Mourinho tempelak ‘Gary’ Southgate

London: Pengurus Tottenham, Jose Mourinho membidas Gareth Southgate dan menggelar pengurus England itu ‘Gary’ selain mempersoalkan perancangannya terhadap Harry Kane.

Mourinho berpendapat penyerang Tottenham, Kane tidak perlu terbabit dalam aksi persahabatan England menentang Wales dan perlawanan Liga Negara-Negara menentang Belgium dan Denmark.

Selepas berdepan jadual padat bersama Tottenham termasuk membelasah Maccabi Haifa 7-2 dalam aksi Liga Europa, Mourinho bimbang Kane kehilangan tenaga.

Sebelum ini, Southgate berkata Mourinho perlu memantau situasi Kane pada April dan Mei menjelang Kejohanan Eropah.

Dengan nada menyindir, Southgate berkata, Mourinho hanya menganggap penolong jurulatih, Steve Holland sebagai kawan dalam komennya.

Kane menunjukkan mengapa kedua-dua pengendali itu mahu dia beraksi pada setiap minit perlawanan selepas meledak hatrik ketika menentang Maccabi Haifa untuk membawa Tottenham ke peringkat kumpulan.

Mourinho ketika ditemuramah selepas tamat perlawanan mengambil kesempatan dengan membidas pengurus England itu.

“Apa yang saya boleh janjikan kepada kawan saya, Steve Holland dan kepada ‘Gary’ supaya tidak cemburu. Kepada Gary, saya janji sehingga ke hujung musim, Harry Kane tidak akan bermain walapun seminit dalam aksi persahabatan,” kata Mourinho.

Atalanta, Inter garang benam lawan

Milan: Papu Gomez meledak dua gol ketika Atalanta menewaskan Lazio 4-1 di Rome manakala pencabar gelaran Serie A, Inter Milan membelasah pendatang baharu, Benevento 5-2, awal pagi tadi.

Dua aksi pembukaan kedua-dua kelab musim ini dilewatkan kerana pembabitan Atalanta dan Inter dalam kempen Eropah pada Ogos lalu.

Dua seteru dari utara itu mempamerkan ketajaman jentera serangan yang diharapkan mampu menyekat Juventus meraih gelaran ke-10 berturut-turut dengan juara bertahan itu hanya seri di Roma pada Ahad lalu.

Atalanta dan Inter kini menduduki tempat teratas Serie A bersama Napoli, Hellas Verona dan AC Milan dengan enam mata maksimum daripada dua perlawanan.

AKSI Lukaku (kanan) menjaringkan gol kedua Inter. FOTO AFP
AKSI Lukaku (kanan) menjaringkan gol kedua Inter. FOTO AFP

Juve meraih empat mata sebelum mereka menerima kunjungan Napoli pada Ahad ini.

Atalanta mendahului tiga gol pada babak pertama menerusi Robin Gosens, Hans Hateboer dan Gomez sekaligus mengelak episod musim lalu yang membenarkan Lazio bangkit 3-3 selepas ketinggalan tiga jaringan.

Felipe Caicedo menjaringkan gol Lazio pada minit ke-57 sebelum Gomez meledak gol keduanya empat minit kemudian.

“Skuad ini sama seperti musim lalu dan ini kekuatan kami,” kata Hateboer yang pasukannya mengakhiri kempen musim lalu di tangga keempat.

“Tetapi masih terlalu awal bercakap mengenai Scudetto.”

Sementara itu, bintang Inter Milan, Romelu Lukaku menjaringkan dua gol dengan yang pertama dalam masa 30 saat selain Achraf Hakimi yang turut menyerlah dalam aksi pertamanya musim ini.

“Saya sangat gembira dengan cara saya menyesuaikan diri dengan pasukan dan saya masih perlu belajar beberapa mekanisma tertentu,” kata Hakimi.

City sahkan pembelian Ruben Dias

London: Manchester City mengumumkan mereka menandatangani pertahanan tengah antarabangsa Portugal, Ruben Dias menerusi perjanjian enam tahun dari Benfica.

Benfica Ahad lalu mengesahkan mereka mencapai persetujuan untuk menjual Dias pada harga 68 juta Euro (RM331.7 juta) termasuk tambahan 3.6 juta Euro (RM17.56 juta) menerusi bonus dengan Nicolas Otamendi akan berhijrah sebaliknya dengan nilai 15 juta Euro (RM73.19 juta).

“Mempunyai peluang menyertai kelab seperti Manchester City adalah sangat menakjubkan buat saya dan sesuatu yang sukar ditolak,” kata Dias menerusi satu kenyataan oleh City.

