Alaphilippe kembali lagi gegar TDF

SELEPAS setahun menggembirakan negara kelahirannya dengan memegang jersi kuning selama dua minggu dalam saingan Tour de France (TDF) musim lalu, Julian Alaphilippe kembali lagi dengan aksi bertenaga untuk merangkul kejuaraan peringkat kedua awal pagi tadi sekali gus berjaya menyarung jersi yang sama.

Pada pendakian terakhir, Alaphilippe melakukan henjutan bertenaga bagi meraih mata bonus sebelum menuju ke garisan penamat di Nice, di mana kejuaraan peringkat kedua juga memberikan mata tambahan buatnya.

Dia ternyata gembira dengan penampilan yang sama seperti tahun lalu selepas melintasi garisan penamat, walaupun peloton sudah semakin hampir untuk menangkapnya bersama dua orang lagi pelumba ketika di Promenade des Anglais.

Aksi peringkat kedua seakan hampir sama seperti mana Alaphilippe berjaya mengelak dari dikejar peloton ketika peringkat ketiga perlumbaan menuju ke Epernay.

Pelumba Deceuninck–Quick-Step itu seterusnya mengekalkan jersi kuning sepanjang 14 hari berturut-turut sebelum ia hilang pada tiga peringkat terakhir dan hanya berpuas hati di tempat kelima keseluruhan.

Tidak ada seorang pun pelumba Perancis pernah muncul juara keseluruhan TDF sejak 1985.

“Saya memang selalu mahu mencuba sesuatu dan tidak ada apa yang perlu dirisaukan. Ia benar-benar memeritkan, ketika saya mengerah segala tenaga di hujung saingan.

“Saya mahu menghadiahkan kemenangan ini kepada bapa saya. Ia sangat penting buat saya,” katanya yang tidak dapat menahan kesedihan selepas kehilangan bapanya Jun lalu.

Barry gantung but | Harian Metro

GARETH Barry mengumumkan persaraannya daripada bola sepak profesional pada usia 39 tahun, semalam.

Bekas bintang England itu menggantung butnya selepas mencatat rekod 653 penampilan Liga Perdana dengan meledak 53 gol dan 64 bantuan jaringan sepanjang karier dalam liga utama Inggeris.

Pemain tengah veteran itu mempunyai 53 kap bersama England di antara 2000-2012.

Dia memulakan karier bersama Aston Villa sebelum berpindah ke Manchester City pada 2012 dengan harga £12 juta (RM66.78 juta).

Barry tampil 175 perlawanan bersama City sepanjang empat musim, menjaringkan lapan gol dan 18 bantuan jaringan.

Dia turut membantu Blues menjulang trofi Liga Perdana dan Piala FA.

Selepas cemerlang bersama Everton sebagai pemain pinjaman, dia menyertainya secara kekal pada 2014.

Toffees merakamkan penghargaan kepada Barry selepas pengumuman persaraannya.

Bersama kompilasi video aksinya, tertera” ”Selamat bersara, Gareth Barry!

“Tahniah sepanjang karier gemilang anda dan terima kasih bersama kami di Toffees.”

Selepas tiga musim di Goodison Park, dia berpindah ke West Brom pada 2017 dan menamatkan karier selepas enam penampilan bersama Baggies untuk melayakkan mereka ke Liga Perdana.

Djokovic ‘makin panas’ menjelang Terbuka AS

PEMAIN nombor satu dunia, Novak Djokovic mara ke separuh akhir Terbuka Western & Southern selepas menewaskan lawan dari Jerman, Jan-Lennard Struff 6-3, 6-1, awal pagi tadi.

Djokovic yang memburu gelaran keempat Terbuka AS dan ke-18 trofi Grand Slam hanya memerlukan 62 minit untuk mara ke separuh akhir menentang pemain Sepanyol, Roberto Bautista Agut yang mengejutkan juara bertahan, Daniil Medvedev dari Russia 1-6, 6-4, 6-3.

Djokovic tampak tiada masalah dengan kecederaan leher ketika bintang Serbia berusia 33 tahun itu menguji dirinya di atas gelanggang keras dengan suasana sama pada Terbuka AS yang bakal berlangsung di Flushing Meadows.

