COVID-19: Luis Alberto harap Serie A bersambung awal Jun

PEMAIN tengah Lazio, Luis Alberto, berharap saingan Serie A akan kembali bersambung awal Jun depan untuk memastikan pasukannya terus memburu kejuaraan.

Serie A terpaksa ditangguhkan bulan lalu ekoran wabak coronavirus tatkala Lazio menduduki tangga kedua dan satu mata dibezakan dengan pendahulu, Juventus.

Persoalan mengenai sama ada saingan akan disambung masih belum pasti tetapi Luis Alberto berharap dia dapat beraksi semula Jun nanti.

“Kini, kami percaya terhadap Scudetto. Kami semakin hampir dan tidak boleh menafikan peluang untuk memenanginya,” katanya.

“Saya fikir kami boleh bermain awal Jun nanti tetapi sukar untuk menentukan tarikh tepat. Ia bergantung kepada perkembangan virus ini.

“Diharapkan segalanya selesai secepat mungkin. Saya mahu menamatkan saingan. Ia perkara bagus untuk kami yang berada di atas dan mereka yang bergelut dengan penyingkiran. Saya tidak mengatakannya hanya kerana kami menduduki tangga kedua liga.”

Bekas pemain Liverpool, Luis Alberto, menyinar bersama Lazio sejak menyertai kelab itu pada 2016.

Dia dikaitkan dengan kepulangan ke Sevilla tetapi pemain tengah itu berkata dia mahu memperbaharui kontrak di Lazio.

“Saya sentiasa katakan bahawa Sevilla adalah rumah saya dan mahu kembali,” tambahnya.

“Namun, kini masa depan saya adalah biru dan putih. Kami di landasan terbaik untuk melanjutkan kontrak dan saya percaya ia akan tiba.”

COVID-19: Kualiti Liga-M dijangka terjejas

KUALA LUMPUR: Kualiti saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang terpaksa ditangguhkan susulan pandemik COVID-19 dijangka terjejas sekiranya kesemua pertandingan Liga-M musim ini tidak dapat disambung selewat-lewatnya Jun depan.

Jangkaan pengendali Perak II, Abu Bakar Fadzim itu mengambil kira kesan yang bakal menimpa kesemua 24 pasukan bertanding apabila perlu melengkapkan baki perlawanan liga serta saingan Piala FA sebelum merebut kejuaraan Piala Malaysia dalam tempoh singkat.

“Dari segi jadual akan jadi padat dan pasukan pasti akan melalui persiapan dalam keadaan tergesa-gesa. Jadual memang boleh disusun tetapi tahap kualiti dan kemampuan pemain jika bermain dalam keadaan sebegitu yang perlu jadi keutamaan.

“Dalam masa terhad itu, saya lihat tahap kompetitif Liga-M boleh terkesan. Saya juga khuatir dari segi kecederaan dialami pemain dan tempoh masa diambil untuk pulih akan merencatkan prestasi pasukan,” katanya kepada Bernama, pada Khamis.

Pengendali berusia 48 tahun itu berkata perjalanan liga yang masih panjang turut akan memberi tekanan hebat kepada semua barisan pemain dan jurulatih pasukan.

“Ini satu cabaran tidak pernah kita lalui. Keadaan terpaksa bergegas dalam melengkapkan jadual musim ini akan meletakkan sesuatu pasukan dan pemain itu di bawah tekanan. Ditambah pula perjalanan liga baru sahaja bermula,” jelas bekas pengendali Perak dan PKNP FC itu.

Hampir sebulan industri bola sepak tanah air terhenti selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengambil keputusan menangguhkan perjalanan Liga-M yang bermula penghujung Februari lepas, hanya selepas empat perlawanan, susulan penularan wabak COVID-19.

Dua entiti bola sepak negara itu turut melarang setiap pasukan daripada menjalankan sesi latihan dan mengadakan aksi persahabatan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lepas.

MFL selaku badan pentadbir Liga-M sehingga kini belum memutuskan mengenai tempoh penangguhan berkenaan sementara beberapa legenda bola sepak tanah air mencadangkan supaya saingan Piala FA dan Piala Malaysia dikaji untuk mengelak daripada jadual pertandingan yang padat.

