Zidane lega benam Barcelona

Barcelona: Real Madrid mengalih krisis dengan cara terbaik apabila menewaskan Barcelona 3-1 dalam aksi Clasico di gelanggang kosong, sekali gus memberikan amaran awal pemburuan takhta La Liga.

Barca mempunyai peluang untuk memperbaiki kekalahan ketika berturut-turut ke atas lawannya dan meningkatkan tekanan kepada Zinedine Zidane.

Sebaliknya, kemenangan Madrid membolehkan mereka mendahului enam mata ke atas kelab Catalans yang beraksi kurang satu perlawanan.

“Ia hanya tiga mata tetapi kami harus menikmatinya, terutama selepas segalanya diperkatakan mengenai skuad ini,” kata Zidane.

Jaringan penalti, Sergio Ramos dan jaringan lewat, Luka Modric memastikan kemenangan ke atas Barcelona selepas Federico Valverde dan Ansu Fati menjaringkan gol awal pada perlawanan liga yang menjadi tumpuan itu.

“Anda selalu mempunyai sumpahan buruk pada setiap musim dan diharapkan perkara ini akan bertahan seminggu,” kata Ramos.

“Untuk menang di gelanggang sendiri ke atas seteru lama sememangnya satu kepuasan.”

Atletico Madrid memanfaatkan peluang dengan menewaskan Real Betis 2-0 untuk melonjak ke kedudukan kedua liga namun Sevilla mengalami kekalahan mengejut di gelanggang sendiri ke atas Eibar, 0-1.

Nadal uji pemain golf profesional

Madrid: Rafael Nadal akan menggantikan raketnya dengan kayu golf untuk beraksi dalam Kejohanan Balearic di Mallorca esok menurut beberapa laporan di Sepanyol.

Nadal adalah pemain golf berbakat dengan handikap 0.3 dan dia akan menyertai senarai 60 pemain di kejohanan itu, termasuk 23 pemain profesional dan 37 amatur.

Ia bukan kejohanan pertama Nadal dalam sukan berkenaan, pemain Sepanyol itu menamatkan saingan di tempat kedua hujung minggu lalu dalam kejohanan V Test Circuit Hexagonal – Autovidal di Calvia.

Pemain tenis berusia 34 tahun itu menewaskan Novak Djokovic untuk muncul juara Terbuka Perancis ke-13 awal bulan ini seterusnya menyamai rekod 20 Grand Slam, Roger Federer.

Lukaku penyelamat Inter

Milan: Romelu Lukaku menjaringkan gol penyamaan dramatik pada minit ke-90 ketika Inter Milan seri 2-2 menentang Borussia Monchengladbach dalam aksi pembukaan Kumpulan B Liga Juara-Juara.

Selepas buntu tanpa sebarang gol pada babak pertama, penyerang Belgium, Lukaku meletakkan Inter didepan menerusi tolakan jarak dekat untuk gol kelapannya dalam lapan perlawanan untuk kelab dan negaranya.

Tetapi pemain Monchengladbach, Ramy Bensebaini menyamakan kedudukan menerusi penalti selepas Arturo Vidal mengasari Marcus Thuram dalam kotak penalti.

Percubaan pemain gantin Inter, Lautaro Martinez terkena palang sebelum Jonas Hofmann meletakkan skuad Jerman itu depan hasil larian cantik yang kemudiannya tenang menolak bola menewaskan penjaga gol tuan rumah.

Lukaku muncul penyelamat selepas bola sepakan sudut singgah di kepala Alessandro Bastoni terlebih dahulu sebelum terkena lutut Lukaku untuk jaringan penyamaan Inter.

Dalam perlawanan lain, pencabar Liverpool dalam Kumpulan D, Atalanta membelasah Midtjylland 4-0 di Denmark.

Dalam Kumpulan C, Olympiakos bermula langkah kanan dengan menang tipis 1-0 ke atas Marseille di Greece selepas pemain gantian Ahmed Hassan meledak gol kemenangan dalam masa kecederaan.

Dalam perlawanan awal Kumpulan A, Lokomotiv Moscow seri 2-2 menentang RB Salzburg.

