UFC 249: Cejudo kekalkan kejuaraan bantamweight, umum bersara dari MMA

PETARUNG Amerika Syarikat Henry Cejudo berjaya mengekalkan kejuaraan bantamweight yang disandangnya selepas menewaskan Dominick Cruz dalam aksi UFC 249, di Florida pada Ahad.

Cejudo menundukkan rakan senegaranya itu menerusi ‘Technical Knockout’ (TKO) pada minit 4:58 pusingan kedua.

Cruz diasak dengan serangan lutut pada 15 minit terakhir pusingan tersebut, sebelum rebah dan dihujani beberapa siri tumbukan oleh Cejudo.

Ia sekali gus memaksa pengadil Keith Peterson mencelah dan memberhentikan perlawanan, dan mengisyiharkan Cejudo sebagai pemenang.

Dalam pada itu menerusi temu bual dengan Joe Rogan selepas perlawanan, Cejudo turut mengumumkan persaraannya dari sukan seni bela diri campuran (MMA).

Cejudo, yang juga juara flyweight UFC meraih kejuaraan keduanya pada Jun tahun lalu selepas menewaskan Marlon Moraes melalui TKO pusingan ketiga dalam aksi UFC 238.

Berusia 33 tahun, dia kini bersara dengan rekod 16 kemenangan, dan dua kekalahan.

Status sukan Para ASEAN masih tergantung – MPM

PADANG BESAR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) masih menunggu jawapan daripada penganjur Sukan Para ASEAN (APG) 2020 susulan laporan berita mendakwa temasya sukan itu yang dijadual berlangsung pada Oktober depan, dibatalkan berikutan penularan pandemik COVID-19.

Presiden MPM Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin berkata pihaknya masih belum menerima sebarang surat daripada Pesuruhjaya Sukan Filipina (PSC) mengenai status penganjuran temasya sukan dwitahunan itu sama ada ditunda atau dibatalkan.

“Kita hanya mengetahui melalui laporan media Filipina baru-baru ini yang menyebut temasya sukan tersebut dibatalkan atas faktor tidak mempunyai dana dan akibat penularan wabak COVID-19.

“MPM juga sudah menghubungi Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) bagi mendapat pengesahan namun sehingga kini masih belum menerima jawapan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan keperluan asas kepada sembilan keluarga di Kampung Semadong pada Sabtu.

Sumbangan itu hasil kerjasama antara beliau selaku Pengerusi Yayasan Usahawan Negara; Yayasan Hydrocephalus Negara; dan MPM menerusi program Jejak Asnaf COVID-19.

“Sekiranya APG 2020 dibatalkan ia satu kerugian bukan hanya kepada MPM malah atlet paralimpik yang banyak menghabiskan masa membuat persediaan sebelum ini,” katanya.

Baru-baru ini, media Filipina melaporkan bahawa PSC membuat keputusan membatalkan semua acara sukan pada tahun ini, sekali gus menarik balik peruntukan yang disediakan, termasuk untuk penganjuran edisi ke-10 APG yang sepatutnya berlangsung pada 3-9 Okt ini.

Bernama pada 26 Mac lepas melaporkan tarikh temasya sukan berkenaan mungkin disemak semula selepas Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 yang masing-masing dijadual pada Julai dan Ogos depan ditangguh ke 2021, kerana APSF hanya bersetuju untuk menganjurkan temasya itu selepas Sukan Paralimpik.

APG Filipina sepatutnya diadakan mulai 18 hingga 24 Jan, tetapi ditangguhkan ke 20-28 Mac ekoran isu bajet dan logistik di pihak penganjur, sebelum ditangguhkan sekali lagi pada Oktober depan akibat wabak COVID-19.

MOM lulus bantuan kewangan untuk 30 ahli naungannya

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bersetuju untuk memberikan geran kepada 23 ahlinya dan tujuh ahli bersekutu OCM yang terjejas oleh wabak COVID-19.

MOM dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan bahawa Jawatankuasa Pengurusan Amanah untuk Kumpulan Wang Amanah MOM meluluskan geran berjumlah RM265,000 kepada 30 persatuan sukan kebangsaan (NSA) dengan maksimum RM10,000 untuk setiap NSA.

