Salah positif Covid-19 | Harian Metro

Kaherah: Bintang Liverpool, Mohamed Salah disahkan positif Covid-19 tetapi tanpa sebarang gejala, menurut pengumuman Persatuan Bolasepak Mesir hari ini.

Ujian calitan yang dijalankan ke atas skuad kebangsaan “menunjukkan pemain antarabangsa kami, Mohamed Salah, bintang Liverpool dijangkiti koronavirus,” kata jurucakap dalam ciapan di Twiter dan menurutnya lagi ‘tanpa sebarang gejala.’

Pemain sayap Mesir itu menjadi bintang terbaru Reds yang dijangkiti virus selepas Sadio Mane, Thiago Alcantara dan Xherdan Shaqiri.

Perkembangan terkini itu sudah pasti merisaukan Liverpool selepas mereka berdepan krisis kecederaan pemain.

Beberapa hari sebelum Salah positif Covid-19, Joe Gomez terpaksa berehat panjang akibat kecederaan lutut manakala Trent Alexander-Arnold turut mengalami kecederaan ketika menentang Man City.

Tyson tak goyang

London: Mike Tyson berasakan keadaannya “makin baik dari aspek fizikal dan mental” menjelang pertarungan berdepan Roy Jones Jr.

Jones Jr, 51, pula berkata dia tidak akan menoleh ke belakang bagi meneruskan perlawanan penuh “inspirasi” itu.

Ikon heavyweight – dengan umur yang digabungkan menjadi 105 – dijadualkan bertarung pada 28 November di Staples Centre dekat Los Angeles.

Tyson, 54, menyifatkan dia tidak pernah merasa keadaan yang lebih baik menjelang pertarungan pertunjukan itu.

Iron Mike berkata: “Saya baharu bermula melakukan senaman dan saya berasakan sangat bagus.

“Saya mempunyai keinginan untuk memukul beg itu, sesuatu yang tidak saya lakukan lebih dari 15 tahun.

“Saya sangat gembira melakukannya dan saya langsung tidak fikir akan berseronok bertinju kembali.

“Saya fikir sukan ini telah merampas segalanya yang terbaik dari saya tetapi ia tidak benar.

“Saya rasa lebih baik daripada sebelum ini dari segi fizikal dan mental dan ia adalah sesuatu yang saya perlu lakukan untuk diri sendiri.”

Ramai yang mempersoalkan keselamatan mengenai pertembungan dua petinju itu disebabkan faktor usia tetapi Jones Jr berkata dia tidak memerlukan banyak motivasi untuk beraksi di gelanggang berdepan Baddest Man on the Planet.

Jones Jr atau nama gelarannya Superman dan Captain Hook ketika kemuncak kerjayanya berkata: “Apa yang menyebabkan Mike Tyson mahu berkongsi gelanggang dengan saya adalah tidak lebih daripada memberi inspirasi bagi pertembungan itu.”

Skuad basikal Johor tak patah semangat

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih berbasikal Johor, Junaidi Mohamad Nasir akur dengan perkhabaran pembatalan Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2021 demi keselamatan semua orang dalam situasi sekarang.

Menurut bekas pelumba kebangsaan itu, adalah bagus untuk menangguhkan Sukma kerana penganjuran temasya dikhuatiri boleh mencetuskan ‘Kluster Sukma’.

“Setakat ini moral pelumba saya semuanya berada dalam keadaan tenang walaupun ada sedikit kesedihan. Mereka faham situasi kenapa temasya ini ditangguhkan dan boleh menerima keputusan yang sudah dibuat,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sukma yang sepatutnya berlangsung pada Julai lalu, ditangguh ke 6 hingga 14 Mac 2021 kerana pandemik itu, sebelum dijadualkan semula ke 2 hingga 10 April.

Pembatalan Sukma Johor itu sudah mengambil kira pelbagai aspek selepas tiada jaminan keselamatan kesihatan kepada hampir 30,000 orang yang terbabit temasya itu.