“Syukur Tuhan” – Pele

Sao Paulo: Sehari sebelum genap berusia 80 tahun, legenda bola sepak Brazil, Pele berkata dia gembira kerana dikurniakan kesihatan mental yang baik dalam video dihantar kepada media hari ini.

“Saya bersyukur kepada Tuhan kerana mengurniakan saya kesihatan untuk sampai ke tahap baik seperti ini. Tidak berapa bijak tapi mudah faham,” katanya berjenaka dalam video pendek sebelum hari lahirnya Jumaat ini.

“Saya berharap apabila saya mati, Tuhan akan menyambut saya sama seperti sambutan di seluruh dunia kerana bola sepak yang kita cintai,” tambahnya.

Pele atau nama sebenarnya Edson Arantes do Nascimento diiktirafkan antara pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman, bergelut dengan masalah kesihatan sejak kebelakangan ini.

Pemenang tiga Piala Dunia (1958, 1962 dan 1970) sering keluar masuk hospital kerana pelbagai masalah kesihatan.

Tahun lalu dia berkunjung ke Paris dan membuat penampilan promosi bersama bintang Perancis, Kylian Mbappe tetapi terpaksa dikejarkan ke hospital selepas itu kerana masalah buah pinggang.

Pada 2014, dia ditempatkan di unit rawatan rapi bagi dialisis selepas mengalami jangkitan air kencing yang teruk.

Bintang gusti meninggal dunia ketika bertarung

Mexico: Seorang ahli gusti dari Mexico meninggal dunia selepas rebah di gelanggang dipercayai akibat kecederaan serius pada otak.

Luis Angel Salazar, 26, yang dikenali dengan julukan Principe Aereo rebah selepas menerima dua pukulan di dada ketika lawannya Redimido berlari untuk membuat satu lagi pukulan.

Lawannya dan pengadil menyedari Salazar tidak berlakon dan terdesak meminta bantuan perubatan.

Luis Angel Salazar. FOTO Agensi
Luis Angel Salazar. FOTO Agensi

Tragedi mengejutkan itu berlaku di Arena San Juan Pantitlan, Mexico, Sabtu lalu.

Laporan awal mengatakan Salazar meninggal dunia akibat serangan jantung.

Bagaimanapun, laman web rasmi pakar gusti, maslucha.com, berkata dia meninggal dunia di hospital akibat kecederaan serius pada otak.

Cavani boleh bukti kemampuan berdepan PSG

London: Marcus Rashford menegaskan Edinson Cavani terbukti bernilai buat Manchester United selepas penyerang veteran Uruguay itu mengubah hidupnya di ladang untuk menjadi tumpuan di Old Trafford.

Cavani menandatangani kontrak dua tahun bernilai £210,000 seminggu (RM1.126 juta) pada hari terakhir perpindahan.

Dia dilaporkan bakal membuat kemunculan pertama pada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara (UCL) menentang bekas kelabnya, Paris Saint Germain awal pagi Rabu ini.

Pemain berusia 33 tahun itu terlepas perlawanan United menang 4-1 ke atas Newcastle kelmarin yang – perlawanan pertama United sejak dia dibeli – kerana menempuhi kuarantin 14 hari selepas tiba di England.

Namun Cavani dijangka boleh bermain bersama skuad Ole Gunnar Solskjaer di Paris.

“Saya akan menempuhi detik yang luar biasa, yang tiada siapa merasakan ia akan terjadi. Ia akan menjadi sesuatu yang menakjubkan, emosi yang menarik,” kata Cavani kepada TF1.

Cavani menjaringkan 200 gol dalam tujuh tahun bersama PSG sebelum meninggalkan juara Ligue 1 pada Jun, terlepas saingan dalam perjalanan kelab itu menempuhi final UCL.

Cavani menghabiskan beberapa bulan menjaga biri-biri di ladang miliknya dekat Uruguay dan meneruskan minatnya dalam balet termasuk tampil dalam iklan untuk klip video sekolah tarian.

