Apa yang kita perlu tahu mengenai penyambungan semula EPL

SEMUA pemegang taruh bagi Liga Perdana Inggeris (EPL) bersetuju untuk memulakan semula musim ini dalam tempoh tiga minggu lagi selepas satu perbincangan diadakan.

Apa yang kita perlu tahu mengenai persetujuan bersama antara kelab yang terlibat dalam Project Restart ini?

1. Semua tarikh yang dipersetujui adalah bersifat sementara, bergantung kepada kelulusan kerajaan United Kingdom (UK).

2. Jadual penuh penyambungan liga belum dikeluarkan lagi dan semua perlawanan yang dirancang masih belum mendapat kelulusan pihak berkuasa UK.

3. Penyambungan akan dimulakan dengan dua baki perlawanan bagi minggu ke-29 EPL – Aston Villa lawan Sheffield United dan Manchester City lawan Arsenal pada 17 Jun.

4. Minggu ke-30 perlawanan EPL dirancang bermula pada Jumaat, 19 Jun sehingga Ahad, 21 Jun.

5. Waktu sepak mula pertama adalah pada pukul 8 malam, pada Jumaat, waktu UK.

Premier League atau EPL ini dihentikan sejak 13 Mac akibat pandemik coronavirus.

Liverpool mendahului carta liga dengan 25 mata dihadapan pencabar terdekat Manchester City dan memerlukan sekurang-kurangnya enam mata untuk menamatkan penantian selama 30 tahun untuk muncul juara liga utama Inggeris itu.

COVID-19: Perlumbaan Moto GP Britain, Australia dibatal

KUALA LUMPUR: Perlumbaan motosikal Grand Prix (GP) Motosikal Britain dan Australia 2020 yang dijadualkan pada Ogos dan Oktober, dibatalkan berikutan kebimbangan terhadap pandemik global COVID-19.

Dorna Sports, pemegang hak eksklusif komersial dan televisyen MotoGP, dalam kenyataan hari ini berkata keputusan itu dicapai dengan persetujuan Persatuan Pasukan Perlumbaan Jalan Raya Antarabangsa (IRTA) dan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) berikutan kebimbangan terhadap pandemik itu.

Mengikut jadual asal, GP Britain akan berlangsung pada 28-30 Ogos di Litar Silverstone, sementara GP Australia pula dijadualkan pada 23-25 Okt di Litar Phillip Island.

Ketua Pegawai Eksekutif Dorna Sports, Carmelo Ezpeleta berkata amat menyedihkan bagi pihaknya untuk membatalkan kedua-dua perlumbaan ikonik itu, sambil menambah masalah logistik dan operasi yang timbul akibat daripada pandemik serta penyusunan semula jadual perlumbaan menjadi antara sebab utama pembatalan tersebut.

“Setiap musim, Silverstone dan Phillip Island selalu menjadi dua perlumbaan hujung minggu yang paling mendebarkan, dengan kedua-dua litar tidak pernah gagal mempersembahkan saingan sengit dalam kejuaraan MotoGP.

“Bagi pihak Dorna, saya ingin sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada para peminat kerana memahami dan bersabar ketika pihak kami menunggu keadaan kembali pulih. Kami berharap dapat kembali ke Silverstone dan Phillip Island tahun depan untuk persaingan yang lebih mencabar,” tambah Ezpeleta.

Berkongsi pandangan yang sama adalah Pengarah Urusan Silverstone Circuit Ltd, Stuart Pringle, yang sangat kecewa dengan pembatalan itu, tetapi menyokong keputusan itu kerana menghadapi masa-masa sukar ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat Britain yang tabah atas kesabaran dan sokongan mereka. Kita pasti menantikan tahun 2021 ketika Silverstone sekali lagi akan menjadi tuan rumah perlumbaan terpantas dan paling bersejarah dalam kalendar MotoGP, dan kami perlu bekerja keras untuk menjadikannya acara yang benar-benar luar biasa untuk dinikmati oleh semua,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Australian Grand Prix Corporation Paul Little AO berharap perlumbaan MotoGP akan kembali ke litar legenda di Phillip Island tahun depan.