“Kejayaan mereka menceritakannya sendiri. Mereka adalah pasukan dominan di England sejak beberapa tahun lalu, bermain gaya serangan yang saya rasakan sesuai dengan gaya saya.

“Sangat menakjubkan untuk menjadi sebahagian daripada skuad berbakat dan bermain untuk pengurus berkelas dunia seperti Pep Guardiola, yang memiliki rekod baik membangunkan pemain muda seperti saya.

“Saya percaya boleh meningkat di sini, di kelab yang bercita-cita besar seperti saya dan saya akan berikan apa sahaja untuk berjaya dan menang gelaran.”

Dias menjadi pemain ketiga yang ditandatangani City pada musim panas ini selepas membawa masuk pemain pertahanan Nathan Ake dari Bournemouth dan sayap Sepanyol, Ferran Torres.

Genoa sahkan 14 kes Covid-19

Milan: Genoa mengumumkan 14 pemain serta kaki tangannya didapati positif Covid-19 hanya selepas seteru setempat, Sampdoria mendedahkan pemain yang baharu ditandatangani Keita Balde juga mempunyai virus itu.

Penjaga gol, Mattia Perin dan pemain tengah, Lasse Schone terlepas perlawanan Serie A yang menyaksikan kekalahan 0-6 Genoa ke atas Napoli pada Ahad selepas didapati mempunyai kontak Covid-19 dan 12 yang lain didapati positif selepas perlawanan itu.

“Selepas ujian hari ini, jumlah mereka yang positif Covid-19 meningkat kepada 14 membabitkan pemain dan staf,” menurut Genoa dalam satu kenyataan.

“Kami sudah mengaktifkan semua syarat protokol yang diperlukan bagi membendung penularan virus dan memaklumkan kepada pihak berkaitan.

“Kami akan memaklumkan maklumat susulan mengenai situasi ini.”

Hoffenheim lebur rekod kemenangan Bayern

Berlin: Juara Eropah, Bayern Munich meratapi kekalahan pertama dalam tempoh 10 bulan selepas rentak kemenangan dalam 23 perlawanan dileburkan dengan kekalahan mengejut 1-4 ke atas Hoffenheim dalam aksi Bundesliga awal pagi ini.

Hoffenheim mendahului 2-0 menerusi gol awal dari pemain pertahanan Ermin Bicakcic dan penyerang, Munas Dabbur.

Sekalipun Joshua Kimmich memberi sedikit harapan kepada Bayern menerusi jaringan sebelum waktu rehat tetapi penyerang kebangsaan Croatia, Andrej Kramaric meledak gol pada separuh masa kedua serta menyempurnakan penalti lewat permainan.

Pemain pertahanan Hoffenheim, Havard Nordtveit (kiri) cuba mengekang kemaraan pemain Bayern, Joshua Kimmich pada aksi Bundesliga. FOTO AFP
Pemain pertahanan Hoffenheim, Havard Nordtveit (kiri) cuba mengekang kemaraan pemain Bayern, Joshua Kimmich pada aksi Bundesliga. FOTO AFP

Kemenangan itu membolehkan Hoffenheim berada di puncak carta liga sementara juara bertahan, Bayern di kedudukan ke tujuh selepas dua perlawanan.

Ia adalah kekalahan pertama Bayern di bawah kendalian ketua jurulatih, Hansi Flick dalam semua kejohanan sejak tewas 1-2 kepada Borussia Moenchengladbach pada 7 Disember 2019.

“Tahniah kepada Hoffenheim, mereka tidak memberi kami ruang dan hanya membenarkan kami beberapa peluang.

“Kami hanya tidak memanfaatkan peluang atau beraksi dalam kemampuan sebenar.” kata Flick selepas perlawanan itu.

Sementara jurulatih Hoffenheim, Sebastian Hoeness adalah anak saudara kepada Presiden Kehormat Bayern, Uli Hoeness dan meninggalkan skuad simpanan Munich pada Julai untuk mengambil alih Hoffenheim.

“Kami menerapkan dalam latihan semuanya yang harus dilakukan, kami menguasai permainan sejak dari awal, berjaya kekal memberi ancaman dan bertahan dengan baik, jadi saya agak terkejut dengan keputusan ini,” kata Hoeness.

Haaland hilang arah

Berlin: Borusssia Dortmund tumpas mengejut 0-2 di tangan Augsburg, awal pagi tadi dan kali ini penyerang Norway, Erling Braut Haaland tidak dapat menampilkan watak penyelamat seperti yang dilakukannya ketika mencipta sejarah di Bundesliga, Januari lalu.

