COVID-19: Bekas penjaga gol Sabah tenat

BEKAS penjaga gol Sabah, Hanafiah @ Han Sang Kuang, dikatakan dalam keadaan tenat akibat wabak Covid-19 yang sedang melanda negara ketika ini.

Belum ada kenyataan rasmi berhubung keadaannya, namun bekas pemain berusia 67 tahun itu antara peserta perhimpunan Tabligh yang diadakan di Sri Petaling awal bulan ini.

Difahamkan, Hanafiah kini masih menerima rawatan di salah sebuah hospital di ibu negara.

Anak lelaki Hanifiah turut menghantar pesanan ke dalam group Whatsapp, Persatuan Bekas Pemain Sabah, yang meminta supaya mendoakan kesihatan bapanya yang kini dalam keadaan kritikal.

Difahamkan juga, doktor yang merawat Hanafiah telah memaklumkan kepada keluarga beliau dan memberitahu bahawa Hanafiah belum pasti dapat sembuh daripada penyakit dihidapinya itu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bekas Pemain Sabah, Datuk James Wong, ketika dihubungi mengesahkan menerima pesanan yang dihantar oleh anak lelaki Hanafiah itu.

Bagaimanapun, sehingga kini, James berkata beliau masih belum dapat menghubungi ahli keluarga Hanafiah untuk mengetahui lebih lanjut mengenai keadaannya.

“Kami tidak pasti bagaimana keadaannya ketika ini selain pesanan yang diterima daripada anak lelakinya.

“Usaha ahli-ahli persatuan untuk menghubungi anak lelakinya baru-baru ini juga gagal, jadi apa yang kami boleh lakukan sekarang adalah mendoakan supaya beliau (Hanafiah) cepat sembuh,” katanya.

Hanafiah adalah antara penjaga gol terbaik Sabah pada lewat tahun 60-an dan awal 70-an di mana beliau seangkatan dengan legenda bola sepak Sabah seperti Datuk Peter Rajah dan John Pius.

Pemain Harimau Malaya seru rakyat Malaysia agar duduk di rumah

KUALA LUMPUR: Meskipun Perintah Kawalan Pergerakan telah dikeluarkan pada Isnin oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membendung penularan COVID-19, namun masih ada masyarakat Malaysia yang
ingkar dengan arahan tersebut.

Melihat kedegilan rakyat Malaysia terhadap arahan tersebut, pemain bola sepak negara mengambil inisiatif untuk melakukan video ringkas pengumuman perkhidmatan awam (PSA) mengajak rakyat Malaysia mematuhi undang-undang yang dilaksanakan kerajaan.

Kapten dan pemain pertahanan Harimau Malaya, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak dalam video ringkasnya menyeru semua peminat bola sepak serta rakyat Malaysia untuk terus duduk di rumah.

“Kepada semua penyokong bola sepak Malaysia, saya ingin menyeru supaya kita semua stay at home dan sama-sama kita ikut arahan kerajaan.

“Kita sama-sama berganding bahu untuk menangani masalah virus COVID-19,” katanya melalui sebuah video yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Football Association of Malaysia (FAM).
Selain Aidil Zafuan, video tersebut turut menampilkan pesanan daripada Farizal Marlias, Norshahrul Idlan Talaha, Danial Amier Norhisham dan ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan tersebut dilaksanakan selama 14 hari bermula 18 Mac sehingga 31 Mac 2020.

Setakat ini, jumlah positif jangkitan COVID-19 di Malaysia mencatatkan 1,030 kes, dengan 26 daripadanya sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kalau virus tak serang Zlatan, Zlatan serang virus – Zlatan Ibrahimovic

BINTANG bola sepak, Zlatan Ibrahimovic melancarkan tabung dana untuk bantu mengatasi koronavirus ataupun wabak virus COVID-19.

Zlatan yang bermain untuk kelab bola sepak Itali, AC Milan sudahpun memulakan kempen itu dengan menderma sebanyak 100,000 Euro untuk tabung itu.

Pengumuman itu dibuat menerusi akaun Instagramnya.

Dalam video itu, Zlatan menyeru rakan-rakan seperjuangannya sama-sama menderma dalam tabung itu dan memberi kembali kepada rakyat Itali.

Dalam pesanan akhir Zlatan dalam video itu, warga Sweden yang selalu berseloroh mengenai kehebatannya itu menyatakan “kalau virus tak serang Zlatan, Zlatan akan serang virus”.