Rashford berharap Cavani boleh mengembalikan impak dibuat Zlatan Ibrahimovic, yang menyertai kelab berkenaan pada 2016 selepas meninggalkan PSG sebagai pemain bebas.

“Sebagai barisan penyerang, ia sesuatu yang saya nantikan,” kata Rashford.

‘Budak penghantar’ kembali beraksi demi Olimpik

London: Atlet lompat jauh British kembali menyimpan impian untuk beraksi di Olimpik selepas meraih ribuan pound menerusi derma daripada orang ramai.

Dan Bramble bertugas sebagai pemandu penghantaran barang selepas kehilangan dana dan menyaksikan kemudahan latihan di London ditutup akibat pandemik Covid-19.

Tetapi kini dia dapat kembali menjalani latihan secara sepenuh masa selepas memperoleh derma lebih £12,000 (RM64,200).

Hampir £9,000 (RM48,200) daripada kesemua jumlah derma itu adalah sumbangan daripada seorang individu.

Juara dalam dewan British berusia 30 tahun itu yang terlepas beraksi di kempen kelayakan Sukan Olimpik Rio 2016, mensasarkan untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo yang ditangguhkan pada tahun depan.

Bramble yang berasal dari Chesterfield, Derbyshire, berkata, wang yang berjaya dikumpul secara dalam talian itu membolehkannya meneruskan misinya.

“Sejujurnya saya tak tahu apa hendak diperkatakan. Terima kasih semua.

“Secara realistik, inilah peluang terakhir saya untuk beraksi di Olimpik dan mahu memberikan impak,” katanya.

Bramble berkata, pekerjaan sebagai ‘budak penghantar’ jelas sukar termasuklah bagi atlet profesional sepertinya kerana perlu melalui banyak pergerakan pada setiap hari.

“Sedar tidak sedar fizikal saya bertambah kuat,” katanya.

Ibrahimovic sedia beraksi, Juve tanpa Ronaldo

Milan: Zlatan Ibrahimovic bersedia untuk diturunkan pada pertemuan seteru setempat Milan awal pagi Ahad namun Juventus tidak dapat menggunakan khidmat Cristiano Ronaldo apabila Serie A kembali bersambung selepas rehat seketika untuk aksi antarabangsa.

Pada minggu yang menyaksikan Napoli ditolak satu mata dan diisytihar tewas 0-3 kepada Juventus kerana gagal hadir pada perlawanan liga berikutan terdapat dua kes positif Covid-19, pandemik itu dilihat terus mengganggu perjalanan liga.

“Yang penting adalah untuk menamatkan saingan musim ini, keputusan perlawanan adalah perkara kedua,” kata kapten Juventus, Giorgio Chiellini yang menyaksikan dia serta barisan pemain lain menjalani proses pengasingan selepas Weston McKennie didapati positif, begitu juga dengan Ronaldo.

Juventus akan berkunjung ke pasukan yang baharu dinaikkan ke Serie A, Crotone.

Sementara itu, Ibrhahimovic sudah pulih sepenuhnya dan bersedia untuk diturunkan selepas meledak dua gol ketika bertemu Bologna sekali gus berpeluang membantu AC Milan membalas dendam kekalahan kepada Inter musim lalu.

Bintang Sweden itu tidak beraksi sejak 21 September namun meneruskan latihan intensif ketika tempoh kuarantin.

Ketiadaannya menyaksikan Milan masih meraih keputusan memberangsangkan dan naik di tangga kedua hasil daripada tiga kemenangan.

Skuad bimbingan Stefano Pioli itu menduduki tangga kedua di belakang Atalanta yang turut mencatat tiga kemenangan namun mempunyai kelebihan jaringan gol.

Sementara itu Inter Milan menyaksikan enam pemainnya melalui tempoh pengasingan, iaitu Ashley Young, Alessandro Bastoni, Milan Skriniar, Radja Nainggolan, Roberto Gagliardini dan Ionut Radu dalam usaha mereka untuk melakar kemenangan kali kelima berturut-turut pada pertemuan seteru setempat itu.