“Kami sangat kecewa kerana peminat MotoGP di seluruh Victoria, Australia, dan antarabangsa tidak akan berpeluang berkunjung ke sini untuk menyaksikan pelumba-pelumba terbaik dunia bersaing di salah satu litar terbaik dunia, bagaimanapun keputusan yang tepat telah dibuat,” katanya.

Zaqhwan sasar perlumbaan di Suzuka

PELUMBA pasukan Honda Asia Dream Racing, Zaqhwan Zaidi, masih belum sedia mengibar bendera putih apabila menaruh harapan untuk beraksi kemungkinan juga satu-satunya perlumbaan antarabangsa disertainya tahun ini, iaitu perlumbaan Endurance 8 Jam Suzuka, Jepun hujung tahun ini.

Kalendar perlumbaan motorsikal tahun ini menjadi samar, baik di peringkat tempatan seperti saingan Cub Prix termasuklah Kejuaraan Motorsikal Asia (ARRC) yang masih belum mengeluarkan jadual baru gara-gara penularan wabak COVID-19.

Namun ia tidak bermakna Zaqhwan tidak mempunyai sebarang sasaran untuk dikejar apabila Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) telah pun mengeluarkan jadual baru, dengan perlumbaan di Jepun itu ditunda pada November 2020.

Ia memberi kelegaan buat Zaqhwan yang memburu penampilan kelimanya dalam saingan ini, dengan pencapaian terbaik pernah diraih pelumba dari Selangor itu adalah menduduki tangga kelapan pada 2016.

“Saingan Endurance Lapan Jam masih lagi diteruskan dalam jadual yang dikeluarkan FIM. Buat masa ini, ia telah ditunda ke hujung tahun ini,” katanya.

Bagaimanapun, senarai penuh dua lagi pelumba yang akan menyertainya masih belum dapat diketahui.

Dalam masa sama, Zaqhwan turut melahirkan rasa bersyukur kerana dapat bersama keluarga tahun ini beraya di tanah air, setelah empat tahun sebelum ini berada di perantauan menyertai perlumbaan.

“Saya berasa ini adalah peluang terbaik kerana telah berjauhan dengan keluarga bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri tetapi situasi COVID-19 membenarkan saya bersama keluarga menyambut perayaan ini.”

Dr Farrah: Dulu gimnas, kini Prof Madya

KUALA LUMPUR: Bekas ratu gimnas berirama negara Dr Farrah-Hani Imran mencipta sejarah apabila muncul atlet pertama dilantik sebagai Profesor Madya dalam bidang perubatan, sekali gus gimnas pertama mendapat pengiktirafan tertinggi berkenaan.

Ketua Pembedahan Plastik, Unit Kebakaran dan Penjagaan Luka, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) itu menerima hadiah istimewa sempena sambutan Syawal pada 22 Mei selepas 14 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

“Ini kali pertama bekas atlet negara menerima pengiktirafan sebagai Profesor Madya pembedahan, dan bekas gimnas negara pertama sebagai Profesor Madya dalam apa-apa bidang. Ini membuktikan bahawa sukan penting dalam membina watak dan membentuk individu mahir dalam pelbagai bidang, juga menjadi aset di tempat kerja.

“Pendorong utama saya adalah keluarga – ibu Amy Imran (dikenali sebagai Sister Amy Imran), abang Dr Amar Imran dan suami Dr Enda Kelly,” kata Dr Farrah, gimnas pertama Malaysia menyertai Kejohanan Dunia di Alicante, Sepanyol pada 1993, kepada Bernama.

Walaupun tanggungjawab bertambah dengan peranan baharu dan ketika negara berdepan wabak COVID-19, Naib presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) itu berharap pengiktirafan yang diberikan dapat memperkukuhkan pendidikan, pemerkasaan dan kerjasama antara sukan dan akademik, terutama dalam aspek kekuatan mental, kawalan doping dan penjagaan kesihatan.

