Pirlo ‘lulus’ tugas jurulatih

Milan: Andrea Pirlo memulakan karier selaku jurulatih dengan kemenangan selepas Juventus menewaskan Sampdoria 3-0 pada perlawanan pertama dalam usaha kelab itu untuk memenangi kejuaraan liga buat kali ke-10 berturut-turut.

Dejan Kulusevski menjaringkan gol pembukaan selepas 13 minit di Turin dengan Leonardo Bonucci menambah gol kedua minit ke-78.

Bintang Juventus, Cristiano Ronaldo melengkapkan kemenangan bergaya pasukannya dengan menyumbang gol ketiga pada lewat permainan.

Perlawanan itu berlangsung di depan 1,000 penonton selepas Serie A membenarkan kemasukan jumlah penyokong yang terhad ke dalam stadium selepas tujuh bulan berikutan pandemik Covid-19.

Kemenangan itu menyaksikan Pirlo dapat memulakan kariernya dengan cemerlang selepas mengambil alih tugas daripada Maurizio Sarri pada musim panas lalu.

Kemenangan ke atas Sampdoria yang dilatih oleh Claudio Ranieri hadir sehari selepas bekas bintang Itali dan Juventus itu menerima diploma kejurulatihan.

Juventus menurunkan pemain yang baru ditandatangani iaitu Weston McKennie dan Kulusevski yang menyertai kelab itu dari Atalanta sebelum dipinjamkan ke Parma.

Juventus akan berkunjung ke Roma minggu depan sebelum menanti kunjungan Napoli.

United akur kehebatan Palace

London: Ole Gunnar Solskjaer menyalahkan kurangnya persiapan yang dibuat Manchester United menjadi mimpi ngeri buat mereka apabila memulakan saingan Liga Perdana Inggeris yang menyaksikan Wilfried Zaha meledakkan dua gol ketika turun bertemu bekas pasukannya itu untuk memastikan kemenangan 3-1 milik Crystal Palace di Old Trafford.

United menamatkan musim 2019/20 lebih sebulan lalu berikutan kejayaan mara ke separuh akhir Liga Europa dan hanya menjalani latihan pra-musim selama dua minggu.

“Anda boleh lihat kami kurang cergas dan mereka layak untuk mendapat mata. Mereka lagi tajam daripada kami dalam melancarkan serangan,” kata Solskjaer.

“Anda tidak perlu terlalu terkejut kerana kami bukan berada di tahap terbaik kerana ini adalah perlawanan pertama sejak pertengahan Ogos lalu. Kami menjalani latihan pra-musim yang pendek dan pelik. Kami perlu memperbaikinya dengan cepat.”

United menamatkan musim lalu dengan 14 perlawanan tanpa kalah di Liga Perdana membolehkan mereka menamatkan saingan di kedudukan ketiga sekali gus memberikan harapan untuk mencabar musuh utama, Liverpool dan Manchester City musim ini.

Namun berdasarkan keputusan ini, mereka perlu lebih dari sekadar mendapatkan Donny Van de Beek yang menjaringkan gol pada penampilan sulungnya untuk bersaing di kedudukan atas liga.

Solskjaer, bagaimanapun menolak alasan kerana kurangnya pemain baru menyebabkan mereka bermula perlahan musim ini.

Alcantara mampu julang Liverpool

London: Jurgen Klopp memuji Thiago Alcantara dengan menyifatkan dia sebagai satu daripada beberapa pemain di dunia yang mampu meningkatkan mutu permainan Liverpool selepas pemain Sepanyol itu menyertai kelab berkenaan dari Bayern Munich, semalam.

Dia dilabelkan sebagai antara pemain tengah terbaik dunia, Alcantara memenangi tujuh gelaran Bundesliga sepanjang tujuh tahun di Bayern dan memainkan peranan penting ketika mereka menjuarai Liga Juara-Juara bulan lalu, perlawanan terakhirnya bersama kelab itu.

Bagaimanapun dengan hanya berbaki satu tahun kontraknya, Liverpool hanya mengeluarkan perbelanjaan £20 juta (RM106.29 juta) dan £5 juta (RM26.57 juta) tambahan untuk mendapatkan khidmatnya.

Pemain berusia 29 tahun itu menjadi pemain utama yang dibeli Liverpool dalam tempoh dua tahun ketika mereka menjulang Liga Juara-Juara dan Liga Perdana selepas 30 tahun.

“Dia serang pemain yang luar biasa dan anda memang betul kerana sukar untuk meningkatkan pasukan seperti kami pada ketika ini dengan cara yang normal,” kata Klopp.

