MPM bantah penundaan Sukan Para ASEAN 2020

KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) akan menghantar surat bantahan kepada Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) minggu depan selepas tuan rumah, Filipina dilaporkan meminda tarikh penganjuran Sukan Para ASEAN 2020 dari 20-28 Mac kepada 26 Mei-2 Jun ini.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin mendakwa, beliau hanya menyedari tindakan Filipina itu selepas Presiden Jawatankuasa Paralimpik Filipina (PPC), Michael Barredo mengumumkan perenang paralimpik, Ernie Gawilan sebagai pembawa bendera Filipina ke temasya sukan dwitahunan berkenaan, Selasa, lalu.

Megat Shahriman menegaskan Barredo membuat keputusan secara ‘unilateral’ tanpa merujuk perkara berkenaan kepada ahli majlis APSF, sekali gus bercanggah dengan prosedur ditetapkan APSF untuk penganjuran sesebuah temasya sukan.

“Hanya Malaysia dan Singapura sahaja yang tidak bersetuju dengan tindakan Filipina menunda tarikh penganjuran Sukan Para ASEAN 2020 buat kali kedua,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau mendakwa APSF telah menolak permohonan Filipina untuk menunda penganjuran Sukan Para ASEAN 2020 buat kali kedua berdasarkan beberapa faktor.

Antaranya adalah Filipina gagal menyerahkan perancangan garis panduan pertandingan kepada APSF, tiada kepastian berhubung langkah diambil kerajaan Filipina dalam mengekang penyebaran wabak COVID-19, selain APSF tidak pernah dirujuk mana-mana pihak berhubung status penganjuran temasya sukan berkenaan.

Mengulas lanjut, Megat Shahriman berkata penundaan tarikh berkenaan tidak boleh diterima MPM memandangkan ia bertindih dengan sambutan Aidilfitri, selain tarikh baharu berkenaan bakal mengganggu persiapan atlet paralimpik negara menghadapi Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang dijadualkan berlangsung dari 25 Ogos sehingga 6 Sept depan.

Temasya dwitahunan terbesar Asia Tenggara bagi atlet para itu pada awalnya dijadual berlangsung dari 18 hingga 24 Jan, namun ditunda ke tarikh baharu pada 20 hingga 28 Mac susulan kekurangan bajet, manakala penundaan kali kedua dipercayai berkaitan penularan wabak COVID-19.

Sebanyak 16 sukan akan dipertandingkan dengan sukan tempuh halangan para sebagai sukan demonstrasi.

Sukan yang dipertandingkan ialah olahraga, memanah, badminton, boccia, catur, berbasikal CP, bola sepak, goalball, judo, powerlifting, renang, tenpin boling, ping pong, triatlon, bola tampar duduk dan bola keranjang berkerusi roda.

Arsenal-City game called off with players in self-isolation

LONDON: Members of Arsenal’s playing squad have gone into two weeks of self-isolation in a coronavirus precautionary move, forcing the immediate postponement of the Premier League game at Manchester City later Wednesday.

Olympiakos owner Evangelos Marinakis announced he had contracted COVID-19 less than two weeks after he met Arsenal players following a Europa League game between the teams in north London.

“The medical advice we have received puts the risk of them developing COVID-19 at extremely low,” Arsenal said in a statement.

“However, we are strictly following the government guidelines which recommend that anyone coming into close contact with someone with the virus should self-isolate at home for 14 days from the last time they had contact.

“As a result, the players are unavailable for tonight’s match against Manchester City and the Premier League has decided the game should be postponed.

“The players will remain at their homes until the 14-day period expires.

“Four Arsenal staff, who were sitting close to Mr Marinakis during the match will also remain at home until the 14 days are complete.”

Arsenal did not say how many players were affected.

COVID-19: Perlawanan Ligue 1 dihadkan kepada 1,000 penonton

PERLAWANAN Ligue 1 akan berlangsung secara tertutup atau dihadkan kepada 1,000 penonton sebagai langkah pencegahan untuk mengawal wabak COVID-19.

