Ronaldo bantu Portugal menang ke atas Luxembourg

ronaldo

PARIS: Cristiano Ronaldo membantu Portugal mencipta kemenangan 3-1 ke atas Luxembourg pada Rabu (31 Mac) menerusi jaringan pertamanya dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022.

Penyerang Juventus, Ronaldo menjaringkan golnya yang ke-103 dalam perlawanan antarabangsa lima minit selepas waktu rehat bagi memastikan pasukannya tidak dihambat Luxembourg yang menampilkan persembahan baik akhir-akhir ini meskipun dengan kedudukan tidak tinggi dan jumlah penduduk yang kecil.

Dalam satu keputusan berkontroversi, Ronaldo dinafikan apa yang kelihatan seperti jaringan kemenangan pada masa tambahan ketika seri berdepan Serbia di Belgrade Ahad lalu tetapi beliau tidak dapat disekat apabila menyempurnakan hantaran lintang Joao Cancelo.

Luxembourg menewaskan Republik Ireland pada perlawanan terakhirnya dan satu lagi keputusan mengejutkan seperti boleh berlaku apabila Gerson Rodrigues meletakkan tuan rumah di depan menerusi tandukan pada setengah jam pertama saingan Kumpulan A dekat Stade Josy Barthel.

Ronaldo meletakkan Portugal di depan sebelum Joao Palhinha menambah gol ketiga yang menyelamatkan Portugal seterusnya meletakkan mereka di kedudukan teratas, bersama Serbia, yang menang 2-1 berdepan Azerbaijan.

Ronaldo, 36 tahun kini enam gol kurang daripada rekod sepanjang masa milik pemain Iran, Ali Daei yang menjaringkan 109 gol antarabangsa.

Aguero bakal tinggalkan Man City

PARIS: Pemain penyerang Argentina, Sergio Aguero akan meninggalkan Manchester City apabila kontraknya tamat pada Julai ini, lapor akhbar Manchester Evening News pada Isnin (29 Mac).

Aguero menyertai City dari Atletico Madrid pada 2011 dan sejak itu menjaringkan 257 gol dalam 384 perlawanan, menjadikan beliau penjaring gol terbanyak pasukan itu.

Pengerusi City, Khaldoon Al Mubarak berkata beliau akan tunggu untuk memberikan ucapan selamat tinggal sehingga Aguero benar-benar meninggalkan pasukan itu, namun mendedahkan beliau telah menempah patung bagi memperingati pemain itu.

“Sumbangan Sergio kepada Manchester City sejak 10 tahun lalu sangat besar,” kata Al Mubarak.

“Ini belum waktunya untuk ucapan perpisahan. Masih banyak untuk dicapai,” katanya, ketika City dalam saingan buat kali pertama bagi gelaran Liga Juara-Juara Eropah dan menjadi pasukan pilihan untuk merampas balik piala Liga Perdana England.

“Sementara itu, saya sangat berbesar hati untuk mengumumkan bahawa kami akan menugaskan seorang seniman untuk mencipta patung Sergio yang akan kekal di Etihad Stadium,” lapor Manchester Evening News.

Akhbar itu melaporkan City sedang merancang pesta perpisahan untuk Aguero selepas perlawanan terakhir musim Liga Perdana menentang Everton pada 23 Mei.

Persekutuan sepak takraw S’pura bentuk pasukan kebangsaan wanita pertama

SINGAPURA: Pada usia 11 tahun, Nur Ezzaty Putri Rohaizat akan menghabiskan masa berjam-jam selepas waktu sekolah untuk menyaksikan jiran tetangganya bermain sepak takraw di estet perumahannya di Telok Blangah sebelum pulang ke rumah untuk berlatih teknik menendang yang dipelajari menerusi video-video di laman YouTube.

Kini, pelajar Sekolah Menengah Queenstown yang sudah berusia 15 tahun itu ialah pemain termuda Singapura dalam pasukan sepak takraw kebangsaan wanita pertama, yang akan bertanding dalam perlawanan di acara Sukan Asia Tenggara (SEA) di Phnom Penh, Kemboja pada 2023.

Sepak takraw hanya membenarkan para pemainnya untuk menggunakan kaki, lutut dan kepala untuk menyentuh bola raga.

Setiap pasukan terdiri daripada tiga pemain, iaitu seorang pemain bahagian belakang gelanggang atau tekong dan dua pemain di depan yang dipanggil apit kiri dan apit kanan.