Badan induk sukan itu berkata geran berkenaan akan disalurkan minggu depan.

Terdahulu, MOM telah menyediakan Dana Khas COVID-19 untuk membantu NSA dengan perbelanjaan pentadbiran mereka pada saat pembatalan dan ketidakupayaan untuk menganjurkan acara sukan khususnya telah menjejaskan aliran pendapatan mereka.

Cane dilantik kapten baru All Blacks

SAM Cane dinamakan sebagai pengganti Kieran Read untuk mengetuai pasukan ragbi New Zealand, All Blacks.

Pemain berusia 28 tahun itu membuat kemunculan pertama ketika menentang Ireland pada 2012 dan sejak itu telah mewakili negaranya sebanyak 68 kali dengan 48 daripadanya berada dalam barisan utama.

Cane, yang sudah tiga kali muncul sebagai ketua pasukan New Zealand, merupakan pemenang Piala Dunia Ragbi edisi 2015 dan merupakan sebahagian daripada pasukan yang menduduki tempat ketiga di Jepun tahun lalu.

“Ini adalah satu cabaran yang sangat menarik memandangkan saya telah lama bersama All Blacks dan berkembang sebagai pemain, saya semakin selesa untuk pemimpin pasukan ini,” katanya.

“Perkara yang hebat tentang All Blacks ialah kehadiran ramai pemimpin dan pemain berpengalaman, jadi saya amat berharap dapat bekerjasama dengan kumpulan pemain ini dan melakukan yang terbaik untuk memimpin mereka dan yang lain. “Pendekatan selaku kapten tidak akan sama sekali mengubah cara saya melakukan sesuatu. Saya hanya mahu menjadi diri sendiri dan terus begitu. Saya sudah berusaha membina hubungan terutama dengan pemain-pemain muda skuad ini termasuk individu yang berkaitan dengan pasukan ini, jadi ia akan diteruskan.

“Walaupun kami belum tahu bagaimana baki cabaran tahun ini buat All Blacks, saya sudah tidak sabar-sabar lagi untuk bertemu dengan jurulatih dan pemain senior lain dalam merencanakan perancangan kami.”

Sementara itu jurulatih baharu, Ian Foster, berkata Cane yang telah membuat 116 penampilan bersama The Chiefs dengan memenangi dua gelaran Ragbi Super adalah seorang pemimpin semula jadi dan akan memainkan peranan penting.

“Dia amat dihormati dalam kalangan pemain dan pengurusan dan dia berada di tempat yang sempurna untuk memimpin All Blacks pada masa depan.

“Kami ingin mengesahkan bahawa Sam akan memainkan peranan penting untuk membantu kami membuat perancangan masa depan dan dia akan bekerja di belakang tabir di samping pemimpin-pemimpin lain.”

COVID-19: Nadal anggap saingan tahun ini hampir mustahil

RAFAEL Nadal meluahkan kesangsian Jelajah ATP boleh diteruskan pada tahun ini apabila sudah memikirkan mengenai Terbuka Australia tahun depan.

Jelajah ATP dan WTA ditangguhkan sekurang-kurangnya sehingga pertengahan Julai depan akibat pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan kalendar sukan global.

Kejohanan Wimbledon tahun ini sudah pun dibatalkan sementara Terbuka Perancis ditunda ke September depan, namun perebutan kejuaraan di Roland Garros itu termasuk Terbuka Amerika Syarikat (AS) tetap dalam keraguan.

Nadal, yang masih berhasrat untuk beraksi secara kompetitif sebelum akhir tahun ini, bagaimanapun menganggap pendekatan yang lebih realistik ialah merancang untuk mengharungi musim 2021, yakni Grand Slam pembukaan, Terbuka Australia.

“Saya harap kami dapat kembali sebelum akhir tahun ini tetapi, sayangnya, saya tidak rasa begitu,” katanya kepada El Pais.

“Saya akan menganggap keperluan ketika ini adalah membuat persediaan bagi 2021. Saya lebih bimbang dengan nasib Terbuka Australia daripada apa yang berlaku pada akhir tahun ini.