Ditanya mengenai andaian skeptikal bahawa sukan menjadi penghalang seseorang untuk berkerjaya, gimnas berusia 43 tahun itu berkata sukan ibarat alat dan medan mengenalpasti karakter seseorang serta peluang untuk memperbaiki diri kepada versi lebih baik.

“Konsep utama adalah bukan hanya mengenai kemenangan, sama ada dalam bilik darjah atau di gelanggang, ini adalah mengenai sikap dan watak semata-mata. Memahami apa yang mendorong anda, memahami tanggungjawab kepada pasukan dan memberikan yang terbaik.

“Sukan mengajar bagaimana untuk menjadi juara tapi lebih penting, ia mengajar bagaimana menangani kekalahan, termasuk mengetahui bila masa untuk berundur dan membiarkan orang lain bersinar, menyedari hakikat bahawa ia bukan hanya tentang diri kita sahaja,” katanya.

Dr Farrah adalah graduan daripada Royal College of Surgeons, Ireland (RCSI) pada tahun 2002 dan mendapat Ijazah Sarjana Pembedahan (Pembedahan Plastik) dari Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 2010.

COVID-19 pun tak mampu semadikan Liverpool

PADA waktu virus pembunuh ini terus menular untuk meragut nyawa di merata pelosok dunia – hampir 350,000 orang sudah menjadi korban – Liverpool FC pula kembali bertatih bagi menghidupkan satu harapan yang suatu ketika diancam untuk turut disemadikan.

The Reds sudah kembali ke padang latihan mereka di Melwood minggu ini dalam menyempurnakan impian untuk ditabalkan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas 30 tahun di sebalik gembar-gembur dan harapan musuh-musuh utamanya agar saingan musim ini dikuburkan saja tanpa juara.

COVID-19 sekalipun, nampaknya tidak mampu membunuh Liverpool kecuali sekadar ‘mengkuarantin’ mereka dan pasukan-pasukan lain buat beberapa ketika.

Hasil ihsan ‘Project Restart’ (projek bermula semula) yang diputuskan EPL dalam memastikan saingan musim 2019/20 ini tidak terbengkalai atau tergantung begitu saja, Liverpool kembali mengatur langkah ke arah satu detik unik dalam sejarah bola sepak Inggeris mahupun Eropah.

Misi yang penting buat Liverpool ketika ini ialah memastikan pemain-pemainnya tidak dijangkiti COVID-19 selain kekal cergas dan sihat.

Menurut akhbar Liverpool Echo, satu kemarau panjang gelaran yang merentasi satu generasi lamanya, akan akhirnya berkesudahan dengan beralaskan hanya enam mata lagi daripada sembilan perlawanan yang masih berbaki, untuk nama kelab itu terukir di piala kejuaraan.

Sejumlah 27 kemenangan daripada 29 perlawanan jelas sudah meletakkan Jurgen Klopp dan anak buahnya di kedudukan ‘penjarakan sosial’ amat selesa – perbezaan 25 mata di tangga teratas yang bakal tercipta sebagai satu malapetaka andai kejuaraan dinafikan daripada mereka.

Kapten, Jordan Henderson, dan tonggak pertahanan, Virgil van Dijk, serta setiap anggota barisan cemerlang ini, bagaimanapun, harus mendepani prospek untuk menyempurnakan impian kejuaraan musim ini di stadium tanpa penonton dan gema dari tempat duduk The Kop.

Misi yang penting buat Liverpool ketika ini ialah memastikan pemain-pemainnya tidak dijangkiti COVID-19 selain kekal cergas dan sihat.

Itu bukan di dalam kawalan mereka kecuali sekadar memastikan enam mata lagi kerana segala keriuhan dan kemeriahan dijulang sebagai juara boleh menyusul kemudian.

Seperti yang sudah kerap diuar-uarkan Klopp sendiri, matlamat itu – mengesahkan kejuaraan dalam sebarang keadaan – adalah satu-satunya perkara yang menjadi keutamaannya sambil meninggalkan perkara selebihnya sebagai kebimbangan orang lain sejak liga ‘dikuarantin’ dua bulan lamanya.