Ketua jurulatih pasukan Padzli Othman, 55 tahun, memberitahu Mediacorp bahawa penubuhan pasukan wanita itu “sepatutnya sudah lama dilakukan”.

“Selama bertahun-tahun, saya melihat kaum wanita bermain di gelanggang di estet-estet perumahan tetapi mereka tidak pernah berpeluang untuk bermain dalam liga. Ini adalah peluang yang baik untuk mereka,” kata bekas pemain sepak takraw negara itu.

Nur Ezzaty semasa menjalani latihan sepak takraw. (Gambar: Eileen Chew/TODAY)

Presiden Persekutuan Sepak Takraw Singapura (Perses), Mohd Nasri Haron, berkata pembentukan pasukan sepak takraw wanita kebangsaan itu adalah inisiatif kepimpinan baru Perses, yang mengambil perhatian terdapat potensi bagi para pemain wanita di sini.

Beliau menambah Perses berharap untuk menjadi sukan sepak takraw lebih inklusif.

Meksipun perancangan untuk menubuhkan pasukan itu dibuat dua tahun lalu, persekutuan itu hanya dapat memulakan uji bakat selepas Pemerintah melonggarkan beberapa sekatan COVID-19 tahun lalu.

Uji bakat bagi pasukan dalam bulan Disember menerima lebih 50 permohonan namun hanya sembilan pemain dipilih. Mereka berusia antara 15 dengan 23 tahun.

Encik Nasri berkata Perses mengadakan perlawanan pada Ahad (28 Mac) untuk mencungkil lebih ramai bakat untuk pasukan kebangsaan wanita.

Pasukan itu merancang untuk membuat kemunculan pertamanya dalam Kejohanan Sepak Takraw Piala Diraja di Bangkok pada bulan September tahun ini sebelum bertanding dalam kategori regu di acara sukan SEA dalam masa dua tahun.

Kategori regu dimainkan oleh tiga pemain dalam setiap pasukan.

Semasa acara sukan SEA 2019 di Kuala Lumpur, Thailand merangkul pingat emas bagi kategori regu wanita dan Vietnam memenangi piala perak manakala Filipina dan Malaysia berkongsi piala gangsa.

BUKAN SUKAN LELAKI SAHAJA

Ezzaty, yang bermain sebagai penyerang, yang sasarannya adalah untuk memastikan bola jatuh di gelanggang pasukan lawan, berkata beliau terkejut apabila diterima masuk ke dalam pasukan itu, lebih-lebih lagi apabila beliau tidak pernah menerima sebarang latihan formal sepak takraw.

Nur Ezzaty Putri Rohaizat. (Gambar: Eileen Chew/TODAY)

Namun, sebagai pemain paling tinggi pasukannya – iaitu 1.68 meter – Ezzaty berkata ketinggiannya membolehkan beliau melompat tinggi dan melakukan tendangan ke gelanggang lawan.

Beliau berseloroh: “Ia juga cabaran terbesar bagi saya kerana saya takut pada ketinggian.”

Seperti Ezzaty, Nurul Ilyana Mohd Sokih juga tidak menyangka beliau dipilih menyertai pasukan kebangsaan.

Penuntut ITE berusia 18 tahun itu masih ingat perasaan takut yang menguasainya semasa bermain sepak takraw dengan rakan-rakan lelakinya di gelanggang berdekatan estet perumahannya di Marsiling dalam tiga tahun lalu.

Ilyana, yang bermain sebagai tekong berkata: “Saya selalu diejek semasa bermain dengan rakan-rakan di estet perumahan saya. Saya rasa seperti, kadangkala, mereka memandang rendah terhadap saya kerana mereka rasa hanya lelaki boleh bermain sukan ini.”

Sekalipun demikian, beliau bertekad untuk membuktikan diri kepada mereka. Malah beliau berlatih lima kali seminggu untuk mahir teknik tekong yang dipanggil “tendangan kuda”, di mana seorang pemain menendang bola melepasi paras bahu atau kepalanya.

“Sebagai pemain wanita, salah satu kelebihan bermain sebagai tekong adalah kita dapat melakukan tendangan kuda kerana kami lebih fleksibel sedikit,” kata beliau.

Nur Haziqah Rosli, 17 tahun, yang bermain sebagai tekong dan apit, bersetuju bahawa pemain wanita lebih tangkas dan boleh melakukan lebih banyak teknik tendangan akrobatik.