“Hebat, saya rasa sangat bagus,” kata Djokovic yang mencatat 21-0 tahun ini.

“Servis saya kurang menjadi dalam beberapa ‘game’ awal tetapi saya bertahan dengan baik. Selepas mendapat break pada set pertama, saya tak menoleh ke belakang. Saya beraksi dengan agresif apabila berpeluang dan kemudian servis barulah seperti diharapkan.”

Djokovic menang kejohanan ini di Cincinnati pada 2018 dan seperti mampu meraih gelaran kedua dalam tiga percubaan menjelang Terbuka AS sekali gus menguji kemampuannya sejak tenis terhenti akibat pandemik Covid-19.

“Semuanya berjalan lancar sejak enam bulan lalu,” katanya.

“Saya perbaiki apa kelemahan yang ada dan harap ia berterusan.”

Bautista Agut yang berada di ranking ke-12 bangkit selepas tewas mudah set pertama.

“Kebangkitan yang sangat bagus,” kata Bautista Agut. “Saya tukar rentak dengan bola. Saya cuba melakukan dengan berbeza dan memiliki voli yang bagus.

“Sangat fantastik dapat bangkit. Saya terus berjuang di set kedua. Aksi yang sangat sukar dan saya lega dapat mengatasinya.”

Kemenangannya itu membolehkan dia bertemu Djokovic yang menang lima daripada tujuh daripada Grand Slam sebelum ini dalam misi memburu rekod Roger Federer dan Rafael Nadal dengan kedua-duanya tidak berada di New York.

Roma ikat Pedro Rodriguez tiga tahun

PENYERANG Sepanyol, Pedro Rodriguez menandatangani kontrak tiga tahun bersama kelab Serie A, Roma selepas meninggalkan Chelsea dengan perpindahan percuma.

Pemain berusia 33 tahun yang pernah memenangi Piala Dunia itu menjadi pemain pertama ditandatangani kelab Itali berkenaan dengan perjanjian sah sehingga Jun 2023.

“Saya gembira untuk berada di sini. Saya teruja untuk memenuhi cabaran ini dan bersaing mencapai sasaran kelab bagi musim akan datang.” kata Pedro.

Bekas penyerang Barcelona dan Chelsea sudah memenangi 25 trofi utama dalam kariernya termasuk Liga Juara-Juara, Liga Europa, Liga Perdana dan La Liga.

Dia melakukan 65 penampilan bersama Sepanyol, menjaringkan 17 gol, menang Piala Dunia pada 2010 dan Kejohanan Eropah pada 2012.

“Ia satu kelebihan buat kami untuk mengalu-alukan kehadiran pemain berkualiti seperti Pedro dalam keluarga Roma,” kata CEO Roma, Guido Fienga.

Pedro menghabiskan lima musim lalu di Chelsea serta membantu kelab itu memenangi Liga Perdana, Piala FA dan Liga Europa sepanjang beraksi bersama kelab Inggeris itu.

Dia memulakan karier senior di Barcelona, apabila memenangi treble dua kali dan Liga Juara-Juara sebanyak tiga kali termasuk menjaringkan gol pada final 2011.

Roma menamatkan saingan Serie A di tempat ke lima musim lalu dengan kempen musim baharu bola sepak Itali dijangka bermula pada 19 September ini.

Serena bergelut catat kemenangan | Harian Metro

SERENA Williams bangkit mengatasi pemain kelayakan dari Belanda, Arantxa Rus seterusnya menguasai set penentuan untuk mara ke pusingan ketiga Terbuka Western & Southern, awal pagi ini.

Pemain pilihan ketiga kejohanan, Serena kekal sebagai pemain pilihan kategori wanita di kejohanan yang berpindah dari Cincinnati ke New York untuk meletakkan pemain dalam kelompok kuarantin Covid-19 di venue yang akan menjadi tuan rumah Terbuka Amerika Syarikat (AS) bermula 31 Ogos ini.

