Aktiviti mendaki gunung dibenarkan bermula 15 Jun – KBS

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan bahawa mendaki adalah antara aktiviti sukan dan rekreasi yang dibenarkan oleh kerajaan bermula 15 Jun ini, dengan pendaki perlu mematuhi amalan jarakan sosial serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Pendakian gunung dibenarkan bermula 15 Jun 2020,” menurut jawapan ringkas KBS terhadap pertanyaan netizen di laman Facebook rasminya, KBSMalaysia, berhubung perkongsian SOP sukan yang dibenarkan dan dilarang oleh kerajaan.

Sebelum ini, ramai pendaki keliru sama ada aktiviti mendaki dibenarkan atau tidak di bawah kategori rekreasi dan riadah.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad, mengumumkan beberapa jenis sukan dan aktiviti rekreasi akan dibenarkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mulai Rabu ini, dengan pematuhan rapi terhadap SOP ketat yang ditetapkan kerajaan.

Bola sepak boleh mula latihan tanpa sentuhan 15 Jun ini

KUALA LUMPUR: Semua pasukan dan kelab Liga Malaysia (Liga M) kini boleh menarik nafas lega selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi kebenaran untuk semua sukan berpasukan dan sukan tempur memulakan latihan bermula 15 Jun ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata semua sukan itu dibenarkan berlatih tanpa sentuhan badan dengan melakukan penjarakan sosial tiga hingga lima meter.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sukan berpasukan seperti bola sepak, hoki, ragbi dan bola jaring serta sukan tempur seperti karate, taekwondo dan silat masih tidak dibenarkan dimainkan secara ‘match play’.

“Ini secara langsung memberi kebenaran kepada pasukan bola kebangsaan dan pasukan negeri atau kelab di bawah MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) dan akademi lain yang berdaftar untuk memulakan latihan secara tidak bersentuhan badan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Am Individu dan SOP Pengurusan yang ditetapkan.

“Ia merupakan langkah permulaan sepertimana di negara luar, Liga Bola Sepak Inggeris yang telah memulakan fasa pertama dengan latihan tanpa sentuhan. Namun, kita guna SOP sendiri dengan kelulusan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya pada sidang media di Menara KBS, hari ini.

Bagaimanapun, katanya jika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu melaksanakan latihan penuh yang melibatkan sentuhan, FAM perlu membuat permohonan kepada MKN.

Katanya, latihan itu akan menggunakan pendekatan konsep program ‘Road to Tokyo’ iaitu ‘quarantine based’ bagi menjamin keselamatan atlet, jurulatih serta pegawai bertugas.

“Sebelum ini FAM datang untuk mohon mulakan liga. Tapi untuk latihan mungkin kita boleh kemuka permohonan ke MKN dari semasa ke semasa untuk latihan kemahiran penuh. Boleh dapat kelulusan itu jika ikut SOP ketat seperti program RTT,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang antara lain memberi lampu hijau dan ruang untuk sektor sukan dan rekreasi dibuka semula dengan pematuhan SOP akan ditetapkan.

Dalam perkembangan lain, Reezal Merican berkata sukan permotoran masih tidak dibenarkan untuk menganjur kejohanan dan pertandingan bagi mengelakkan daripada himpunan orang ramai namun ‘track day’ bagi sukan permotoran dua roda dan empat roda dibenarkan untuk pengujian kenderaan.

Namun, beliau berpendapat sukan permotoran boleh dibuka semula kerana sukan berkenaan tidak melibatkan kontak rapat.

Sementara itu, Reezal Merican berkata KBS akan mengumumkan pemberian dana kepada persatuan sukan kebangsaan yang terkesan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya tahu persatuan sukan terkesan teruk dalam tempoh ini. Saya akan buat pengumuman pemberian dana bagi membolehkan mereka melakukan beberapa perkara untuk meneruskan aktiviti sukan. Buat masa sekarang, saya tidak mahu umum jumlah lagi.

“Dalam masa sama saya juga akan berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk pemberian dana kepada sukan permotoran juga,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mengingatkan persatuan sukan para kebangsaan bahawa segala aktiviti sukan masih tertakluk kepada SOP walaupun kerajaan memberi kelonggaran untuk sektor sukan dan rekreasi dibuka semula bermula 15 Jun ini.

Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata pasukan yang ingin kembali menjalani latihan berkumpulan dan bersentuhan perlu menyediakan garis panduan untuk dikemukakan permohonan kepada MKN menerusi KBS.

Pada masa yang sama, MPM juga bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk tidak memberi kebenaran kepada beberapa sukan berpasukan yang amat berbahaya dan boleh memudaratkan kesihatan atlet.

SOPs, date for reopening of sports and recreation sector to be out tomorrow

KUALA LUMPUR: The Youth and Sports Ministry is expected to announce the standard operating procedures (SOP) and the date for the second phase of the sports and recreation sector to resume operating, tomorrow.

Permission to operate follows the announcement by Prime Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin, when announcing the Recovery Movement Control Order (RMCO) today, among others, giving the green light and space for the sports and recreation sector to reopen in compliance with the SOPs that will be set.

Youth and Sports Minister Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican said the ministry would give more details on the government’s decision after the press conference of Senior Minister (Security Cluster) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tomorrow.

“I believe that many sports enthusiasts have welcomed the announcement just now. This good news will benefit the sports community and the sports industry in general.

“Various initiatives and SOP proposals from overseas sports sectors are also being considered and being taken into account by the National Security Council (MKN) and the Health Ministry to be implemented gradually and with the joint responsibility of all parties,” he said.

Among Muhyiddin’s announcement regarding the sports sector was permission for team training as well as sports activities that did not involve body contact and outdoor group activities such as tenpin bowling, badminton, archery, shooting, cycling and motorcycle convoys.

However, swimming, rugby, wrestling, boxing, football, basketball and hockey, including sports competitions or games involving large crowds of supporters or spectators, are not permitted.

Kerajaan Perak bantu kebajikan legenda bola sepak Namat Abdullah

IPOH: Kerajaan negeri Perak akan membantu kebajikan legenda bola sepak negara, Datuk Namat Abdullah yang kini menghidap kanser usus tahap 4.

Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, bantuan itu termasuk kos rawatan yang diperlukan dan beberapa kemudahan lain.

Menurutnya, kerajaan negeri akan mempastikan kebajikan setiap atlet dan pemain, termasuk yang telah bersara mendapat perhatian sewajarnya.

“Saya mewakili Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) sudah berbincang dengan keluarga Namat mengenai apa yang diperlukannya bagi memastikan kebajikannya terbela.

“Beliau merupakan seorang pemain bolasepak yang telah mengharumkan nama negara hingga ke peringkat antarabangsa dan kerajaan negeri tidak akan abaikannya,” katanya ketika melawat Namat di kediamannya di Taman Larah Aman di sini, hari ini.

Sempena lawatan tersebut, Khairul Shahril turut menyampaikan sumbangan kepada legenda bola sepak negara itu.

Namat, 74, menghidap kanser usus tahap 4 sejak 2015 dan akan menjalani kemoterapi di Hospital Pulau Pinang, 15 Jun ini.

Namat dan isterinya, Datin Mahani Sulaiman, 72, kini tinggal dengan anak perempuan mereka Monaliza Namat, 38, dan menantunya Zulizwar Mohd Bakir, 39, sejak dua bulan lalu.

Khairul Shahril berkata kerajaan negeri tidak melupakan mereka, bekas atlet, contohnya membantu bekas pemain bolasepak Perak dan penjaga gol hoki kebangsaan, Ahmad Sufian Zulkifli untuk rawatan pembedahan jantung.

Namat berkata, beliau terharu dengan kedatangan rakan-rakan yang melawatnya di sini setelah tidak menemui mereka sejak beberapa tahun lalu. - Foto Astro AWANI

Sementara itu, Namat berkata, beliau terharu dengan kedatangan rakan-rakan yang melawatnya di sini setelah tidak menemui mereka sejak beberapa tahun lalu.

“Saya juga berterima kasih kepada kerajaan negeri yang masih menghargai sumbangan dalam bola sepak dan membantu meringankan bebannya,” katanya yang berkerusi roda sejak diserang angin ahmar pada 2015.

Namat merupakan tonggak pertahanan negara yang pernah beraksi bersama skuad Olimpik di Munich pada 1972.