“Saya berasakan saingan 2020 hampir pasti tidak dianjurkan. Saya harap kami dapat beraksi lagi tahun depan, saya amat berharap,” katanya.

Mungkin tiada program larian di Sabah tahun ini

KEMUNGKINAN besar tiada program-program larian diadakan di Sabah sehingga akhir tahun ini berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara.

Presiden Kelab Peminat Sukan Ekstrem Sabah dan Labuan, Steve Johnny Mositun, berkata pihaknya menerima hakikat program larian adalah antara yang tidak boleh dianjurkan sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun ini kerana acara itu membabitkan ramai orang.

“Kita pun tidak tahu bila COVID-19 ini dan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) berakhir, namun hakikatnya, program larian adalah antara yang tidak boleh dianjurkan sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun ini kerana acara ia melibatkan ramai orang.

“Sebagaimana tahun-tahun sebelum ini, acara-acara larian yang kami anjurkan disertai ramai orang termasuk dari luar negara, ada mencecah ribuan orang tetapi nampaknya tidak ada larian yang dapat dianjurkan sehingga akhir tahun ini,” katanya.

Steve adalah individu yang sering terbabit menganjurkan atau menyelia program-program sukan lasak termasuk larian di Sabah dan Labuan.

Beliau, yang juga pengarah urusan Casero Events serta Timbalan Pengerusi Majlis Belia KDCA, berkata pihaknya hanya sempat mengelolakan sukan lasak Duathlon Labuan 2020 pada awal Mac lalu.

“Kami sudah dan sedang merancang beberapa lagi program larian dan sukan lasak selepas acara Duathlon Labuan tetapi semuanya tergendala ekoran kehadiran COVID-19,” katanya.

Tambahnya, antara yang sudah dalam perancangan tetapi mungkin akan dibatalkan atau ditunda ialah Sungkadon Obstacle Run 2020 yang sepatutnya berlangsung di Papar pada Ogos depan.

Program lain yang biasa dikelolakan Steve setiap tahun yang tidak dapat dianjurkan tahun ini atau ditunda adalah Kokol Nature Adventure, Hongkod Run dan Cabaran Ruhiang Kiulu serta acara permotoran.

“Buat masa ini, kita hanya mampu berharap COVID-19 ini akan segera terhapus dan saya juga berharap kepada semua, terutama peminat dan pengamal sukan lasak termasuk larian, marilah bersama-sama memainkan peranan menamatkan COVID-19 dengan mematuhi nasihat KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia),” katanya lagi.

COVID-19: 10 kes positif ujian saringan awal Bundesliga

LIGA Bola Sepak Jerman (DFL) melaporkan 10 kes positif wabak COVID-19 kepada Kementerian Kesihatan Jerman sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyambung kempen Bundesliga dan 2.Bundesliga.

Terdahulu, sejumlah pasukan termasuk juara bertahan, Bayern Munich, kembali menjalani latihan di pangkalan kelab masing-masing sambil mengamalkan langkah-langkah penjarakan sosial.

Sejak Khamis lalu, sebanyak 1,724 ujian saringan telah dilakukan ke atas 36 kelab dalam dua divisyen utama Jerman itu yang merangkumi sampel pemain, jurulatih dan kakitangan yang diuji di lima makmal.

Bagaimanapun, identiti individu atau kelab yang dikesan positif tidak akan didedahkan oleh DFL di sebalik Cologne mengesahkan tiga kes pandemik itu Sabtu lalu.

Dynamo Dresden kemudian mendedahkan salah seorang pemain mereka dikesan positif walaupun bebas gejala dan dia sudah pun diarahkan menjalani kuarantin selama dua minggu.

Ujian saringan kedua sedang dilakukan minggu ini sebelum latihan penuh pasukan dibenarkan.

Kebenaran itu memerlukan persetujuan pihak berkuasa tempatan dengan syarat dua sesi ujian saringan akan diteruskan setiap minggu.