Menteri Sukan Perancis, Roxana Maracineanu, mengesahkan keputusan itu selepas mempengerusikan satu mesyuarat untuk membincangkan langkah pencegahan bagi membasmi wabak itu semalam.

Perlawanan Paris Saint-Germain (PSG) menentang Strasbourg, Sabtu lalu telah ditunda kerana kebimbangan penularan wabak berkenaan manakala perlawanan pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah ketika mereka menantikan kunjungan Borussia Dortmund awal pagi lusa akan berlangsung secara tertutup.

Perlawanan PSG menentang Nice dan Marseille dalam Ligue 1 selain final Coupe de la Ligue bertemu Lyon pada 4 April ini turut terjejas.

Perlawanan Kejohanan Enam Negara melibatkan Perancis dan Ireland di Stade de France, yang sepatutnya berlangsung Sabtu ini juga ditunda.

Setakat ini, Perancis merekodkan 1,116 kes jangkitan yang turut melibatkan 19 kematian.

Chelsea belum temui kemenangan kedua – Lampard

FRANK Lampard masih belum mahu berpuas hati selepas pasukannya, Chelsea, memaparkan aksi cemerlang untuk membelasah Everton 4-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge malam tadi.

Carlo Ancelotti pernah membimbing Chelsea memenangi Liga Perdana dan Piala FA sewaktu berkhidmat selama dua tahun di kelab London itu dan Lampard pada ketika itu merupakan salah seorang pemain tonggaknya.

Namun, kali ini, dia yang membimbing Everton terpaksa akur pasukannya diaibkan Chelsea, yang kini dikendalikan Lampard.

Mason Mount dan Pedro menemui sasaran dalam babak pertama sebelum Willian dan Olivier Giroud menjaringkan gol yang hanya berselang tiga minit dalam babak berikutnya.

Sebelum melakar kemenangan 2-0 ke atas Liverpool dalam pusingan kelima Piala FA, Selasa lalu, Chelsea hanya meraih dua kemenangan daripada lapan perlawanan dalam kesemua kejohanan.

Walaupun skuad The Blues itu sudah kembali ke prestasi asal, Lampard menganggap pasukannya masih belum menemui kemenangan kedua yang boleh memacu kecemerlangan mereka musim ini.

“Saya agak risau untuk memperkatakannya. Dua perlawanan terakhir kelihatan seperti itu tetapi saya cukup berpengalaman untuk mengetahui bahawa kami akan bertandang ka Aston Villa, satu pasukan yang sedang berjuang untuk hidup mereka dan memiliki pemain yang bagus.

“Jadi, kami perlu mengekalkan apa yang kami pamerkan hari ini untuk setiap minggu.

“Benar, kami beraksi baik pada awal musim ini. Selepas itu, kami mula tidak tekal.

“Siapa sahaja yang tidak pernah melaluinya selain daripada Liverpool dalam liga ini?

“Sememangnya saya tidak menerima ketidaktekalan itu tetapi saya memahami proses peralihan ini.

“Namun, kami mempunyai tugas untuk membuktikan bahawa kami boleh menamatkan musim ini dengan kekuatan dan lebih baik,” katanya.

Dengan N’Golo Kante dan Mateo Kovacic dilanda kecederaan selain Jorginho juga digantung perlawanan, Billy Gilmour melakukan penampilan pertamanya dalam Liga Perdana di samping Mount dan Ross Barkley di bahagian tengah sebelum dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan.

“Dia menerima bola di kawasan yang sukar di atas padang,” kata Lampard mengenai Gilmour.

“Jika anda tidak bergerak dengan cepat, yang pertama anda tidak dapat mengikut rentak permainan kami dan ia akan menurunkan prestasi pasukan.

“Dan yang kedua, jika anda kehilangan bola di kawasan itu, ia amat berbahaya.

“Anda memerlukan keyakinan untuk melakukannya.

“Jorginho memilikinya, begitu juga Billy.

