Juventus pertaruh Pirlo sebagai pengurus baru

JUVENTUS mengikat Andrea Pirlo sebagai pengurus baru menerusi perjanjian selama dua tahun.

Walaupun bekas pemain tengah Itali itu baru memegang jawatan sebagai pengurus skuad B-23 kelab itu sembilan hari yang lalu, kini diberi kepercayaan untuk menggantikan Maurizio Sarri.

Sarri dipecat semalam selepas Juve terkandas dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) berdasarkan peraturan gol di tempat lawan selepas seri 2-2 dengan Lyon.

Bekas pemain dan pengurus Real Madrid ketika ini, Zinedine Zidane, muncul sebagai salah satu calon awal untuk peranan itu di samping bekas pengendali Tottenham, Mauricio Pochettino, dan pengurus Lazio, Simone Inzaghi.

Sebelum itu terdapat juga spekulasi mengaitkan pengurus Itali, Roberto Mancini, sebelum kelab berkenaan mempromosikan Pirlo sebagai pengganti Sarri.

“Mulai hari ini, dia akan bertindak sebagai pengurus Juventus kerana kelab ini telah memutuskan untuk menaruh kepercayaan terhadapnya untuk memimpin pasukan teknikal skuad pertama selepas memilihnya untuk mengendalikan skuad Juventus B-21,” kata satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan gergasi Serie A itu.

“Pilihan hari ini dibuatkan berdasarkan kepercayaan bahawa Pirlo memiliki apa yang diperlukan untuk membuat kemunculan pertamanya di bangku simpanan di samping skuad handalan dan berbakat ini demi mengejar kejayaan baru.”

Pirlo meninggalkan The Old Lady pada 2015 selepas Bianconeri, yang mengejar kejuaraan treble, tewas 1-3 kepada Barcelona dalam final Liga Juara-Juara (UCL).

Dia menghabiskan dua tahun beraksi dalam kancah Liga Amerika Syarikat (MLS) bersama New York City sebelum memutuskan untuk menggantung but.

Pemenang Piala Dunia 2006 itu menjuarai Scudetto sebanyak enam kali apabila memenanginya dua kali bersama Milan dan empat kali dengan Juve. Dia memenangi dua trofi UCL sebagai pemain Rossoneri, iaitu pada 2003 dan 2007.

KBS sedia perketatkan SOP aktiviti sukan

PASIR MAS: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti sukan berdasarkan situasi semasa penularan pandemik COVID-19, kata Timbalan Menterinya Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

“Jika kita lihat Kluster Sivagangga contohnya semakin serius mungkin ada pertimbangan keadah lain bagi memperketatkan SOP sedia ada selain kementerian perlu tunggu pengumuman pada hujung bulan ini.

“Setakat ini, kami mengikuti SOP dan arahan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan sehingga kini kementerian belum mendapat maklumat untuk melihat semula SOP yang digariskan sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas program ramah mesra timbalan menteri bersama anak jati Kelantan di Dewan Kemas, Lubok Jong Pasir Mas di sini, pada Jumaat.

Dalam perkembangan lain, Wan Ahmad Fayhsal berkata cadangan untuk membina litar permotoran sedang diusahakan oleh pihaknya bagi mempertingkatkan kemudahan sukan di negeri ini.

“Cadangan itu sedang kami angkat untuk dipertimbangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan akan dibina di Gua Musang. Kita tunggu berita baik ini dan berharap diluluskan,” katanya.

Beliau berkata fasiliti sukan di Kelantan menjadi tumpuan utama kementerian berikutan negeri ini akan menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) edisi 2024.

Syaidatul Afifah hampir putus asa sebelum pulih daripada pneumonia

KUALA LUMPUR: Setelah menjalani rawatan susulan hari ini, pemain boling tenpin wanita negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, disahkan bebas daripada jangkitan pneumonia.

Atlet kelahiran Perak itu dilaporkan sudah kembali menjalani latihan dan bertekad untuk mengembalikan prestasi terbaiknya secepat mungkin.

