BAM umum penstrukturan semula sistem kejurulatihan skuad remaja

KUALA LUMPUR: Hanya tiga hari selepas penstrukturan semula sistem kejurulatihan pasukan senior, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Norza Zakaria mengumumkan satu lagi rombakan kejurulatihan, kali ini membabitkan skuad remaja.

Skuad remaja badminton kebangsaan kini sedang menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, di bawah kendalian ketua jurulatih Datuk Dr Misbun Sidek sebagai Pengarah Pembangunan Belia.

Bekas jurulatih perseorangan kebangsaan Hazwan Jamaluddin dan Poh Chai Boon telah ditugaskan mengendali pasukan bawah 18 manakala pemain beregu akan dikendalikan oleh tiga pakar beregu – Pang Cheh Chang, Vountus Indra Mawan dan Lutfi Zaim.

Bekas juara All England Hafiz Hashim bersama Alvin Chew pula ditugaskan melatih pemain lelaki bawah 15 tahun.

Kwan Yoke Meng, bekas pemenang dalam skuad Piala Thomas 1992, akan diberi portfolio baharu bagi mengetuai bahagian pembangunan perempuan bawah 13 tahun, manakala jurulatih berpengalaman Zhang Hong Yu akan mengawal selia bahagian pemain perempuan bawah 15 dan bawah 14 tahun.

Mohamad Norza yakin jurulatih di bawah bimbingan Misbun akan mampu menanamkan disiplin tinggi dan budaya inginkan kemenangan dalam kalangan pemain pada usia sangat muda serta membantu peralihan mereka ke pasukan senior kebangsaan.

“Semua jurulatih secara kolektif telah menunjukkan kemajuan menerusi ranking pembangunan BAM manakala Hong Yu telah menghabiskan masa dua dekad sebagai jurulatih pemain remaja di Malaysia. Mereka tahu sistem kita dengan baik dan ingin memberikan ilmu mereka kepada pemain muda.

“Pembangunan jangka panjang berterusan terhadap pemain junior kebangsaan tetap menjadi keutamaan kerana kami ingin mencungkil bakat generasi pemain seterusnya. Kami akan terus menyediakan persekitaran optimal untuk membantu perkembangan kesemua 77 pemain muda di ABM,” katanya dalam kenyataan.

RTT: Menteri tuntut komitmen tinggi patuhi SOP

PENGGIAT sukan negara menerima nafas baharu apabila atlet yang terbabit dalam Program Road to Tokyo (RTT) diberikan lampu hijau.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri di Putrajaya semalam, mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah menerima permohonan daripada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, apabila memberi kelonggaran khas buat atlet RTT kembali berlatih pada 1 Jun depan ketika dunia masih diselubungi wabak novel koronavirus (COVID-19).

Ia bakal membabitkan 265 individu bagi memastikan 57 atlet mendapat manfaat dalam persediaan ke Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2021 di tiga kem latihan berpusat.

Secara keseluruhannya, ia mungkin melibatkan sekitar 140 orang termasuk atlet sokongan dan jurulatih selain mereka yang terlibat dengan sokongan perkhidmatan; pemakanan, logistik, keselamatan, tukang urut dan pakar fisioterapi.

Seperti yang dicadangkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), hanya Kompleks Sukan Bukit Jalil yang mampu menempatkan jumlah berskala besar iaitu seramai 181 atlet, jurulatih termasuk pegawai, tetapi ia masih relevan dengan keluasan dan fasiliti yang ditawarkan, manakala bakinya di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara dan Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan, Langkawi.

Namun, komitmen tinggi dituntut menerusi prosedur operasi standard (SOP) ketat yang menyaksikan KBS akan menggunakan pendekatan kuarantin selama 30 hari.

Ini bermakna semua atlet dan mereka yang terbabit tidak boleh meninggalkan pusat latihan dalam tempoh tersebut — sekali gus membolehkan tempoh dua kali inkubasi.

Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah saringan COVID-19 pada hari pendaftaran dan keputusan segera akan diperoleh, mereka yang negatif dibenarkan meneruskan latihan manakala yang positif akan dibawa ke hospital.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau dan melakukan saringan semula sebelum atlet menamatkan latihan.

Dalam satu temu bual khas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Reezal Merican Naina Merican, bersama penyampai Astro Arena, Akbar Sahari, beliau mengulas lanjut mengenai SOP RTT tersebut.

“Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang dikuatkuasakan adalah bagi tujuan keselamatan bagi menghalang penularan wabak COVID-19. Bukan bererti tidak boleh ada pengecualian, sebab itu saya perlu kemukakan SOP untuk mendapatkan kelonggaran.

“Ia memerlukan satu proses yang boleh memberi keyakinan kepada pihak kerajaan iaitu apabila PKP diberi kelonggaran, ia tidak membawa kepada kebarangkalian jangkitan itu kembali.

“Ia akan menjadikan keadaan kita jauh lebih teruk, sebab itu kita perlu patuh.

“Ini bukan di bawah bidang kuasa saya sebagai menteri belia dan sukan, Akta 342 ini adalah di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang diterajui Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Apa pun yang ingin dilakukan, kami perlu mendapatkan kelulusan daripada KKM dan MKN,” katanya.

Sementara itu, Reezal turut berkongsi harapan mengenai misi negara dalam Sukan Olimpik Tokyo 2021.

“Dalam 20 kejohanan yang disertai jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, sepanjang 2019, 14 daripadanya berakhir di podium. Ini bermakna dia di tahap kemuncak prestasi untuk meraih pingat emas Sukan Olimpik.

“Selain itu, jangan dilupakan badminton. Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, semakin meningkat malah mungkin boleh mencabar emas.

“Jangan pandang remeh kepada badminton. Dia mengalahkan Jonatan Christie dan Chen Long dalam Kejohanan Seluruh England malah hanya tewas tipis kepada Viktor Axelsen.

“Ketika ini dia dianggap sebagai pesaing yang cukup hebat.”

Penyerang Chelsea ditahan atas dakwaan rogol

LONDON: Penyerang Chelsea, Callum Hudson-Odoi ditahan atas dakwaan rogol setelah dilaporkan bertengkar dengan seorang wanita di rumahnya di sini.

Kejadian dilaporkan berlaku pada Ahad.

Hudson-Odoi dibebaskan dari tahanan dan diikat jamin dengan syarat dia mesti kembali ke balai polis pada pertengahan bulan Jun ketika siasatan dijalankan.

Sementara itu, wanita yang mendakwa menjadi mangsa kejadian kini dirawat di hospital.

Kelab bola sepak Chelsea enggan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian.

Hudson-Odoi baharu sahaja menyambung kontrak lima tahun bersama The Blues.

Dia adalah pemain Liga Perdana Inggeris pertama yang disahkan positif koronavirus.

Situasi Lang Merah memalukan! – Azraai

MEMALUKAN! Itu tegas bekas jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah, berhubung situasi Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang masih gagal menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain dan jurulatih skuad Lang Merah gara-gara krisis politik di negeri itu.

Status pasukan Hijau Kuning itu selaku pasukan elit Liga Malaysia (Liga-M) tercemar gara-gara isu gaji tertunggak.

Membabitkan gaji sejak Februari lalu, pemain serta pegawai pasukan utara itu hilang sumber pendapatan menjelang Aidilfitri.

Situasi bertambah rumit apabila bakal berlaku perubahan pucuk kepimpinan KFA susulan isu politik di negeri itu.

“Bagi saya (perkembangan) ini sungguh memalukan. Kedah tiada sejarah langsung dengan masalah gaji.

“Ini kali pertama (berlaku), memang sangat memalukan,” katanya ketika diwawancara wakil Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Bahkan, jurulatih berumur 68 tahun itu turut mempersoalkan hala tuju Lang Merah yang dilihat tidak seimbang daripada segi merekrut pemain.

“Beberapa pemain import yang diambil sekadar duduk di bangku simpanan.

“Mengapa Kedah tidak ketengahkan pemain-pemain muda sebagai tujuan pembangunan, seperti (formula) kejayaan memenangi tiga kejuaraan dalam tempoh dua tahun berturut-turut sebelum ini, naikkan (status) pemain B-21.

“Ketika itu, kami menggunakan khidmat rata-rata anak jati dan pemain pelapis.

“Tidak mengapa kalau ingin ambil pemain matang, tetapi ia tidak menjadi.

“Ia satu pembaziran, perancangan Kedah nampaknya gagal.”

Berbasikal trek: Azizulhasni tidak tergugat ranking dunia jatuh

JAGUH berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, akhirnya terpaksa melepaskan ranking pertama berbasikal dunia dalam acara keirin.