“Apa perkara yang paling menyeronokkan tentang Billy ialah dia menunjukkan permainan seperti itu dalam babak pertama.

“Tetapi apabila dia mula melangkah dan bermain lebih ke atas dalam babak kedua, dia mula menguasai permainan, tiba di dalam kotak penalti dan bermain di bahagian depan.

“Dia menunjukkan yang dia boleh melakukan kedua-duanya, di mana ia merupakan perkara yang hebat bagi saya ketika saya memikirkan bagaimana pemain tengah sebenar pada ketika ini,” katanya lagi.

Ronaldinho berdepan tuduhan palsu dokumen

ASUNCION: Bintang bola sepak Ronaldinho dihadap ke mahkamah di ibu negara Paraguay atas tuduhan memasuki negara berkenaan dengan menggunakan dokumen palsu.

Bekas pemain Barcelona dan AC Milan itu ditahan pada Jumaat malam di sebuah hotel di Asuncion.

Pemain berusia 39 tahun Brazil dan abangnya Roberto Assis dibawa ke balai polis sebelum pukul 10 malam waktu tempatan.

Pegawai pendakwa raya dalam satu kenyataan berkata Ronaldinho dan Assis memberi keterangan selama enam jam mengenai dokumen palsu yang ada dengan mereka.

Dua beradik itu berkata mereka datang ke Asuncion atas urusan perniagaan.

Tambah mereka, dokumen itu diberikan sebagai hadiah oleh ahli perniagaan Brazil, Wilmondes Sousa Liria yang ketika ini berada dalam penjara.

Ronaldinho merupakan pemain terbaik dunia dua kali, kali terakhir bermain pada tahun 2015 selepas melalui karier yang hebat termasuk kemenangan Piala Dunia 2002.

Di sebalik kontroversi, TMJ tetap percaya kemampuan Safawi Rasid

BIARPUN timbul sedikit kekecohan susulan teguran pemilik kelab bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim terhadap pemainnya, Safawi Rasid, hubungan kedua-duanya nampak tidak terjejas.

Dalam satu kemaskini di akaun Facebook Johor Southern Tigers pada Khamis, Tunku Ismail yang mesra disapa TMJ meluahkan sokongan terhadap bintang muda itu yang dianggap sebagai top player yang profesional.

“Beliau seorang pemain yang sangat berbakat serta mempunyai masa hadapan yang cerah dan saya yakin beliau akan membuat keputusan-keputusan yang akan membantunya berjaya.

“Sepertimana dengan setiap individu yang merupakan sebahagian daripada keluarga JDT, saya akan sentiasa bersama Safawi.

“Dan kelab ini akan melakukan yang terbaik untuk memastikan hanya yang terbaik untuk kerjaya Safawi,” tulis baginda.
Di ruangan komen, netizen memuji sikap TMJ dan berharap Safawi tidak mensia-siakan kepercayaan yang diberikan big boss JDT itu.

Kontroversi timbul sebelum ini apabila TMJ memuat naik status di akaun Instagram menegur prestasi Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia 2019 itu, yang didakwa merosot kerana terlalu memikirkan hal peribadi.

TMJ mendakwa hubungan Safawi dengan seorang pelakon wanita telah membawa kepada kemerosotan itu, malah pelakon wanita itu juga didakwa memaksa Safawi berkahwin dengannya.

COVID-19: Atlet boling tidak dibenar sertai kejohanan luar negara hingga Mei

KUALA LUMPUR: Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) memutuskan untuk tidak membenarkan atlet boling negara menyertai semua kejohanan di luar negara sehingga bulan Mei berikutan penularan COVID-19.

Setiausaha Agung MTBC Maradona Chok berkata keputusan itu dibuat semalam, pada mesyuarat exco tergempar yang diadakan khusus untuk membincangkan mengenai perancangan kejohanan skuad boling kebangsaan berikutan atlet sendiri menyatakan kebimbangan mengenai keselamatan mereka.