“Ujian yang dilakukan sejak beberapa hari lalu telah mencapai matlamatnya dalam usaha meningkatkan keselamatan dan melindungi barisan pemain dengan sebaik mungkin daripada jangkitan wabak itu ketika latihan pasukan atau perlawanan,” menurut DFL dalam satu kenyataan.

“Dalam beberapa minggu dan bulan akan datang, langkah ini akan diteruskan secara kekal dalam menerapkan langkah-langkah yang perlu dipatuhi kelab dan semua pihak berkaitan setiap hari.

“Sekiranya didapati positif, langkah-langkah yang harus diambil terletak di tangan pihak berkuasa kesihatan tempatan.”

Cologne turut mendedahkan tiada keputusan positif dalam saringan kedua semalam.

PUBG Mobile: Yoodo Gank harumkan nama Malaysia di PMPL SEA, bawa pulang RM172,000

KUALA LUMPUR: Pasukan e-sukan PUBG Mobile Malaysia, Yoodo Gank muncul sebagai juara dalam Grand Final Liga Profesional Asia Tenggara (PMPL SEA) Musim Bunga 2020, Ahad malam.

Yoodo Gank dinobatkan sebagai terbaik dalam kalangan pasukan-pasukan Asia Tenggara selepas berjaya mengumpul 284 mata dalam 15 pusingan yang dipertandingkan.

Menerusi kemenangan itu, Yoodo Gank membawa pulang hadiah wang tunai kira-kira RM128,000 (AS$30,000) dan diberikan slot utnuk beraksi di Liga Dunia PUBG Mobile.

Selain wang kemenangan di tempat pertama itu, Yoodo Gank turut mendapat hadiah wang tunai tambahan kira-kira RM44,000 menerusi kemenangan Anugerah Pasukan Paling Popular di Malaysia, kutipan Chicken Dinner (mata kemenangan) sebanyak lima kali dan Anugerah Pemain Terbaik.

Yoodo Gank terdiri daripada empat pemain muda yang berbakat besar iaitu Aiman Mohamad (Man Parang) sebagai kapten, Abdul Azim Ikromi Abdul Rashid (Draxx) Muhamad Izzrudin Hashim (Jumper) dan Ahmad Fuad Razali (Fredo).

Mereka turut menewaskan jaguh dunia, Bigetron Red Aliens (Indonesia) yang sekadar selesa di tempat kedua.

Sementara itu dua lagi pasukan Malaysia, Team Secret MY dan Bigetron AROV masing-masing menduduki ke-lima dan ke-12 dalam kejohanan itu.

PMPL SEA berlangsung selama tiga hari, melibatkat 16 pasukan terbaik Asia Tenggara dan menawarkan hadiah wang tunai kira-kira RM640,000 secara keseluruhan.

PKP: Komuniti sukan lega kelonggaran bersukan

KUALA LUMPUR: Pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai kelonggaran di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang membenarkan aktiviti sukan dan senaman berkumpulan tanpa kontak seperti larian, badminton, berbasikal dan golf, menjadi khabar gembira buat komuniti sukan.

Bagi atlet negara, keputusan ini adalah penting khususnya buat mereka yang dalam proses kelayakan ke temasya sukan utama seperti Sukan Olimpik, di samping mahu mengekalkan kecergasan untuk bertanding di kejohanan akan datang.

Atlet lompat kijang kebangsaan, Muhammad Hakimi Ismail menzahirkan rasa lega apabila dapat melakukan aktiviti luar selepas ‘terperangkap’ di dalam rumahnya di Seri Kembangan, sejak arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu.

“Selama ini saya memang membuat latihan di dalam rumah, tetapi mempunyai kekangan kerana tinggal di apartmen, ruang agak kecil selain takut bunyi bising lompatan akan mengganggu jiran.

“Agak rindu melakukan lompatan dengan teknik yang betul. Di rumah lebih kepada memperbaiki kemahiran, fleksibiliti otot dan menonton video lompatan.

“Kalau boleh selepas ini saya hendak berlatih di permukaan lembut seperti padang kerana dah lama berlatih di permukaan keras di rumah,” kata atlet berusia 29 tahun itu, ketika dihubungi Bernama.