COVID-19: Mourinho mengaku ingkar arahan kerajaan

JOSE Mourinho mengakui dia telah melanggar arahan COVID-19 daripada kerajaan Britain apabila mengadakan sesi latihan bersama pemain tengah Tottenham Hotspur, Tanguy Ndombele, kelmarin.

Pengurus Spurs itu dilihat di Hadley Common di utara London mengendalikan sesi memperbaiki kepantasan pemain termahal kelab itu sebelum gambar tersebut tular dalam media sosial.

Arahan daripada kerajaan menyatakan bahawa semua penduduk hanya boleh melakukan senaman dengan isi rumah sahaja.

“Saya mengakui tindakan itu tidak mengikut protokol kerajaan dan kami seharusnya hanya berhubung dengan ahli rumah,” katanya.

“Penting untuk kami memainkan peranan dan mengikut nasihat kerajaan dalam usaha menyokong wira dalam Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) dan menyelamatkan nyawa,” katanya.

Bagaimanapun, dalam rakaman video itu, Mourinho dilihat menghormati arahan menjaga jarak sosial apabila kekal dengan jarak minimum dua meter daripada Ndombele walaupun pemain tengah Perancis itu – yang sebelum ini dikritik oleh bekas pengendali Chelsea dan Manchester United itu – tidak tinggal serumah dengannya.

Spurs tetap meneruskan latihan secara dalam talian ketika penangguhan Liga Perdana Inggeris, berkongsi video menerusi saluran sosial.

Bulan lalu, Mourinho menghulurkan bantuan buat Age UK dan Love Your Door Step dalam menyediakan makanan serta keperluan lain buat golongan berusia yang menjalani proses kuarantin akibat krisis COVID-19.

COVID-19: MotoGP tangguh saingan di Itali, Catalunya

MotoGP mengesahkan saingan di Itali dan Catalunya merupakan perlumbaan terbaharu yang ditangguhkan susulan pandemik COVID-19.

Musim 2020 masih belum bermula berikutan kalendar yang telah ditetapkan terganggu ekoran COVID-19.

Lima pusingan telah ditangguhkan sambil dua perlumbaan yang dijadualkan Jun depan, Jerman dan Assen TT, juga tampak terancam.

MotoGP berkata jadual baharu akan dikeluarkan selepas situasi pandemik yang melanda dunia itu reda.

“Pihak FIM, IRTA dan Dorna Sports terpaksa mengumumkan penangguhan Gran Premio d’Italia Oakley dan Gran Premi Monster Enerygy de Catalunya yang sepatutnya diadakan di Autodromo del Mugello dari 29 hingga 31 Mei depan serta perlumbaan di Circuit de Barcelona-Catalunya pada 5 hingga 7 Jun depan,” kata wakil MotoGP.

“Wabak yang masih berterusan menyebabkan dua perlumbaan terpaksa ditetapkan semula.

“Tatkala situasi masih sedang cuba dipulihkan termasuk penangguhan perlumbaan di Perancis dan Sepanyol, sebarang saingan tidak boleh disahkan sehingga ia pulih sekali gus menyebabkan penangguhan.

“Kalendar baharu akan diumumkan secepat mungkin,” katanya.

Russia, Qatar didakwa beri rasuah untuk anjur Piala Dunia

RUSSIA dan Qatar didakwa menawar dan memberikan rasuah bagi memastikan mereka diundi sehingga terpilih untuk menganjurkan Piala Dunia, masing-masing bagi edisi 2018 dan 2022, demikian didakwa satu pendedahan dari Amerika Syarikat.

Ia merupakan satu pendedahan yang dibangkitkan oleh pendakwa raya di New York sebagai sebahagian daripada penyiasatan jangka panjang mengenai gejala korupsi yang berlaku dalam badan pentadbiran bola sepak dunia dengan mendakwa beberapa Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) telah ditawar dan dihulurkan rasuah yang berkaitan dengan undi mereka.

Adalah dikatakan bahawa bekas presiden Konfederasi Bolasepak Brazil, Ricardo Teixeira, bekas presiden CONMEBOL, Nicolaz Leoz, dan seorang konspirator bersama telah ditawarkan dan menerima suapan bagi memastikan mereka mengundi Qatar sebagai tuan rumah Piala Dunia 2022.

Bekas naib presiden FIFA dan bekas presiden CONCACAF, Jack Warners, dituduh telah dijanjikan dan menerima pembayaran berjumlah $5 juta (RM21.8 juta) untuk mengundi Russia sebagai tuan rumah edisi 2018.

