Areola sertai Fulham | Harian Metro

PENJAGA gol Paris Saint-Germain dari Perancis, Alphonse Areola menyertai Fulham menerusi kontrak pinjaman setahun dengan pilihan pembelian, menurut juara Ligue 1 itu, awal pagi tadi.

Pemain berusia 27 tahun itu yang kontraknya bersama PSG tamat 2023, menghabiskan tempoh musim lalu bersama Real Madrid di belakang penjaga gol nombor satu Belgium, Thibaut Courtois.

Areola yang menjulang Piala Dunia 2018, menjuarai tiga gelaran liga Perancis ketika di Parc de Princes.

Cottagers turut menandatangani penyerang Brighton, Anthony Knockaert dan pemain tengah Southampton, Mario Lemina.

Mereka akan menerima kunjungan Arsenal di tempat sendiri Sabtu ini dalam aksi pertama Liga Perdana musim baharu.

Kolarov perkuatkan Inter | Harian Metro

PERTAHANAN kiri Serbia, Aleksandar Kolarov menyertai Inter Milan dari Roma, selepas kelab Itali itu mengumumkan awal pagi tadi.

Kolarov, 34, yang memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) sebanyak dua kali dalam tempoh tujuh tahun bersama Manchester City, menamatkan pengembaraan selama tiga musim di Stadio Olimpico.

“Pertahanan berusia 34 tahun ini, menyertai Nerazzurri dengan perpindahan sebanyak €1.5 juta (RM7.3 juta).

“Persetujuan juga termasuk beberapa perkara berkaitan bonus, yang boleh menjangkau nilai maksimum €500,000 (RM2.4 juta) berdasarkan pencapaian yang dicapai kedua-dua, pemain serta pasukan pembeli,” kata Roma dalam satu kenyataan.

Kolarov, yang beraksi sebanyak 91 kali bersama negaranya, bersedia untuk bersaing dengan pemain berusia 21 tahun, Alessandro Bastoni bagi memikat pengendali Antonio Conte dalam perubatan kesebelasan utama.

Inter, yang menamatkan saingan di tempat kedua Serie A dan tumpas kepada Sevilla di perlawanan akhir Liga Europa, juga menandatangani pertahanan kanan Real Madrid, Achraf Hakimi dan pemain tengah Cagliari, Nicol Barella.

Mbappe pula positif Covid-19

KYLIAN Mbappe diketepikan daripada skuad kebangsaan Perancis bertemu naib juara Piala Dunia, Croatia awal pagi esok di Liga Negara-Negara selepas didapati positif Covid-19.

Mbappe yang menjalani latihan pada sebelah petang semalam sebelum keputusan ujiannya diperolehi, adalah pemain Paris Saint-Germain (PSG) ketujuh yang didapati positif Covid-19.

Bintang Brazil dan PSG, Neymar antara yang terawal positif wabak itu minggu lalu.

“Dia diketepikan daripada pasukan selepas menerima keputusan ujian pada hujung sesi latihan sebelum kembali ke rumahnya,” kata pasukan kebangsaan dalam satu kenyataan.

“Seperti barisan pemain lain, Mbappe sudah menjalani ujian sebelum turun pada perlawanan sebenar. Keputusan yang diperolehi sebelum ini adalah negatif menjelang pertemuan dengan Sweden, Sabtu lalu di Solna.

Mbappe menjaringkan gol tunggal ketika mencatat kemenangan 1-0 ke atas Sweden pada aksi pembuka tirai Liga Negara-Negara.

Bagaimanapun, dia sememangnya mahu direhatkan untuk perlawanan bertemu Croatia di Stade de France dengan aksi pertama PSG pada musim baharu Ligue 1 dijadualkan pada Khamis ini bertemu Lens.

Pertemuan dengan Lens sepatutnya berlangsung pada 29 Ogos lalu tetapi ditangguhkan untuk memberi tempoh rehat kepada PSG selepas melangkah ke pentas final Liga Juara-Juara di Lisbon 23 Ogos lalu yang menyaksikan mereka tewas 0-1 kepada Bayern Munich.

Gasly tebus kekecewaan lalu | Harian Metro

PIERRE Gasly amat gembira sehingga tidak dapat menggambarkannya dengan kata-kata ketika memenangi perlumbaan Formula Satu (F1) buat kali pertama, setahun selepas disingkirkan oleh Red Bull ke pasukan junior, Alpha Tauri.