Pilihan utama, Karolina Pliskova dan pemain nombor dua, Sofia Kenin kedua-duanya tersingkir awal dan juara Grand Slam 23 kali, Serena pada mulanya dilihat akan mengikut jejak mereka sebelum bangkit menewaskan Arantxa 7-6 (8/6), 3-6, 7-6 (7/0).

Serena tercicir empat mata berturut-turut dalam set kedua berdepan jaguh tangan kiri yang tidak pernah memenangi kejuaraan WTA.

Bintang Amerika Syarikat itu kemudian memastikan kemenangan dalam set penentuan untuk mencatat kemenangan dalam masa dua jam dan 49 minit.

“Ia perlawanan sukar. Aksi yang memerlukan ketahanan fizikal yang tinggi,” kata Williams.

“Kemenangan ini adalah anugerah pada diri saya selepas berusaha gigih. Saya seperti beraksi di hadapan ramai penonton di sini.”

Ia adalah perlawanan ke empat membabitkan pertarungan tiga set buat Serena sejak kembali di kejohanan bermula Lexington, Kentucky selepas saingan WTA terhenti kerana Covid-19.

Serena berkata latihan kecergasan ketika tempoh rehat membuatkan dirinya sentiasa bersedia.

“Saya sebenarnya amat cergas dan sudah bersedia sepenuhnya,” katanya.

Prestasi Bayern memang ‘gila’ – Flick

KETUA jurulatih Bayern Munich, Hansi Flick mengagumi kemajuan ‘gila’ pasukannya dalam masa sepuluh bulan selepas gergasi Jerman itu melengkapkan treble dengan menjuarai Liga Juara-Juara awal pagi tadi.

Bayern merangkul gelaran Eropah buat kali keenam selepas menewaskan Paris Saint-Germain 1-0.

Skuad meraikan kejayaan dengan menjulang Flick ke udara selepas mengesahkan kemenangan menerusi tandukan pada babak kedua oleh Kingsley Coman yang juga produk akademi PSG.

Di samping itu, penjaga gol Bayern, Manuel Neuer turut cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan bahaya bintang PSG, Neymar dan Kylian Mbappe.

“Saya bangga dengan pasukan. Apabila saya melihat tajuk akhbar pada November lalu, semuanya mengenai tiada siapa takutkan Bayern lagi,” kata Flick yang mengambil alih tugas daripada Niko Kovac yang dipecat.

GAYA Flick  (tengah) menjulang trofi. FOTO AFP
GAYA Flick (tengah) menjulang trofi. FOTO AFP

“Kemajuan selepas itu memang ‘gila’. Kami berhak menang, kerana babak kedua.

“Anda dapat melihatnya ketika kem latihan musim sejuk Januari lalu dan dapat menjangkakan kemajuan besar menanti mereka.”

Ia juga tugas pertama Flick dalam liga utama Jerman namun pada musim pertamanya berjaya membawa Bayern menjuarai gelaran kelapan Bundesliga, menjulang trofi Piala Jerman dan memenangi Liga Juara-Juara.

Dia menyamai pencapaian legenda jurulatih Bayern, Jupp Heynckes yang meraih treble pertama sebelum ini pada 2013.

Menjadi penolong jurulatih kepada Joachim Loew ketika Jerman menjuarai Piala Dunia 2014, Flick kini mencapai kemuncak kejayaan bola sepak domestik dan berharap penyokong Bayern berada di Lisbon.

“Agak sedih mereka tidak dapat bersama kami di sini, harap mereka dapat datang pada masa depan. Tetapi perlawanan tanpa penyokong bukanlah bola sepak seperti kita ketahui,” akui Flick.

Kapten Bayern, Neuer salah seorang daripada empat anggota skuad 2013 yang masih kekal berpuas hati selepas aksi hebatnya membolehkan mereka menjulang trofi.

“Kegembiraan yang tak terkata – kami memang mengharapkannya dan kami berhak menang. Ia benar-benar hasil kerja keras,” kata penjaga gol Jerman itu.

Dia yang berusia 34 tahun turut memuji aksi rakan sepasukan, Thomas Mueller, seorang lagi pemain dari skuad 2013.

“Ia memang gila, tiada rahsia cara kami bermain, kami mempunyai kualiti dan bersemangat tinggi,” kata Mueller.