Bekas ketua bola sepak Guatemala, Rafael Salguero, yang mengakui menerima rasuah sebagai balasan undiannya dalam proses pengundian tuan rumah edisi 2018, didakwa menerima suapan bernilai $1 juta (RM4.36) untuk mengundi Russia.

Badang Malaysia dilarang sertai Sukan Olimpik Tokyo

KUALA LUMPUR: Peluang atlet angkat berat negara untuk beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo ‘tertutup rapat’ apabila Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) tidak membenarkan wakil Malaysia mengambil bahagian di temasya sukan berkenaan.

Menurut laman web rasmi IWF, www.iwf.net, selain Malaysia, atlet angkat berat Thailand turut menerima nasib sama ekoran kedua-dua negara mencatat jumlah kes doping yang banyak, tanpa mengira sebarang perubahan tarikh temasya sukan itu.

Sukan Olimpik Tokyo yang dijadual berlangsung pada Julai depan ditangguhkan selama setahun susulan wabak COVID-19, dan akan diadakan pada 23 Julai hingga 8 Ogos, 2021

Sementara itu, Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat, dalam satu kenyataan berhubung isu tersebut, berkata PABM akan mengkaji sama ada akan membuat rayuan atau tidak berdasarkan implikasi terhadap keputusan, kewangan dan masa persatuan berkenaan.

“Keputusan IWF adalah tertakluk kepada kejohanan dan aktiviti IWF di peringkat antarabangsa. Berdasarkan keputusan IWF, kejohanan dalaman, kebangsaan dan Sukan Malaysia (Sukma) 2020 adalah berjalan seperti dirancang,” katanya.

Menjelaskan keputusan yang dikeluarkan IWF itu, Ayub berkata Malaysia telah menjalani satu Pendengaran dan Siasatan Dalam oleh Jawatankuasa Panel Bebas yang dilantik IWF pada 6 Mac melalui aplikasi Skype.

Malaysia seterusnya menerima keputusan oleh IWF yang dianggotai Richard Young dari Amerika Syarikat bersama lima panel lain, pada Rabu lalu.

IWF menetapkan bahawa PABM digantung daripada menyertai sebarang aktiviti IWF selama setahun bermula 1 April 2020 hingga 1 April 2021, selain semua atlet angkat berat Malaysia tidak dibenarkan untuk menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Keputusan itu juga turut tidak membenarkan atlet Malaysia menyertai sebarang kejohanan dan program anjuran IWF selama lima bulan sehingga 1 Sept 2020.

Penggantungan selama lima bulan itu adalah disebabkan sebelum ini PABM telah menggantung atlet Malaysia daripada menyertai sebarang kejohanan IWF selama setahun bermula 31 Mei 2018 hingga 1 Mei 2019.

Sebelum ini, PABM didenda sebanyak US$25,600 (RM111,552) pada tahun lalu berkaitan isu doping empat atlet negara namun Malaysia telah menjelaskan denda tersebut pada September 2019.

Mohd Hafifi Mansor merupakan wakil tunggal negara dalam acara angkat berat pada temasya Sukan Olimpik Rio 2016.

Mourinho sertai latihan maya Spurs

JOSE Mourinho menyertai sesi latihan maya skuad Tottenham semalam untuk memastikan barisannya pemainnya tetap cergas ketika krisis koronavirus baru (COVID-19).

Spurs menerbitkan sebuah video di Twitter yang menunjukkan pengurus Portugis itu berkayuh menggunakan basikal pegun dan juga menggunakan tali getah sebagai senaman regangan.

Mourinho mengawasi pemainnya — yang berlatih di rumah kerana penularan COVID-19 — dengan menggunakan skrin layar gergasi.

Masih tidak jelas bilakah mereka akan kembali ke padang latihan Hotspur Way di Enfield dengan United Kingdom (UK) kini berada di bawah sekatan pergerakan dalam usaha membendung penyebaran pandemik itu.

Tottenham tidak beraksi sejak kekalahan 0-3 kepada RB Leipzig pada 10 Mac lalu yang menamatkan mereka perjuangan dalam Liga Juara-Juara (UCL) musim ini. Dengan kempen musim ini tergantung, kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu kelmarin mengumumkan bahawa mereka telah memotong gaji 550 kakitangan bukan pemain pada bulan ini dan depan sebanyak 20 peratus.