Dalam satu temu bual bersama wakil Astro Arena, Irfan Ali, Syaidatul Afifah berkongsi mengenai kesukarannya sepanjang bertarung dengan penyakit itu.

“Sewaktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), selama lebih daripada tiga bulan, saya tetap berlatih bersendirian di rumah. Saya memang bersemangat untuk kembali meneruskan latihan.

“Tetapi selepas sudah boleh menjalani latihan, saya pula tidak sihat.

“Saya tidak menjangkakan situasi itu kerana walaupun atlet, kami juga manusia biasa.

“Mungkin ia adalah salah satu dugaan buat saya. Walaupun atlet, saya perlu terima.

“Daripada segi mental, saya masih mempunyai keluarga.

“Walaupun saya tidak sihat, saya ada keluarga untuk berkongsi dan meluahkan perasaan saya.

“Sudah pasti saya berasa kecewa sewaktu saya sakit kerana saya menghadapi banyak dugaan tahun ini, temasuk datuk saya yang meninggal dunia.

“Saya hampir berputus asa kerana saya tidak dapat mendorong diri saya dan tipulah jika perkara itu tidak mengganggu saya.

“Tetapi keluarga saya banyak memberikan nasihat yang positif, jadi saya dapat melaluinya,” katanya.

Musim baharu Serie A bermula 19 September

MUSIM baharu liga Itali, Serie A akan bermula pada 19 September depan.

Tarikh yang ditetapkan itu adalah seminggu lebih awal daripada perancangan sebelum ini.

Kenyataan yang dikeluarkan Serie A memaklumkan keputusan diambil hasil kesepakatan kelab-kelab yang bertanding.

Kesemua kelab dalam pertemuannya komited untuk meneruskan perlawanan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang perlu dipatuhi.

Musim 2019-2020 yang berakhir pada Ahad, terganggu jadualnya selama tiga bulan antara Mac hingga Jun susulan pandemik COVID-19.

Cuti perayaan Krismas juga dipendekkan daripada biasa dan perlawanan akan dimainkan pada 3 dan 6 Januari depan.

PAFA tidak batal kontrak, tidak potong gaji pegawai, pemain

IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) berjaya mengekalkan semua pegawai dan pemain walaupun turut terkesan dengan penularan pandemik COVID-19.

Presiden PAFA, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, mereka juga tidak membuat sebarang pemotongan gaji.

Menurutnya, walaupun kantung kewangan PAFA turut terkesan dengan pandemik COVID-19, namun atas rasa tanggungjawab serta bantuan dan sokongan pelbagai pihak, perkara itu dapat dilaksanakan.

Katanya, walaupun saingan Liga Super dan Liga Premier dapat diteruskan, tetapi Piala Presiden, Piala Belia dan Malaysia Premier Futsal League Musim 2020 telah dibatalkan atas faktor keselamatan.

“Isu pembatalan ketiga-tiga pertandingan ini turut menyaksikan beberapa pasukan dan kelab di Malaysia mengambil pendekatan untuk menamatkan kontrak pegawai dan pemain mereka lebih awal sebagai langkah untuk mengimbangi kedudukan kewangan yang terjejas akibat pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Kongres Tahunan Kali Ke-62 dan Kongres Luar Biasa PAFA 2020 di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Penasihat Menteri Besar Perak, Datuk Zainol Padzi Paharudin.

Ahmad Faizal berkata, walaupun baki saingan Liga Malaysia musim 2020 yang bermula 26 Ogos ini akan dilangsungkan tanpa sorakan penonton, namun beliau yakin pemain-pemain pasukan Perak dan Perak 2 sudah bersedia untuk berjuang mencipta kejayaan.

Katanya, kejayaan itu  sedikit sebanyak akan menjadi pengubat duka dan menghadirkan keceriaan di saat berhadapan dengan tempoh yang sangat mencabar ketika ini.

Pasukan Liga Super Perak akan memulakan semula saingan Liga Malaysia musim ini dengan bertemu Melaka United di Stadium Perak, pada 26 Ogos ini.