Selepas empat bulan mendominasi kedudukan keirin, kini berdasarkan ranking terkini yang dikeluarkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), kedudukan Azizulhasni tergelincir di tangga kedua dengan 2710 mata manakala dengan kelebihan 175 mata, Harrie Lavreysen dari Belanda kini memimpin ranking acara berkenaan.

Namun, perkembangan itu tidak menjejaskan misinya untuk memburu pingat emas pertama Malaysia dalam Sukan Olimpik Tokyo 2021.

“Sebenarnya saya sudah menjangkakan akan dia merampas ranking utama dunia daripada saya selepas kejuaraan yang diraihnya dalam Kejohanan Dunia.

“Kejohanan itu menawarkan mata sebanyak dua kali ganda dan dalam masa sama, dia adalah juara benua.

“Jadi kombinasi ini memberi kelebihan kepadanya untuk merampasnya daripada saya,”  katanya dalam temu bual maya bersama wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi.

Atlet kelahiran Terengganu itu menganggap semua pelumba memiliki peluang untuk mencabar emas, lantas mendorongnya untuk membuat kerja rumah bagi mengkaji kekuatan lawan.

“Jelas sekali dia adalah ancaman utama dalam Sukan Olimpik kelak.

“Bagaimanapun, saya tidak menutup mata (terhadap keupayaan) pelumba-pelumba lain seperti Great Britain (GB), Jerman, Australia dan Jepun.

“Saya masih melakukan analisis (prestasi) ke atas pelumba-pelumba yang telah layak tetapi sudah tentulah tumpuan khusus akan diberikan kepada Lavreysen.”

Cheng Hoe dijangka kekal barisan pemain untuk kelayakan Piala Dunia 2022

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memberi bayangan awal beliau akan mengekalkan sebahagian besar pemain bagi menghadapi baki beberapa perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Oktober ini.

Jurulatih kelahiran Kedah itu berkata beliau juga akan memantau perkembangan pemain lain yang mempamerkan prestasi memberangsangkan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) untuk dipanggil menyertai sesi latihan pusat bagi menghadapi pusingan kelayakan tersebut.

“Berikutan sudah lama mereka tidak dikumpulkan dengan kali terakhir pada November tahun lepas, saya harap mereka semua masih ada persefahaman yang baik antara satu sama lain.

“Perkara itu juga menjadi sebab kenapa saya rancang kekalkan ramai pemain utama demi memudahkan perancangan, namun saya masih melihat mana-mana pemain lain yang beraksi dengan baik bagi membolehkan saya menilai prestasi semasa mereka,” kata Cheng Hoe dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia, pada Jumaat.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebelum ini mengambil keputusan menangguhkan beberapa baki perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 susulan penularan wabak COVID-19.

Berdasarkan perancangan terbaharu AFC, sekiranya mendapat kelulusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Malaysia akan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 8 Okt di Dubai, dan Vietnam pada 13 Okt di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dalam pada itu, Cheng Hoe berharap saingan Liga-M yang ditangguhkan sejak 16 Mac lepas akibat pandemik COVID-19, perlu diteruskan bagi memastikan pemain yang akan dipanggil ke sesi latihan pusat nanti dapat mengekalkan kecergasan fizikal dan mental.

Beliau menegaskan kecergasan fizikal serta motivasi pemain yang akan dipanggil bakal terjejas sekiranya saingan Liga-M dibatalkan.

“Jika liga dapat bermula pada September ini, pemain sekurang-kurangnya ada sesuatu untuk mereka bersedia sepanjang tempoh beberapa bulan ini daripada sekadar melakukan latihan sendirian di rumah.

“Pemain juga dapat mencari kembali sentuhan mereka dalam soal fizikal dan kecergasan bersama pasukan masing-masing sebelum sertai pasukan kebangsaan,” jelas Cheng Hoe.

COVID-19: IOC peruntuk AS$800 juta tangani kesan penangguhan Olimpik 2020

LAUSANNE: Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) memperuntukkan AS$800 juta sebagai bantuan kesan kewangan kritikal akibat penangguhan temasya Tokyo 2020.

IOC menjelaskan penganjur akan menerima AS$650 juta tahun ini selepas temasya ditunda kerana COVID-19.