“Sebagai pengurus pasukan, berdasarkan perbincangan dengan atlet, saya mendapati kebanyakan mereka bimbang mengenai penularan COVID-19 dan mengambil kira pandangan dan nasihat Majlis Sukan Negara (MSN), saya mencadangkan agar kedua-dua perjalanan ke luar negara itu dibatalkan.

“Exco juga telah bersetuju dengan cadangan untuk membatalkan perjalanan skuad negara ke luar negara demi keselamatan atlet, dan tidak mahu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan atlet dan pegawai. MTBC akan mengkaji semula penyertaan kejohanan pada Jun,” katanya menerusi aplikasi Whatsapp.

Berikutan keputusan itu, skuad boling lelaki terpaksa menarik diri daripada menyertai cabaran Brunswick Euro di Munich, Jerman pada 17-21 Mac, manakala pasukan wanita pula menarik diri daripada Siri Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) di Amerika Syarikat.

Skuad wanita juga telah mendaftar untuk menyertai Terbuka Tucson pada 23-25 April, Terbuka Spokane (30 April hingga 2 Mei), Terbuka Sacramento (7-9 Mei) dan Kejohanan USBC Queens (13-19 Mei).

Menurut Maradona, pasukan boling negara akan terus memberi tumpuan kepada latihan di samping menjalani perlawanan play-off untuk memastikan mereka kekal kompetitif.

“Biarpun ia satu situasi yang tidak ideal, tapi menyertai kejohanan di luar negara boleh mendatangkan mudarat daripada kebaikan. Tambahan pula, membiarkan atlet berada dalam risiko jangkitan COVID-19, lebih memberi tekanan kepada mereka.

“Skuad negara mempunyai minda yang kuat untuk mengatasi masalah kekurangan pertandingan. Pada pendapat saya, mereka boleh menajamkan permainan dan kekal kompetitif walaupun bertanding sesama mereka,” katanya.

Penularan COVID-19 ini menjejaskan sukan boling di Asia berikutan penangguhan beberapa kejohanan termasuk Terbuka Malaysia ke-41 yang dijadualkan berlangsung pada 26 Mac hingga 4 April di Sunway Mega Lanes, Terbuka Thailand dan Terbuka Incheon di Korea Selatan.

MSN juga melarang semua atlet daripada menyertai sebarang kejohanan atau latihan di lima negara iaitu China, Korea Selatan, Iran, Jepun dan Itali, sepanjang bulan ini susulan penularan COVID-19 yang meragut 3,200 nyawa dan lebih 95,000 dijangkiti di seluruh negara.

De Bruyne berjuang untuk cergas hadapi Manchester United

PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola, tidak pasti sekiranya Kevin De Bruyne sempat pulih menjelang perlawanan ‘derby’ menentang Manchester United akibat kecederaan bahu.

De Bruyne tidak terlibat ketika City berkunjung ke wakil Liga Kejuaraan, Sheffield Wednesday, awal pagi tadi untuk mara ke suku akhir Piala FA menerusi jaringan tunggal Sergio Aguero.

Bercakap selepas kemenangan itu, Guardiola mendedahkan pemain bintangnya itu tidak dapat diturunkan kerana kecederaan yang dialaminya pada penghujung perlawanan akhir Piala Liga (Inggeris) mementang Aston Villa hujung minggu lalu.

Pengurus City itu mengakui dia tidak pasti sama ada pemain berusia 28 tahun berkenaan sempat cergas untuk aksi awal pagi Isnin depan di Old Trafford bagi aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).

“Kevin mempunyai masalah di sini (menunjuk bahunya),” kata Guardiola kepada media. “Dia tidak cergas.

“Dalam perlawanan terakhir, pada minit-minit terakhir dia terjatuh di kedudukan yang buruk hingga ditimpa masalah di belakangnya, kami tidak tahu berapa lama (dia akan tersisih).

Ditanya apakah pemain antarabangsa Belgium itu akan beraksi ketika mereka menghadapi United, tambahnya: “Saya tidak tahu.”