Keputusan itu turut dipengaruhi kalendar temasya sukan tempatan dan antarabangsa pada 2021 yang terlalu rapat dengan beberapa tarikh penting seperti Ramadan dari 13 April hingga 13 Mei, Kejohanan Bola Sepak Euro 2020 (11 Jun-11 Julai), Sukan Olimpik Tokyo (23 Julai-8 Ogos), Paralimpik Tokyo (24 Ogos-5 September) serta Sukan Sea Vietnam pada hujung tahun.

Ditanya mengenai umur pelumba yang mungkin sudah melebihi had jika ia diadakan pada 2022, Junaidi mengakui beliau melakukan persiapan rapi.

“Saya tiada masalah kerana sudah mempersiapkan satu perancangan jangka masa panjang apabila bekerja dengan Johor. Saya sudah merangka kerja-kerja pembangunan dengan baik dan persediaan atlet untuk ke Sukma Johor.

”Malah sehingga Sukma 2026 dari segi umur atlet (bawah 21 tahun). Dalam masa sama juga semua masih ternanti-nanti had umur Sukma 2022 adakah masih menggunakan atlet sedia ada (bawah 23 tahun) atau Sukma mengekalkan had umur (bawah 21 tahun),” katanya. Tambahnya, pelbagai rancangan dirancang di Johor kerana negeri berkenaan meletakkan sukan berbasikal dalam satu projek jangka panjang (10 dan 20 tahun).

Gunnersaurus kembali ke Emirates

London: Maskot Arsenal, Gunnersaurus tampil kali pertama sejak ‘dipecat’ bulan lalu sebagai langkah penjimatan kos dalam musim yang menyaksikan semua perlawanan berlangsung tanpa penonton.

Keputusan kelab London itu menghentikan khidmat Jerry Quy yang menyarung maskot selama 27 tahun menarik simpati pelbagai pihak dengan pemain tengah Gunners, Mesut Ozil sedia membayar gaji Quy.

Semalam akaun Twitter karakter itu memuat naik foto yang tertera: “Kembali ke Stadium Emirates hari ini.”

Namun tidak dipastikan siapa di sebalik kostum Gunnersaurus tetapi laporan berkata terdapat penggiliran tugas dan Quy termasuk salah seorang daripada mereka.

“Seperti yang selalu kami tekankan, Gunnersaurus salah satu watak penting di Arsenal dan figura popular dalam kalangan peminat kami di seluruh dunia,” kata jurucakap kelab.

“Dia tetap diperlukan, ketiadaannya susulan kekangan akibat Covid-19 yang memaksa karakter ini kurang berpeluang tampil di hadapan umum.”

Ciapan di Twitter itu mendapat 40,000 tanda suka dalam masa kurang satu jam dengan penyokong yang tidak dapat mengunjungi Stadium Emirates lega dengan penampilan semula maskot itu.

Penyokong menggunakan halaman GoFundMe bertajuk ‘Save Gunnersaurus’ untuk mendapatkan dana hampir £12,000 (RM65,568).

Kenyataan dari halaman itu berkata: “Gunnersaurus menjadi maskot kelab selama 27 tahun. Dia adalah ikon kelab dan kami tidak boleh membiarkan dia pupus. ”

Ozil yang dilaporkan menerima £350,000 (RM1.912 juta) seminggu sedia membayar gaji maskot mashyur dan setia itu selagi dia beraksi bersama kelab Liga Perdana itu.

Roglic cerah peluang pertahan gelaran

Madrid: Juara bertahan Vuelta a Espana dari Slovenia, Primoz Roglic meraih kemenangan sukar ujian masa semalam untuk merampas kedudukan pendahulu dalam klasifikasi keseluruhan dengan berbaki lima peringkat.

Roglic merampas semula jersi merah daripada kapten Ineos dari Ecuador, Richard Carapaz dengan kedua-duanya bersaing hebat sepanjang Jelajah manakala pelumba Britain, Hugh Carthy menduduki tangga ketiga menjelang klimaks perlumbaan pada Ahad ini.