WFM akan teruskan usaha bawa wushu ke Sukan Komanwel 2026

KUALA LUMPUR: Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) akan meneruskan usaha membawa sukan itu ke temasya Sukan Komanwel 2026 selepas mendapat sokongan sejumlah besar negara anggota Komanwel.

Presidennya, Datuk Chong Kim Fatt berkata sudah tiba masanya acara sukan berkenaan diperluas ke negara Komanwel selepas ia dipertandingkan pada temasya Sukan Dalam Dewan dan Bela Diri Asia, Sukan SEA, Sukan Asia dan juga Sukan Olimpik Belia.

Chong, yang juga ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Wushu Antarabangsa (IWUF) dan Persekutuan Wushu Asia (WFA), berkata usaha memasukkan acara wushu dalam Sukan Komanwel 2026 telah bermula sejak tahun lalu.

“Awal tahun ini, Majlis Sukan Negara (MSN) telah menghantar surat sokongan dan saya juga telah menerima surat sokongan daripada IWUF untuk meningkatkan peluang sukan ini pada edisi 2026,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) bagaimanapun belum mengumumkan tuan rumah untuk edisi 2026 manakala edisi 2022 akan diadakan di Birmingham, England dari 28 Julai hingga 8 Ogos tahun berkenaan dengan menampilkan 20 jenis sukan.

Ujian pertama buat pemain badminton negara minggu depan

KUALA LUMPUR: Setelah empat bulan tanpa sebarang kejohanan susulan pandemik COVID-19, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akhirnya menganjurkan Kejohanan Jemputan BAM, di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, minggu depan.

Pemain terbaik negara berpeluang menguji prestasi masing-masing setelah lama tidak berada di pentas pertandingan pada kejohanan pertama dianjurkan secara dalaman.

Kejohanan berkenaan diadakan berdasarkan format round-robin dan dibahagi kepada dua peringkat.

Peringkat pertama diadakan pada 5-8 Ogos, menyaksikan enam pemain pelapis perseorangan lelaki negara berentap merebut dua tempat teratas dalam Divisyen 2, untuk layak ke peringkat seterusnya.

Divisyen 1 pula dijadualkan pada 11-16 Ogos menyaksikan lima kategori membabitkan 52 pemain senior, termasuk lapan pemain profesional turut bertanding dalam kejohanan berlangsung selama enam hari itu.

Bagaimanapun, kejohanan berkenaan berlangsung tanpa penonton, namun beberapa perlawanan pilihan akan disiarkan secara langsung menerusi YouTube rasmi BAM, @BA_Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan BAM Wong Choong Hann berkata kejohanan berkenaan dapat mendedahkan pemain kepada pertandingan selepas menjalani latihan pemulihan selama dua bulan (untuk pemain di bawah program Road to Tokyo) dan kumpulan kedua pemain negara.

Katanya, kejohanan itu juga memberi peluang kepada pemain untuk mendapatkan kembali daya saing mereka dan bermain di bawah tekanan.

“Kejohanan ini adalah platform yang mewujudkan persekitaran tekanan tinggi dan mendorong pemain ke tahap yang lain kerana mereka akan menentang rakan sepasukan yang tahu gaya permainan mereka dengan baik.

“Tekanan akan dirasai beberapa pemain yang mahu mempertahankan status mereka manakala ada juga yang mahu mencipta kejutan dan mencipta nama. Ini semua tahap tekanan yang berbeza-beza. Kami mahu membentuk pemain yang tidak terjejas dengan tekanan,” katanya dalam satu kenyataan.

Choong Hann berkata dalam kategori perseorangan lelaki, dibahagikan kepada dua divisyen kerana terdapat 12 pemain dengan setiap pemain bermain keseluruhan 11 perlawanan, sama seperti bermain dua perlawanan berturut-turut.

Hampir semua kejohanan antarabangsa dibatalkan sejak Mac lepas serta tiada kejohanan tempatan dibenarkan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac.