Tindakan Zlatan dibuat mengikuti langkah beberapa rakan seperjuangannya dalam bola sepak, seperti Paul Pogba yang membuka laman pengumpulan dana untuk memberi dana sokongan kepada Unicef bertujuan membantu kanak-kanak yang terkesan akibat coronavirus.

Bekas pemain Manchester United, Gary Neville pula membuka hotel-hotel miliknya secara percuma kepada kakitangan hospital yang berada di barisan hadapan mengekang COVID-19.

Pada Isnin, kelab bola sepak Inggeris, Chelsea turut membuka hotel milik mereka kepada barisan hadapan hospital di England.

Gary Neville buka hotel kepada kakitangan hospital secara percuma

BEKAS pemain pertahanan Manchester United, Gary Neville membuka hotel-hotel miliknya secara percuma kepada kakitangan hospital yang berada di barisan hadapan mengekang COVID-19.

Dua hotel di Manchester itu akan ditutup kepada orang awam supaya 176 katil dapat disediakan kepada kakitangan National Health Services (NHS) dan pengamal perubatan lain.

Menurut bekas kapten United itu menerusi satu video di Twitter, tiada seorang kakitangannya akan dipaksa mengambil cuti tanpa gaji.

“Kami berada pada detik ini yang memerlukan seluruh industri bersolidariti.

“Bukan sahaja buat pekerja kami sendiri dalam keadaan yang tidak menentu ini, malah mereka yang paling memerlukan tempat tinggal pada masa ini,” kata beliau.

Neville bersama bekas rakan sepasukan Ryan Giggs berkongsi pemilikan Stock Exchange Hotel di tengah bandar Manchester dan Hotel Football di Old Trafford.

Kedua-dua hotel akan ditutup pada Ahad dan dibuka semula kepada kakitangan hospital mulai Jumaat selepas diperiksa pihak berkuasa.

“Staf kami akan mengurus hotel seperti biasa supaya kakitangan sektor perubatan boleh menginap secara percuma sekiranya mereka perlu diasingkan daripada keluarga,” kata Neville.

Pada Isnin, Chelsea turut mengumumkan akan membuka hotel milik pasukan itu khusus buat kakitangan NHS.

Euro 2020 ditunda setahun akibat COVID-19

Euro 2020 telah ditangguh sehingga 2021 berikutan krisis koronavirus, umum Persatuan Bola Sepak Norway.

Kejohanan tersebut dijadualkan berlangsung tahun ini dari 12 Jun hingga 12 Julai, merentasi 12 buah negara termasuk England, Scotland dan Ireland.

Twitter Norwegian FA menyatakan: “Uefa mengambil keputusan bahawa Euro perlu ditangguh sehingga 2021. Ia akan dimulakan dari 11 Jun hingga 11 Julai tahun depan.”

Penangguhan kejohanan Eropah itu bagaimanapun membayangkan tempoh sebulan untuk menghabiskan pertandingan antara kelab termasuk  Liga Juara-Juara dan Liga Europa. Namun itu juga suatu yang sukar, memandangkan kejohanan Eropah bagi wanita pula dijadual pada 7 Julai hingga 1 Ogos tahun hadapan.

Keputusan untuk menunda Euro 2020 telah dijangka. Pada Selasa, umum mengetahui tentang Uefa membatalkan tempahan hotel minggu lalu di Copenhagen, iaitu salah satu daripada bandar tuan rumah.

CPH Hotel mengesahkan bahawa Uefa telah menempah 80 unit bilik seminggu yang lalu, namun telah membatalkannya. Marienlyst Strandhotel juga memberitahu, Uefa telah membatalkan tempahan bilik bagi pihak pasukan Denmark, yang lazimnya ditempatkan di situ.

COVID-19: 35 peratus skuad Valencia dijangkiti

Valencia mengesahkan 35 peratus saringan wabak koronavirus baru (COVID-19) yang dijalankan ke atas individu berkaitan kelab itu adalah positif.

Semalam, kelab Sepanyol itu mengakui terdapat lima kes wabak berkenaan berjangkit dalam kalangan pemain dan kakitangan skuad utama selepas Ezequiel Garay, Jose Gaya dan Eliaquim Mangala mengesahkan saringan mereka.