Tidak ramai menjangkakan Roglic menjuarai perlumbaan sengit peringkat ke-13 sejauh 33.7km dan pelumba Jumbo-Visma itu kini muncul pelumba pilihan mengekalkan kejuaraan pada hujung minggu ini di Madrid.

Tetapi dia hanya mempunyai sedikit kelebihan ke atas Carapaz dan Carthy dengan kedua-duanya hanya dipisahkan hampir seminit dengan pendahulu itu.

ROGLIC bergaya di atas podium. FOTO AFP
ROGLIC bergaya di atas podium. FOTO AFP

Carapaz ketinggalan 39 saat di belakang Roglic manakala pelumba EF Pro, Carthy 47 saat.

“Lebih baik 39 saat di hadapan daripada 39 saat di belakang,” kata Roglic. “Kami perlu terus fokus, mereka benar-benar kuat dan kami akan berjuang untuk itu.”

Penamat bertenaga di puncak Mirador de Ezaro mungkin menghampakan pencabarnya yang mengharapkan keletihan menjejaskan pelumba berusia 31 tahun itu minggu ini.

“Ia cantik,” kata Roglic. “Ia sudah sekian lama sejak saya menang ujian masa. Hari sangat indah, saya rasa kuat, memang mengejutkan.”

Roglic mengetuai Tour de France musim ini sehinggalah dia kecewa pada saat akhir selepas dipintas Tadej Pogacar.

“Kita semua tahu, ia tidak menyeronokkan mengharungi ujian masa tetapi hari ini saya berjaya melakukannya.”

Joan Mir ungguli MotoGP Eropah

Valencia: Pelumba dari Sepanyol, Joan Mir menang perlumbaan MotoGP Eropah di Valencia, yang juga kemenangan pertama buatnya dalam kelas perdana seterusnya menambah kelebihan dalam pungutan mata kejuaraan kepada 37 mata.

Mir mengambil kesempatan ketika pencabar gelaran, Fabio Quartararo terbabit dalam kemalangan pada pusingan pertama manakala rakan sepasukan, Alex Rins memastikan kedudukan satu dua buat Suzuki.

Penunggang Perancis, Quartararo berjaya meneruskan perlumbaan untuk kedudukan ke-14 namun harapannya merebut kejuaraan bertambah sukar berbaki dua perlumbaan musim ini.

Letesenbet, Duplantis calon atlet terbaik dunia

Paris: Atlet Habsyah, Letesenbet Gidey yang mencatat rekod baharu dunia dalam acara 5,000 meter wanita pada Oktober lalu tersenarai untuk Anugerah Atlet Tahunan Terbaik Dunia, menurut pengumuman hari ini.

Letesenbet, 22, mencantas lebih empat saat daripada catatan lama dengan masa 14 minit 06.62 saat dalam kejohanan di Valencia, Sepanyol.

Joshua Cheptegei dari Uganda yang mencatat rekod baharu dunia acara 10,000m lelaki di kejohanan sama dengan catatan 26:11.00 antara atlet yang dicalonkan untuk kategori lelaki oleh World Athletics semalam.

Dalam musim yang dipendekkan akibat pandemik koronavirus dan menyaksikan penundaan Sukan Olimpik, Cheptegei turut mencatat rekod baharu dunia acara 5,000m.

DUPLANTIS atasi rekod Bubka. FOTO AFP
DUPLANTIS atasi rekod Bubka. FOTO AFP

Selain itu, Armand Duplantis turut antara calon pilihan merebut anugerah selepas mencipta nama dalam rekod dunia menerusi acara lompat bergalah.

Pada usia 20 tahun, bintang Sweden itu memperbaiki catatan legenda Ukraine, Sergey Bubka dengan ketinggian 6.15 meter di Liga Berlian Rome selepas mencatat 6.18 meter di kejohanan dalam dewan pada awal musim.

Seorang lagi atlet Uganda, Jacob Kiplimo yang menjuarai ‘world half marathon’ dengan catatan rekod baharu, 58 minit 49 saat turut tersenarai dalam kategori lelaki.

Manakala calon lain kategori wanita termasuk Faith Kipyegon dari Kenya yang mencatat masa terpantas 800 meter tahun ini.

