Olimpik Tokyo tidak akan berlangsung tahun depan – Penganalisis

SUKAN Olimpik Tokyo mungkin tidak akan berlaku dalam tempoh 15 bulan lagi.

Demikian pandangan penganalisis penyakit berjangkit Universiti Kobe, Kentaro Iwata, sambil menyifatkan selagi penularan COVID-19 masih berleluasa di serata dunia, adalah mustahil untuk menganjurkan acara sukan berprestij itu.

“Jepun mungkin boleh mengawal penyakit ini sebelum musim panas akan datang dan saya memang berharap kami boleh lakukannya. Tetapi, saya tidak rasa dunia mampu mengawalnya.

“Jadi, dalam hal ini, saya sangat pesimis Sukan Olimpik boleh diadakan pada musim panas depan kecuali ia diadakan dalam struktur yang sama sekali berbeza.

“Seperti, contohnya, tidak ada penonton atau penyertaan yang sangat terhad, atau sebagainya,” kata Iwata pada Isnin, pada satu forum yang diadakan menerusi telesidang, anjuran Kelab Koresponden Luar Jepun, di Tokyo.

Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Tokyo, Toshiro Muto memaklumkan, penganjur dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa tidak mempunyai pelan alternatif selain untuk meneruskan Sukan Olimpik pada 23 Julai 2021.

Sukan Olimpik akan menghimpunkan 11,000 atlet, dengan 4,400 atlet paralimpik termasuk kakitangan pelatih, jurulatih dan pasukan sokongan.

Ia juga akan menyaksikan ribuan pelawat asing berkunjung ke bandar terbesar negara matahari terbit itu.

Jepun secara rasmi membelanjakan ASD12.6 bilion untuk penganjuran sukan tersebut.

Data Universiti Johns Hopkins menunjukkan sehingga Isnin, Jepun mencatatkan 10,797 jangkitan dengan 236 kematian.

#DudukRumah: Klopp tak kisah kalau diketawakan

PENJARAKAN sosial ternyata memberi maksud yang lain ketika kita semua terpaksa berjauhan akibat sekatan pergerakan.

Pada masa ini, penjarakan sosial memberi kita banyak masa untuk mempelajari sesuatu yang baharu, selain merapatkan kembali hubungan dengan ahli keluarga serta rakan-rakan lama kita.

Tidak terkecuali, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp yang memanfaatkan sepenuhnya sekatan pergerakan di England untuk melakukan penyatuan semula dengan rakan-rakan lama di alam maya.

Pengendali dari Jerman yang sudah terputus hubungan dengan rakan sekolahnya sebelum ini, kini sangat aktif dalam aplikasi permesejan kumpulan baharu itu dan dia sangat gembira untuk berkongsi kenangan manis bersama mereka.

Ini termasuk berkongsi gambar-gambar lama Klopp oleh sepupunya yang turut berada dalam kumpulan itu.

“Gambar-gambar lama saya ada di rumah ibu saya dan saya tidak pernah terfikir untuk mengambilnya.”

“Tetapi sepupu saya berkongsi gambar tersebut bermula dengan gambar bayi saya dan kini saya mempunyai koleksi gambar-gambar tersebut bersama saya.” kata Klopp.

Pada masa sama, Klopp juga tidak kisah jika orang ketawakannya apabila melihat gambar-gambar lamanya.

“Pada waktu sukar ini, kalau orang ketawakan saya, saya tak kisah dan gembira,” jelas Klopp.

Klopp berkongsi perkara ini dalam temubual secara persidangan video secara eksklusif bersama media rasmi kelab bola sepak Liverpool.

Antara perkara lain yang dilakukan Klopp ialah membaiki masa lariannya semenjak mempunyai banyak masa untuk berlari sekitar halaman rumahnya, selain sudah memesan jam pintar khas untuk membantu baiki prestasi lariannya.

Selain itu, Klopp mahu belajar cara mengikat tali leher kerana dia tidak tahu bagaimana untuk memakai tali leher walaupun sudah berusia 62 tahun.

Ketika kena duduk rumah, Klopp juga meluangkan masa menonton filem bersama anak sulungnya yang datang dari Jerman sebelum sekatan pergerakan dikuatkuasakan.

Klopp mengakui gemar menonton filem komedi seperti Waterboy, Dumb and Dumber dan akhirnya berjaya menonton filem-filem terbitan Marvel seperti Iron Man.

Tonton secara penuh temubual bersama Klopp di Liverpool TV.

KFA jamin selesai gaji pemain selepas fasa ketiga PKP

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) memberi jaminan akan menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai setelah berakhir fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 28 April ini.

Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris, menerusi hantaran terbaharu dalam Facebooknya, berkata kelewatan pembayaran gaji kepada pemain dan pegawai skuad Lang Merah disebabkan pihak penaja KFA berdepan masalah kewangan susulan tempoh PKP dilanjutkan, dan memberi kesan kepada perniagaan mereka.

Mohd Asmirul, yang merupakan anggota exco kerajaan negeri, menegaskan keutamaan kerajaan negeri ketika ini adalah menyelesaikan kesemua bajet rangsangan ekonomi serta bantuan keperluan kepada rakyat untuk menampung kos sara hidup susulan PKP.

“Misi menaik taraf keperluan kesihatan serta menyelamatkan nyawa rakyat menjadi keperluan yang amat penting. Kerajaan Kedah memfokuskan kepada pematuhan PKP ini dititikberatkan sehinggalah kita berjaya mengekalkan lima hari (10-14 April) berturut-turut tiada kes baharu COVID-19.

“Bola sepak sebagai sukan yang paling diminati di Kedah tidak akan dipinggirkan. Ia kini berada di agenda kedua langkah penyelesaian setelah pihak penaja menghadapi kekangan ketika kegawatan ekonomi,” jelas Mohd Asmirul.

FAM nafi dakwaan KFA | Astro Awani

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan dakwaan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), yang mengaitkan badan induk itu menjadi antara punca kelewatan pembayaran gaji pemain dan pegawai, skuad Lang Merah.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, FAM kesal serta menafikan segala tuduhan dan dakwaan dilemparkan KFA itu, sekali gus memberikan persepsi buruk umum kepada badan induk tersebut.

Beliau berkata, FAM telah mengambil langkah proaktif membantu ahli gabungan, menerusi tiga surat berkaitan penangguhan Liga Malaysia (Liga-M), berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan satu surat pemakluman mengenai perancangan liga, daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

“Sudah tentu KFA menerima surat-surat berkenaan. Kesemuanya di e-mel kepada setiausaha ahli gabungan dan kelab bertanding dalam Liga Malaysia 2020.

“Kenyataan KFA itu hanya bertujuan untuk menutup kesalahan sendiri, berkaitan kelewatan pembayaran gaji pemain tetapi pada masa yang sama mahu menyalahkan pihak lain, termasuk FAM,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris dalam laman sosial miliknya hari ini mendakwa, antara punca kelewatan pembayaran gaji ke atas pemain adalah disebabkan FAM dan MFL, masih belum memberikan kata putus bila tarikh akan bermula kembali liga, setelah bermesyuarat berkali-kali.

Asmirul turut mempersoalkan kelewatan FAM dan MFL membuat keputusan itu, menyebabkan kesukaran untuk ahli gabungan menstruktur kewangan pasukan masing-masing serta mengadakan perbincangan dengan pemain.

Stuart menjelaskan, surat pertama bertarikh 17 Mac adalah mengenai arahan PKP, antaranya melarang sesi latihan dan perlawanan persahabatan diadakan, disusuli surat kedua bertarikh 25 Mac bagi menyatakan arahan PKP dilanjutkan ke fasa kedua sehingga 14 April.

Seterusnya surat ketiga bertarikh 5 April mengenai pemakluman perancangan MFL, dengan isi kandungannya menyatakan beberapa alternatif dibuat bagi meneruskan kalendar bola sepak musim 2020 serta makluman terperinci akan diberikan sebaik kerajaan mengumumkan penetapan tarikh akhir PKP.

Sementara surat keempat bertarikh 10 April pula memaklumkan bahawa kerajaan melanjutkan PKP ke fasa ketiga sehingga 28 April.

“FAM dan MFL pastinya akan bertindak segera sebaik saja kerajaan mengisytiharkan tempoh PKP berakhir, dan kami akan mengumumkan secara spesifik tarikh pertandingan Liga Malaysia 2020 akan disambung semula.

“FAM tidak mahu dilihat sebagai badan induk yang terburu-buru membuat sesuatu ketetapan terlalu awal kerana hal ini memerlukan perancangan teliti, perbincangan menyeluruh dan penelitian bersama banyak pihak agar keputusan dibuat tidak berubah-ubah,” katanya.

COVID-19: Kesan potongan bajet, Kurt Angle antara bintang WWE diberhentikan sementara

PRODUKSI gelanggang gusti profesional, World Wrestling Entertainment (WWE) pada Rabu, membuat keputusan sukar apabila menghentikan kontrak beberapa atlet gusti mereka termasuk bintang, Kurt Angle.

Keputusan itu dibuat susulan berdepan potongan bajet syarikat akibat pandemik COVID-19.