Bagaimanapun, Muhammad Hakimi yang memasang impian untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo tahun depan, sedar akan risiko virus COVID-19 apabila menjalani aktiviti bersukan nanti.

“Kita perlu lihat keadaan dulu, mungkin terlalu ramai akan keluar bersenam pada Isnin ini. Jadi, kita kena berhati-hati, pilih tempat yang sesuai dan tidak ramai orang bagi mengurangkan risiko jangkitan.

“Buat masa ini, belum ada sebarang makluman dari Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai bila ia akan dibuka.

“Saya rasa berlatih di MSN lebih baik kerana orang luar tidak boleh masuk dan ada jurulatih untuk pantau program latihan,” kata pemegang rekod kebangsaan dengan lompatan sejauh 16.77 meter itu.

Muhammad Hakimi yang menggunakan duit sendiri untuk berguru dengan bekas atlet Perancis Teddy Tamgho yang juga pemegang rekod dunia dalam dewan 17.92m, bagaimanapun terpaksa menunggu hingga hujung tahun ini untuk memulakan pertandingan kelayakan ke Tokyo, selepas Olahraga Dunia (World Athletics) menangguhkan semua kejohanan kelayakan hingga Disember.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerusi catatan dalam akaun Twitter semalam mengarahkan MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) untuk mengeluarkan garis panduan terperinci kepada atlet dan jurulatih sukan yang dibenarkan bagi mengembangkan skop dan program latihan sedia ada.

Sementara itu, Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh berterima kasih kepada Perdana Menteri berikutan kelonggaran yang diberikan kepada komuniti sukan berbasikal.

Namun, katanya, kebenaran itu lebih ke arah aktiviti berbasikal rekreasi dan riadah, dengan mematuhi semua saranan yang dikemukan oleh kerajaan, terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti mengamalkan jarakan sosial.

“Bagi latihan melibatkan atlet pula, lebih baik kepada mereka untuk berbasikal di luar, berbanding berbasikal dalam rumah.

“Namun, kami masih menanti SOP (prosedur operasi standard) daripada KBS (Kementerian Belia dan Sukan), MSN dan ISN sebelum mengambil sebarang keputusan untuk memulakan latihan atlet.

“Kebiasaannya, banyak pihak terlibat seperti pelumba, jurulatih, mekanik dan juru urut, jadi kita perlukan garis panduan dan amalan kebersihan yang tepat.

“Memandangkan aktiviti luar sahaja dibenarkan, bagaimana pula dengan latihan dalam velodrom,” katanya.

Menurut Amarjit, beberapa persoalan juga timbul mengenai SOP untuk memulakan latihan namun mengambil kira bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya, 1 Jun adalah waktu terbaik untuk pelumba kembali menjalani latihan.

“Banyak persoalan juga timbul, seperti jika atlet perlu menjalani ujian saringan dan kuarantin sebelum kembali menjalani latihan, sebab itu kita perlukan SOP dan garis panduan yang betul untuk memulakan latihan,” katanya.

MFL rancang teruskan Liga Malaysia 2020 bermula 1 September

KUALA LUMPUR: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) merancang untuk meneruskan kempen Liga Malaysia (Liga-M) 2020 mulai 1 September dengan semua pasukan bertanding dibenar kembali menjalani sesi latihan pada Ogos.

Perancangan itu dibuat selepas kerajaan tidak meluluskan permohonan MFL untuk menyambung semula saingan pada Ogos dan sesi latihan dijalankan pada Julai, seperti yang diputuskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pada Khamis.

Menurut kenyataan MFL, saingan Liga Super dan Premier yang bermula September depan adalah berdasarkan format baharu yang dijalankan secara separuh liga.

Manakala kempen Piala Malaysia bermula 17 September dirombak dengan tiada saingan peringkat kumpulan, sebaliknya saingan 16 pasukan berlangsung secara kalah mati satu pusingan.

Bagi kempen Piala FA dan Piala Cabaran pula, saingan dibatalkan.

Perubahan kalendar Liga-M 2020 dibuat dengan mengambil kira keputusan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP yang dipengerusikan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, sebagai rujukan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MFL dalam menyusun perjalanan liga musim 2020.