Keputusan pemenang akan diumumkan di Anugerah Atlet Antarabangsa 2020 pada 5 Disember.

Senarai calon atlet wanita Anugerah Atlet Tahunan Terbaik Dunia:

Femke Bol (Belanda), Letesenbet Gidey (Habsyah), Sifan Hassan (Belanda), Peres Jepchirchir (Kenya), Faith Kipyegon (Kenya), Laura Muir (Great Britain), Hellen Obiri (Kenya), Yulimar Rojas (Venezuela), Elaine Thompson-Herah (Jamaica), Ababel Yeshaneh (Habysah)

Senarai calon atlet lelaki Anugerah Atlet Tahunan Terbaik Dunia:

Donavan Brazier (AS), Joshua Cheptegei (Uganda), Timothy Cheruiyot (Kenya), Ryan Crouser (AS), Armand Duplantis (Sweden), Jacob Kiplimo (Uganda), Noah Lyles (AS), Daniel Stahl (Sweden), Johannes Vetter (Jerman), Karsten Warholm (Norway)

Tauke restoran puji pekerti Ronaldo

London: Cristiano Ronaldo mungkin pemenang lima kali Ballon d’Or dan salah seorang selebriti paling popular di dunia tetapi dia juga kadang-kadang perlu menunggu lama untuk mendapatkan meja dalam restoran.

Penyerang Juventus berusia 35 tahun itu keluar makan malam pra Krismas bersama teman wanitanya, Georgina Rodriguez dan anak mereka, Cristiano Jr pada Disember 2018.

Tetapi selepas menerima panggilan dan menerima tempahan untuk tiga orang di Casa Fiore di Turin, pemilik restoran terbabit tahu keadaan pasti sesak malam itu.

Chef Davide Fiore menawarkan Ronaldo meja pada jam 9.30pm dengan harapan pelanggan lain meninggalkan restoran tepat pada masanya tetapi Ronaldo & Co tiba awal 90 minit.

Tetapi mereka tidak menunjukkan sebarang rasa tidak puas hati dengan Fiore melabelkan supestar itu seorang budak baik.

Layanan mesra kakitangan restoran terbabit memikat hati Ronaldo dan sejak itu dia menjadi pelanggan tetap Restoran Piedmontese yang menyediakan hidangan Itali dan Mediterranean.

DAVIDE  Fiore (kiri) kagum dengan sikap merendah diri Ronaldo. FOTO   Instagram / Ristorante CASA FIORE Torino
DAVIDE Fiore (kiri) kagum dengan sikap merendah diri Ronaldo. FOTO Instagram / Ristorante CASA FIORE Torino

Fiore memberitahu Tuttosport: “Ia sukar dilupakan, seperti berada dalam filem. Ketika saya berada di rumah menyiapkan hidangan malam, saya mendapat panggilan yang tak pernah saya jangkakan.

“Seorang lelaki menempah meja tiga orang untuk Cristiano Ronaldo pada jam 9.30pm.

“Sudah tentu saya kata ya tetapi kemudian saya terfikir. Sekarang apa saya perlu lakukan?. Saya tahu tempat itu sudah tentu penuh tetapi tempahan untuk Ronaldo dibuat berdasarkan masa tempahan 7.30pm akan tamat jam 9.30pm.

“Untuk jalan selamat, saya meminjam meja daripada restoran bersebelahan dan meletakkannya di sudut.

“Cristiano, Georgina dan anak mereka, Cristiano Jr, tiba jam 8pm. Saya berkata kepada diri saya, ‘Apa patut saya buat?’

”Semua pelanggan tercengang dan tidak bercakap malah tiada yang mahu bangun, mereka teruja melihat CR7.

“Jadi saya bawa Cristiano duduk di meja kecemasan tetapi masa terus berlalu dan tiada siapa meninggalkan meja. Cristiano tidak menunjukkan sebarang rasa tidak puas hati dan Georgina serta anaknya menyenanginya.