Menerusi kenyataan ringkas, WWE berkata pihaknya akan mengurangkan bayaran ahli barisan tertinggi dan eksekutif selain turut mengurangkan kos operasi dan bayaran krew bakat-bakat yang masih berkhidmat.

“Memandangkan situasi ketidaktentuan ini, syarikat telah mengenal pasti beberapa nama yang perlu dilepaskan dan membuat keputusan untuk ‘merehatkan’ sementara mereka yang terbabit dengan kadar segera,” tulis kenyataan itu seperti dipetik dari agensi berita CNN.

Selain Kurt Angle yang sebelum ini juga sebagai penerbit, antara bintang gusti lain yang turut menerima nasib sama ialah Curt Hawkins, Lio Rush, Drake Maverick, No Way Jose dan Mike Chioda.

Kenyataan itu turut menyenaraikan barisan bintang lain termasuk Maria Kanellis, EC3, Aiden English, Lio Rush, Primo dan Epico sementara memberi ucapan selamat maju jaya buat mereka.

Produksi WWE, sebelum ini, mendapat ‘lampu hijau’ untuk kembali ditayangkan semula selepas mendapat persetujuan oleh pejabat Gabenor Florida yang meletakkan rancangan itu sebagai salah satu perkhidmatan penting.

BACA: COVID-19: WWE diisytihar ‘perkhidmatan penting’, kembali bersiaran langsung di televisyen

Sementara itu, berita sedih itu turut mendapat reaksi para atlet profesional sukan hiburan itu menerusi laman Twitter mereka.

“Saya ingin berterima kasih kepada WWE untuk saat-saat yang saya habiskan di sana. Saya membuat ramai kawan-kawan baharu dan berpeluang untuk bekerja dengan orang-orang yang penuh berbakat,” tulis Kurt.

KBS lulus dana kepada Hafizh Syahrin

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah meluluskan dana kepada pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah dan ia akan disalurkan dalam masa terdekat.

“KBS melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara telah memaklumkan perkara ini kepada Hafizh mengenai kelulusan penyaluran dana bagi membantu menampung kos perlumbaan beliau bagi tahun 2020 pada awal Mac yang lalu.

“Dana yang akan disalurkan tersebut akan diserahkan melalui Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai badan pemantau program pembangunan sukan permotoran di negara ini,” menurut KBS dalam kenyataan pada Rabu.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menjelaskan jumlah dana yang disalurkan.

KBS berkata bantuan seumpama itu merupakan satu bentuk sokongan yang sentiasa dititikberatkan pihaknya dalam apa jua pembangunan sukan, termasuk sukan permotoran yang mampu mengharumkan nama negara.

Selepas dua musim dalam kategori MotoGP, pelumba kelahiran Ampang, Selangor itu kembali semula ke Moto2 musim ini bersama pasukan baharu, Angel Nieto Team.

AFC tangguh pertandingan dalam bulan Mei dan Jun

KUALA LUMPUR: Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) memutuskan untuk menangguhkan semua perlawanan dan pertandingan yang dijadualkan berlangsung dalam bulan Mei dan Jun, sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.
Ia disebabkan pelaksanaan pelbagai langkah pencegahan dan sekatan perjalanan yang dikenakan oleh beberapa negara dalam usaha membendung penularan COVID-19.

Dalam satu kenyataan di sini AFC berkata keputusan itu juga selaras dengan komitmen pihaknya dalam memelihara kesejahteraan dan keselamatan pemain, pasukan yang mengambil bahagian, para pegawai, peminat dan semua pemegang taruh, semasa tercetusnya pandemik COVID-19.

“AFC juga akan sentiasa berhubung dan berbincang dengan ahli persatuan yang mengambil bahagian dalam Kejohanan-kejohanan Kelab AFC, dan akan meninjau semua kemungkinan pilihan untuk bertanding dalam Liga Kejuaraan AFC dan Piala Peringkat Kumpulan AFC,” katanya.

Badan pentadbir bola sepak piala Asia itu memantau dengan rapi perkembangan pandemik COVID-19, dan sebelum ini telah menangguhkan semua perlawanan yang dijadual berlangsung dalam Mac dan April selepas mengadakan siri mesyuarat tergempar di Delhi, Doha, Dubai and Kuala Lumpur.

PKP: Esports KL FIFA20 tawar hadiah terkumpul RM5,000

KUALA LUMPUR: Siri kedua cabaran esport My Game On Stay At Home akan diadakan tidak lama lagi selepas kejayaan siri pertamanya baru-baru ini.

Kejohanan anjuran bersama Persatuan Esports Kuala Lumpur (ESKL), Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Gamesbond dan Living Mind itu turut disokong Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa selaku penaung.