Gol Mbappe julang Perancis

Zagreb: Kylian Mbappe menjaringkan gol lewat permainan ketika Perancis menewaskan Croatia 2-1 pada saingan Liga Negara-Negara UEFA di Zagreb, hari ini.

Bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu yang terdahulu terlepas peluang untuk menjaringkan gol, meledak jaringan ketika berbaki 11 minit permainan selepas gol pertama Antoine Griezmann dinafikan oleh Nikola Vlasic.

Perancis yang muncul juara dunia selepas menewaskan Croatia 4-2 di Moscow dua tahun lalu, turut melakar kemenangan 4-2 ketika kedua-dua pasukan bertemu di Paris bulan lalu pada saingan Liga Negara-Negara.

Les Bleus tidak pernah tewas kepada Croatia sekali gus menyaksikan Perancis berkongsi 10 mata dengan Portugal di tangga teratas Liga A Kumpulan 3.

Portugal yang muncul juara edisi pertama Liga Negara-Negara tahun lalu, tidak terkesan tanpa kehadiran Ronaldo berikutan positif Covid-19 apabila mencatatkan kemenangan 3-0 di Lisbon, hari ini.

Jurulatih Perancis, Didier Deschamps melakukan enam pertukaran dengan bintang Manchester United, Anthony Martial dan pertahanan Real Madrid, Ferland Mendy adalah antara yang terpilih untuk beraksi manakala pemain seperti Paul Pogba dan Olivier Giroud diketepikan.

Mendy menjadi watak utama jaringan pertama pada minit kelapan selepas hantaran silangnya menyebabkan Griezmann berjaya menjaringkan gol.

Mbappe kemudian gagal menyempurnakan hantaran Martial ketika gawang lawan terbuka luas dan Croatia kemudian bangkit di separuh masa kedua.

Beraksi di depan 7,000 penyokong, tuan rumah akhirnya memperoleh gol penyamaan minit ke-65 menerusi Vlasic.

Mbappe kemudian menjaringkan gol kemenangan minit ke-79 selepas menerima hantaran Lucas Digne.

Argentina atasi Bolivia, Ecuador benam Uruguay

Montevideo: Joaquin Correa menjaringkan gol kemenangan 11 minit sebelum tamat permainan ketika Argentina mengatasi Bolivia 2-1 dalam saingan kelayakan Piala Dunia di La Paz, pagi ini.

Ia kemenangan tipis kedua buat skuad kendalian Lionel Scaloni susulan kemenangan 1-0 ke atas Ecuador, Khamis lalu.

Marcelo Moreno Martins memastikan tuan rumah Bolivia di depan namun Argentina menyamakan kedudukan menerusi Lautaro Martinez sebelum tamat separuh masa pertama permainan.

Dalam satu lagi saingan, Ecuador bangkit daripada kekalahan kepada Argentina untuk menewaskan Uruguay, 4-2 di Quito.

Luis Suarez (tengah) meledak dua gol ketika menentang Ecuador. FOTO Agensi
Luis Suarez (tengah) meledak dua gol ketika menentang Ecuador. FOTO Agensi

Ecuador mendominasi hampir keseluruhan perlawanan berdepan Uruguay mendahului menerusi tandukan Moises Caicedo berpunca daripada sepakan sudut Angel Mena ketika 15 minit permainan berlangsung.

Michael Estrada mendapatkan gol kedua buat pasukannya namun dinafikan oleh tayangan VAR selepas bola terkena tangan Enner Valencia.

Namun Estrada berjaya menjaringkan gol sebelum waktu rehat selepas memanfaatkan peluang daripada kesilapan yang dilakukan pemain pertahanan tengah veteran Uruguay, Diego Godin.

Uruguay berusaha merapatkan kedudukan tiga minit selepas babak kedua bersambung namun dinafikan kerana bola terkena tangan Darwin Nunez.

Serangan pantas Ecuador membolehkan Estrada melakukan jaringan menarik sebelum Gonzalo Plata memastikan kemenangan selesa pasukan itu.

Gol saguhati Uruguay diperoleh menerusi dua penalti di penghujung permainan yang menyaksikan Luis Suarez melebarkan jaringan kepada 61 dan 62 gol buat negaranya.