Saringan lanjut di kelab itu mengesahkan “beberapa” kes lagi selepas bulan lalu — termasuk Rabu lalu ketika mereka bertemu Atalanta di Itali, negara Eropah paling teruk terjejas dengan pandemik berkenaan.

Valencia merumuskan mereka mempunyai kadar saringan positif sebanyak 35 peratus sejak menghadapi Atalanta di Milan — wilayah yang dilabel sebagai berisiko tinggi untuk dijangkiti wabak itu — pada 19 Februari lalu.

Menurut satu kenyataan yang diterbitkan kelab itu semalam: “Beberapa ujian lanjut terhadap COVID-19 dalam kalangan barisan kejurulatihan dan pemain Valencia adalah positif.

“Kesemua kes tidak menunjukkan sebarang gejala dan mereka yang terlibat kini dikuarantin di rumah, diberikan ubat dan mengikut panduan latihan yang telah diberikan kepada mereka.

“Walaupun prosedur ketat telah diketengahkan oleh kedua-dua kelab itu dalam perlawanan Liga Juara-Juara (UCL) menentang Atalanta di Milan pada 19 Februari — wilayah yang disahkan sebagai ‘berisiko tinggi’ oleh pihak berkuasa Itali, sehari kemudian — termasuk menjarakkan antara skuad dengan pekerja kelab mahupun orang awam, keputusan terkini menunjukkan bahawa perlawanan itu terdedah kepada wabak tersebut dengan kadar saringan positif sekitar 35 peratus.”

Dengan Sepanyol mengenakan perintah kawalan pergerakan, perlawanan LaLiga sebelum ini termasuk hujung minggu ini ditunda.

Sebanyak 9,682 kes COVID-19 melibatkan 342 kematian dilaporkan di Sepanyol.

COVID-19: Presiden bola sepak Switzerland positif selepas hadiri sidang UEFA

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Switzerland (SFV), Dominique Blanc, diuji positif wabak koronavirus baru (Covid-19), kurang daripada dua minggu selepas menghadiri pertemuan Persatuan Bolasepak Eropah (UEFA) di samping pemimpin-pemimpin bola sepak Eropah.

Pertemuan Jawatankuasa Eksekutif UEFA itu turut membabitkan Presiden Persekutuan Bolasepak Croatia, Davor Suker, dan Presiden Paris Saint-Germain (PSG), Nasser Al-Khelaifi, di Amsterdam pada 2 Mac

Presiden berusia 70 tahun itu menerima keputusan ujiannya semalam lalu dikuarantin di rumahnya manakala ibu pejabat SFV ditutup sehingga diberitahu kelak.

“Pada masa ini saya berasa selesa. Saya hanya mengalami gejala selesema ringan,” kata Blanc dalam satu kenyataan di laman sesawang rasmi SFV.

JDT kukuh di persada Liga Super menjelang penangguhan Liga-M

KUALA LUMPUR: Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) kekal sebagai pendahulu Liga Super menjelang penangguhan saingan Liga Malaysia (Liga-M), yang secara rasminya bermula Isnin ini, sebagai langkah membendung penularan wabak COVID-19.

Skuad Harimau Selatan itu bagaimanapun sekadar mencatat keputusan 1-1, berdepan Felda United pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi, sekali gus gagal mengekalkan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan musim ini.

JDT di bawah bimbingan ketua jurulatih Benjamin Mora tidak pernah tewas dalam tiga aksi pertama.

Perlawanan malam ini turut melakar sejarah dalam lipatan bola sepak negara khususnya saingan Liga Super, selepas Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memutuskan untuk menjalankan perlawanan minggu ini tanpa penonton, sebagai langkah keselamatan berikutan penularan wabak COVID-19.

Penyerang kebangsaan Muhammad Syafiq Ahmad, meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan pada minit ke-21, sebelum bekas penyerang skuad Bawah 21 Tahun (B-21) Perancis Frederic Bulot, menyamakan kedudukan selepas memanfaatkan permainan ‘tiki-taka’ dalam kotak penalti lawan.

Pemain import Gonzalo Cabrera berpeluang memberikan tiga mata berharga kepada pasukan, namun sepakan penalti diambil bijak ditampan penjaga gol Muhaimin Mohamad pada minit ke-62, sebelum kedua-dua pasukan buntu dalam menjaringkan gol kemenangan sehingga tamat perlawanan.