Ia hanyalah kemenangan kedua bagi pasukan yang dahulunya dikenali sebagai Minardi dan Toro Rosso pada saingan F1 sejak menyertai perlumbaan berprestij itu bermula 1985.

Gasly, 24, bergelut untuk memberikan impak berbanding rakan sepasukannya, Max Verstappen pada separuh musim sehingga terpaksa diganti dengan pelumba rookie, Alex Albon pada Ogos tahun lalu.

“Saya melalui emosi yang tidak menentu sejak 18 bulan lalu,” kata pelumba dari Perancis itu.

Dia kembali beraksi bersama Toro Rosso yang kemudian pada tahun ini ditukar nama kepada Alpha Tauri.

“Secara jujur, saya masih tidak mempercayai kemenangan ini. Saya tidak dapat menggambarkan apakah yang sebenarnya berlaku ketika ini.

“Ia adalah perlumbaan yang sangat mencabar. Kami memanfaatkan peluang sepenuhnya ketika bendera merah dikibarkan.

“Jentera juga sangat pantas dan kami juga menerima saingan sengit daripada pasukan lain.

Dia menambah: “Apabila saya meraih podium pertama tahun lalu ia sudah cukup membanggakan. Kini saya memenangi perlumbaan bersama AlphaTauri dan ia sukar untuk dipercayai.”

Gasly menamatkan perlumbaan mengatasi Carlos Sainz dari McLaren di tempat kedua dan Lance Stroll (Racing Point) ketiga.

Peters tunjuk handal mendaki | Harian Metro

NANS Peters kali pertama berjaya memenangi perlumbaan peringkat di Tour de France (TDF) awal pagi tadi dengan Adam Yates terus mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu keseluruhan selepas melalui laluan sukar di Pyrenean menyebabkan beberapa kejutan di peringkat kelapan.

Di antara mangsa yang terbabit dalam kejutan itu ialah pendaki Perancis, Thibaut Pinot, yang terlepas peluang untuk bersaing dalam perubatan kedudukan pendahulu keseluruhan.

Peters meraih kejuaraan selepas meredah tiga pendakian utama dengan melakukan ‘breakaway’ bersendirian dari jarak yang jauh meninggalkan pelumba lain.

“Saya memberitahu kepada diri saya sendiri, ialah sentiasa percaya, percaya dan terus percaya,” kata pelumba AG2R yang menamatkan perlumbaan sejauh 141 kilometer dari Cazeres-sur-Garonne ke Loudenvielle dalam tempoh empat jam.

Terdapat juga pertarungan sengit pada pendakian terakhir di Col de Peyresourde yang sangat digeruni semua pelumba.

Yates, penyandang juara Tour de France, Egan Bernal dan pendaki Perancis, Romain Bardet kesemuanya gagal untuk mengerah kudrat untuk sekurang-kurangnya muncul juara perlumbaan.

Yates mengatasi Primoz Roglic dengan kelebihan tiga saat, manakala wakil tuan rumah, Guillaume Martin ketinggalan sembilan saat.

Bernal yang mewakili Ineos di kedudukan kelima keseluruhan dengan ketinggalan 13 saat.

“Ia satu pendakian yang sangat laju. Saya hanya mengikut rentak kayuhan sendiri dan menjaga masa saya, akhirnya saya kekal sebagai pendahulu,” kata Yates.

Yates, yang mempunyai saudara kembar, Simon iaitu pemenang dua peringkat perlumbaan TDF tahun lalu, mengakui ibu bapa mereka juga berada dalam pengembaraan perlumbaan dan berharap mempunyai masa untuk duduk bersama.

Mo Farah pecah rekod dunia

PEMENANG empat pingat emas Sukan Olimpik, Mo Farah kembali ke trek dengan bergaya di saingan Diamond League di Brussels apabila melakar rekod dunia acara larian satu jam.

Tiga tahun selepas memilih acara lebuh raya, Farah tidak menunjukkan prestasi menurun apabila dia menamatkan larian sejauh 21.330 kilometer (km) dalam tempoh 60 minit yang dilangsungkan secara tertutup di Stadium King Baudouin.