Peri penting buat Liverpool ketika ini ialah memastikan pemain-pemainnya tidak dijangkiti virus berasal dari Wuhan, China itu, kekal cergas dan sihat di samping menyediakan pasukan berada dalam kesiapsagaan untuk meraih ganjaran sebaik lampu hijau dinyalakan untuk baki liga bersambung semula – tanpa mengira bila pun waktunya, sama ada Jun atau Julai ini.

Misi yang penting buat Liverpool ketika ini ialah memastikan pemain-pemainnya tidak dijangkiti COVID-19 selain kekal cergas dan sihat.

Lebih daripada mengatasi harapan pesaing-pesaing untuk melihat Liverpool tergelincir daripada landasan, pandemik COVID-19 ini dan segala gejala yang dibawanya serta segala kepayahan dan ketakutan terhadapnya, harus memberikan The Reds vaksin terbaik pada ketika saintis terbaik dunia masih terkial-kial untuk menghasilkannya.

Biarlah kalau musuh-musuh utama mahu terus mempersendakan mereka tapi tiada apa-apa, baik COVID-19 sekalipun, yang dilabel Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai musuh utama dunia ketika ini, akan mampu menguburkan Liverpool dan impian kejuaraannya.

Presiden FIFA ucap selamat hari raya

KUALA LUMPUR: Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Gianni Infantino mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakyat Malaysia.

Infantino membuat ucapan itu dalam bahasa Inggeris menerusi video ucapan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan kata-kata semangat di kala sukan paling popular dunia itu terjejas teruk ekoran pandemik COVID-19.

“Putuskan rantaian jangkitan, tapi manfaatkan kuasa perhubungan. Semua orang teruskan berjuang, disiplinkan diri sendiri.

“Bersatu kita teguh, kita boleh lakukannya. Eid Mubarak kepada rakyat Malaysia,” kata pemimpin badan induk dunia kelahiran Switzerland itu.

Video berdurasi satu minit 35 saat itu, turut menampilkan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin; Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia, Datuk Windsor Paul John; Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dan Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

“Dalam memerangi musuh yang senyap, harus ada strategi. Ayuh jalani kelaziman baharu,” kata Hamidin.

Turut memberi ucapan lebaran pada video itu ialah bekas pemain kebangsaan, Shukor Adan dan Mohd Safee Sali; pemain futsal wanita, Intan Sarah Anisah Zulgafli; serta beberapa tonggak Harimau Malaya seperti Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Mohamadou Sumareh, Syafiq Ahmad dan Brendan Gan.

Joyous rewards await future hari raya celebrations – Chong Wei

KUALA LUMPUR: Former national badminton ace Datuk Lee Chong Wei advised Malaysians who are disappointed with Hari Raya Aidilfitri celebration this year due to the COVID-19 outbreak, to be patient.

The three-time Olympic silver medallist also hoped that by being patient this year, Malaysians will be rewarded with the joy of celebrating the festival in the coming years in the lively atmosphere just like before.

“To all my friends, I understand that everyone is feeling not so enthusiastic as the celebration this time is affected by measures to prevent coronavirus (COVID-19).

“Wong Mew Choo, my two sons and I would like seek forgiveness and extend our Hari Raya Aidilfitri wishes to those celebrating the occasion. Just like a badminton game, we restart.. ‘kosong-kosong (zero-zero),” he said in his Facebook posting today.

The Penang-born player also recalled his childhood experience of visiting Aidilfitri open houses of his friends and neighbours as well as playing fireworks.

“It is does not matter whose house was first (to visit), there would always be chicken rendang, ‘serunding’ (floss), ‘squid sambal and ketupat.

“When I entered Bukit Jalil Sports School, during Aidilfitri, the cafeteria will prepare special dishes and a group of us, wearing ‘baju Raya’ (traditional clothes) would ambush our coach’s house. Those were the sweetest memories,” shared the 37-year-old former singles player.