Terdahulu beberapa bekas pemain bola sepak yang pernah bermain dengan Namat seperti Datuk Soh Chin Aun, Datuk Ramli Mahmud, Datuk Abdah Alif dan Yunus Alif meluang masa lebih 45 minit melawat Namat di samping memberikan kata-kata semangat kepadanya.

COVID-19: BWF batal tiga lagi kejohanan badminton

KUALA LUMPUR: Persekutuan Badminton Dunia (BWF) membatalkan tiga lagi kejohanan badminton terbuka susulan penularan wabak COVID-19.

Kejohanan berkenaan adalah Terbuka Australia (2-7 Jun), Terbuka Hyderabad (11-16 Ogos) dan Masters Korea Selatan (24 hingga 29 Nov).

Menurut BWF dalam satu kenyataan pada Jumaat, kejohanan badminton Terbuka Australia yang sebelum ini ditangguhkan, terpaksa dibatalkan kerana Badminton Australia, badan induk sukan badminton negara berkenaan gagal menemui tarikh baharu yang sesuai.

Manakala, Badminton Korea pula meneruskan penganjuran Terbuka Korea Selatan 2020 di Seoul pada 8 hingga 13 Sept.

Setiausaha Agung BWF, Thomas Lund berkata beberapa perubahan perlu dilakukan namun ia tidak memberikan kesan besar kepada kalendar baharu kejohanan bagi musim 2020.

Beliau juga berterima kasih kepada semua ahli gabungan di atas kesabaran, kerjasama dan nasihat diberikan sebelum BWF memutuskan untuk menyemak semula kalendar kejohanan susulan krisis penularan COVID-19.

“Kami akan terus menyesuaikan perubahan ini bagi memastikan setiap aktiviti sukan badminton mematuhi peraturan dan undang-undang Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pihak berkuasa kesihatan tempatan, serta sekatan perjalanan antarabangsa dan domestik.

“Rombakan pada kalendar kejohanan adalah perancangan utama untuk tuan rumah menganjurkan pertandingan dan pemain bertanding semula. Kami memerlukan sokongan dan ketekunan daripada semua pihak untuk mengembalikan semula ekosistem ini,” katanya.

Kerajaan disaran perkenal polisi helicopter drop kepada industri sukan

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran memperkenalkan polisi ‘helicopter drop’ kepada industri sukan negara bagi membantu pemain industri terus kekal relevan dalam pasca pandemik COVID-19.

Cadangan itu dikemukakan pensyarah kanan Fakulti Sains Sukan & Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mohd Sadek Mustaffa, sebagai alternatif untuk merangsang kembali ekonomi dalam sektor sukan yang terjejas sejak lebih tiga bulan lepas.

“Tanpa sukan, dunia sunyi dan itu realitinya. Melihatkan bahawa pentingnya sukan ini bukan sahaja dari segi ekonomi, tetapi juga kestabilan politik dan kestabilan sosial itu sendiri.

“Kerajaan perlu membuat satu polisi yang berani, dalam istilah ekonomi ia dipanggil ‘helicopter drop’ iaitu mengaktifkan semula dana kepada industri sukan. Setakat ini, saya tidak nampak secara spesifik pengumuman kerajaan tentang satu dana khas untuk industri sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Bicara Sukan UiTM Edisi II yang membincangkan sejauh mana industri sukan Malaysia terkesan akibat pandemik COVID-19 yang disiarkan secara langsung di YouTube, semalam.

Teori ‘helicopter drop’ adalah berdasarkan anggapan asas bahawa wang yang disalurkan terus ke akaun bank akan mendorong masyarakat membelanjakan sebahagiannya untuk barang dan perkhidmatan, meningkatkan permintaan terhadap produk dan membantu ekonomi supaya bertahan.

Mohd Sadek turut mencadangkan agar Kementerian Kewangan memperkenalkan satu sistem kewangan khas dengan mengambil contoh model pelaburan diguna pakai oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menurut beliau, dengan wujudnya sistem sedemikian, ia akan memanfaatkan kesemua pemain industri sukan terutama membantu meringankan beban kewangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan membuat pelaburan ke dalam badan kewangan ini.

“Kita tiada satu institusi kewangan yang mendokong industri sukan. Kementerian Kewangan perlu melihat semula bagaimana model digunakan oleh BSN atau PTPTN yang boleh kita terapkan dalam membantu penggiat sukan sama ada PKS atau bukan.

