Bagaimana Liga Perdana Inggeris musim ini patut berakhir?

HARI INI, (Jumaat, 1 Mei) segala persoalan mengenai adakah musim Liga Perdana Inggeris (EPL) dapat disambung semula mungkin akan terjawab, apabila wakil dari Premier League akan bertemu dengan kerajaan United Kingdom (UK).

Ada yang mahu musim 2019/2020 dibatalkan terus tanpa sebarang pemenang dan tiada pasukan yang disingkirkan, manakala ada juga yang berpendapat Liverpool berhak dimahkotakan sebagai juara, walaupun ia terpaksa dibatalkan.

Apa pula kata penyokong Liverpool, yang juga bekas penjaga gol kebangsaan, Syed Adney Syed Hussein.

Menerusi satu sesi temubual dengan Syed Adney menerusi aplikasi persidangan video, dia berharap EPL dapat diteruskan dalam masa terdekat.

“Beberapa liga sudah dibatalkan, saya harap ia tidak berlaku di England kerana 30 tahun adalah satu penantian yang lama, (orang) seperti Keshika yang mendoakan musim ini dibatalkan.” kata Syed Adney.

Syed Adney ditemubual bersempena kempen #GirlsForGoals anjuran Women’s Aid Organisation (WAO) yang disokongnya, dengan sasaran mengumpul dana untuk membantu golongan wanita yang terpinggir akibat krisis COVID-19 di negara ini.

Keshika yang dimaksudkan adalah Keshika Subbarao, ketua jurulatih ASA KL, yang juga duta bagi WAO.

Walaupun merupakan penyokong kelab seteru utama Liverpool, Manchester United, dia pasrah dan berharap Liverpool diberikan kejuaraan.

“Bagi EPL, ia tidak memberi sebarang makna lagi buat United (Manchester), maksud saya Liverpool berada di puncak liga dengan jurang yang sangat besar, lebih baik beri sahaja kejuaraan kepada mereka.”

Liverpool mendahului liga dengan 25 mata dipisahkan dari pencabar terdekat, Manchester City yang juga juara bertahan dengan dua lagi kemenangan yang bakal mengesahkan kejuaraan milik kelab Merseyside itu buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun.

Premier League sudahpun memulakan langkah untuk memulakan kembali musim 2019/2020 selepas ia digantung pada 13 Mac apabila pengurus pasukan Arsenal, Mikel Arteta disahkan positif COVID-19.

Liga Perancis pula sudah gagal meyakinkan pihak kerajaan untuk saingan diteruskan dengan Paris St. Germain diumum sebagai pemenang, Belanda batalkan terus liga tanpa sebarang pemenang manakala liga di Belgium yang pertama membatalkan liga dan memberi kemenangan kepada Club Brugge.

Apa nasib EPL?

Semua perancangan Premier League akan dibentang kepada kerajaan UK yang dipimpin Perdana Menteri, Boris Johnson.

Premier League mahu mengelak daripada liga musim ini dibatalkan kerana bakal berdepan kerugian sekitar 1 bilion pound sterling.

Kerajaan UK juga mencari jalan bagaimana kejohanan sukan profesional boleh diteruskan jika sekatan pergerakan di sana dapat dilonggarkan.

Penasihat kesihatan Premier League, Mark Gillet dan ketua perubatan Persatuan Bola Sepak England, Charlotte Cowie juga akan hadir untuk membentangkan perancangan mereka.

Mereka berharap pasukan dapat menyambung semula latihan pada 9 Mei dan liga akan bersambung pada 27 Mei dan berakhir pada penghujung Julai.

Beberapa kelab seperti Arsenal dan Brighton sudahpun membuka kembali pusat latihan mereka untuk latihan individu diadakan.

Temubual penuh Syed Adney dan Keshika akan dimuat naik pada laman Facebook dan saluran Youtube Astro AWANI pada Sabtu, 2 Mei, di mana Syed Adney turut berbincang mengenai hak wanita dan layanan sama rata dapat diberikan kepada kaum hawa dalam sukan dan semua bidang lain.