“Mentaliti kami mengagumkan dan kami bertuah mempunyai Manuel Neuer di gawang. Dia menunjukkan mengapa dia nombor satu.”

Malah jurulatih PSG dari Jerman, Thomas Tuchel turut memuji prestasi Neuer.

“Manuel Neuer sekali lagi sangat hebat sejak beberapa minggu lalu. Dia kembali pada tahap terbaik tetapi tidak bagus untuk kami,” kata Tuchel.

Gandingan RM1.973 bilion tumpul | Harian Metro

PENGENDALI Paris Saint-Germain, Thomas Tuchel mempertahankan gandingan penyerang berharga 400 juta euro (RM1.973 bilion), Neymar dan Kylian Mbappe selepas gagal merobek gawang Bayern Munich ketika tewas 0-1 pada aksi final Liga Juara-Juara.

Pemilik PSG dari Qatar membelanjakan 402 juta euro (RM1.983 bilion) untuk mendapatkan kedua-duanya pada 2017 dengan misi menjuarai kejohanan itu.

Bagaimanapun, mereka gagal menepati reputasi ketika berdepan gergasi Jerman yang kini mengungguli gelaran paling berprestij itu sebanyak enam kali.

Neymar, pemain termahal dunia menamatkan perlawanan dengan kad kuning dan genangan air mata.

RAUT wajah Mbappe bersama pingat. FOTO AFP
RAUT wajah Mbappe bersama pingat. FOTO AFP

“Kami mahu Neymar dan Kylian menjaringkan gol tetapi kami tak boleh mengharapkannya sepanjang masa,” kata Tuchel.

“Saya bangga kerana ‘Ney’ masih mampu mengharungi perlawanan dengan kapasiti menakjubkan, dia menunjukkan mentalitinya.

“Kylin pula agak sukar, dia berdepan kecederaan serius, terlepas banyak sesi latihan. Memang ajaib dia dapat bersama kami pada final.”

Mbappe terlepas peluang terbaik tetapi rembatannya terus ke dakapan penjaga gol, Manuel Neuer sejurus sebelum rehat.

Bagaimanapun, Kingsley Coman yang juga produk PSG ketika zaman kanak-kanak menjaringkan gol kemenangan Bayern pada babak kedua.

“Saya yakin jika kami dapat gol pertama, kami mungkin boleh menang 1-0,” kata Tuchel.

“Saya dapat berasakan gol pertama itu menjadi penentu keputusan final.”

Katanya lagi: “Kami perlu memastikan kualiti ini berterusan sehingga kejayaan dicapai.”

Tetapi adakah dia akan terus bersama PSG pada musim baharu tidak lama lagi?

“Saya mempunyai kontrak, saya tak tahu selain itu.”

Sementara itu, Presiden PSG, Nasser al-Khelaifi i menegaskan Liga Juara-Juara kekal matlamatnya.

“Saya sangat bangga dengan pemain,” kata pemilik dari Qatar itu. ”Kami mempunyai musim yang bagus dan kejohanan yang hebat. Tiada siapa menjangkakan kami mampu ke final.

”Kami hampir memenanginya, kami melakukan apa sahaja tapi itulah bola sepak. Kami akan bekerja keras untuk menjuarainya musim depan kerana itu matlamat kami.”

Final Liga Europa: Kejayaan ini buat Reyes, Puerta – Lopetegui

DALAM keadaan penuh emosi, Julen Lopetegui mendedikasikan kejayaan Sevilla menjuarai Liga Europa selepas menewaskan Inter Milan awal pagi tadi kepada dua legenda kelab itu, Antonio Reyes dan Antonio Puerta.

Sevilla berdepan detik mendebarkan di Cologne, di mana skuad Nervionenses itu terpaksa bangkit daripada ketinggalan selepas Diego Carlos memberikan sepakan penalti buat lawan yang kemudian disudahkan Romelu Lukaku.

Gol berganda Luuk de Jong meletakkan Sevilla di depan tetapi Diego Godin kembali menyamakan kedudukan sebelum waktu rehat hasil sepakan percuma yang juga berpunca daripada Diego Carlos.