Di Stadium Hang Jebat, gol tunggal penyerang berbisa Pahang Dickson Nwakaeme pada minit ke-67 memastikan skuad Tok Gajah meraih tiga mata selepas mengatasi Melaka 1-0, untuk meraih kemenangan kedua musim ini.

Pada masa sama, Perak menarik nafas lega apabila berjaya bangkit daripada ketinggalan dua kali untuk mengikat Sabah 2-2 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Pujian harus diberikan kepada penyerang kebangsaan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi, yang meledak dua gol pada minit ke-16 dan minit ke-80 untuk menafikan kedudukan selesa diraih Sabah, menerusi gol pemain tengah Azizan Nordin pada minit kelima, dan Kassy Guy Gnabouyou pada minit ke-27.

Dalam aksi Liga Premier Kelantan United, terus memberi tekanan kepada pendahulu Terengganu FC II, selepas melakar kemenangan 3-0 menundukkan Negeri Sembilan di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, sekali gus mengukuhkan kedudukan kedua di belakang TFC II, dengan hanya perbezaan tiga mata.

Di Stadium Sarawak, Kuala Lumpur mencatat kemenangan kedua musim ini, selepas menewaskan Sarawak 2-1 sementara Selangor 2 melakar kemenangan kedua berturut-turut musim ini, dengan menjinakkan Perak II 2-1, di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Sementara itu, Pulau Pinang seri 0-0 menentang Kuching FA di Stadium Bandaraya, manakala pertembungan antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC) dan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di Stadium Perbandaran Selayang, turut berakhir dengan keputusan 0-0.

COVID-19: Ronaldo gesa semua pihak ikut saranan WHO

BINTANG bola sepak, Cristiano Ronaldo menggesa agar semua orang mengikut saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan badan-badan kesihatan dalam menangani wabak COVID-19.

Menurutnya, dunia kini berdepan dengan situasi yang agak sukar dan memerlukan penglibatan serta kerjasama semua pihak.

“Saya bercakap kepada anda pada hari ini bukan sebagai pemain bola sepak, tetapi seorang manusia yang sangat mengambil berat tentang perkembangan terbaharu yang dihadapi dunia ketika ini.

“Adalah penting untuk kita semua mematuhi serta mengikuti apa yang disarankan oleh WHO dan badan berkaitan dalam memerangi penularan wabak ini,” tulis Ronaldo menerusi muat naik di akaun Instagram pada Sabtu.

Selain itu, Ronaldo juga turut menyatakan rasa simpati kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga dan orang tersayang serta yang dijangkiti virus pembunuh itu.

Malah, pemain bola sepak itu juga menyatakan sokongan terhadap petugas kesihatan yang bertugas merawat mangsa yang dijangkiti COVID-19.

Terdahulu, pemain pertahanan kelab itu, Daniele Rugani, dilaporkan positif COVID-19 selepas terlibat dalam perlawanan di antara Juventus dan Inter Milan.

Sebagai langkah berjaga-jaga, kesemua pemain kedua-dua pasukan ini akan diletakkan dalam tempoh kuarantin.

Pengurus Arsenal Mikel Arteta positif COVID-19

KUALA LUMPUR: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta disahkan positif terkena jangkitan COVID-19 pada Khamis, sekali gus perlawanan kelab menentang Brighton pada Sabtu ditangguhkan.

The Gunners telah menutup pusat latihan mereka dan kakitangan kelab yang berinteraksi dengan Arteta diarahkan untuk membuat kuarantin sendiri.

Liga Perdana Inggeris (EPL) akan mengadakan ‘mesyuarat kelab kecemasan’ pada Jumaat untuk membincangkan perlawanan liga seterusnya.

“Ini sangat mengecewakan,” kata pengurus kelab dari Sepanyol berusia 37 tahun itu.

“Saya menjalani ujian selepas berasa kurang sihat. Saya akan kembali bekerja sejurus selepas dibenarkan,” katanya.

Ramai dari skuad Arsenal dijangka akan menjalani proses kuarantin termasuk skuad pertama kelab itu.

Kelab itu dijadual berdepan Brighton dalam perlawanan liga di Stadium Amex pada Sabtu.

Bagaimanapun, Brighton mungkin akan mengeluarkan kenyataan menangguhkan perlawanan tersebut.

Mesyuarat Kelab Liga Perdana dijangka akan membincang dan memutuskan sama ada untuk menangguhkan kesemua perlawanan Liga Perdana yang dijadualkan berlangsung pada hujung minggu ini.