Kenapa Kawasaki tidak ada dalam saingan kelas MotoGP?

PASTI ada antara anda yang tertanya-tanya mengapa Kawasaki tidak berada dalam saingan Kejohanan MotoGP Dunia dan hanya menyertai Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK)?

Sedangkan Kawasaki merupakan antara jenama besar selain Honda, Yamaha, Ducati, Aprilia, Suzuki dan KTM dalam saingan MotoGP malah adik-beradiknya yang lain di Jepun seperti Yamaha, Honda dan Suzuki terlibat secara langsung dengan saingan motor kelas premier itu.

Adakah syarikat pengeluar motor Jepun ini takut dengan saingan MotoGP yang didominasi Honda, Yamaha dan Ducati atau ada perkara lain yang berlaku?

Sebenarnya mengikut sejarah syarikat yang diasaskan oleh Shōzō Kawasaki pada tahun 1896 ini pernah menyertai saingan MotoGP selama tujuh tahun iaitu bermula 2002 dan mengumumkan keluar daripada saingan itu pada 2009.

Pada penyertaan tahun 2002, Kawasaki menggunakan jentera ZX-RR dengan mempertaruhkan pemenang WSBK Akira Yanagawa namun beliau terlibat dengan kemalangan dan jentera itu mengalami masalah enjin.

Sepanjang tujuh tahun menyertai saingan MotoGP, Kawasaki tidak banyak kejayaan yang ditempa pasukan berwarna hijau itu.

Musim berganti, Kawasaki mencuba pelbagai kaedah dengan pertukaran pelumba mereka namun hanya mencapai kejayaan yang boleh dikatakan tidak memberangsangkan.

Sepanjang penyertaannya dalam kelas motor utama dunia itu mereka hanya berjaya menaiki podium sebanyak empat kali dan disebabkan itu tidak banyak yang boleh diceritakan mengenai kejayaan Kawasaki dalam MotoGP dari segi memenangi perlumbaan, menaiki podium, masa terpantas dan permulaan barisan hadapan.

Pada Januari 2009, setelah tujuh tahun mencuba dalam saingan MotoGP, akhirnya Kawasaki menarik diri maka berakhirlah sudah satu daripada jenama motor besar Jepun di kelas MotoGP.

Kenyataan daripada Kawasaki pada waktu itu adalah mereka mengalami krisis kewangan dan mahu melakukan pengurusan sumber dengan lebih cekap

SABAR! Ini bukan bermaksud Kawasaki takut atau tidak mempunyai kualiti yang baik dalam saingan dunia malah banyak kejayaan ditempa mereka dalam saingan dunia yang lain sebagai contoh memenangi kejuaraan WSBK, BSB Supersport Championship serta AMA Superbike Championship dan banyak lagi kejuaraan dunia lain yang boleh dikatakan didominasi oleh Kawasaki.

Banyak bukan kejuaraan yang dikecapi Kawasaki dalam saingan dunia yang lain? Namun anda semua perlu faham untuk menyertai sesebuah kejuaraan dunia ia memerlukan kos yang sangat besar untuk disertai.

Ketua Pembangunan Kawasaki ZX-10RR, Yoshimoto Matsuda pernah menyatakan, “MotoGP terlalu mahal untuk Kawasaki, ini adalah keputusan kewangan dari pihak kami. MotoGP berharga sekurang-kurangnya sepuluh kali ganda lebih tinggi daripada SBK. Untuk MotoGP, anda memerlukan 60 hingga 70 juta euro setahun, Honda membelanjakan 100 juta euro.

“Selain itu, kami tidak dapat meyakinkan pengurusan kanan Kawasaki untuk tempat kelima dalam Kejuaraan Dunia MotoGP. Anda menjangkakan kemenangan, tanpa mengira kategorinya. Inilah sebabnya mengapa Kejuaraan Dunia Superbike (WSBK) lebih masuk akal bagi Kawasaki dari sudut kewangan. ”

“MotoGP bukanlah jalan yang tepat untuk kami. Anda harus memikirkan apa yang diperlukan oleh MotoGP daripada anda, teknologi apa yang diperlukannya. Dan apa yang memacunya. Sekiranya kita mengambil semua itu, MotoGP bukan pilihan kami,” jelasnya.