Sementara baki AS$150 juta menurut Presiden IOC, Thomas Bach akan diberi sebagai bantuan kewangan kepada Persekutuan Sukan Antarabangsa dan Jawatankuasa Olimpik Nasional yang berdepan masalah aliran tunai.

“Krisis ini memberi kesan kewangan kritikal kepada dunia ke atas masyarakat, ke atas kerajaan dan juga Sukan Olimpik serta gerakan Olimpik keseluruhannya, khususnya IOC.

“Kami sudah mengadakan perbincangan mengenai kesan kewangan ini.

“Anda boleh bayangkan adalah tidak mudah merancang ketika waktu ini kerana ketidaktentuan yang berlaku dan tiada siapa yang mengetahui apa yang akan berlaku di masa depan,” katanya.

Sementara itu, kerajaan Switzerland juga mengumumkan persekutan sukan berpangkalan di negara itu kini boleh memohon pinjaman dari persekutuan.

Pandemik COVID-19 menyebabkan temasya Olimpik 2020 yang dijadual November depan ditangguhkan ke Julai 2021.

Bapa Khabib dilaporkan kritikal, koma akibat pneumonia

ABDULMANAP Nurmagomedov, iaitu bapa kepada bintang UFC Khabib Nurmagomedov dilaporkan sedang kritikal dan koma akibat jangkitan paru-paru (pneumonia).

Memetik laporan RT.com, Abdulmanap kini sedang dirawat di sebuah hospital tentera di Moscow, Rusia.

Difahamkan, pihak hospital juga tidak membenarkan sebarang lawatan daripada ahli keluarga.

Abdulmanap, 57 tahun, telah dimasukkan ke hosipital pada 26 April lalu selepas disyaki mengidap penyakit pneumonia.

Pada mulanya dia menerima rawatan di kampung halamannya di Dagestan sebelum diterbangkan ke Moscow pada awal Mei dengan sebuah pesawat khas selepas keadaannya bertambah teruk.

Abdulmanap merupakan antara individu yang bertanggungjawab melatih Khabib sejak kecil sehingga anaknya kini bergelar juara lightweight UFC.

Dia juga diiktiraf sebagai bapa sukan MMA di Dagestan kerana berjaya melahirkan beberapa juara dunia serta juara Olimpik dalam sukan gusti roman-greko, sambo dan judo.

Sementara itu, Presiden UFC Dana White menerusi kenyataannya pada Khamis turut merakamkan rasa simpati terhadap nasib yang menimpa Abdulmanap.

White menyifatkan Abdulmanap sebagai seorang ahli seni bela diri sejati yang turut menerapkan nilai-nilai terpuji kepada anaknya, Khabib.

Ini 5 fakta menarik temasya Olimpik Tokyo 2020

TEMASYA musim panas sukan Olimpik yang diacarakan setiap empat tahun ini pasti memerlukan banyak persiapan bagi menyambut tetamu dari lebih 200 negara.

Malang sekali untuk tuan rumah, sukan Olimpik yang bakal dianjurkan di bandar Tokyo, Jepun pada tahun ini terpaksa ditangguhkan sehingga tahun hadapan demi menangani pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini.

Pun begitu, sepanjang sesi persiapan, warga dunia telah dapat melihat proses persediaan yang dilakukan oleh Jepun sebagai tarikan dan untuk menaikkan momentum sebelum acara perasmiannya.

Ketahui beberapa fakta menarik tentang penganjuran sukan yang berlaku setiap empat tahun ini.

1. Ini merupakan kali kedua Tokyo dilantik menjadi tuan rumah untuk temasya musim panas Olimpik

Bandar Tokyo pernah menjadi lokasi anjuran Olimpik buat kali pertamanya pada tahun 1964.

Temasya Olimpik musim sejuk juga pernah dianjurkan di bandar Sapporo dan Nagano pada tahun 1972 dan 1998.

2. Reka bentuk Stadium Nasional Tokyo

Direka khas oleh arkitek tempatan, Kengo Kuma. Kuma menggunakan lebih 70,000 kaki kayu balak dari 47 wilayah di negara itu untuk membina stadium nasional negara itu.

Bertemakan Bumi dan alam sekitar, stadium ini menggunakan motif kayu-kayuan dalam pembinaannya.

“Kami hendak membina sesuatu yang melambangkan pandangan orang ramai terhadap alam sekitar dan Bumi pada masa yang sama,” katanya dalam satu temuramah dengan CNN pada Jun 2019.