Ragbi Malaysia mahu jadi pasukan terbaik Asia

KUALA LUMPUR: Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) tidak akan terbuai-buai dengan pujian sebaliknya akan melipatgandakan usaha untuk merapatkan jurang dengan tiga pasukan – Jepun, Hong Kong dan Korea Selatan – agar menjadi antara pasukan terbaik di Asia pada masa akan datang.

Presidennya, Datuk Shahrul Zaman Yahya mengakui bahawa banyak yang perlu dilakukan oleh badan induk itu untuk memastikan pembangunan ragbi Malaysia menjadi setaraf dengan negara-negara berkenaan.

KRM pada Isnin, menerima pujian daripada Presiden Ragbi Asia, Qais Abdulla Al Dhalai, yang menyatakan Malaysia berada di landasan yang betul untuk menjadi kuasa besar ragbi Asia.

“Selepas krisis COVID-19 ini berakhir, kita perlu meneruskan perancangan untuk pembangunan pasukan berprestasi tinggi, kejohanan tempatan dan program pembangunan akar umbi. Kita bakal hadapi cabaran besar selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.

“Kita terpaksa mengejar kembali masa yang hilang kerana pandemik ini, kerana kita menyasarkan untuk layak ke Piala Dunia Ragbi pada tahun 2031. Tetapi sebelum itu, kita mahu melihat pasukan tujuh-sebelah kita layak beraksi di Sukan Olimpik.

“Bagaimanapun, kita perlu melihat juga kepada perancangan World Rugby dan Asia Rugby sebelum membuat keputusan kerana hampir seluruh dunia terjejas dengan wabak ini,” kata Shahrul Zaman kepada Bernama pada Rabu.

Beliau berkata KRM juga akan meneruskan semua perancangan dan aktiviti ragbi termasuk Program Pembangunan Ragbi (NRDP) selepas mendapat ‘lampu hijau’ daripada Kementerian Belia dan Sukan.

Qais Abdulla dalam episod sulung program bual bicara interaktif bertajuk ‘Asia Rugby Live: Real Talk Real Rugby’ yang disiarkan secara langsung di Facebook dan YouTube Ragbi Asia pada Isnin lepas, memuji usaha yang dibuat oleh KRM.

“Kesatuan Ragbi Malaysia di bawah pimpinan Shahrul Zaman, naib presiden Velayuthan Tan dan setiausaha agung, Amrul Hazarin Hamidon, melakukan usaha yang hebat. Mereka mempunyai skuad lelaki dan wanita yang bagus, bertanding pada Divisyen Premier Kejohanan Asia (ARC), Sukan Asia dan SukanSEA.

“Sudah tentu setiap persatuan mempunyai kekangan masing-masing tetapi pada pandangan saya, ketiga-ketiga pegawai berkenaan melaksanakan tanggungjawab dengan baik sekali dan Malaysia berada di landasan yang betul. Apa yang anda harapkan daripada bersaing dalam tiga pasukan utama Divisyen Premier ARC,” katanya ketika menjawab soalan seorang peminat dari Malaysia ketika sesi itu.

Pasukan lelaki negara berada di ranking ke-49 dunia. Jepun muncul pasukan terbaik Asia apabila berada di kedudukan kesembilan dunia, diikuti Hong Kong (22), Korea Selatan (31), Filipina (41) dan Sri Lanka (47).

PKP tidak halang ADAMAS teruskan perjuangan isu doping

KUALA LUMPUR: Biarpun keseluruhan acara sukan dan latihan atlet negara tergendala sejak 18 Mac berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak COVID-19, ‘perjuangan’ mengenai isu doping dalam sukan tetap diteruskan.

Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS), Azura Abidin berkata ADAMAS sebagai badan yang bertanggungjawab melakukan ujian dan kesedaran mengenai penggunaan bahan larangan, masih tetap gigih meneruskan usaha membendung gejala doping.

Menurutnya ADAMAS mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan beberapa persatuan sukan kebangsaan (NSA) bagi menganjurkan Webinar Pendidikan Anti-Doping kepada atlet, jurulatih dan ahli persatuan; selain meningkatkan pendidikan menerusi laman media sosial agensi itu seperti Facebook, Instagram dan Twitter.