“Jika kami ada 3-400 juta mungkin kami boleh mencari beberapa pemain tapi ia bukan mudah. Dalam kes tertentu, dia adalah pemain yang boleh membawa dimensi berbeza dalam permainan kami dan ia adalah benar.

“Sebahagian skil yang dimilikinya sukar untuk ditemui tapi amat sesuai dengan kami. Saya tidak mahu mengatakan mengenai pemain lain ia hanya satu perbezaan dan itu yang saya mahukan.”

Spurs berpeluh sebelum menang

London: Tottenham menjaringkan dua gol pada 10 minit terakhir mengelak daripada tersingkir dengan secara memalukan dalam saingan Liga Europa ketika berdepan Lokomotiv Plovdiv selepas anak buah Jose Mourinho bangkit daripada ketinggalan untuk mengalahkan wakil Bulgaria 2-1 yang beraksi dengan sembilan pemain.

Sepakan penalti Harry Kane dan gol kemenangan Tanguy Ndombele lima minit sebelum aksi berakhir memastikan naib juara Liga Juara-Juara 2019 itu tidak tersangkut di halangan pertama kempen Liga Europa ke atas pasukan yang belum pernah melepasi pusingan kelayakan saingan Eropah.

“Saya rasa ia satu pengalaman yang sangat berguna buat pemain. Adakalanya keajaiban berlaku dalam bola sepak dan apabila anda beraksi dalam saingan kalah mati, membabitkan satu perlawanan ia adalah senario paling baik untuk berlakunya keajaiban.

“Semua orang di bahagian mereka mempunyai saat yang diimpikan dan kami pula percaya saat ngeri mampu hadir,” kata Mourinho.

Mourinho membariskan skuad terkuat termasuk Kane, Hugo Lloris dan Son Heung Min dengan hanya melakukan empat pertukaran daripada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika mereka tumpas 0-1 kepada Everton.

Bagaimanapun, terdapat bukti nyata mengapa Spurs terdesak untuk membawa pulang Gareth Bale secara pinjaman dari Real Madrid apabila mereka dilihat bergelut memecahkan benteng Plovdiv dan ketinggalan melalui tandukan Georgi Minchev pada minit ke-19.

Kedudukan kembali terikat sembilan minit kemudian apabila Dinis Almeida menampan bola dengan tangan dalam petak penalti dan pengadil tiada pilihan dengan memberikan sepakan penalti serta mengarahkan Almeida keluar padang.

Birsent Karagaren juga menerima kad kuning kedua sebelum Kane menyelesaikan tugasnya.

Ndombele yang bergelut dengan prestasinya di bawah bimbingan Mourinho berjaya meledak gol kemenangan hasil percubaan jarak dekat.

Selepas ini pasukan bimbingan Mourinho akan berkunjung ke Macedonia untuk berdepan pusingan ketiga kelayakan, tatkala ketika itu mereka mampu menggunakan khidmat Bale yang dijangka melengkapkan proses perpindahan hari ini.

Dapat sambutan

Kuala Lumpur: Siapa kata Liga Malaysia (Liga M) sendu dan kurang sambutan?

Walaupun peminat bola sepak tidak dibenarkan memasuki stadium berikutan pandemik Covid-19, situasi itu memberi impak positif apabila jumlah tontonan aksi Liga M menerusi medium YouTube ketika ini mencatatkan purata hampir setengah juta tontonan untuk setiap perlawanan.

Ini membuktikan Liga M terutama saingan elit Liga Super yang menampilkan 12 pasukan terbaik negara masih memiliki aura dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.

Sepanjang tempoh hampir tiga minggu saingan Liga M bersambung, tayangan menerusi medium YouTube Unifi merekodkan lebih 3 juta penonton secara keseluruhan membabitkan 18 perlawanan.

Perlawanan yang mendapat jumlah tontonan tertinggi adalah pertemuan membabitkan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Perak.

Pertemuan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim itu menyaksikan skuad Harimau Selatan menang besar 7-0 mengalahkan pasukan Bos Gaurus hingga mampu mencatatkan 740,000 jumlah tontonan.

Selain itu, perlawanan Felda United menentang Kedah di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang, pula mencatatkan jumlah penonton kedua tertinggi iaitu 439,000 tontonan.

Kedah membuktikan mempunyai kelompok peminat yang ramai apabila pertemuan skuad Helang Merah bertemu PJ City 5 September lalu mencatatkan jumlah 380,000 tontonan.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, faktor yang menyaksikan peningkatan jumlah tontonan luar biasa membabitkan perlawanan Liga M adalah disebabkan orang ramai tidak boleh hadir ke stadium.

Beliau berkata, situasi terbabit membuktikan industri bola sepak negara tidaklah sendu, malah semakin rancak dengan orang ramai tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan pasukan masing-masing beraksi.