“Ini penting kerana institusi ini boleh memberi suntikan permulaan atau sebagai solusi kepada apa sahaja permasalahan dihadapi pemain industri dalam mengembangkan industri ini dengan kos margin yang kecil dari segi faedah. Jadi manfaat ini boleh dinikmati pemain yang melabur dalam institusi tersebut,” tambah beliau.

Sementara itu, beberapa ahli panel dalam program tersebut yang juga merupakan pemain industri sukan negara mengakui terkesan dengan pandemik COVID-19.

Pengarah Urusan Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd (UFL), Datuk Radha Krishnan, berkata pengalaman mengemudi syarikat ketika negara dilanda krisis kewangan Asia (AFC) 1997-1999 sedikit sebanyak membantu syarikatnya ketika ini.

“COVID-19 telah menjejaskan terus perniagaan sukan, ramai majikan menghadapi masalah membayar bil, sewa serta gaji pekerja. Kami belajar sesuatu dari krisis kewangan Asia pada 1998…oleh itu pada masa itu, kami mengambil beberapa langkah supaya tidak terjejas teruk kali ini.

“Apa yang kami lakukan adalah memastikan tahap stok dan inventori dikawal sehingga berjaya mengurangkan kesan terhadap perniagaan kami,”  katanya.

Pada masa sama, Pengarah Eksekutif Kumpulan The RS Group, R. Subramaniam berkata COVID-19 memberi impak negatif serta positif terhadap syarikatnya.

“Walaupun kini kami mula beroperasi, cara bekerja telah berubah mengikut prosedur operasi standard (SOP). Jadi kos untuk kita menyiapkan kerja bertambah dan ini memberi kesan dari segi keuntungan yang berkurangan.

“Tetapi yang positifnya kami dapat menyusun semula strategi yang sebelum ini kami tidak mempunyai masa untuk lakukan. Jadi kami dapat memahami semua pekerja dengan lebih baik selain dapat melihat kekurangan dari segi pengurusan,” tambahnya.

KHM sambut baik keputusan FIH tambah kuota kelayakan Piala Dunia

KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menyambut baik pengumuman Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) yang menambah kuota kelayakan automatik ke Piala Dunia 2022/23 menerusi kejohanan-kejohanan benua.

Timbalan Presiden KHM, Prof Datuk Dr S. Shamala berkata FIH telah mengambil langkah yang cukup baik dengan mempertimbangkan implikasi pandemik COVID-19 kepada semua negara kerana proses kelayakan itu penting untuk menjamin tiket ke Piala Dunia.

Beliau berkata keputusan itu bakal menyaksikan Kejohanan Piala Asia, yang dijangka berlangsung pada 2021, tidak hanya menjadi perlawanan bagi merebut piala itu tetapi ia turut menjadi medan bagi pasukan-pasukan di Asia merebut tempat lebih awal ke Piala Dunia.

“Pengumuman itu adalah sesuatu yang cukup baik kerana kami perlu mengambil kira sekiranya terdapat cabang lain yang dibuka oleh FIH untuk kelayakan, persiapan pasukan untuk berdepan dengan pelbagai pasukan adalah sesuatu yang perlu dititikberatkan.

“Apabila penambahan slot diumumkan, kini kami boleh merangka persiapan dengan terperinci bagi menghadapi pasukan-pasukan dari Asia berbanding dengan kami tidak mengetahui pasukan mana yang perlu ditentang.

“Memandangkan impak COVID-19 turut memberikan kesan kepada keupayaan pasukan untuk menjelajah ke negara lain bagi melakukan persiapan, kini kami boleh memberikan fokus untuk berhadapan dengan pasukan-pasukan dari Asia dan ia merupakan sesuatu yang cukup baik,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

FIH semalam mengumumkan bahawa pasukan di benua Asia menerima tiga slot untuk Piala Dunia lelaki 2023, termasuk slot bagi tuan rumah India, manakala dua slot diperuntukkan bagi kategori wanita pada 2022, yang akan diadakan di Sepanyol dan Belanda.

Sebelum ini, hanya enam slot masing-masing bagi kategori lelaki dan wanita (lima juara benua dan satu tuan rumah) diberikan laluan automatik untuk beraksi di Piala Dunia, manakala baki slot perlu direbut menerusi Liga Hoki Dunia.

