Hatrik Jota bedal Atalanta

Bergamo, Itali: Diogo Jota menjaringkan hatrik ketika Liverpool membelasah Atalanta 5-0 untuk kemenangan ketiga berturut-turut dalam aksi Liga Juara-Juara Kumpulan D, awal pagi tadi.

Penyerang Portugal, Jota meledak dua kali pada babak pertama di Bergamo sebelum Mohamed Salah dan Sadio Mane melebarkan kedudukan pada awal babak kedua. Jota melengkapkan hatriknya pada minit ke-54.

Skuad Jurgen Klopp kini mempunyai sembilan mata dan lima mata di hadapan Atalanta dan Ajax yang menang 2-1 ke atas juara Denmark, Midtjylland.

Real Sociedad kembali ke puncak La Liga

Madrid: David Silva menjaringkan gol pertamanya buat Real Sociedad untuk membantu pasukan itu kembali ke puncak La Liga selepas melakarkan kemenangan 4-1 ke atas Celta Vigo.

Silva mengetuai La Real di Balaidos untuk gol pertama sejak meninggalkan Manchester City pada musim panas lalu dan gol pertama dalam La Liga sejak meninggalkan Valencia 11 tahun lalu.

Mikel Oyarzabal turut meledakkan gol kelima musim ini dan meletakkannya sebagai penjaring terbanyak liga musim setakat ini.

Willian Jose kemudiannya meledakkan dua gol pada separuh masa kedua, ketika Aspas menyempurnakan sepakan penalti untuk gol pertama dan memberikan sedikit harapan buat Celta kembali mencabar.

Satu lagi kemenangan mengagumkan buat Real Sociedad bermakna mereka berjaya memenangi empat perlawanan terakhir liga dengan keputusan mengagumkan 3-0, 3-0, 4-1 dan 4-1.

Mereka kini kembali ke tangga teratas dengan kelebihan satu mata mengatasi Real Madrid yang sebelum itu melakarkan kemenangan mudah mengatasi Huesca 4-1.

Atletico Madrid ketiga, ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu dengan mempunyai dua lagi perlawanan.

Gol Ibrahimovic julang AC Milan

Milan: Zlatan Ibrahimovic menjaringkan gol akrobatik pada lewat permainan ketika AC Milan mencatat kemenangan 2-1 ke atas Udinese untuk menduduki tangga teratas Serie A.

Bintang veteran berusia 39 tahun itu sudah menjaringkan tujuh gol sepanjang empat perlawanan liga dan terlepas beraksi dua lagi perlawanan sebelum ini kerana positif Covid-19.

Skuad bimbingan Stefano Pioli kini menduduki tangga teratas dengan mengumpul 16 mata daripada enam perlawanan, empat mata mengatasi Atalanta.

“Gol saya menarik tetapi kemenangan pasukan lebih penting.

“Ia perlawanan yang sukar tetapi kami menunjukkan ketika waku sukar, pasukan dapat bekerjasama dengan baik.

“Kami antara pasukan di Eropah yang memiki ramai pemain muda. Mereka membuatkan saya rasa lebih muda,” kata Ibrahimovic.

Kuching FA benam KL

Melaka: Kuching FA berjaya meraih kemenangan 2-0 ke atas Kuala Lumpur (KL) pada aksi terakhir Liga Perdana di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, sebentar tadi.

Kejayaan terbabit jelas tonik berharga buat skuad berkenaan bagi mengharungi pentas Piala Malaysia musim ini.

Aksi yang terpaksa dilangsungkan di Melaka susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di ibu negara menyaksikan KL lebih banyak mengatur serangan pada awal babak permainan.

Bagaimanapun, Kuching yang sesekali menyerang berjaya menghasilkan jaringan pertama mereka menerusi penyudah berkesan Bryan Anicezio pada minit ke-17 perlawanan.

Ketika KL bingkas merencana strategi untuk mencari gol penyamaan gawang mereka sebaliknya kembali bocor kali ini menerusi rembatan kencang Yuta Suzuki pada minit ke-34 untuk menambah jaringan kedua pelawat.

Bersambung babak kedua jurulatih KL, Nidzam Adzha Yusoff cuba menukar format pergerakan dengan memasukkan bekas pemain kebangsaan Indra Putra Mahayuddin bagi menambah sengat barisan hadapan dalam misi memburu jaringan.

Hasilnya menarik, namun percubaan Indra pada minit ke-53 bagaimanapun berjaya diselamatkan penjaga gol Mohd Iqbal Mohd Suhimi.

Apa yang pasti keputusan terbabit menjadi suntikan semangat buat Kuching FA mengharungi saingan Piala Malaysia dalam kekangan pandemik Covid-19.

Kemenangan itu jelas meningkatkan motivasi mereka untuk berdepan lawan lebih berpengalaman di pentas saingan berprestij itu kelak.

Jepun giat lakukan persiapan Olimpik Tokyo

Kuala Lumpur: Jawatankuasa Penganjuran Tokyo 2020, memberi jaminan bahawa segala persiapan penganjuran Sukan Olimpik 2020 dan Sukan Paralimpik 2020 sedang giat dilakukan.