Dengan juara bertahan, Bayern Munich hanya akan turun menentang Hoffenheim, malam ini, Dortmund yang muncul naib juara musim lalu gagal meneruskan rentak mereka selepas melakar kemenangan 3-0 ke atas Borussia Moenchengladbach, Sabtu lalu yang menyaksikan Haaland meledak dua gol dalam perlawanan itu.

Pemain berusia 20 tahun itu sudah mengumpul 18 gol dalam 21 perlawanan tahun ini buat Dortmund dan meletakkan namanya dalam sejarah Bundesliga.

Dia menjadi pemain pertama meledak hatrik selepas di bawa masuk dari bangku simpanan pada penampilan pertama untuk aksi Bundesliga, Januari lalu.

Tiga gol dijaringkan Haaland dalam tempoh 20 minit membolehkan Dortmund ketika itu bangkit menewaskan Augsburg 5-3.

Bagaimanapun, kali ini bintang muda itu gagal mempamerkan prestasi sebenarnya di Arena-WWK Augsburg apabila hanya berjaya melakukan satu percubaan tepat ke arah pintu gol lawan.

Sebaliknya, tonggak pertahanan tengah Augsburg, Felix Uduokhai meletakkan kelab itu di depan apabila memecah kebuntuan pada minit ke-40 sebelum Daniel Caligiuri mengesahkan kemenangan melalui gol kedua di minit ke-54.

Jurulatih Dortmund, Lucian Favre mengakui kecewa dengan kekalahan itu apatah lagi selepas menyaksikan anak buahnya mendominasi 80 peratus permainan.

“Banyak perkara yang kami perlu lakukan,” kata Favre yang mengalihkan fokus bagi persiapan menentang Bayern dalam aksi Piala Super Jerman di Munich, awal pagi Khamis ini.

“Kami hampir mendominasi keseluruhan perlawanan, kami bermula dengan baik tetapi tetapi ia belum cukup dan kami terlalu terburu-buru dalam permainan. Augsburg bertahan dengan baik, kami sepatutnya lebih bersabar,” katanya.

Arias perkuatkan Leverkusen

Berlin: Pasukan Bundesliga, Bayern Leverkusen menandatangani pertahanan Colombia, Santiago Arias secara pinjaman sehingga akhir musim dari Atletico Madrid dan mempunyai pilihan untuk membeli secara tetap €12 juta (RM58.37 juta).

Leverkusen, yang akan beraksi di Liga Europa musim ini, memperkuatkan skuadnya dengan mendapatkan pertahanan kanan berusia 28 tahun itu.

Arias sebelum ini pernah beraksi selama lima musim di PSV Eindhoven dan menyertai Atletico pada 2018.

“Kami mendapatkan pemain paling berpengalaman yang mempunyai kepantasan sekali gus akan membantu kami selepas ini.

“Berdepan jadual padat untuk beberapa minggu akan datang, membuatkan kami berasa penting bagi memperkuatkan pasukan,” kata pengarah sukan, Rudi Voeller.

Selepas menjual pemain perancang, Kai Havertz kepada Chelsea dan penyerang, Kevin Volland (Monaco), Leverkusen juga menandatangani penyerang Republik Czech, Patrik Schick dari Roma awal bulan ini dengan menawarkan kontrak lima tahun.

Arsenal singkirkan Leicester

London: Arsenal mara ke pusingan keempat Piala Liga selepas menewaskan Leicester City 2-0, awal pagi tadi.

Satu-satunya perlawanan yang membabitkan dua kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menyaksikan Arsenal di depan menerusi jaringan sendiri Christian Fuchs pada minit ke-57.

Eddie Nketiah melengkapkan kemenangan The Gunners apabila meledak gol kedua pada lewat perlawanan sekali gus berkemungkinan besar berdepan Liverpool di Anfield sekiranya penyandang juara liga itu berjaya mengatasi Lincoln, awal pagi esok.

“Ia adalah tempat (Anfield) paling sukar untuk dikunjungi di Eropah dan di dunia. Kami akan buat persiapan terbaik dan kita lihat nanti,” kata pengurus Arsenal, Mikel Arteta.

Sementara itu, Everton meneruskan aksi cemerlang mereka musim ini apabila menewaskan kelab Liga Kejuaraan, Fleetwood 5-2 untuk turut mara ke pusingan keempat.

Skuad bimbingan Carlo Ancelotti itu selesa di depan menerusi dua gol jaringan Richarlison pada babak pertama perlawanan.