Meanwhile, national track cycling champion, Mohd Azizulhasni Awang, who is celebrating Hari Raya in Melbourne, Australia, also reminded Malaysians to practise social distancing while celebrating and visiting relatives.

“Do remember when you are visiting, avoid touching and shaking hands, and if you shake hands, remember to wash your hands or use hand sanitiser.

“In the midst of celebrating this year Hari Raya Aidilfitri, don’t forget two things, firstly, the COVID-19 virus is still around and secondly, my family and I are celebrating this festival far away from home,” wrote Mohd Azizulhasni, who also uploaded a picture of his family and teammate, Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

Gambian-born Mohamadou Sumareh, who is Malaysia’s first naturalised football player also uploaded a photograph and extend his Hari Raya greetings while national diver, Nur Dhabitah Sabri shared a photograph of her family on their respective social media platforms.

Six-time Super League champions Johor Darul Ta’azim Football Club (JDT) also shared their Hari Raya greetings through a video posted on their official Johor Southern Tigers Facebook, featuring greetings from team captain Harris Harun and other players such as Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak, Mohd Izham Tarmizi Roslan and Safawi Rasid.

Kafa tagih bantuan kerajaan Kelantan

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) menagih bantuan kewangan daripada kerajaan negeri bagi meringankan bebanan yang ditanggung oleh persatuan itu selepas hilang punca pendapatan utama akibat penularan pandemik COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid, berkata rayuan untuk mendapatkan bantuan itu adalah bagi meringankan bebanan kewangan yang terpaksa ditanggung ketika ini terutamanya selepas penaja utamanya, After Image Sdn Bhd menarik diri baru-baru ini.

“Kami merayu kerajaan negeri bantulah kami dalam kemelut kewangan yang meruncing ini. Sayangilah Kelantan FA yang pernah menaikkan nama Kelantan suatu ketika dahulu,” katanya dalam kenyataan, di sini, pada Sabtu.

Sebelum ini, media melaporkan krisis kewangan KAFA semakin parah selepas Datuk Wan Rakemi Wan Zahari meletakkan jawatan sebagai Pengarah Urusan Team Red Warriors (TRW) Sdn Bhd berkuat kuasa serta-merta.

Peletakan jawatan itu juga secara tidak langsung menyaksikan After Image sebagai pihak berkepentingan terbesar dalam Team TRW Sdn Bhd turut menarik diri sebagai rakan kongsi rasmi pasukan.

Ahmad Muzakkir berkata bantuan kewangan itu diperlukan kerana persatuan bergantung sepenuhnya kepada rakan penaja serta hasil penjualan tiket dan jersi.

“Sekarang saingan Liga-M (Liga Malaysia) ditangguhkan menyebabkan aliran kewangan tidak masuk ke akaun KAFA.

“KAFA adalah milik rakyat, mereka juga turut bersedih dengan nasib yang menimpa kami, ramai di antara mereka telah menterjemahkannya dengan derma yang dilancarkan sebelum ini,” katanya.

Rindu ibu, tapi kesihatan lebih penting – Aidil Zafuan

KUALA LUMPUR: Kali pertama meraikan Aidilfitri di Johor Bahru, pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Aidil Zafuan Abd Radzak menyifatkan sambutan Syawal kali ini paling sayu untuknya sekeluarga.

Namun, beliau akur tidak dapat pulang ke kampungnya di Seremban untuk meraikan Hari Raya bersama ibu tersayang kerana mengambil kira faktor kesihatan dan keselamatan keluarga ketika negara dilanda wabak COVID-19 yang belum berakhir.

Menurut Aidil Zafuan, sambutan Aidilfitri di Johor Bahru mungkin tidak sama seperti tahun sebelumnya, tetapi bersyukur kerana isteri dan anak-anak ada bersamanya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Persiapan raya kali ini sangat berbeza. Kebiasaannya memang saya balik kampung jumpa ibu dan ibu mertua saya, tetapi dengan keadaan wabak berbahaya sekarang ini, saya tidak mahu ambil risiko membahayakan kesihatan ahli keluarga yang lain.