“Webinar ini bertujuan memastikan barisan atlet dan penggiat sukan mendapat maklumat secukupnya mengenai penyalahgunaan bahan terlarang dalam sukan, hukuman dan risiko ke atas kesihatan.

“Kita baru buat siri pertama bersama Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) melibatkan 20 atlet dan jurulatih. Selepas ini, kami bercadang untuk kerjasama dengan beberapa NSA lain melibatkan sukan seperti olahraga, silat, ragbi dan pelayaran,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pada masa yang sama, beliau memberi amaran kepada atlet bahawa walaupun ujian ditangguhkan buat masa ini berikutan PKP, pihaknya akan mengadakan ujian selepas PKP tamat dengan menyasarkan sukan dan atlet yang berisiko.

Azura turut mengingatkan atlet bahawa ujian kawalan doping boleh dijalankan pada bila-bila masa dan tidak hanya tertakluk kepada ujian semasa pertandingan sahaja, dan beliau seterusnya menggalakkan atlet menggunakan tempoh PKP untuk meningkatkan pengetahuan mereka, menerusi penggunaan platform dalam talian.

“Antara program yang disaran (untuk diserta atlet) ialah Athlete Learning Program of Health and Anti-Doping (ALPHA) di platform Anti-Doping E-Learning (ADeL) yang disediakan oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA),” katanya.

Sebelum ini semua atlet negara diminta mengosongkan penempatan dan dibenar pulang ke rumah masing-masing sebelum PKP dikuatkuasakan, dan mereka kini menjalani latihan sendirian di rumah, dengan bantuan jurulatih menerusi pelbagai platform secara dalam talian seperti WhatsApp dan Zoom.

Project Restart: EPL mulakan persediaan untuk kembali

PENYOKONG Liverpool boleh manarik nafas lega kerana kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) mula mengorak langkah untuk menyambung semula saingan Premier League menerusi satu inisiatif yang dinamakan “Project Restart”.

Setakat ini, Arsenal dan Brighton sudah membuka pusat latihan mereka untuk pemain melakukan latihan kecergasan secara individu pada Isnin.

Menurut laporan BBC, Premier League berharap dapat meneruskan saingan liga pada 8 Jun dan menamatkan baki permainan pada penghujung Julai.

Liverpool mendahului EPL dengan 25 mata di hadapan pencabar terdekat, Manchester City dengan baki sembilan perlawanan musim ini.

Kelab Merseyside itu hanya memerlukan sekurang-kurangnya dua kemenangan untuk mengesahkan kejuaraan milik mereka.

EPL dan liga bola sepak di England digantung sejak 13 Mac akibat penularan virus COVID-19 namun setiap kelab yang terlibat bertekad untuk menghabiskan baki musim ini sebelum Ogos, seperti yang ditetapkan badan bola sepak Eropah, UEFA.

Kesemua perlawanan dijangka diadakan di stadium tanpa penonton dan ada juga cadangan kesemua perlawanan disiarkan secara percuma kepada semua.

Kesemua wakil kelab utama akan bermesyuarat pada Jumaat untuk membincangkan pilihan yang ada untuk liga disambung.

Kelulusan kerajaan UK masih diperlukan untuk liga disambung semula dengan lima permintaan utama perlu dicapai, terutama sekali meningkatkan ujian COVID-19 terhadap pemain dan garis panduan penjarakan sosial.

Sebelum ini, liga bola sepak di Belanda muncul liga pertama di Eropah yang dibatalkan dengan tiada juara dinobat dan tiada pasukan yang tersingkir ke liga bawahan.

Belgium pula menamatkan liga dengan lebih awal dengan Club Brugge diisytihar sebagai pemenang, selepas kelab itu mendahului liga dengan 15 mata dengan baki satu perlawanan musim ini.

Itali pula membenarkan latihan secara individu dimulakan pada 4 Mei dan secara berpasukan pada 18 Mei.

Liga-M: FAM tunggu keputusan rasmi kerajaan

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedang menunggu keputusan rasmi daripada kerajaan berhubung arahan menghentikan sementara saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2020.

Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjangkakan keputusan itu akan diketahui dalam tempoh terdekat.

“Pihak FAM dan MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) mengharapkan satu jawapan secara rasmi sekiranya Liga-M terpaksa dibatalkan disebabkan pandemik COVID-19 dan saya jangkakan kita (FAM) akan mendapat jawapan mengenai perkara ini minggu depan.

“Jika benar ia terpaksa dibatalkan, maka keputusan rasmi adalah penting supaya FAM dapat mengambil tindakan selanjutnya,” kata beliau ketika dihubungi Bernama pada Ahad.

Semalam (Sabtu, 25 April), Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkata Liga-M musim 2020 tidak boleh dianjurkan buat sementara walaupun selepas tempoh arahan tersebut ditamatkan.

Kenyataan Ismail Sabri itu dibuat kira-kira 24 jam selepas FAM mengesahkan menghantar permohonan rasmi melalui Kementerian Belia dan Sukan kepada Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.

Permohonan itu untuk mendapatkan pandangan dan kelulusan menggunakan prosedur operasi standard (SOP) yang akan dipatuhi bagi membolehkan saingan Liga-M 2020 diteruskan selain memberi gambaran jelas bahawa kedua-dua entiti bola sepak negara bersedia untuk meneruskan Liga-M.

Difahamkan, FAM dan MFL merangka beberapa SOP baharu untuk setiap pasukan bertanding dengan kesemua pemain dan pegawai pasukan diwajibkan menjalani ujian saringan COVID-19 dalam usaha mengurangkan risiko dijangkiti wabak itu.

“Sememangnya FAM dan MFL bersedia dan mempunyai beberapa pilihan mengenai perkara ini termasuk pilihan terakhir iaitu pembatalan liga,” kata Mohd Yusoff.

FAM dan MFL menangguhkan semua aktiviti bola sepak di bawah kelolaan mereka sejak 16 Mac lepas susulan penularan COVID-19 selain untuk mematuhi penguatkuasaan PKP bagi memutuskan rantaian penularan wabak tersebut.

COVID-19: Chelsea tidak potong gaji, galakkan kerja amal

PASUKAN utama Chelsea telah diminta untuk menyokong program amal dan bukannya menyumbang kepada kelab secara kewangan dalam krisis wabak koronavirus baru (COVID-19).

Liga Perdana Inggeris (EPL) ditangguhkan lebih sebulan akibat pandemik tersebut dan keadaan itu memberi kesan kepada kewangan kelab berikutan kutipan hasil daripada pintu masuk selain pendapatan kejohanan yang lain.

Beberapa kelab memilih untuk memanfaatkan sebahagian besar skim pengekalan pekerjaan yang menyaksikan pihak kerajaan akan menampung 80 peratus daripada gaji pekerja dengan had £2,500 (RM13.480) sebulan.

Namun, tidak seperti kelab yang mengambil skim itu, Norwich City dan Newcastle United, manakala Liverpool, Tottenham dan Bournemouth membuat pusingan ‘U’.

Sebagai alternatif untuk menyokong kewangan negara, kebanyakan kelab di seluruh Eropah bersetuju dengan pemotongan atau menangguhkan pembayaran gaji.

Begitupun, Chelsea — yang dimiliki oleh jutawan Russia, Roman Abramovich — tidak mengambil kedua-dua langkah itu apabila mengesahkan mereka akan terus membayar gaji kakitangan seperti biasa, sebaliknya pemain telah diarahkan untuk menyokong badan amal, bukannya menyokong kelab berkenaan secara kewangan.

Mengenai status gaji pemain, satu kenyataan Chelsea berbunyi: “Wakil ahli lembaga pengarah Chelsea baru-baru ini telah mengadakan perbincangan mendalam bersama pasukan utama lelaki untuk membicarakan bagaimana mereka dapat menyumbang kepada kewangan kelab dalam krisis koronavirus ini.

“Objektif perbincangan ini adalah untuk mendapatkan maklumat bermakna bagi memastikan kami dapat mengekalkan kakitangan, memberi pampasan kepada peminat dan mengambil bahagian dalam aktiviti untuk tujuan yang baik.