Bagaimanapun, kesilapan penjaga gol, Jordan Pickford membolehkan Mark Duffy merapatkan jurang buat Fleetwood pada minit ke-48 sebelum Alex Iwobi meledak gol ketiga Everton seminit kemudian.

Reputasi Pickford sekali lagi tercalar apabila kesilapan kedua yang dilakukannya menyaksikan Callum Camps berjaya meledak gol pada minit ke-58.

Namun, Ancelotti boleh menarik nafas lega selepas Bernard dan Moise Kean meledak gol minit ke-73 dan 94 bagi melengkapkan kemenangan pasukan itu.

Suarez didakwa menipu

Perugia: Polis Itali menyiasat dakwaan bahawa Luis Suarez melakukan penipuan ketika ujian kewarganegaraan Itali dalam usaha untuk mempercepatkan proses perpindahannya ke Juventus.

Suarez terbang ke Perugia minggu lalu dan lulus ujian kewarganegaraan untuk mempercepatkan perpindahannya ke gergasi Serie A itu.

Meskipun kesepakatan sudah dicapai bersama kelab, Suarez kini berdepan kontroversi terbaharu selepas dia dilaporkan melakukan penipuan dalam ujian berkenaan.

Media Itali melaporkan Suarez sudah mengemukakan soalan lebih awal dan lulus ujian bahasa peringkat B1 selepas mengetahui jawapannya dengan siasatan kini sedang berjalan.

Media Repubblica memetik kenyataan seorang pegawai berkata: “Dia tidak tahu bercakap sepatah pun perkataan Itali.

“Jika wartawan bertanya kepadanya beberapa soalan, dia pasti tidak dapat menjawabnya. Dia bakal memperoleh gaji 10 juta Euro (RM48.3 juta) setahun, jadi dia perlu melepasi ujian ini.”

Pihak polis kini sedang mengumpul segala dokumen dari Universiti Perugia di mana Suarez mengambil ujian itu dan pemain berkenaan bakal berdepan tindakan undang-undang yang berat daripada Pendakwa Raya Perugia.

Suarez bakal menyertai Juventus selepas kelab itu berjaya mendapatkan kembali Alvaro Morata yang dipinjamkan ke Atletico Madrid.

Djokovic julang gelaran Rome kelima

Rome: Novak Djokovic menebus kembali kesilapannya di Terbuka Amerika Syarikat dua minggu lalu dengan menjuarai Piala Itali buat kali kelima, awal pagi tadi.

Pemain nombor satu dunia itu menjulang gelaran Masters ke-36, lebih satu mengatasi musuh ketat Rafael Nadal selepas menewaskan Diego Schwartzman 7-5, 6-3 dalam aksi final di Foro Italico, Rome.

“Beralih kepada Paris, saya tak boleh minta kejohanan lebih baik di sini. Satu lagi gelaran besar dan saya sangat puas hati,” kata Djokovic.

“Saya tak rasa saya beraksi pada tahap terbaik sepanjang minggu tetapi saya rasa saya temuinya ketika saya perlukan pada saat genting.”

Djokovic melanjutkan rekod kemenangan kepada 31 dalam 32 perlawanan tahun ini dengan hanya kekalahan tunggalnya di Terbuka AS selepas disingkir akibat memukul bola tanpa sengaja ke badan pengadil garisan.

Schwartzman mengejutkan juara sembilan kali kejohanan, Rafael Nadal pada suku akhir tetapi dia kehabisan tenaga selepas beraksi tiga jam pada separuh akhir semalam.

Walaupun bermula baik dengan dua ‘break’ untuk mendahului 3-0, Schwartzman gagal mengekalkan momentum ketika menentang pemenang 17 kali Grand Slam itu yang menang kali kelima ke atas pemain Argentina itu.

Djokovic pula meraih kejuaraan kelima dalam 10 aksi final di Rome tetapi yang pertama sejak 2015 selepas tiga kali muncul naib juara termasuk tahun lalu selepas ditewaskan Nadal.

“Ia minggu yang baik walaupun saya gagal pamer aksi terbaik. Saya puas hati,” katanya.

Sementara itu, pilihan utama wanita, Simona Halep menjulang trofi pertamanya di Rome selepas juara bertahan, Karolina Pliskova menarik diri akibat kecederaan ketika ketinggalan 6-0, 2-1 pada final.

Simona pemain nombor dunia bertanding pada final ketiganya di Rome WTA selepas muncul naib juara pada 2017 dan 2018.