Farah yang memenangi emas dalam acara 5,000 dan 10,000 meter (m) untuk Britain di Sukan Olimpik London dan Rio, lebih 45m mengatasi rekod Haile Gebrselassie yang sebelum ini menamatkan larian sejauh 21.285km pada 2007.

“Saya sangat gembira dapat memecahkan rekod dunia. Amat menakjubkan dapat melakukannya dan membuktikan bahawa tiada yang mustahil.

“Saya berasa kepenatan dan separuh daripada larian terpaksa bekerja keras. Sekali lagi, amat teruja dapat memperbaharui rekod dunia,” katanya.

Pada satu ketika, pelari berusia 37 tahun itu yang juga pemenang enam emas kejohanan dunia, dilihat keletihan dengan rakan sepelatihnya, Bashir Abdi masih berlari dengan konsisten.

Dengan larian berbaki lima minit, Abdi di depan buat kali pertama sekali gus menyaksikan Farah terpaksa bekerja keras.

Ketika saingan memasuki minit terakhir, Farah memulakan langkahnya untuk mengatasi Abdi dan mengekalkan tempo lariannya sehingga ke garisan penamat.

Farah yang mensasarkan untuk beraksi dalam acara 10,000m di temasya Sukan Olimpik Tokyo yang ditangguhkan pada tahun depan, akan kembali beraksi dalam acara lebuh raya di maraton London bulan depan.

PSG umum tiga lagi kes Covid-19

PARIS Saint-Germain hari ini mengumumkan “tiga kes baharu positif” Covid-19 dalam skuad mereka sehari selepas Neymar dan dua rakan sepasukan dijangkiti virus berkenaan sekali gus mencetus kebimbangan mengenai permulaan musim mereka di Perancis.

“Ujian terkini Sars CoV2 terhadap staf pasukan Paris Saint-Germain mengesahkan terdapat tiga kes baharu positif,” menurut juara Perancis itu di laman Twitter rasmi kelab itu.

Keputusan itu menjadikan keseluruhan membabitkan enam kes dalam skuad itu.

Neymar, Angel Di Maria dan Leandro Paredes adalah yang terawal didapati positif. Mereka dilaporkan bercuti di pulau pelancongan dekat Sepanyol, Ibiza.

Sports daily L’Equipe melaporkan pertahanan Brazil, Marquinhos, Mauro Icardi (penyerang Argentina) dan Keylor Navas (penjaga gol) – juga berkunjung ke Ibiza – adalah antara mereka yang terbabit kes baharu positif itu.

PSG dijadualkan beraksi dalam perlawanan pertama musim baharu Ligue 1 dengan berkunjung ke Lens pada 10 September ini namun terdapat keraguan sama ada aksi berkenaan dapat diteruskan.

Yates rampas pendahulu keseluruhan | Harian Metro

PELUMBA Britain, Adam Yates merampas jersi kuning Tour de France ketika pendahulu keseluruhan terdahulu, Julian Alaphilippe dikenakan penalti kerana melanggar syarat perlumbaan pada jarak 20km terakhir.

Yates dari Mitchelton memanfaatkan hukuman yang dikenakan ke atas Alaphilippe ketika pelumba Belgium, Wout Van Aert memenangi peringkat kelima saingan itu.

“Tiada siapa mahu merampas jersi seperti ini,” kata Yates selepas mengetahui perkara itu.

“Saya berada dalam bas dan baharu hendak ke hotel apabila saya dipanggil.

“Saya bertanya kepada Julian dan dia memberitahu dia dikenakan penalti masa,” kata Yates.

Perlumbaan itu menyaksikan penguasaan pasukan Belanda, Jumbo-Visma apabila memenangi dua peringkat dalam masa dua hari ketika Van Aert berjaya mengatasi saingan sengit di penghujung garisan penamat.

Sementara itu, pelumba Ireland, Sam Bennett yang menamatkan perlumbaan di tempat ketiga pula merampas jersi hijau daripada juara tujuh kali, Peter Sagan.

Pasukan Jumbo-Visma yang menyenaraikan Van Aert tiba di jelajah itu dalam prestasi terbaik serta senarai barisan pelumba hebat mereka dan dilihat pencabar utama kepada dominasi Team Ineos yang memenangi tujuh daripada lapan jelajah terakhir itu.