“Kami berterima kasih kepada pasukan kerana telah memainkan peranan mereka dalam membantu kelab dengan aktiviti kemasyarakatan dan juga kerja amal yang telah mereka sokong di negara asal masing-masing dan melalui inisiatif ‘Players Together’ bagi menyokong Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS).

“Pada masa ini, pasukan utama lelaki tidak akan menyumbang kepada kelab secara kewangan,sebaliknya lembaga pengarah telah mengarahkan mereka supaya terus memberi fokus kepada usaha mereka dalam menyokong usaha amal-amal yang lain.

“Tatkala krisis ini semakin merebak, kelab akan terus mengadakan perbincangan dengan pasukan utama lelaki mengenai sumbangan kewangan mereka berkaitan aktiviti kelab.”

Neymar resah tunggu peluang kembali perkuat PSG

PENGGEMPUR Paris Saint-Germain (PSG), Neymar, resah memikirkan detik untuk dia kembali dapat bermain bola sepak.

Neymar pulang ke Brazil selepas kebanyakan saingan di Eropah ditangguhkan susulan wabak coronavirus dan menjalani proses pengasingan bersama jurulatih fizikal, Ricardo Rosa, dan pemain tengah Palmeiras, Lucas Lima, di Mangaratiba, selatan Rioe Janeiro.

Ligue 1 menyasarkan untuk menyambung saingan 2019-20 pada 17 Jun depan dan menamatkan kempen pada 25 Julai.

Semalam, jawatankuasa eksekutif UEFA mencadangkan agar kesemua saingan tertinggi yang ditangguhkan dapat ditamatkan jika boleh.

Neymar mengakui kehidupannya sukar tanpa saingan bola sepak dan berharap dapat menerima tarikh kukuh untuk kembali beraksi secepat mungkin.

“Tidak tahu bila dapat beraksi membuatkan saya resah,” katanya.

“Saya sangat rindukan untuk beraksi, bersaing, persekitaran kelab serta rakan sepasukan di PSG. Saya sangat rindukan bola sepak!

“Saya pasti peminat juga mahu melihat semua kembali ke atas padang secepat mungkin. Saya harap keputusan diraih dengan cepat.”

Dalam masa sama, Neymar memastikan kecergasannya sentiasa di tahap terbaik dengan kehadiran Rosa dan sedia beraksi apabila diperlukan.

“Rosa merupakan pasangan saya dalam bola sepak dan kehidupan. Hasil kerjanya sangat penting dalam karier saya,” tambahnya.

“Kami bekerjasama dalam tempoh yang lama, jadi dia tahu apa yang saya perlukan untuk berada di tahap terbaik menjelang perlawanan.”

Doha, Riyadh bida jadi hos Sukan Asia ke-21 2030

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Asia (OCA) menerima bidaan daripada Doha, ibu negara Qatar dan Riyadh, ibu negara Arab Saudi, untuk menjadi tuan rumah Sukan Asia 2030.

Menurut satu kenyataan dikeluarkan OCA, kedua-dua negara itu telah mengemukakan bidaan secara rasmi untuk menjadi hos kepada Sukan Asia ke-21 sebelum tarikh akhir bidaan yang ditetapkan OCA, iaitu 22 April.

Dokumen pembidaan daripada Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan negara terbabit, disertai surat sokongan daripada bandar raya dan juga juga kerajaan masing-masing.

Presiden OCA Sheikh Ahmad Al-Fahad Al-Sabah berkata, OCA gembira untuk menerima dua bidaan yang kuat untuk Sukan Asia 2030, yang menunjukkan keyakinan dan kepercayaan terhadap Gerakan Olimpik di Asia dan seterusnya meningkatkan reputasi negara dalam menjadi hos, kepada acara sukan berkelas dunia pada skala besar.

“Dengan dua bidaan untuk Sukan Asia, kita kini mempunyai kestabilan dan penerusan dalam gerakan sukan kita untuk dekad seterusnya.

“Ini akan membolehkan Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan kami, para pentadbir dan yang lebih penting para atlet kami, untuk membuat perancangan masa hadapan untuk jangka masa pendek, pertengahan dan panjang.