Mereka muncul pasukan kedua di England selepas Newcastle United untuk memanfaatkan skim pembiayaan kerajaan itu yang membolehkan pekerja menuntut 80 peratus upah mereka dengan pemotongan maksimum sebanyak £2,500 (RM13,563) sebulan.

Dalam satu kenyataan untuk mengesahkan langkah itu, Pengerusi Spurs, Daniel Levy, amat berharap pemain dapat mengikutinya langkah berkenaan.

Ahli gusti Malaysia Nor Phoenix Diana tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia

SINGAPURA: Nor “Phoenix” Diana, ahli gusti profesional Malaysia yang berhijab  telah disenaraikan dalam Forbes “30 Under 30 Asia” tahunan kelima.

Senarai itu menampilkan 300 usahawan muda, pemimpin dan pencetus perubahan di seluruh Asia,  kesemuanya berumur bawah 30 tahun.

Forbes 30 Under 30 Asia Kelas 2020 menyenaraikan pemimpin cemerlang dan inovatif dengan 30 individu dipilih bagi setiap daripada 10 kategori.

Nor Diana, 20, wanita pertama memenangi kejohanan Gusti Pro Malaysia Wrestlecon (MyPW) Julai lepas terpilih di bawah kategori Sukan dan Hiburan.

Kategori lain termasuk Seni (Seni dan Gaya, Makanan dan Minuman); Kewangan dan Modal Teroka; Media, Pemasaran dan Pengiklanan; Runcit E-Dagang; Teknologi Perusahaan; Industri, Pembuatan dan Tenaga; Penjagaan Kesihatan dan Sains; Usahawan Sosial dan Teknologi Pengguna.

“Pada tahun ini yang disenarai sebagai 30 Under 30 Asia Forbes adalah mereka yang menginspirasikan keyakinan bagi menghadapi tahun yang mencabar ini,” kata Editor Forbes 30 Under 30 Asia, Rana Wehbe dalam satu kenyataan pada Khamis.

Wehbe mengambil perhatian bahawa wanita muda terutamanya berumur bawah 21 tahun menyerlah dalam senarai 2020 tersebut, seperti ahli gusti berhijab warga Malaysia sehingga pelawak wanita pertama Bangladesh dan usahawan sosial yang membantu para petani di Filipina untuk memperbaiki hidup mereka.

Antara yang tersenarai pada tahun ini termasuk kumpulan muzik K-pop wanita Twice dan pelakon wanita Park So-dam, daripada Korea Selatan, dikenali menerusi filem Parasite, yang telah memenangi anugerah Oscar.

Turut tersenarai adalah pemain tenis wanita nombor satu dunia Ashleigh Barty, pengasas MyraSwim, Bianca Anstiss daripada Australia serta pelumba kereta berumur 14 tahun, Juju Noda daripada Jepun.

Senarai 2020 menampilkan senarai 30 Under 30 Asia yang pelbagai, dengan melibatkan 22 buah negara dan wilayah, mewakili rantau Asia-Pasifik.

Dipilih  daripada lebih 3,500 pencalonan, menerusi kajian wartawan Forbes dari seluruh rantau dan diteliti oleh veteran berpengalaman dalam industri, kumpulan individu yang terpilih ini telah mencatatkan kecemerlangan dalam industri disruptif dan dalam menangani isu global yang penting.

Kriteria bagi mereka yang tersenarai termasuk aspek kepimpinan, bagaimana mereka mewujudkan semangat keusahawanan yang sinonim dengan Forbes, dan potensi kejayaan dalam industri yang diceburi.

Faktor lain seperti inovasi, disruptif – saiz dan perkembangan usaha mereka dalam beberapa kategori – memainkan peranan dalam membuat keputusan muktamad.

Mereka yang tersenarai telah dipilih dan diteliti oleh panel hakim yang berwibawa dan terkenal dalam bidang masing-masing.

Mereka termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rakuten, Hiroshi Mikitani, Pengarah Eksekutif dan CEO HCL Corporation dan Pemegang Amanah Yayasan Shiv Nadar,  Roshni Nadar Malhotra dan Rakan Kongsi Utama di INCE Capital, JP Gan.

Sekarang masa untuk fikir tentang kesihatan – Khabib tarik diri bertarung dengan Ferguson?

