atas padang dilitupi pasir dan batu menyebabkan fisioterapi sibuk selepas pemain kerap tercedera.

Bagaimanapun, kesengsaraan mereka bakal berakhir selepas FA Denmark berjanji membina lebih banyak padang tiruan.

“Kami mencapai persetujuan antara Persekutuan Bolasepak Denmark dengan Greenland Ball Games Union untuk membangunkan bola sepak di Greenland,” kata ketua FA Denmark, Jesper Møller.

Hajat taikun Malaysia beli Wigan punah

Kuala Lumpur: Hasrat ahli perniagaan dari Malaysia untuk memiliki saham dalam kelab Wigan Athletic berkecai apabila kelab yang beraksi dalam Liga Satu England itu dijangka dibeli syarikat gergasi dari Bahrain, Kumpulan Phoenix.

Menurut laporan media England, kekuatan kewangan yang kukuh serta perbelanjaan tunai untuk membawa masuk pemain difahamkan faktor utama Kumpulan Phoenix mendapat kepercayaan daripada Ahli Lembaga Pengarah kelab terbabit.

Ia sekali gus mengetepikan peluang ahli perniagaan negara ini yang diura-ura berminat untuk membeli Wigan Athletic yang pernah beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL) serta menjuarai Piala FA pada 2013 dengan menewaskan Manchester City1-0 di pentas final.

Bagaimanapun, setahun kemudian skuad The Latics itu mengalami kemerosotan prestasi sehingga jatuh ke divisyen kedua iaitu Liga Kejuaraan sebelum turun lagi ke divisyen ketiga (Liga Satu) pada 2015.

Situasi goyah itu membuatkan kelab terbabit mengalami penyusutan nilai dengan harga penjualan Wigan Athletic pada harga serendah £3 juta atau sekitar RM17 juta.

Lantas, menerusi harga cukup rendah itu, ia mendorong ramai pihak untuk cuba membeli kelab itu termasuklah rakyat Malaysia yang menubuhkan sebuah konsortium dalam usaha membida bagi mengambil alih kelab berkenaan.

Selain seorang ahli perniagaan dari Malaysia, difahamkan konsortium terbabit turut dianggotai bekas pengerusi Wigan, bekas pemain Manchester United dan ahli perniagaan berpengalaman.

Sekiranya berjalan lancar, ahli perniagaan dari Malaysia itu akan menjadi pemegang saham kedua terbesar kelab, dengan pemilikan sebanyak 20 peratus.

Ahli perniagaan dari Malaysia itu bercadang untuk membina akademi baharu selain membuka cawangan di Malaysia sebagai jambatan untuk pemain muda negara beraksi bersama Wigan pada masa akan datang.

Untuk rekod, sebelum ini terdapat tiga rakyat Malaysia yang pernah mengendalikan kelab di luar negara iaitu Tan Sri Vincent Tan yang memiliki tiga kelab iaitu Cardiff City (Wales), KV Kortrijk (Belgium) dan FK Sarajevo (Bosnia).

Dua lagi tokoh yang pernah terbabit dengan kelab di Eropah ialah Tan Sri Tony Fernandes bersama Queens Park Rangers (England) dan Datuk Dr Noordin Ahmad dengan FC Bari (Itali), namun kedua-duanya sudah melepaskan kelab masing-masing atas pelbagai faktor terutama kewangan.

Poirier sahut cabaran McGregor

London: Dustin Poirier berkata dia sedia bertarung semula dengan Conor McGregor tetapi bintang UFC itu menegaskan ia bukan untuk merebut gelaran lightweight.

The Diamond menewaskan Notorious bulan lalu di UFC 257 menerusi beberapa siri tumbukan padu yang mengejutkan lawannya di Fight Island sekaligus melunaskan dendam Poirier di atas kekalahan di tangan bekas juara dua divisyen itu yang menewaskannya kurang dua minit di UFC 178 pada 2014.

Pertarungan pada musim panas telah pun dirancang walaupun difahamkan McGregor lebih berminat kembali pada Mei depan.

Bagaimanapun, jika Khabib Nurmagomedov kekal bersara dan bercadang mengosongkan gelarannya, bintang Amerika Syarikat itu tak percaya pertarungannya dengan McGregor bakal menjadi penentu juara seterusnya.

Bercakap kepada media online mengenai pertarungan semula itu, Poirier berkata rundingan telah pun diatur.

”Kami berusaha mendapatkan struktur perjanjian yang tepat dan memuaskan hati semua pihak. Ini akan menjadi pertarungan yang besar. Dia kalahkan saya dan saya tewaskan dia pula. Trilogi.