Bagaimanapun, pertahanan Sevilla itu menjadi wira pasukannya pada 16 minit terakhir apabila percubaan akrobatiknya terkena lukaku dan menerjah jaring lawan untuk skuad kendalian Lopetegui itu menjulang trofi Liga Europa buat kali keenam.

Kali terakhir Sevilla memenangi gelaran itu adalah pada 2016, di mana Reyes bertindak sebagai kapten.

Bekas bintang Arsenal, Real Madrid dan Sepanyol itu terkorban dalam satu nahas jalan raya tiga tahun kemudian.

Walaupun pada ketika itu dia tidak bersama kelab itu lagi, ia merupakan satu insiden yang memberi kesan buat Sevilla, satu kelab yang masih segar dengan kematian Puerta —  penjaring gol yang membawa pasukan itu ke final Piala UEFA pertama pada 2006 dan meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung dalam satu perlawanan LaLiga.

Lopetegui mendedikasikan kejuaraan itu buat Reyes dan Puerta dengan berkata: “Saya amat gembira.

“Bagi saya, ia adalah kegembiraan yang tiada tara.

“Saya mahu berterima kasih kepada peminat tetapi mereka boleh meraikannya kerana kemenangan ini untuk mereka dan juga buat Reyes dan Puerta.

“Saya amat gembira, terutama buat pemain. Semua orang membantu, sama ada mereka bermain atau tidak, dalam senario yang amat kompleks.

“Mereka amat hebat berdasarkan usaha dan apa yang mereka pamerkan.

“Mereka amat bertuah untuk melakukannya ke atas pasukan yang amat hebat, dan memberikan lawan tiga penalti daripada tiga perlawanan pertama.

“Ia menunjukkan bahawa pasukan ini tidak pernah mengaku kalah dan kami perlu menjadikannya satu amalan,” katanya.

Meeraj umum persaraan, mahu lawan Farkhan sebagai aksi terakhir

PETINJU profesional negara, Meeraj Khan, mengumumkan persaraan selepas meraih tiga tali pinggang kejuaraan dalam tempoh 15 tahun namun hanya ada seorang petinju yang dapat menarik Meeraj kembali ke gelanggang.

“Saya agak kecewa dengan mengambil keputusan untuk bersara, perlawanan berdepan Farkhan Harun hanya mampu membawa saya kembali ke gelanggang,” kata Meeraj.

Meeraj bersara selepas mewakili negara dalam tinju amatur, sambo, seni bela diri campuran (MMA) sebelum bergelar petinju profesional pada 2005.

“Farkhan merupakan seorang petinju terbaik negara. Seorang yang berbakat dan memiliki kemampuan yang sangat berkualiti. Dia mengambil keputusan yang tepat dalam karier dan jika saya akan kembali ke gelanggang, Farhan adalah lawan yang mahu saya beraksi di atas gelanggang.”

Beliau antara perintis arena tinju profesional di Malaysia namun masalah mendapatkan tajaan ekoran pandemik COVID-19 selain kecederaan memaksa petinju berusia 30 tahun itu bersara.

Liga Juara-Juara Eropah: Bayern Munich ke final selepas tundukkan Lyon 3-0

BAYERN Munich menempah tiket ke final selepas menundukkan Lyon 3-0.

Ayam tambatan Bayern, Serge Nabry muncul wira selepas menjaringkan dua gol pada babak pertama.

Kemenangan itu juga menyamai rekod 10 kemenangan dalam perlawanan Liga Juara-Juara yang pernah dicatatkan Real Madrid pada 2015.

Babak kedua Lyon cuba bangkit dengan melakukan percubaan ke gawang Bayern namun Manuel Neuer memastikan gawangnya tidak dibolosi.

Namun gawang Lyon pula bolos untuk kali ketiga kali ini menerusi Robert Lewandowski pada hujung babak kedua.

Kejayaan layak ke final itu juga menebus kehampaan Bayern yang kandas di separuh akhir dalam usaha mengejar kejuaraan liga sebelum ini.

Bayern Munich akan bertemu dengan Paris Saint-Germain (PSG) dalam aksi final pada Ahad.