Namun, pandemik COVID-19 dan penangguhan Olimpik Tokyo kepada Julai 2021, menyaksikan FIH mengumumkan format kelayakan baharu, iaitu lima juara kejohanan benua 2021 bersama lima lagi negara yang berada di kedudukan teratas kejohanan itu, layak untuk mendapat slot automatik bersama tuan rumah bagi Piala Dunia 2022/2023.

Baki lima slot untuk melengkapkan 16 pasukan yang akan beraksi di pentas Piala Dunia 2022/2023 akan ditentukan menerusi aksi kelayakan yang dijadualkan berlangsung pada Mac 2022.

Pada Piala Dunia lelaki 2018 di India, Malaysia tersingkir seawal pusingan kumpulan selepas tewas dalam dua perlawanan dan seri sekali, manakala skuad wanita tidak pernah beraksi di pentas tertinggi sejak Piala Dunia Wanita diperkenalkan pada 1974.

Berikut adalah peruntukan slot mengikut benua:

Kategori Wanita:

Afrika – 1 slot (Juara Kejohanan Kontinental 2021)

Asia – 2 slot

Eropah – 4 slot (Termasuk tuan rumah bagi Piala Dunia Wanita 2022 iaitu Belanda dan Sepanyol)

Oceania – 2 slot

Pan Amerika – 2 slot

Kategori Lelaki:

Afrika – 1 slot (Juara Kejohanan Kontinental 2021)

Asia – 3 slot (Termasuk tuan rumah bagi Piala Dunia Lelaki 2023 iaitu India)

Eropah – 4 slot

Oceania – 2 slot

Pan Amerika – 1 slot (Juara Kejohanan Kontinental 2021)

EPL benarkan perlawanan persahabatan dijalankan

LONDON: Liga Perdana Inggeris (EPL) memberi kebenaran kepada kelab-kelab liga itu untuk mengadakan perlawanan persahabatan menjelang saingan bermula 17 Jun depan.

Kelab-kelab EPL sebelum ini memohon untuk mengadakan perlawanan itu sebagai pemanas badan sebelum kembali memulakan saingan.

Pendahulu liga, Liverpool mengadakan sesi latihan melibatkan 11 pemain utamanya.

Perlawanan persahabatan dibenarkan untuk berlangsung di stadium ataupun pusat latihan.

Bagaimanapun, EPL menetapkan beberapa syarat termasuk mewajibkan semua pemain disaring COVID-19 sebelum kembali bermain selain penjarakan sosial juga perlu diamalkan.

Susulan kebenaran menyambung semula liga, saingan akan berlangsung di venue neutral.

Atlet, pegawai terlibat Kem Latihan Pusat Program RTT jalani tiga proses saringan COVID-19

KUALA LUMPUR: Atlet dan pegawai yang terlibat dengan Kem Latihan Berpusat Program ‘Road To Tokyo’ (RTT) bermula Isnin hingga 30 Jun akan menjalani tiga proses saringan COVID-19.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata semua atlet dan pegawai berkenaan akan menjalani ujian ‘swab’ pertama pada hari pertama pendaftaran di pusat latihan masing-masing.

“Mereka akan menjalani kuarantin kendiri di bilik asrama dari hari pertama sehingga keputusan ujian diperolehi pada hari kedua atau ketiga selepas ujian.

“Manakala ujian swab kedua adalah pada hari kelima (prasimptom) dan ujian swab ketiga pada hari ke-13 (tiada simptom). Ujian itu akan diselaraskan oleh Institut Sukan Negara (ISN),” katanya dalam kenyataan media, pada Isnin.

Jumlah atlet yang telah melaporkan diri di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara termasuk pemain, jurulatih dan pegawai sokongan semalam berjumlah 38 orang, manakala di Pusat Latihan Perahu Layar di Langkawi, Kedah pula adalah seramai 24 orang.

Bagaimanapun pendaftaran bagi kem berpusat di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, akan diadakan pada 8 Jun ini bagi memberikan ruang dan masa tambahan untuk proses sanitasi dan persiapan asrama di Casa 1, Majlis Sukan Negara (MSN).

Reezal Merican berkata tujuan beliau melakukan lawatan kerja ke ABM semalam adalah untuk melihat dan memantau perjalanan pendaftaran dan proses kemasukan pegawai, atlet dan jurulatih ke lokasi latihan berpusat itu.