”Sudah pasti salah satu pertarungan terbesar tahun ini dan mungkin sepanjang zaman. Saya tak secara terus berunding dengan mereka.

“Mereka bercakap dengan pengurus saya, Rob Roveta. Kami berusaha meletakkan diri kami dalam posisi terbaik di meja rundingan. Kami cuba menstrukturkan perjanjian yang tepat dan apabila mencapai sepakat, pertarungan itu akan berlangsung. .

Kata Poirier lagi: ”Saya fikir trilogi lebih sesuai dan perlu banyak wang. Kepada lelaki seperti Conor, anda sudah tentu mahukan penyokong menyaksikannya walaupun terhad. Sekarang ini di Apex tiada penonton, jadi di mana anda akan anjurkannya dan bilakah jangka masanya?

Selain wang dan tarikh, terdapat juga prospek pertarungan yang turut diatur tetapi bergantung kepada Nurmagomedov.

Tetapi Poirier berkata: ”Tidak, saya tak fikir (bertarung merebut gelaran), Conor sudah lama dalam sukan ini. Dua pertarungan terakhirnya di 155 berakhir kekalahan. Jadi anda tak boleh paksa dia di sana merebut gelaran ketika ada petarung seperti [Charles] Oliveira?”

TMJ beli Valencia?

Kuala Lumpur: Adakah kali ini benar-benar Tunku Ismail Sultan Ibrahim membeli kelab Valencia? Itu tanda tanya yang kini berlegar dalam kalangan peminat bola sepak tanah air apabila pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim seolah-olah memberi bayangan kemungkinan dirinya bakal membeli kelab LaLiga di Sepanyol itu.

Menerusi perkongsian di laman Story Instagramnya pagi ini, beliau memuat naik pelbagai info mengenai Valencia termasuk ranking semasa kelab itu yang ketika ini menduduki tangga ke-60 terbaik di dunia.

Malah, beliau juga berkongsi nilai sebenar skuad The Bats itu pada harga 408 juta euro atau bersamaan RM1.9 billion.

Menurut Tunku Ismail, beliau memerlukan dua hari untuk berfikir mengenai keputusan untuk mengambil alih kelab terbabit yang ketika ini dimiliki oleh ahli perniagaan terkenal dari Singapura, Peter Lim.

“Saya bukan ahli perniagaan, saya seorang Putera Raja. Wang tidak mendorong saya, hanya kegemilangan dan mencipta sejarah adalah motivasi saya. Bukan rahsia bahawa saya meminati bola sepak, saya sangat bersemangat.

SEBAHAGIAN daripada catatan TMJ di Instagram.
SEBAHAGIAN daripada catatan TMJ di Instagram.

”Saya bukan baru dalam bola sepak, saya berjaya membina sebuah kelab (JDT FC) dari setiap tahun bertanding di zon penyingkiran tetapi kini menjadi mendominasi kejuaraan setiap musim.

“Saya sudah memenangi 16 gelaran dalam lapan musim. Kami adalah kelab terbesar di Asia Tenggara dan salah satu terbesar di Asia,” tulisnya.

Ujarnya lagi, Valencia yang sudah menjuarai LaLiga sebanyak enam kali serta muncul naib juara Liga Juara-Juara Eropah dua kali pada 2000 dan 2001, perlu melakukan perubahan dengan meletakkan individu yang betul dan arif tentang bola sepak.

“Saya ingin mengembangkan empayar saya, melebarkan sayap saya dan mencari cabaran baru. Saya bukan orang yang akan menukar logo atau tradisi kelab anda. Seperti saya katakan tadi, saya seorang kerabat Raja dan bukan ahli perniagaan. Saya di sini untuk capai kejayaan dan melakar sejarah.

“Apa yang diperlukan Valencia? Mereka perlukan seseorang yang tahu tentang bola sepak, dahagakan kejayaan, bersemangat dan memahami betapa besarnya Valencia sebagai sebuah kelab. Langkah pertama, kita memerlukan orang bola sepak di kelab, noktah,” katanya.

Pada tahun lalu, spekulasi sama pernah dilaporkan Arena Metro ketika pertemuan Tunku Ismail dengan Peter Lim di Turin, Itali mencetuskan tanda tanya pemilik JDT itu akan melebarkan sayap ke Eropah.

Pertemuan terbabit turut disahkan oleh media Sepanyol di mana ia turut disertai pemenang lima kali Ballon d’Or, Cristiano Ronaldo dan ejen pemain, Jorge Mendes.

Namun selepas itu, tiada perkembangan lanjut berhubung status Valencia hinggalah Tunku Ismail meluahkan hasrat terbaharunya pagi ini.