Berikut merupakan perancangan baharu Liga Malaysia 2020 :-

1. MFL merancang untuk meneruskan pertandingan CIMB Liga Super, Liga Premier pada 1-2 September 2020 dan akan berakhir pada 26-27 September 2020 dengan saingan secara separuh liga sahaja.Menerusi format itu, liga akan bersambung dari perlawanan kelima hingga perlawanan ke-11 dengan semua perlawanan mengikut jadual asal seperti yang telah ditetapkan.

2. TM Piala Malaysia pula akan berlangsung pada 17-18 Oktober 2020 dan akan berakhir pada 7 November manakala Shopee Piala FA dan Challenge Cup dibatalkan. Format pertandingan TM Piala Malaysia akan dirombak di mana tiada saingan peringkat kumpulan dengan saingan 16 pasukan akan berlangsung secara kalah mati satu pusingan termasuk suku akhir dan separuh akhir. 11 pasukan terbaik CIMB Liga Super dan lima pasukan terbaik Liga Premier (kecuali pasukan Reserve Team) yang layak beraksi dalam saingan TM Piala Malaysia akan diundi untuk menentukan perlawanan awal dan juga pasukan tuan rumah.

3. Semua pasukan akan memulakan sesi latihan pada Ogos 2020 mengikut SOP kendalian latihan dan perlawanan Liga Malaysia yang akan dikeluarkan oleh FAM dan MFL berdasarkan arahan MKN, KKM dan KBS serta garis panduan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

4. Setiap perlawanan akan diadakan mengikut SOP Perlawanan Tanpa Penonton seperti yang ditetapkan oleh MKN dan KKM disebabkan penularan wabak COVID-19.

5. Tiada tempoh perpindahan pemain dibuka pada pertengahan Liga Malaysia 2020 jika saingan bermula pada September.

6. Saingan Liga Malaysia 2020 akan dibatalkan jika MKN, KKM dan KBS tidak membenarkan perlawanan bersambung semula sehingga September 2020.

7. Status Liga M3 kelolaan Amateur Football League (AFL) akan diputuskan pada Jun 2020 memandangkan banyak faktor sedang dikaji dan diperhalusi kerana perlawanan saingan kelab amatur itu diadakan di padang terbuka.

Menurut Datuk Ab Ghani, hasil perbincangan MFL bersama pemegang taruh jelas rata-rata mereka memberikan isyarat positif dalam usaha meneruskan kembali saingan Liga Malaysia bagi musim 2020 namun segala perancangan ini masih tertakluk kepada arahan dan saranan terbaharu daripada MKN, KKM dan KBS.

Berdasarkan perancangan baharu kalendar Liga Malayaia 2020, jika pertandingan CIMB Liga Super, Liga Premier dan TM Piala Malaysia dapat diteruskan maka MFL menetapkan juara CIMB Liga Super kekal untuk meraih slot automatik ke Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2021 manakala juara TM Piala Malaysia dan naib juara CIMB Liga Super akan mendapat slot ke Piala AFC 2021.

Bagaimanapun, Datuk Ab Ghani menegaskan bahawa pelan perancangan ini akan dikaji semula pada Jun depan berdasarkan perkembangan semasa wabak COVID-19.

“Kami memantau situasi semasa isu wabak COVID-19 dan akan mengemukakan permohonan semula mengenai perancangan jadual Liga Malaysia 2020 berdasarkan arahan terbaharu MKN, KKM dan KBS pada Jun nanti.

“Pihak MFL juga menitikberatkan soal keselamatan semua pihak yang terlibat, dengan SOP perlawanan lebih ketat mengikut saranan MKN, KKM dan KBS, andai Liga Malaysia musim 2020 dapat diteruskan seperti yang dirancangkan itu,” jelasnya.

Ab Ghani berkata perancangan baharu kalendar Liga-M turut mengambil kira faktor penundaan tarikh Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, ACL 2020 melibatkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan tarikh baharu kejohanan Piala AFF 2020 yang dijangka pada 21 Nov hingga 15 Dis.