Perkembangan ini membawa kepada tahun 2020 yang mana tahun krisis kesihatan dan ekonomi buat seluruh dunia akibat daripada musuh tidak diundang dan tidak nampak iaitu COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Dorna, Carmelo Ezpeleta mendedahkan Kawasaki pernah memohon untuk beraksi dalam kejuaraan premier itu secara ‘wild card’.

Dorna adalah organisasi penyelenggara kejuaraan MotoGP manakala ‘wild card’ merupakan istilah merujuk kepada pelepasan diberikan kepada individu atau pasukan menyertai sesuatu pertandingan tanpa mengikut syarat kelayakan sebenar.

Kata Ezpeleta, Kawasaki ada memberikan gambaran mahu berluma dalam slot ‘wild card’ dalam MotoGP dengan menggunakan Superbike mereka, namun beliau tidak membenarkannya kerana ‘wild card’ hanya dibenarkan untuk jentera MotoGP dengan enjin patuh regulasi sedangkan ZX-10RR menggunakan enjin pengeluaran massa.

“MotoGP kini mempunyai enam pasukan ternama (Honda, Yamaha, Suzuki, Ducati, KTM, dan Aprilia), dan agak sukar pengeluar baharu untuk mencelah masuk dalam senarai tersebut dan buat masa ini selain mematuhi regulasi teknikal, hanya penyertaan pasukan persendirian dibenarkan dan bukannya pengilang,” jelasnya.

Selain itu, Dorna berpendapat jumlah jumlah 24 pelumba ketika ini sudah cukup ideal buat masa sekarang, iaitu 12 pelumba pengilang (6 pasukan) dan 12 pelumba satelit (6 pasukan).

Sebagai konklusi, cubaan Kawasaki membuat ‘comeback’ dalam saingan MotoGP masih belum menemui jalannya kerana terdapat banyak faktor perlu dipertimbangkan namun ini tidak bermakna hasrat itu tidak akan dicapai satu hari nanti!

Malaysian MotoGP cancelled due to pandemic

KUALA LUMPUR: One of the most exciting races in the Motorcycle Grand Prix (MotoGP) world calendar, the Malaysian GP, which was scheduled to be held from Oct 30 to Nov 1, has been cancelled due to the COVID-19 pandemic.

MotoGP governing bodies – the International Motorcycling Federation (FIM), International Road-Racing Teams Association (IRTA) and Dorna Sports – announced in a joint statement today that apart from the race at the Sepang International Circuit (SIC), they have also cancelled the Argentina and Thailand GPs.

The governing bodies, however, have added another GP in Europe (venue not decided yet) scheduled to take place from Nov 20-22, which will serve as the season finale, thus making the 2020 season fully raced in Europe.

The statement also pointed out that Dorna had begun working with the promoters of Argentina and Malaysian GPs to determine possible dates for the events in 2021, with plans in place to welcome fans back to the circuits, while an agreement had also been reached with the Chang Circuit in Buriram, Thailand to remain on the calendar until at least 2026.

SIC has been hosting MotoGP races since 1999, attracting over 100,000 fans over race weekends for the past few editions.

Dorna Sports chief executive officer Carmelo Ezpeleta lamented the cancellation of the three races, saying they would be very much missed this year as passionate fans would often travel across continents to catch the best two-wheel action in the world.

“The arrival of fans at Termas de Rio Hondo (Argentina), Buriram and Sepang is incredible, creating such an incredible atmosphere and welcome for the sport. We very much look forward to returning to Thailand, Argentina and Malaysia next year and, as always, I’d like to thank the fans for their patience and understanding,” she said.

Meanwhile, SIC CEO Azhan Shafriman Hanif, while clearly disappointed with the cancellation of Malaysian GP for the first time in over 20 years, hopes to come back bigger and better in 2021.