“Sudah tentu perlawanan Liga M terutama membabitkan pasukan tertentu mendapat sambutan hangat daripada penonton sekali gus membantu meningkatkan jumlah tontonan menerusi platform dalam talian.

“Walaupun penyokong bola sepak tanah air tidak boleh ke stadium, mereka masih mencari platform yang ada untuk menyaksikan perlawanan bola sepak tempatan,” katanya.

Liverpool tangguh hasrat ikat Alcantara

LIVERPOOL dilaporkan terpaksa menangguhkan hasrat membuat tawaran rasmi sehingga pada minggu terakhir musim jendela perpindahan untuk mendapatkan khidmat pemain tengah Bayern Munich, Thiago Alcantara.

The Reds kekal sebagai kelab utama yang mendahului senarai kelab pilihan yang mahu mendapatkan tanda tangan pemain kebangsaan Sepanyol itu walaupun berdepan saingan seteru di Liga Perdana Inggeris, Manchester United yang menunjukkan minta terhadap pemain itu sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun, Bayern belum menerima tawaran rasmi bagi pemain berusia 29 tahun itu dan secara umum memberi amaran kepada kelab berkenaan bahawa mereka mungkin tidak dapat mencapai kata sepakat jika urusan dijalankan pada saat akhir sebelum perpindahan ditutup.

Menurut talkSPORT, Liverpool terpaksa menunggu beberapa minggu lagi berikutan tiada kepastian mengenai masa depan pemain tengah, Georginio Wijnaldum di kelab juara Inggeris itu.

Wijnaldum dipercayai menjadi sasaran bekas bos Belanda, Ronald Koeman di Barcelona. Ketiadaannya mampu memberi kesan pada jentera tengah kelab di Anfield itu.

Brighton mangsa pertama Chelsea | Harian Metro

FRANK Lampard yakin Chelsea mula mendapat faedah hasil pembelian mewah bernilai £200 juta (RM1.06 bilion) apabila memulakan kempen Liga Perdana dengan menewaskan Brighton 3-1 di tempat lawan, awal pagi tadi.

Bos Blues, Lampard menandatangani beberapa pemain baharu dan pulangan awal hasil pelaburan mereka menampakkan tanda positif.

Penyerang Jerman, Timo Werner yang dibeli dengan harga £53 juta (RM282 juta) daripada Leipzig berjaya mendapatkan penalti yang disudahkan Jorginho untuk meletakkan Chelsea di depan.

 PEMAIN  Brighton, Tariq Lamptey (kanan) menjatuhkan pemain Chelsea, Ross Barkley.
PEMAIN Brighton, Tariq Lamptey (kanan) menjatuhkan pemain Chelsea, Ross Barkley.

Kai Havertz yang berpindah dari Bayer Leverkusen dengan harga £70 juta (RM372 juta) kurang memberi impak tetapi Lampard yakin pemain muda Jerman itu akan menyinar sedikit masa lagi.

“Kepantasan Timo mendapatkan penalti menunjukkan dia memang tajam dan mengancam kubu lawan sepanjang perlawanan. Dia tidak duduk diam dan saya suka prestasinya,” kata Lampard.

“Dengan Kai, kita nampak banyak daripadanya. Mendapat minit perlawanan bagus buatnya dan mereka berdua akan menjadi aset hebat buat kelab.”

Kesilapan penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga membolehkan Leandro Trossard menyamakan kedudukan buat Brighton.

Tetapi rembatan kencang Reece James meletakkan kembali Chelsea di depan sebelum percubaan Kurt Zouma memastikan tiga mata buat pelawat.

Kemenangan itu sudah pasti melegakan Lampard yang diletakkan harapan tinggi untuk mencabar gelaran liga selepas berbelanja mewah membeli pemain berprofil tinggi.

Lee Mi-rim ungguli ANA Inspiration

LEE Mi-rim menjuarai ANA Inspiration selepas membenam eagle di lubang 72 dan menewaskan Brooke Henderson dan Nelly Korda dengan birdie di lubang playoff pertama.

Lee, 29, meraih gelaran kejohanan utama pertama dengan lima bawah par 67 di lapangan Mission Hills di Rancho Mirage, California, awal pagi tadi.

Dia disertai 15 bawah par 273 oleh Brooke dan Nelly yang menjadi pendahulu bersama semalam dan kedua-duanya mencatat 69.

Kekalahan itu jelas mengecewakan pemain Amerika Syarikat, Nelly berusia 22 tahun yang mendahului atau berkongsi pendahulu pada tiga pusingan pertama.