“Ini meletakkan kami dalam kedudukan membanggakan dalam soal kalendar sukan kami dan sekali lagi menampilkan, yang Asia merupakan rakan kongsi utama dalam gerakan Olimpik global,” katanya.

Sesi pemilihan bandar raya tuan rumah untuk Sukan Asia ke-23 pada 2030, akan di adakan pada Mesyuarat Agung OCA pada 29 Nov 2020, bersampingan dengan Sukan Pantai Asia di Sanya, China.

Doha menjadi tuan rumah Sukan Asia ke-15 pada 2006, tetapi Arab Saudi tidak pernah menganjurkan sukan multi acara OCA.

Sukan Asia ke-19 akan berlangsung di Hangzhou, China pada 2022, dan Sukan Asia ke-20 akan dihoskan Aichi-Nagoya, Jepun pada 2026.

Barcelona lepaskan hak cipta Camp Nou

BARCELONA telah melepaskan hak nama untuk Camp Nou musim depan dalam usaha mendapatkan dana mengatasi wabak coronavirus.

Dalam pengumuman semalam, pihak Barca berkata hak nama stadium itu akan diserahkan kepada yayasan kelab untuk dijual kepada penaja.

Dana untuk 2020-21 akan digunakan untuk pelaburan projek penyelidikan di Catalunya serta seluruh dunia bagi mengatasi coronavirus.

Sebelum ini, Barca tidak pernah menawarkan hak komersial buat nama stadium mereka.

“Ini adalah tempoh penting kepada dunia dalam aspek kesihatan, ekonomi dan krisis sosial bagi sejarah moden,” kata wakil kelab itu.

“Barca telah membuat keputusan sebagai reaksi kepada kemanusiaan yang diperlukan dalam tempoh ini. Semua orang memberikan segalanya untuk mengatasi wabak global yang telah melumpuhkan dunia.

“Kami sedar Barca mempunyai komitmen terhadap masyarakat yang lebih besar berbanding kelab, pengurusan tertinggi, badan kerajaan dipilih secara demokrasi oleh ahli dan Presiden, Josep Maria Bartomeu, yang meluluskan penyerahan hak nama Camp Nou bagi musim 2020-21 kepada yayasan kelab.

“Ia akan menambahkan wang untuk penyelidikan yang diadakan di Catalonia serta seluruh dunia dalam usaha mengatasi COVID-19.”

Tonton ePremier League secara langsung di Astro!

KEJOHANAN Jemputan ePremier League secara langsung akan menghiburkan peminat bola sepak di Astro Supersport.

Kejohanan sukan elektronik FIFA 2020 dianjurkan hasil inisiatif kolektif pemain-pemain Premier League, #PlayersTogether untuk mengumpul dana kepada Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS).

Antara pemain yang akan beraksi adalah Trent Alexander-Arnold (Liverpool), Raheem Sterling (Manchester City), Wilfried Zaha (Crystal Palace), John McGinn (Aston Villa), Lys Mousset (Sheffield United) dan Diogo Jota (Wolverhampton Wanderers).

ePremier League akan disiarkan secara langsung di Astro Supersport 2 (saluran 812 HD, 832) dan Astro GO  bermula 21 April sehingga 25 April.

Berikut adalah jadual perlawanan:

21 Apr 1900 – ePremier League Invitational Hari 1 (sec 1) LIVE
21 Apr 2300 – ePremier League Invitational Hari 1 (sec 2) LIVE
22 Apr 1900 – ePremier League Invitational Hari 2 (sec 1) LIVE
22 Apr 2300 – ePremier League Invitational Hari 2 (sec 2) LIVE
23 Apr 1900 – ePremier League Invitational Hari 3 (sec 1) LIVE
23 Apr 2300 – ePremier League Invitational Hari 3 (sec 2) LIVE
24 Apr 1900 – ePremier League Invitational Hari 4 (sec 1) LIVE
24 Apr 2300 – ePremier League Invitational Hari 4 (sec 2) LIVE
25 Apr 2200 – ePremier League Invitational Separuh Akhir & Final LIVE