PERTARUNGAN yang amat dinanti-nantikan iaitu ‘Khabib vs Ferguson’ mungkin terpaksa dibatalkan sekali lagi susulan wabak COVID-19 yang melanda dunia ketika ini.

Juara lightweight UFC Khabib Nurmagomedov menerusi posting di akaun Instagramnya baru-baru ini memberi bayangan terpaksa menarik diri daripada acara UFC 249 itu kerana tidak dapat meninggalkan negaranya, Rusia susulan ‘lockdown’ akibat pandemik tersebut.

“Saya faham, dan saya pun sememangnya lebih kecewa berbanding anda untuk membatalkan pertarungan ini.

“Saya mempunyai banyak perancangan untuk perlawanan ini namun ia bukan di bawah kawalan saya.

“Negara yang hebat dan syarikat besar pun terkejut dengan dengan apa yang berlaku, setiap hari keadaan berubah tanpa dijangka.

“Khabib masih perlu bertarung? Jaga diri anda, dan cuba letakkan diri anda di tempat saya,” katanya.

Catatan Khabib itu dipercayai ditujukan kepada pihak yang tetap mahukan perlawanan itu diteruskan meskipun dunia kini diancam penularan COVID-19.

Sungguh pun begitu, sehingga kini masih tiada sebarang kenyataan dari UFC mahupun presidennya Dana White berkenaan acara yang dijadual berlangsung pada 18 April.

Pada mulanya, White mahu pertarungan ini diadakan di venue tertutup tanpa penonton.

Untuk rekod, pertarungan antara Khabib dan Ferguson telah cuba diadakan sebanyak empat kali sebelum ini, namun terpaksa dibatalkan atas sebab kecederaan kedua-dua petarung.

Sementara itu dalam sesi temu bual bersama Will Harris Productions pada Jumaat, Khabib memaklumkan dia sedia mempertimbangkan jika pertarungan ‘Khabib vs Ferguson’ itu diadakan pada bulan Ogos atau September.

“UFC mungkin akan anjur pertarungan di San Francisco pada Ogos, dan mungkin Abu Dhabi pada pertengahan September. Kita lihat bagaimana nanti,” katanya menerusi sesi Instagram live.

Menurutya, jika keadaan mulai reda, kemungkinan pertarungan dengan Ferguson boleh diadakan pada waktu itu.

Difahamkan, peminat kecewa kerana jika pertarungan ini dibatalkan atau ditunda, ia pastinya akan membawa ke bulan September kerana selepas ini sudah memasuki bulan Ramadan.

“Bagaimanapun, sekarang adalah masa untuk fikirkan tentang kesihatan, untuk kekal sihat,” katanya lagi.

Khabib pada 7 September lalu berjaya mengekalkan takhta kejuaraan dunia lightweight UFC selepas menewaskan Dustin Poirier dalam acara UFC 242 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Keputusan itu sekali gus melebarkan rekod profesional Khabib kepada 28 kemenangan tanpa kalah.

BWF beku ranking dunia susulan pandemik COVID-19

KUALA LUMPUR: Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengambil keputusan untuk membekukan ranking dunia dan ranking remaja dunia susulan penggantungan kejohanan antarabangsa mulai pertengahan Mac lalu akibat pandemik COVID-19.

Badan induk dunia itu, dalam kenyataan hari ini, memaklumkan pembekuan ranking dunia akan dikembalikan kepada minggu ke-12 iaitu kejohananan antarabangsa terakhir, All England 2020 di Birmingham, England dari 11 hingga 15 Mac lalu.

Ia berkata senarai ranking yang dikeluarkan pada 17 Mac akan menyediakan asas untuk pendafataran dan menentukan pemain pilihan pada kejohanan antarabangsa akan datang.

“Buat masa ini, sukar untuk diramalkan bila kejohanan antarabangsa seterusnya akan diadakan dengan kejohanan pada Mei dan Jun dijangka ditangguhkan,” kata BWF.

BWF berkata Suruhanjaya Atlet menyokong penuh pembekuan ranking dunia sambil menambah bahawa prosedur yang tepat untuk menarik balik pembekuan akan ditentukan berdasarkan maklumat kalendar kejohanan yang kini disemak semula.

Bagaimanapun, menurut BWF, pembekuan ranking dunia itu tidak diguna pakai untuk sistem kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang ditangguh kepada tahun depan.- BERNAMA