“Saya pun ada anak-anak yang masih kecil dan di kampung ada ramai orang tua yang berisiko tinggi terkena jangkitan, jadi saya buat keputusan untuk beraya di sini sahaja walau sebenarnya rindu sangat hendak balik jumpa ibu,” katanya dalam satu kenyataan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Jumaat.

Mengulas mengenai perjalanan Liga Malaysia (Liga-M), seperti pemain lain, Aidil Zafuan juga menginginkan agar saingan kembali bersambung selain mengharapkan pandemik COVID-19 segera berakhir.

Berdasarkan format Liga-M yang diubah oleh MFL, pemain berusia 33 tahun ini menganggap keputusan meneruskan baki tujuh perlawanan pada September depan adalah sesuai dalam situasi ketika ini.

Katanya, semua pasukan memerlukan perlawanan kompetitif, lebih-lebih lagi skuad Harimau Malaya yang perlu bersedia untuk menghadapi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

“Untuk saya, kalau kita tengok daripada segi masa, memang inilah format paling sesuai untuk liga dan semua tahu kita sudah kesuntukan masa kerana hanya empat sahaja perlawanan sempat dijalankan pada awal musim.

“Tambahan lagi MFL sudah membatalkan Piala FA, dan kita hanya ada Piala Malaysia yang perlu diteruskan selain skuad kebangsaan juga ada misi tersendiri. Memang ini sahaja pilihan kita ada untuk liga kembali bersambung dan ia lebih baik daripada kita langsung tidak dapat bermain pada musim ini,” katanya.

Pengarah Urusan TRW lepas jawatan

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) terus ditimpa episod malang apabila Pengarah Urusan Team Red Warriors (TRW) Sdn Bhd Datuk Wan Rakemi Wan Zahari melepaskan jawatan itu berkuat kuasa Khamis.

Wan Rakemi berkata keputusan itu dibuat selepas penelitian secara mendalam dengan berat hati untuk melepaskan jawatan itu selaku entiti yang bertanggungjawab mengendalikan pasukan Kelantan FA musim 2020.

“Peletakan jawatan itu juga secara tidak langsung menyaksikan syarikat After Image Sdn Bhd sebagai pihak berkepentingan terbesar dalam Team TRW Sdn. Bhd turut menarik diri sebagai rakan kongsi rasmi pasukan.

“Keputusan ini bukanlah dibuat secara ‘semberono’. Ia dibuat dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk perkembangan terkini keadaan dunia terutamanya penularan wabak pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Musim ini, pasukan Kelantan TRW diuruskan oleh syarikat terbabit yang ditubuhkan hasil daripada kerjasama dengan KAFA.

Wan Rakemi berkata beliau mengakui COVID-19 telah memberikan impak besar kepada dunia bukan sahaja kepada kehidupan harian malah ekonomi dan sukan bola sepak sendiri.

“Kelantan dan TRW bergantung sepenuhnya kepada kutipan jualan tiket, jualan jersi dan tajaan untuk menggerakkan pasukan, namun sejak saingan Liga Malaysia (Liga M) ditangguhkan, kantung kewangan pasukan makin ‘kering’.

“Bukan sahaja kering, malah masih banyak lagi hutang lama pasukan yang belum diselesaikan dan situasi itu membuatkan After Image sudah tidak mampu untuk menggalas tanggungjawab itu dalam keadaan suasana tidak menentu dan aliran tunai sangat kritikal ketika ini,” katanya.

Katanya, pada masa yang sama, beliau juga ingin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Exco Eksekutif KAFA penggal 2019-2023, Bendahari dan Pengurus Pasukan TRW2020.

“Hasrat dan impian untuk melihat TRW2020 kembali gemilang seperti sebelum ini terpaksa ditangguhkan, dan saya berharap ianya akan dapat diteruskan.

“Saya pohon kemaafaan kepada semua penyokong setia TRW. Terima kasih juga kepada barisan kepimpinan KAFA dan semua yang terlibat dalam memajukan pasukan,” katanya.