Haziqah, anak keempat daripada enam beradik, mempunyai tiga abang yang merupakan pemain kebangsaan dalam sukan sepak takraw sebelum mereka berhenti. Bapanya juga bekas pengadil sepak takraw.

Beliau berkata pada masa terluang, beliau akan menyaksikan perlawanan antara pasukan wanita di negara-negara lain untuk mempelajari teknik-teknik berbeza.

Bapanya, yang pada mulanya terkejut bahawa beliau dipilih untuk menyertai pasukan wanita kebangsaan, memberikan sokongan dengan melatihnya sekali seminggu.

Setelah bermain sukan itu sejak berusia 10 tahun, Haziqah berkata matlamatnya adalah untuk menjadi seorang pemain versatil yang boleh bermain dalam kesemua tiga peranan dalam pasukan.

“Bapa saya sentiasa memberitahu saya jangan berputus asa. Beliau mahu saya pergi jauh dan mewakili pasukan kebangsaan,” katanya.

“Oleh sebab itu saya berlatih bersungguh-sungguh sekarang kerana ia impian saya juga.”

Larian obor Olimpik Tokyo bermula

IWAKI: Larian obor Sukan Olimpik Tokyo bermula pada Khamis (25 Mac) di wilayah Fukushima, lapor Xinhua.

Pemain bola sepak wanita Jepun Azusa Iwashimizu, menjadi pembawa obor pertama dan larian itu akan mengambil masa selama 121 hari merentasi 47 wilayah.

Disertai 14 rakan sepasukan yang lain serta jurulatih Norio Sasaki, beliau akan memulakan larian dari pusat latihan bola sepak kebangsaan J-Village.

J-Village pernah menjadi pusat pemindahan selepas kawasan sekitar Fukushima dilanda gempa dan tsunami pada 2011.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Olimpik Jepun Tamayo Marukawa dan Gabenor Tokyo Koike Yuriko.

Nadal sertai Terbuka Barcelona

Madrid: Juara 11 kali Terbuka Barcelona, Rafael Nadal mengesahkan penyertaan di kejohanan kegemarannya, ATP 500 untuk kali ke-16 pada 19-25 April depan.

Kejohanan ATP kelima terbesar di atas gelanggang tanah liat itu bakal menarik ramai bintang tenis handalan dengan Rafa menjadi pemain kegemaran di hadapan penyokong sendiri dan beraksi di stadium yang mengambil sempena namanya.

Nadal akan berentap di Barcelona untuk kali ke-16, memegang rekod 61-4 sejak 2003 dan menjadi pemain pilihan untuk menambah satu lagi koleksi trofinya pada 25 April.

Rafa tampil kali pertama di Barcelona pada 2003 ketika berusia 16 tahun, menang sekali sebelum tewas kepada Alex Corretja.

Antara 2005-2013, Nadal merangkul gelaran kelapan Barcelona untuk muncul pemain paling cemerlang di kejohanan itu sebelum gagal mara ke separuh akhir pada 2014 dan 2015. Bagaimanapun, dia kembali bangkit dengan hanya tewas satu set pada 2016, 2017 dan 2018 untuk menjulang tiga lagi gelaran untuk keseluruhan 11 trofi tetapi pada 2019, Rafa tewas di separuh akhir kepada Dominic Thiem 6-4, 6-4 dalam masa dua jam.

Khabib tayang limosin mewah

Moscow: Khabib Nurmagomedov mempamerkan limosin mewah miliknya semalam.

Juara lightweight UFC dari Russia itu menikmati masa berharga jauh dari oktagon walaupun spekulasi mengenai masa depannya dalam sukan itu masih berterusan.

Tetapi Khabib menjadikan persaraannya tampak lebih selesa berbanding sebelum ini ketika memeriksa kereta mewah miliknya itu.

Bercakap di Instagram, dia berkata: “Terimakasih semua @kerja yang bagus. Kini trafik sesak di Moscow menjadi lebih selesa dengan kereta saya.”

SKRIN besar untuk keselesaan Khabib ketika perjalanan jauh.
SKRIN besar untuk keselesaan Khabib ketika perjalanan jauh.

Seorang pengikutnya membalas dengan berkata: “Adakah dia membelinya.”

Manakala yang lain menambah: “Anda tak boleh larang hidup dengan gaya menarik.”

Raja lightweight itu bersara daripada sukan tempur pada Oktober lalu selepas menewaskan Justin Gaethje di UFC 254 dan mengumumkan persaraan selepas itu bagi menunaikan janji kepada ibunya.