“We were looking forward to watching our local boys – Kasma Daniel, Khairul Idham Pawi, Hafizh Syahrin Abdullah – and the Petronas Sepang Racing Team, who have had a great start to the season, in action on home ground. But with the ongoing COVID-19 pandemic, the safety of everyone is the main priority. We can’t afford to risk the health of others.

“I am sure this is sad news for fans in Malaysia and all over the world, who have made the event what it is today. We have seen an increasing number of spectators at the Malaysian GP year-on-year and we’d like to thank all our fans and partners for their continuous support.

“The best thing to do right now is to keep on supporting our local boys and team, who are still competing in the championship,” he said in a statement issued by SIC.

The Malaysian GP has been held in South-East Asia since 1991, the longest in the region, and the SIC has been a permanent fixture on the calendar since taking over from the Shah Alam Circuit and Johor Circuit in 1999.

The SIC is also one of the longest and most challenging circuits on the calendar and, no doubt, is one of the favourites among the riders and teams.

The 5.543km-long track has staged some all-time classic races over the years, providing fans with a unique experience on-and-off the track.

COVID-19: AFF tunda Piala Suzuki AFF 2020 ke tahun hadapan

KUALA LUMPUR: Peningkatan jumlah kes COVID-19 di rantau ini dan juga seluruh dunia telah memaksa Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) menangguhkan Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF 2020 ke tahun 2021.

Presiden AFF Mej Jen Khiev Sameth berkata keputusan itu dibuat selepas Jawatankuasa Pasukan Petugas Piala Suzuki AFF mengadakan perbincangan secara maya dengan ahli gabungannya, pada Khamis.

Beliau berkata badan pentadbir bola sepak itu telah mempertimbangkan beberapa faktor termasuk keselamatan dan kesihatan semua pihak, khususnya pemain, jurulatih, rakan kongsi, peminat dan orang ramai, sebelum membuat keputusan.

“Sejak bermulanya penularan COVID-19, AFF telah memantau panduan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Kementerian Kesihatan, agensi kerajaan, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC),” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

“Seperti yang anda sedia maklum, pandemik ini terus memberi cabaran yang sangat besar khususnya dari segi kesihatan, sosial dan ekonomi kepada kita semua.

“Keutamaan AFF adalah kesihatan dan keselamatan keluarga bola sepak kita dan mengurangkan kesan pandemik ini.

“Dengan risiko penularan COVID-19 yang semakin meningkat, AFF tidak boleh meneruskan Piala Suzuki AFF 2020,” kata Sameth.

Menurut beliau, AFF akan terus bekerjasama erat dengan ahli gabungan dan rakan kongsi mereka untuk memantau situasi pandemik dan akan memberikan maklumat terkini mengenai tarikh dan perincian lain berkaitan edisi 2021 Piala AFF Suzuki.

Presiden Sportfive bagi Asia Pasifik Adrian Staiti menyambut baik keputusan yang dibuat AFF dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pihak yang terlibat dalam kejohanan bola sepak dwitahunan itu.

Sportfive adalah rakan kongsi komersial eksklusif untuk Piala AFF Suzuki.

“Walaupun kami agak kecewa kerana tidak dapat mengadakan kejohanan itu tahun ini, kami akan sentiasa bekerjasama dengan AFF untuk memantau keadaan dan berharap dapat bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi kami untuk menganjurkan kejohanan yang terbaik untuk peminat di rantau ASEAN tahun depan,” kata Staiti.

Berdasarkan jadual awal, Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2020 dijadualkan berlangsung dari 23 Nov hingga 31 Dis menggunakan format timbal balik seperti yang diperkenalkan pada 2018.

Thailand adalah pasukan paling cemerlang dalam pentas Piala Suzuki AFF dengan muncul sebagai juara sebanyak lima kali iaitu pada 1996, 2000, 2002, 2014 dan 2016.

Sementara Malaysia muncul sebagai juara pada 2010 di bawah bimbingan bekas ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Datuk K. Rajagobal.