Stadium Nasional Tokyo yang boleh mengisi sebanyak 60,000 tempat duduk ini akan menjadi lokasi acara pembukaan dan penutupan temasya.

3. Pingat kitar semula

Menariknya sukan Olimpik kali ini, pingat anugerah untuk temasya Olimpik dan Paralimpik diperbuat sepenuhnya dari sisa elektronik yang dikitar semula.

Sebanyak 8 tan logam dikumpulkan untuk menghasilkan pingat ini. Difahamkan, kotak pengumpulan peranti elektronik kitar semula ini dikerahkan di lokasi-lokasi awam dan kedai runcit pada April 2017.

Reka bentuk pingat selesai disiapkan pada 24 Julai 2019.

Pertandingan reka bentuk pingat sempena temasya Olimpik telah diadakan pada tahun 2017 dan dimenangi oleh Junichi Kawanishi.

4. Mengembalikan sukan besbol dan sofbol

Pada tahun 2012 dan 2016, sukan besbol tidak tersenarai dalam acara yang dipertandingkan, menurut keputusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Namun, pasukan besbol kebangsaan Jepun pernah meraih banyak rekod kejayaan dalam sukan ini. Malah, kelab peminat besbol kebangsaan di Jepun juga agak besar.

Lantaran itu, Jepun memutuskan untuk mengembalikan semula acara itu dalam senarai sukan yang bakal bertanding untuk temasya kali ini.

Selain itu juga, acara sukan Karate, papan selaju dan sukan luncur juga bakal turut dipertandingkan buat kali pertama di Tokyo.

5. Nantikan robot di lapangan terbang!

Penggunaan robot bukanlah lagi suatu fenomena asing untuk Jepun.

Malah, untuk temasya Olimpik 2020, pelbagai peranti canggih yang akan digunakan untuk menyambut tetamu dari seluruh dunia.

Ini termasuk penggunaan peranti pengesanan muka yang lengkap dengan kamera dan mikrofon serta alat pembantu membawa bagasi di lapangan terbang.

Tujuannya adalah untuk membiasakan interaksi manusia dan robot semasa di lapangan terbang.

Di samping itu, Jepun juga mempunyai kereta tanpa pemandu yang direka khas untuk mengatasi masalah kesesakan jalan raya.

Paling menarik perhatian, Jepun juga turut melancarkan hujan meteor buatan manusia Januari lalu.

Hujan meteor dirancang untuk beraksi sempena acara pembukaan temasya Olimpik pada tahun ini.

UFC 249: Gaethje tumpaskan Ferguson, akan bertemu Khabib untuk kejuaraan lightweight

JUSTIN Gaethje dari Amerika Syarikat berjaya menempah tiket merebut kejuaraan lightweight UFC selepas menumpaskan petarung ‘favourite’ Tony Ferguson dalam acara utama UFC 249, pada Ahad.

Petarungan yang berlangsung di Jacksonville, Florida itu menyaksikan Gaethje menewaskan rakan senegaranya menerusi ‘knockout’ pada minit 3:39 pusingan kelima.

Dengan kemenangan itu, Gaethje dinobat sebagai juara interim lightweight UFC, di mana dia bakal bertemu dengan juara lightweight sebenar, Khabib Nurmagomedov.

Gaethje juga menjadi petarung ketiga yang merangkul gelaran interim lightweight tersebut.

Dia kini memegang rekod profesional sebanyak 22 kemenangan dan dua kekalahan.

Pertarungan ini pada mulanya dijadualkan diadakan antara Khabib dengan Ferguson.

Bagaimanapun, hasrat itu terpaksa dibatalkan kerana Khabib tidak dapat meninggalkan negaranya, Rusia susulan sekatan perjalanan yang dikenakan.

Atas sebab itu, UFC telah memanggil Gaethje untuk menggantikan tempat Khabib bagi meneruskan acara tersebut.

Untuk rekod, pertarungan antara Khabib dan Ferguson telah cuba diadakan sebanyak lima kali sebelum ini, namun terpaksa dibatalkan atas pelbagai sebab termasuk kecederaan.

Nampaknya dengan kekalahan Ferguson, peminat seni bela diri campuran (MMA) sekali lagi tidak dapat menyaksikan pertarungan ‘epik’ ini.