Presiden UFC, Dana White pula tidak pernah jemu menggunakan kuasanya untuk memujuk jaguh Russia itu kembali bertarung buat kali terakhir tetapi setakat ini usaha gigihnya itu masih sia-sia.

Bulan lalu, petarung lightweight, Kevin Lee menggesa White jangan ganggu Khabib dan membiarkan dia menggantung sarung tinjunya.

Menurutnya kepada MMA Junkie: “Saya fikir mereka (UFC) perlu memandang ke depan dan biarkan dia bersara dan menikmati kehidupannya.

“Biarkan minda Khabib bebas dari sukan ini dan biarkan sukan ini merindui dia seketika.”

KHABIB kagum dengan kemewahan dalam limosin miliknya.
KHABIB kagum dengan kemewahan dalam limosin miliknya.

Johnson sisih Olimpik, fokus Jelajah

Ponte Vedra Beach, Florida: Pemain nombor satu dunia, Dustin Johnson berkata dia tidak akan bertanding di Sukan Olimpik Tokyo pada musim panas ini.

Berdasarkan jadual padat menjelang Sukan Musim Panas itu yang ditunda dari 2020 kerana pandemik koronavirus, Johnson juara bertahan FedEx berkata dia lebih memilih untuk menumpukan Jelajah PGA.

“Saya tak mahu mendesak diri ini menyertainya. Ia membabitkan perjalanan jauh dan saya rasa WGC [Kejohanan Golf Dunia) berlangsung seminggu selepas itu dan Terbuka British beberapa minggu sebelum itu.

“Ia memerlukan banyak masa dan lebih baik saya fokus Jelajah PGA.”

Johnson muncul pemain Amerika Syarikat pertama mengumumkan tidak akan menyertai Olimpik yang memerlukan dua pemain setiap negara bertanding tetapi empat pemain kepada mana-mana negara yang mempunyai pemain ranking 15 teratas dunia.

Terdapat 11 pemain AS yang menduduki kelompok 15 teratas ketika ini.

Terbuka British di Royal St. George di Sandwich, England berakhir pada 18 Julai manakala acara golf Olimpik dijadualkan 11 hari selepas itu pada 29 Julai dan berakhir 1 Ogos. Kejohanan WGC-FedEx St Jude Invitational di Memphis, Tennessee pula berlangsung beberapa hari selepas itu iaitu 5 Ogos.

Dua minggu kemudian, playof Piala FedEx bermula. Piala Ryder seperti Olimpik juga ditunda daripada 2021 kerana pandemik.

Johnson yang mempertahankan gelaran Masters bulan depan sebelum ini turut membuat keputusan sama tahun lalu untuk tidak menyertai Olimpik 2020 sebelum ia ditunda.

Mora gilir pemain hadapi Perak FC

Johor Bahru: Penggiliran pemain bakal dilakukan pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora apabila bertandang ke Stadium Perak untuk berdepan Perak FC pada aksi Liga Super, Ahad ini.

Ketika ditanya sama ada penggiliran pemain skuad Harimau Selatan itu bakal menampilkan Mohamadou Sumareh untuk menentang skuad kendalian Chong Yee Fatt, Mora tidak menolak kemungkinan pemain naturalisasi itu mungkin berada dalam kesebelasan utama.

“Mungkin… semuanya bergantung kepada perancangan taktikal pada perlawanan itu. Apapun saya juga perlu lihat tahap kecergasan pemain lain selepas mengharungi jadual perlawanan yang padat.

“Saya juga akan melakukan penggiliran pemain dan tidak berdepan masalah untuk memilih barisan pemain utama bagi mengharungi perlawanan kelima liga. Malah kita tahu bermain di Ipoh selalunya akan berdepan kesukaran.

“Untuk aksi menentang Perak, saya tahu pasukan itu tewas 0-3 kepada Kuala Lumpur City FC dan kita tidak mahu memikirkan mereka akan bangkit apabila berdepan JDT sebaliknya tumpuan saya lebih terarah untuk memperkemaskan setiap posisi apabila berdepan pasukan itu,” katanya.

Mora menegaskan matlamat utama berdepan Perak FC pastinya mempamerkan aksi konsisten bagi memburu kemenangan dengan semangat juang yang tinggi malah cuba sedaya upaya mencari gol awal dalam perlawanan itu.