“Semua proses pendaftaran berjalan dengan lancar tanpa sebarang kesulitan.

“Aspek keselamatan dan kesihatan atlet dan semua yang terlibat dalam kem latihan berpusat itu serta pematuhan rapi garis panduan prosedur operasi standard (SOP) pusat kuarantin telah memberi keyakinan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) ketika kelulusan untuk kelonggaran khas diberikan oleh pihak kerajaan,” katanya.

Pasukan Liga-M masih dilarang lakukan aktiviti bola sepak – MFL

KUALA LUMPUR: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kekal dengan keputusan tidak membenarkan pasukan Liga Malaysia (Liga-M) untuk mengadakan sebarang aktiviti bola sepak termasuk mengadakan sesi latihan sehingga mendapat kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata keputusan itu selaras dengan keputusan kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun ini.

Beliau berkata MFL selaku badan pentadbir Liga-M, berharap pasukan akan terus mematuhi arahan itu sehingga kerajaan memaklumkan mengenai perkembangan terbaru PKPB, dan pada masa ini bola sepak tidak termasuk dalam senarai sukan yang diluluskan penganjurannya.

“Sehubungan itu, sebarang aktiviti seperti latihan pasukan, perlawanan persahabatan dan pergerakan merentas negeri adalah tidak dibenarkan seperti yang dikuatkuasakan oleh MKN sebelum ini.

“Jika ada pasukan yang mengadakan sebarang aktiviti bola sepak tanpa kebenaran MKN, ia jelas melanggar peraturan di bawah Akta 342,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata MFL akan mengenakan tindakan keras ke atas mana-mana pasukan Liga-M jika mereka didapati bersalah melanggar arahan seperti mengadakan sesi latihan dalam tempoh PKPB.

Ab Ghani menegaskan MFL akan sentiasa mengikuti perkembangan dan saranan daripada MKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum memberi kebenaran kepada pemegang taruh Liga-M untuk melaksanakan aktiviti bola sepak jika aksi domestik kembali bersambung musim ini.

“Selaras dengan surat pekeliling diedarkan kepada semua pemegang taruh Liga Malaysia, pasukan tidak dibenarkan mengadakan sebarang sesi latihan termasuk sesi latihan berskala kecil, sesi senaman di gimnasium atau sebagainya memandangkan ia arahan daripada MKN, KKM dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Diharap kesemua pasukan dapat bersabar terlebih dahulu untuk mengadakan sebarang program latihan kerana kita haruslah memenuhi tuntutan daripada pihak berkuasa dalam usaha memastikan semua pasukan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti diarahkan oleh KKM,” katanya.

Saingan Liga-M ditangguhkan sejak 18 Mac lalu selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Baru-baru ini, sebuah portal berita sukan melaporkan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sedang mendapatkan kebenaran daripada kerajaan negeri untuk kembali memulakan sesi latihan menggunakan prosedur operasi standard (SOP) yang selaras dengan garis panduan KKM bermula 9 Jun ini.

SOP itu termasuklah menjalani ujian saringan sebelum memulakan latihan, mengamalkan jarak sosial dan sesi latihan akan membabitkan lima atau enam pemain sahaja.

Dalam kenyataan sama, Ab Ghani berkata MFL akan menyediakan permohonan semula perancangan baharu kalendar Liga-M 2020 berserta dengan SOP latihan pasukan dan perlawanan kepada MKN menerusi KBS selepas PKPB berakhir.

Sebelum ini, MFL mengumumkan perancangan untuk meneruskan pertandingan Liga Super serta Liga Premier pada 1 dan 2 Sept dan akan berakhir pada 26 dan 27 Sept dengan saingan secara separuh liga sahaja manakala Piala Malaysia akan berlangsung pada 17 dan 18 Okt sehingga 7 Nov, sementara Piala FA dan Piala Cabaran dibatalkan.

“Jika perancangan itu mendapat kelulusan kerajaan, maka semua pasukan dijangka memulakan sesi latihan pada Ogos mengikut SOP kendalian latihan dan perlawanan Liga Malaysia yang akan dikeluarkan FAM dan MFL berdasarkan garis panduan MKN, KKM, KBS, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA),” katanya.