Dengan misi mencari gelaran utama pertama, Nelly mendahului dua pukulan di pusingan awal ke atas Brooke di lubang ke-17 tetapi Lee yang lebih mendominasi selepas itu.

“Sukar mempercayainya. Saya fikir tuah juga membantu saya menang kejohanan ini. Perancangan saya hanya membenam birdie di lubang ke-18 dan apabila masuk, memang mengejutkan saya,” kata Lee sambil mengesat air mata sebelum terjun ke kolam Poppie.

“Anda menentang antara pemain terbaik dunia di luar sana dan kecewa juga tewas dengan cara itu,” kata Brooke pula.

”Saya seperti terlepas banyak putt tetapi Mirim dan Nelly beraksi dengan baik dan saya terus menyaingi mereka, jadi saya gembira.”

Bagi Lee pula, kemenangan itu yang keempat dalam Jelajah LPGA dan yang pertama sejak Kia Classic tiga tahun lalu.

Naomi raih Grand Slam ketiga

SENSASI Jepun, Naomi Osaka bangkit daripada ketinggalan satu set sebelum dapat menewaskan Victoria Azarenka dari Belarus untuk muncul juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) sekali gus gelaran Grand Slam ketiganya.

Naomi yang diletakkan selaku pilihan keempat, mengatasi lawannya itu 1-6, 6-3, 6-3 pada perlawanan yang berlangsung selama 1 jam 53 minit di Stadium Arthur Ashe yang kosong.

Kini pemain berusia 22 tahun itu sudah memenangi gelaran utama sebanyak tiga kali termasuk Terbuka AS 2018 dan Terbuka Australia 2019.

Azarenka, 31, mudah memenangi set pertama dalam tempoh 26 minit dengan mendominasi 88 peratus servis.

Azarenka mendahului 2-0 di set kedua sebelum Naomi bangkit untuk mendahului 4-3 sebelum terus mempamer aksi cemerlang untuk memenangi set ketiga .

“Saya tidak begitu menikmatinya. Bagi saya ia adalah perlawanan yang sangat sukar.

“Saya hanya memikirkan pastinya amat memalukan jika tewas dalam tempoh satu jam. Jadi saya mencuba sebaik mungkin dan memperbaiki corak permainan,” kata Naomi yang meraih wang kemenangan AS$3 juta (RM12.4 juta).

Naomi adalah pemain wanita pertama sejak 1994 memenangi acara perseorangan Terbuka AS selepas tewas di set pertama.

Dia juga muncul pemain Asia pertama memenangi tiga gelaran Grand Slam sekali gus mengatasi bekas pemain China, Li Na yang meraih dua Grand Slam.

Belanja besar belum tentu julang trofi

JURGEN Klopp memberi amaran kepada seteru utama Liverpool bahawa langkah berbelanja besar untuk mendapatkan pemain terbaik bukan jaminan mampu meraih kejayaan ketika juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu akan membuka tirai musim baharu menentang Leeds awal pagi Ahad.

Skuad bimbingan Klopp akan kembali beraksi hanya selepas tujuh minggu kapten pasukan, Jordan Henderson menjulang trofi Liga Perdana sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan selama 30 tahun.

Liverpool dilihat tidak mampu dicabar apabila memenangi 32 daripada 38 perlawanan dan menamatkan saingan liga dengan kelebihan 18 mata berbanding pasukan tangga kedua, Manchester City.

Mereka juga mempunyai kelebihan 33 mata di depan pasukan tangga ketiga, Manchester United serta tangga keempat, Chelsea.

Chelsea muncul kelab paling banyak berbelanja iaitu £200 juta (Rm1.06 bilion) untuk mendapatkan Timo Werner, Kai Havertz, Hakim Ziyech dan Ben Chilwell dengan Thiago Silva tiba menerusi perpindahan secara percuma manakala penjaga gol, Edouard Mendy dilaporkan bakal menyertai Blues dari Rennes.

Secara perbandingan, Liverpool mengambil langkah berjaga-jaga kerana kebimbangan faktor kewangan akibat kesan pandemik Covid-19 dengan stadium ditutup sehingga Oktober atau lebih lama lagi.

Satu-satunya pemain baharu Liverpool setakat ini adalah Kostas Tsimikas namun Klopp percaya barisan pemain sedia ada sudah cukup kuat ketika seteru utama mereka perlu menyesuaikan diri dengan barisan pemain baharu.

“Mereka (Chelsea) menandatangani ramai pemain baharu. Ia pastinya akan memberi kelebihan kepada mereka tapi pada masa sama, mereka perlu mencari keserasian dengan cepat.

“Ia lebih kepada bekerjasama di sesi latihan. Kami mungkin mempunyai kelebihan dari sudut itu,” katanya.