Apapun beliau menyatakan skuad Seladang tetap berbahaya tatkala mereka mahu bangkit daripada kekalahan kepada Kuala Lumpur City FC dan sudah tentunya pasukan itu akan tampil lebih agresif dengan corak permainan pantas.

“Ia mungkin perlawanan sukar buat kami apabila beraksi di sana. Malah kami menghormati mereka sebagai salah satu pasukan yang baik dalam saingan liga dan saya jangkakan ia aksi menarik tatkala kami ingin bangkit selepas seri pada aksi lalu,” kata Mora.

Pogba, Cavani ancaman Milan

London: Manchester United mendapat suntikan semangat apabila Paul Pogba dan Edinson Cavani kembali menjalani latihan semalam.

Red Devils berdepan misi getir apabila berkunjung ke AC Milan pada Jumaat ini untuk aksi peringkat kedua 16 terakhir Liga Europa dengan kedudukan terikat 1-1 sebelum ke Leicester City bagi saingan suku akhir Piala FA pada Ahad.

Mereka kini menerima khabar positif apabila kedua-dua bintang itu menyertai sesi latihan pagi semalam di Carrington. Pemain tengah Perancis, Pogba kali terakhir beraksi ketika seri 3-3 menentang Everton pada 6 Februari manakala penyerang Uruguay, Cavani yang masuk sebagai pemain gantian ketika menentang Crystal Palace awal bulan ini tersisih tiga perlawanan selepas itu.

Kedua-duanya disertai pemain tengah Belanda, Donny van de Beek ketika sesi latihan. Dia memanaskan bangku simpanan ketika menentang Chelsea pada 28 Februari tetapi langsung tidak beraksi sejak menentang West Brom pada 14 Februari.

Selain itu, pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer turut lega apabila boleh menurunkan David de Gea yang menjalani kuarantin sebaik tiba dari Sepanyol selepas menyambut kelahiran anaknya.

Cavani kini mampu memperkasakan jentera serangan United ketika menentang Milan di San Siro jika Anthony Martial belum cergas untuk diturunkan.

Red Devils hanya menjaringkan empat gol dalam enam perlawanan sejak bintang Amerika Selatan itu diketepikan manakala impak Pogba di bahagian tengah turut dirindui dan bakal membarisi kesebelasan utama bagi menyekat ancaman Zlatan Ibrahimovic.

Penyerang veteran berusia 39 tahun itu kembali pulih daripada kecederaan dan sedia menghantui bekas kelab lamanya itu.

Chelsea perlu waspada ancaman Atletico

London: Chelsea tidak boleh leka dan perlu bekerja keras ketika melayan kunjungan Atletico Madrid dalam saingan peringkat kedua 16 terakhir Liga Juara-Juara di Stamford Bridge, Khamis ini.

Jaringan menarik Olivier Giroud memisahkan kedua-dua pasukan di Bucharest dan memberi Chelsea kelebihan satu gol tetapi skuad Diego Simeone adalah pendahulu La Liga yang kerap mencemaskan kelab Inggeris di tempat lawan seperti berlaku kepada juara Liga Perdana, Liverpool tahun lalu.

Chelsea mungkin beraksi sekali lagi tanpa Tammy Abraham dan Thiago Silva akibat kecederaan tetapi masalah lebih besar bagi Thomas Tuchel ialah ketiadaan dua tonggak tengahnya.

Mason Mount dan Jorginho menerima kad kuning pada aksi pertama dan tidak boleh beraksi di Stamford Bridge. Bermakna Chelsea akan bergantung kepada N’Golo Kante dan Mateo Kovacic.

Atletico pula yang beraksi tanpa pemain tonggak seperti Jose Gimenez dan Yannick Carrasco pada saingan pertama akibat kecederaan menarik nafas lega selepas kedua-duanya kembali pulih dan sedia diturunkan.

Tuchel masih belum tewas sejak mengendalikan Chelsea pada lewat Januari lalu. Malah pasukannya belum dibolosi sejak saingan peringkat pertama Liga Juara-Juara termasuk menewaskan Liverpool di Anfield dalam tempoh itu.

Atletico turut belum kalah tetapi mereka kurang meyakinkan akhir-akhir ini. Mereka melepaskan gol saat akhir pada pertembungan ‘derby’ Madrid dan seri tanpa jaringan menentang Getafe pada Ahad lalu sekaligus mengendurkan cengkaman di puncak La Liga.