Presiden ESKL Hisham Darus berkata kejohanan FIFA20 kategori konsol itu dijangka dapat menarik penyertaan antara 500 hingga 1,000 peserta dengan yuran pendaftaran sebanyak RM10.

“Bagi mengelakkan orang ramai terutama anak muda ke sana, ke sini, kejohanan ini diharapkan mampu mengisi masa terluang peminat esports terutamanya FIFA20.

“Ini salah satu langkah untuk membantu kerajaan yang menggesa orang khususnya belia agar duduk di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali gus memutuskan rantaian COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Hisham berkata kejohanan FIFA20 adalah kesinambungan daripada penganjuran Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) dan PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) Mobile oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Persatuan Sukan Eletronik Malaysia (ESM) yang dilancarkan baru-baru ini.

Selain hadiah terkumpul bernilai RM5,000, kejohanan yang boleh ditonton secara langsung di laman media sosial Gamesbond dan ESKL itu, turut menawarkan hadiah barangan eksklusif FAM dan tiket masuk ke Menara Kuala Lumpur.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Gamesbond di talian +6013 281 3963 dan +6012 517 9320 atau emel ke [email protected].

Tidak bertanggungjawab jika sambung saingan terlalu awal – Infantino

PRESIDEN FIFA, Gianni Infantino, berkata tindakan menyambung saingan bola sepak terlalu awal merupakan sesuatu yang tidak bertanggungjawab.

Sukan seluruh dunia terpaksa ditangguhkan akibat COVID-19 selepas ia meragut lebih 95,500 nyawa.

Bundesliga mungkin bersambung bulan depan tatkala kebanyakan liga mula mempersiapkan diri untuk meneruskan baki saingan tetapi Infantino memberi amaran bahawa bahaya jika ia diadakan terlalu awal.

“Mengikut keutamaan, prinsip yang kami usahakan, kesihatan adalah aspek paling penting,” katanya.

“Seperti yang saya tekankan, ia masih belum cukup. Tidak berbaloi untuk menanggung risiko dalam mana-mana kejohanan atau liga. Semua orang harus peka dengan perkara ini.

“Tidak bertanggungjawab sekiranya menyambung saingan ketika situasi masih belum selamat 100 peratus. Anda perlu menunggu sedikit masa lagi. Lebih baik menunggu daripada menanggung risiko.”

FIFA dikatakan memiliki tunai berjumlah USD2.7 bilion (RM11.6 bilion) yang sedia untuk digunakan waktu kecemasan dan Infantino berkata badan itu sedang cuba untuk membantu.

“Terima kasih kepada usaha yang dilakukan bersama-sama dalam FIFA dalam empat tahun terakhir sehingga meraih kedudukan kewangan yang kukuh. FIFA memiliki reputasi baik dalam pasaran kewangan,” tambahnya.

“Tatkala bola sepak dihentikan di seluruh dunia, kami berdepan isu ekonomi di semua peringkat, tidak kira kelompok asas atau profesional. Jadi, kami bersedia untuk bekerjasama bagi meneliti kesan kewangan bagi mendapatkan hasil terbaik.”

Bola sepak perlu diteruskan kerana faktor kesukanan, ekonomi

KETUA Eksekutif Bayern Munich, Karl-Heinz Rummenigge, percaya penting untuk Bundesliga menyambung saingan atas faktor kewangan dan kesukanan.

Seperti saingan di seluruh dunia, Bundesliga turut ditangguhkan susulan wabak coronavirus.

Namun, saingan tertinggi di Jerman itu tampak semakin hampir untuk bersambung berbanding liga lain tatkala beberapa pasukan telah mula menjalani latihan dalam kelompok kecil dan perlawanan dijadualkan awal bulan depan secara tertutup.

Beberapa liga dikhuatiri terpaksa dibatalkan jika tidak dapat disambung dalam beberapa minggu lagi tetapi Rummenigge menegaskan hasratnya itu.

“Kami tahu bahawa perlu untuk menyambung semula atas dua sebab,” katanya.

“Pertama, faktor kesukanan. Anda perlu berikan kejuaraan, pasukan yang bersaing dalam saingan trofi, kemudian penyingkiran.

“Kedua, pastinya ekonomi. Stesyen televisyen dipalit kesan serius akibat wabak ini.”

Dia juga menambah: “Selama 10 tahun, bola sepak telah melangkaui kemampuan dan semua kelab mengambil risiko.

“Dalam detik sukar, jumlah baki tidak dikira seperti tunai.

“Krisis ini melanda seluruh dunia dan penyelesaiannya harus dikongsi. FIFA dan UEFA harus meningkatkan perhubungan dan tindakan ekonomi.”