Presiden Jawatankuasa Penganjuran Tokyo 2020 Youshiro Mori turut berkongsi ikrar Perdana Menteri baharu Jepun Yoshihide Suga, pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada bulan lepas, bahawa Jepun komited menjayakan penganjuran temasya sukan terbesar dunia itu seperti dijanjikan.

Menurut kenyataan dikeluarkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) tuan rumah Tokyo 2020 menyatakan, jaminan itu ketika sesi Webinar Ketua Kontinjen (CDM) Paralimpik Tokyo 2020 pada Khamis, membabitkan 165 wakil negara dari seluruh dunia termasuk Malaysia, yang diwakili Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin yang juga Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Kenyataan itu memaklumkan antara intipati penting lain dikongsi ketika sesi secara maya selama tiga jam itu adalah, Jepun telah merombak dan menyusun semula jadual kejohanan utama di negara berkenaan supaya tidak bertindih dengan temasya sukan itu, dengan Sukan Paralimpik Tokyo dijadual bermula 25 Ogos hingga 5 September, 2021.

Sebanyak 22 sukan dipertandingkan dengan menawarkan 539 pingat emas membabitkan 21 venue pertandingan yang kebanyakannya berlangsung di Tokyo, dengan persiapan semua venue berjalan lancar untuk menganjurkan temasya sukan terbesar dunia itu.

Menurut kenyataan itu, segala aspek perancangan akan dikemas kini dari semasa ke semasa, untuk memastikan Jepun bersedia menyambut kehadiran kontinjen dari 165 negara, selain untuk membolehkan temasya itu dilangsungkan dengan teratur dan terbaik.

Tuan rumah Jepun juga mengesahkan mereka menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk menangani isu berkaitan Covid-19, dengan terdapat garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi kontinjen dari setiap negara, sebelum bertolak ke Jepun.

Beberapa langkah berjaga-jaga juga akan diperkenalkan Jepun, untuk melindungi dan menjaga tahap kesihatan atlet sepanjang temasya sukan itu.

Setakat ini, seramai sembilan atlet Malaysia layak ke Sukan Paralimpik Tokyo, membabitkan empat daripada sukan olahraga, memanah (2), Boccia (1) dan renang (2).

Musa optimis selesai dokumen ikut tempoh

Melaka: Persatuan Bola Sepak Melaka United (Musa) optimis dapat melengkapkan dokumen seperti diminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum 31 Oktober ini.

Ia bagi memastikan pasukan itu tidak berdepan risiko penyingkiran daripada Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Presidennya, yang juga Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata segala dokumen yang diperlukan sedang diproses oleh persatuan untuk dihantar kepada badan induk bola sepak negara itu dalam tempoh terdekat.

“Insya Allah kita boleh selesaikan hal ini dalam tempoh tiga hari ini seperti yang diminta,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Ziarah Kasih di Bukit Palah, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Musa dan Pahang berdepan tindakan penyingkiran selepas gagal menghantar dokumen sempurna pada tarikh akhir pertama bulan lepas walaupun kedua-duanya telah diberi peluang oleh FAM dengan diberikan lesen bersyarat.

Ia susulan kegagalan dua pasukan itu untuk mengemukakan dokumen lengkap berkaitan tunggakan dengan agensi termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Kedua-dua pasukan itu termasuk lima pasukan Liga Perdana diberi tempoh sehingga 31 Oktober ini bagi mengemukakan segala dokumen berkaitan yang diperlukan kepada Pengerusi First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM.

Pelumba Cub Prix positif Covid-19

Kuala Lumpur: Pelumba Cub Prix negara, Muzakkir Muhammed mengesahkan dirinya positif Covid-19 dan kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Justeru itu, Muzakkir yang beraksi bersama Onexox TKKR SAG Team dalam kategori CP150 menasihatkan mereka yang bertemunya sejak Khamis lalu supaya menjalani ujian swab.

“Dukacita saya hendak beritahu telah positif Covid-19. Pada kenalan yang ada berjumpa saya bermula Khamis minggu lalu tolong pergi buat swab test (ujian swab) untuk kebaikan anda sekeluarga.

“Saya ingin memohon maaf jika ada salah silap dan terkasar bahasa selama ini. Semoga kembali sedia kala hendaknya. Amin,” tulis Muzakkir di Insta Story.

Sementara itu, pasukannya menerusi status di Facebook menyatakan Muzakkir dijangkiti wabak itu melalui rakan serumahnya yang bekerja di kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Dukacita dimaklumkan seorang pelumba kami iaitu Muzakkir disahkan terkena jangkitan Covid-19. Kami doakan agar Muz cepat sembuh,” tulis status pasukan itu di Facebook.

Prinsipal pasukan, Bobie Farid Shamsudin ketika dihubungi mengesahkan Muzakkir berada dalam keadaan yang baik.

“Buat masa ini dia sihat seperti biasa,” katanya. Muzakkir kini muncul pelumba terbaik pasukan itu bagi kelas CP150 apabila menduduki tangga keenam dengan meraih 38 mata selepas empat pusingan.

Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas ditunda bermula pusingan kelima yang sepatutnya berlangsung di Litar Utara Sepang dari 10 dan 11 Oktober lalu berikutan peningkatan kes Covid-19.

Pusingan keenam yang sepatutnya berlangsung dari 31 Oktober dan 1 November di Litar Sepang juga turut ditunda susulan langkah kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor sehingga 9 November.

Gol Casemiro selamatkan Real Madrid

Monchengladbach, Jerman: Zinedine Zidane menegaskan Real Madrid berhak mendapat satu mata selepas Casemiro menyamakan kedudukan pada lewat permainan ketika mereka bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk terikat 2-2 menentang Borussia Moenchengladbach, pagi ini.

Keputusan itu sekali gus mengelak kekalahan keempat berturut-turut gergasi Sepanyol berkenaan dalam saingan Liga Juara-Juara.

Dua gol Marcus Thuram meletakkan skuad Gladbach di laluan untuk mencipta kemenangan gemilang sehingga Real bangkit menerusi jaringan Karim Benzema dan Casemiro – tiga minit pada masa tambahan – untuk menyelamatkan mata.

Namun Real kekal di kedudukan tercorot Kumpulan B selepas kekalahan mengejut 2-3 di laman sendiri kepada Shakhtar Donetsk pada saingan pembukaan minggu lalu.

Skuad Zidane juga kalah kedua-dua perlawanan pusingan ke-16 musim lalu ke atas Manchester City.

“Pada saya keputusan seri ini bukan melegakan, ia keputusan yang berhak buat kami.

“Kami berdepan lawan yang banyak memberikan masalah kepada kami dalam dua atau tiga saingan sebelum ini, tapi kami tidak panik dan bangkit dengan perwatakan sebenar.

“Jika kami bermain seperti itu, kami boleh melakukan perkara yang hebat dan kami akan menang perlawanan – itu sudah pasti.” kata Zidane.

‘Waktu sukar letak jawatan’ – Presiden Barcelona

Barcelona: Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu yang kini berdepan tekanan berkata “ketika ini mungkin waktu paling sukar” untuk melepaskan jawatannya.

Bartomeu berdepan undi tidak percaya dalam tempoh sukar di Camp Nou, tidak kurang hebatnya dengan legenda kelab itu Lionel Messi yang dihalang meninggalkan Barca musim panas ini.

Bercakap selepas mesyuarat lembaga pengarah Bartomeu berkata: “Terlalu banyak isu. Saya percaya ia mungkin tempoh paling buruk untuk meninggal Barca kepada lembaga pengurusan interim.”

Pemilihan presiden dijadualkan berlangsung pada Januari atau Februari, serentak menjelang penjadualan tarikh pada Mac di mana kontrak Bartomeu tidak lagi disambung.

Pemergiannya mungkin menjejaskan masa depan Messi, yang menerangkan pada September lalu bagaimana cara kelab diuruskan menjadi sebab utama kecenderungannya untuk pergi.

Victor Font adalah salah seorang calon pilihan untuk menggantikan Bartomeu dan menyelitkan kempennya dengan kehadiran bekas rakan sepasukan Messi, Xavi Hernandez sebagai jurulatih, begitupun Font mencadangkan minggu ini Ronald Koeman mungkin meneruskan tugasnya dengan Xavi memikul tanggungjawab berbeza.

Joan Laporta, presiden yang melantik Pep Guardiola sebagai jurulatih pada 2008, turut disebut-sebut dalam senarai utama itu.

Vardy buat Arsenal gigit jari

London: Brendan Rodgers mengagumi aksi ‘bertaraf dunia’ Jamie Vardy selepas jaringan pada minit terakhirnya itu menyaksikan Leicester melakarkan kemenangan 1-0 ke atas Arsenal.

Ia adalah kekalahan ketiga Arsenal selepas empat perlawanan dalam aksi Liga Perdana Inggeris.

Vardy bagaimanapun masih belum cukup cergas kerana kecederaan betis yang dialami namun pengurus Foxes, Rodgers menurunkannya ketika perlawanan berbaki 30 minit seterusnya meledakkan gol keenam peribadinya musim ini.

Penyerang berusia 33 tahun itu memang dikenali dengan umpanan tajam di depan gawang Arsenal dan hingga setakat ini sudah menjaringkan 11 gol sepanjang 12 perlawanan liga menentang pasukan itu.

“Perancangan kami adalah untuk sentiasa menurunkan Jamie Vardy dalam perlawanan dan dia dapat melaksanakan tugasnya,” kata Rodgers.

“Dia melakukan sumbangan besar dan perlawanan besar,” kata Rodgers selepas Leicester merakam kemenangan pertama di Arsenal sejak tahun 1973.

Hasil kemenangan itu Leicester kini melonjak kedudukan keempat liga selepas dua kekalahan berturut-turut sebelum ini.

Arsenal kini menghuni tangga ke-10 liga selepas kekalahan kedua berturut-turut liga susulan keputusan sama di Manchester City hujung minggu lalu. – AFP