De Bruyne hanya muncul sebagai pemain gantian separuh masa kedua menentang Villa di Stadium Wembley selepas Ilkay Gundogan dikeluarkan pada minit ke-58.

Tiga hari selepas perlawanan menentang seteru setempat itu, City akan menjadi tuan rumah kepada Arsenal dalam perlawanan EPL disusuli aksi timbal balik pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) dengan Real Madrid di Stadium Etihad pada 18 Mac depan.

Piala ACL 2020: JDT tumbangkan Suwon Bluewings

JOHOR Darul Takzim (JDT) mengejutkan pasukan Suwon Bluewings dari Korea Selatan dengan jaringan 2 – 1 di Stadium Sultan Ibrahim pada aksi Kumpulan G Liga Juara Juara Asia (ACL) malam Selasa.

JDT membuka jaringan hasil sepakan penalti Gonzalo Cabrera seawal minit ke-13 pada babak pertama perlawanan.

Babak kedua bermula, Suwon Bluewings berjaya menyamakan kedudukan 1 – 1 hasil sepakan cantik Terry Antonis dari luar kotak penalti membuatkan penjaga gol Jdt Farizal Marlias terpaku.

Mauricio Nascimento muncul wira JDT apabila berjaya menanduk masuk gol kemenangan bagi skuad Harimau Selatan pada minit ke-73 sekali gus meraih tiga mata pertama dalam saingan ACL.

Peluang cerah skuad berbasikal trek di Olimpik Tokyo

KUALA LUMPUR: Skuad berbasikal trek kebangsaan dilihat mempunyai peluang yang cerah untuk meraih keputusan yang membanggakan pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, Julai ini, susulan prestasi cemerlang ditonjolkan oleh pelumba pada Kejohanan Dunia 2020 yang berakhir di Berlin, Jerman, pada Ahad.

Ketua Jurulatih kebangsaan, John Beasley berkata dua pingat gangsa, satu rekod Asia dan tiga rekod terbaik peribadi yang dicatat oleh anak buahnya di kejohanan dunia itu antara persembahan terbaik yang dicapai negara meskipun hanya memiliki satu velodrom.

“Malaysia pastinya sangat teruja melihat pasukan pelumba kita mempunyai peluang di Tokyo. Ia sangat berbeza dengan keputusan yang dicapai pada Kejohanan Dunia tahun lepas,” katanya dalam hantaran terkini di laman Facebooknya pada Isnin.

Beasley menyifatkan keputusan positif oleh anak buahnya itu di Berlin menjawab kritikan oleh segelintir pihak terhadapnya, berikutan prestasi buruk yang dicapai pasukan kebangsaan pada Kejohanan Dunia 2019.

Jaguh trek negara, Mohd Azizulhasni Awang pula telah memenangi dua pingat gangsa dalam acara keirin dan pecut. Pingat gangsa dalam kategori acara pecut adalah yang kedua selepas memenangi pingat perak pada edisi 2009 di Poland.

Pelumba berusia 32 tahun yang dikenali sebagai ‘The Pocket Rocketman’ mencatatkan rekod Asia dan kebangsaan bagi acara pecut selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 9.548 saat (s) pada pusingan kelayakan kejohanan dunia itu.

Catatan yang dilakukan Mohd Azizulhasni atau ‘Jijoe’ itu sekali gus memadam rekod 9.609s yang dicatat pelumba Jepun, Tomohiro Fukaya dan juga rekod kebangsaanya sendiri iaitu 9.760s.

Seorang lagi pelumba kebangsaan, Muhammad Fadhil Mohd Zonis turut mencatatkan rekod kebangsaan bagi acara 1 kilometer ujian masa dengan catatan 1 minit 00.305s, sekali gus memadamkan rekod kebangsaan 1:01.658 s oleh Mohd Rizal Tisin iaitu bekas pelumba kebangsaan negara, yang merangkul pingat gangsa pada kejohanan dunia di Poland pada 2009.