Carla Suarez hidap kanser darah

CARLA Suarez Navarro, yang menarik diri dari menyertai Terbuka Amerika Syarikat (AS) atas sebab kesihata, berkata bahawa dia disahkan menghidap kanser darah dan memerlukan rawatan kimoterapi selama enam bulan.

“Hi semua, saya mahu memberitahu beberapa hari lalu saya disahkan menghidap kanser darah. Ia dikenali sebagai limfoma Hodgkin.

“Saya perlu menjalani rawatan kimoterapi selama enam bulan. Saya okay dan tenang buat masa sekarang, bersedia untuk berdepan apa saja yang mendatang,” kata Suarez Navarro dalam video yang dimuatnaik di Twitter.

Limfoma adalah kanser di bahagian sistem limfa, di mana ia sebahagian daripada sistem ketahanan badan.

Suarez Navarro, yang akan berusia 32 tahun esok, berkata, Disember tahun ini adalah musim terakhirnya dalam Jelajah WTA.

“Saya harus berdepan realiti yang memeritkan. Ia adalah masa untuk menerimanya dan cuba untuk terus bertahan dengan bantuan nasihat perubatan. Sentiasa berfikiran positif dalam menempuh hari mencabar.

“Kesabaran dan keyakinan membimbing saya sepanjang karier. Selepas ini lawan yang bakal saya tempuhi bukannya mudah. Saya harus memberikan yang terbaik,” katanya.

Pemain Sepanyol itu, sudah tujuh kali layak sehingga ke suku akhir saingan Grand Slam, manakala pencapaian tertinggi adalah menduduki tangga keenam dunia pada 2016 namun dia terpaksa bergelut dengan kecederaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Messi boikot latihan sulung Koeman

MADRID, SPAIN – MARCH 1: Lionel Messi of FC Barcelona disappointed during the La Liga Santander match between Real Madrid v FC Barcelona at the Santiago Bernabeu on March 1, 2020 in Madrid Spain (Photo by David S. Bustamante/Soccrates/Getty Images)

LIONEL Messi memboikot latihan pertama pramusim Barcelona semalam, selepas sumber kelab mengesahkan perkara ini kepada AFP tatkala penyerang itu berterusan berperang dengan pihak pengurusan selepas menyatakan hasrat untuk meninggalkan kelab berkenaan.

Selepas tidak menghadiri ujian Covid-19 kelmarin, Messi sekali lagi tidak kelihatan di padang latihan kelab, Ciutat Esportiva, di mana Ronald Koeman mengadakan sesi latihan pada jam 5.30 petang dan ia adalah kali pertama beliau dilantik menjadi pengurus Barca.

Besar kemungkinan Messi sedang cuba memaksa diletakkan dalam senarai pemain hendak dijual dengan enggan beraksi di La Liga musim depan yang akan bermula 12 September depan.

Pemain berusia 33 tahun itu dan peguamnya percaya bahawa menyertai program pramusim Barcelona akan bertentangan dengan niat mereka yang kononnya Messi sudah bukan kepunyaan kelab itu.

Mereka mendakwa terdapat klausa dalam kontraknya yang membolehkan Messi meninggalkan kelab secara percuma dan ia sudah diaktifkan Selasa lalu.

Bagaimanapun, Barcelona kekal dengan pendirian bahawa klausa berkenaan sepatutnya diaktifkan pada 10 Jun dan tarikh akhir tidak dilanjutkan, walaupun saingan musim lalu terganggu dengan pandemik Covid-19 dan perlawanan akhir Liga Juara-Juara berlangsung pada 23 Ogos.

La Liga menyokong situasi Barca kelmarin dengan mengumumkan klausa pelepasan kontrak Messi, iaitu €700 juta (RM3.4 bilion), masih lagi sah.

Ketua pasukan kelab dan antara pemain terhebat sepanjang zaman itu, yang sudah meledak 634 gol serta meraih 34 kejuaraan, sekarang ini berdepan risiko sama ada didenda atau gajinya dipotong jika terus tidak memunculkan diri.

Manchester City kekal berminat untuk menandatangani Messi, di mana gaji pokoknya saja dijangka kira-kira €60 juta (RM298 juta).

Pemain kelahiran Argentina itu dilaporkan berbincang dengan jurulatih City, Pep Guardiola namun kelab lain juga seperti Paris Saint-Germain, Inter Milan and Juventus sedang berlumba untuk mendapatkannya.