Perez mampu sekat Mercedes

London: Max Verstappen berharap kehadiran Sergio Perez di Red Bull dapat membantu pasukan mencabar penguasaan Mercedes dalam saingan Formula 1 musim 2021.

Pemandu Mexico itu menggantikan Alex Albon dan akan bergandingan dengan Verstappen tahun ini selepas Albon gagal mencetuskan impak diharapkan pada musim pertama bersama pasukan Milton Keynes.

Verstappen yakin Perez yang muncul juara F1 kali pertama di Grand Prix Sakhir tahun lalu dapat memperkasakan misi Red Bull mengurangkan jurang dengan Mercedes dan bersaing merebut kejuaraan musim ini

“Dengan Checo saya serasi bersamanya dan hubungan kami sangat rileks dan baik,” katanya.

”Bagi saya tiada perbezaan besar di antara kami. Bagi pasukan pula, saya fikir kami selalu mahukan kejayaan dengan kedua-dua kereta, jadi kita tunggu sama ada ia bertambah baik tahun ini.

“Sudah tentu ia sasaran pasukan, itu yang kami mahukan. Berusaha dan menjadikan ia lebih sukar buat Mercedes tahun ini. Mereka sudah tentu sekali lagi pasukan pilihan. Jadi tunggu sahaja apa akan berlaku.”

Perez sebelum ini pernah memandu jentera Mercedes berkuasa turbo V6 tetapi kali ini dia bakal kali pertama mencuba kuasa Honda di Red Bull.

Bagaimanapun, Verstappen yakin pengetahuan Perez mengenai unit kuasa Mercedes turut memberi kelebihan kepada Red Bull dengan membawa masuk idea baharu kepada pasukan.

Kedah, TFC berentap di Singapura

Kuala Lumpur: Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC akan beraksi dalam saingan peringkat kumpulan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2021 di Singapura.

AFC mengumumkan Singapura disahkan selaku tuan rumah bagi Kumpulan H yang terdiri daripada Kedah Darul Aman FC, Lion City Sailors (Singapura), Saigon FC (Vietnam) dan pemenang perlawanan play-off 2 Zon Asean.

Singapura juga akan menjadi tuan rumah Kumpulan I terdiri daripada Geylang International FC dari Singapura, Kaya FC-IIoilo (Filipina), Terengganu FC dan wakil Myanmar, Shan United FC atau Ayeyawady United FC, bergantung kepada keputusan perlawanan peringkat awal dan play-off Liga Juara-Juara AFC 2021.

Prestasi Kedah melonjak selepas Liga Malaysia disambung lewat Ogos tahun lepas apabila menduduki tangga kedua Liga Super yang memberikan ia slot automatik dalam pertandingan Piala AFC tahun ini.

Terengganu FC yang menduduki tangga ketiga Liga Super 2020 mendapat slot di dalam kejohanan itu menerusi Liga Malaysia 2020 yang dipendekkan dengan pembatalan Piala FA dan Piala Malaysia berikutan peningkatan kes Covid-19 di dalam negara.

AFC juga mendedahkan venue untuk Kumpulan G, yang juga dalam Zon Asean akan diputuskan kemudian.

Selain daripada itu, AFC mengesahkan perlawanan dalam Kumpulan A, mengetengahkan Al Hidd Club (Bahrain), Al Nasr (Oman), Al Wahda (Syria) dan juara bertahan Al Ahed FC (Lubnan) akan dihoskan Manama, Bahrain.

Sementara itu, Kumpulan B terdiri daripada Al Ansar FC (Lubnan), Muharraq Club (Bahrain), Al Salt (Jordan) dan Balata Center (Palestin) selain Kumpulan C terdiri daripada Al Faisaly (Jordan), Al Seeb Club (Oman), Tishreen (Syria) dan pemenang perlawanan play-off Zon Barat akan berlangsung di Amman, Jordan.

Perlawanan Kumpulan D, termasuk ATK Mohun Bagan (India), Bashundhara Kings (Bangladesh), Maziya Sports & Recreation (Maldives) dan pemenang perlawanan play-off Zon Selatan yang bakal berlangsung di Male, Maldives.

FC Dordoi (Kyrgyzstan) yang akan menjadi kelab tuan rumah Kumpulan E, yang juga mengetengahkan Ahal FC (Turkemistan) dan FC Ravshan (Tajikistan) dengan Dushanbe, Tajikistan menyediakan tirai latar untuk perlawanan Kumpulan F, terdiri daripada FC Alay (Kyrgyzstan), Altyn Asyr FC (Turkmenistan), FC Khujand (Tajikistan) dan wakil Uzbekistan, AGMK FC atau FC Nasaf yang bakal ditentukan selepas perlawanan play-off Liga Juara-Juara AFC 2021.