“Pada masa itu saya menyedari, walaupun Ronaldo bergelar superstar bola sepak dunia, tetapi paling penting dia tetap merendah diri dan baik hati.

“Saya sudah melihat ramai orang yang tidak terkenal seperti dia akan meninggalkan tempat ini tak sampai lima minit ketika berdepan situasi sama malah berjalan keluar dengan ego.

“Dia sebaliknya tenang menunggu di meja hampir empat puluh minit. Empat hari kemudian dia datang kembali. Sejak itu diak kerap datang sehingga seminggu sekali malah kadang-kadang dengan ejennya, Jorge Mendes.”

Ronaldo terpaksa menjalani kuarantin lebih dua minggu selepas positif koronavirus bulan lalu. Namun selepas kembali beraksi dengan menjaringkan dua gol untuk Juventus pada Ahad lalu, dia tidak ragu-ragu mahu menikmati hidangan di Casa Fiore.

Fiore menambah: “Saya jangka dia akan datang minggu ini, mungkin selepas aksi Liga Juara-Juara.”

Fadzrul tunggu isyarat Aidil

Alor Setar: Pemain muda posisi tengah Kedah, Fadzrul Danel Mohd Nizam kini bersedia menghadapi cabaran besar bersama skuadnya apabila melayan kunjungan ‘gergasi pantai timur’ Pahang dalam aksi perlawanan pusingan pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Aman malam esok.

Perlawanan secara format ‘kalah mati’ yang diperkenalkan pada musim ini memberi memberi cabaran baharu buat dirinya yang sedang menempa nama sebagai pemain tengah tempatan yang berpotensi untuk masa depan seperti yang Kedah perlukan.

“Saya kini mempersiapkan diri bersama pasukan untuk menempuh satu perlawanan yang dianggap besar menentang Pahang walaupun kita tahu Piala Malaysia baru sahaja hendak bermula dengan perlawanan pertama.

“Sebagai pemain muda saya harus bersedia pada bila-bila masa sekiranya nama saya dipilih oleh ketua jurulatih untuk beraksi bagi membantu pasukan yang mahu mendapatkan kemenangan bagi melayakkan diri ke peringkat suku akhir saingan ini.

“Saya sedar bukan tugas mudah buat kami menghadapi Pahang, tetapi fokus serta semangat kami hanyalah satu, iaitu mahu menang.. dan kami perlu lakukan tugas dengan penuh tekad dan secara berpasukan dalam menghadapi segala rintangan bersama.” katanya.

Pemain kelahiran Sungai Petani berusia 22 tahun yang dilanjutkan tempoh kontrak dari tiga tahun ke lima tahun oleh Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) pada musim lalu ini juga mengakui beraksi di Stadium Darul Aman mampu membakar semangat pemain untuk terus berjuang sepanjang tempoh penting 90 minit perlawanan berlangsung.

“Saya berharap segala persiapan dan perancangan kami akan berjalan dengan lancar dan teratur di bawah kendalian Ketua Jurulatih Aidil Sharin Sahak yang mahukan aksi terbaik buat Kedah untuk saingan ini.

“Apapun kami perlu teruskan komitmen seperti yang kami tunjukkan sebelum ini dan tidak kisah siapa yang menjaringkan gol asalkan kami dapat meraih kemenangan yang dicari.” katanya.

Kehadiran Fadzrul Danel pada musim lalu mendapat perhatian penyokong apabila pemain yang dilanjutkan kontrak dan disertakan dengan harga tanda tebus nilai sebanyak RM5 juta oleh KFA ini berjaya membantu skuad Kedah melalui gol sulung untuk Kedah menjulang Piala FA pada musim 2019.

Bersama tangani isu anti-doping

Kuala Lumpur: Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Kimia dalam usaha memerangi anti-doping di negara ini.

Pengarah Adamas Azura Abidin berkata, ia adalah sebahagian daripada pelan strategik tahun 2021 agensi itu yang akan memberi tumpuan kepada memperkukuhkan pentadbiran dengan mengambil beberapa langkah termasuk menubuhkan jawatankuasa penasihat dan pendidikan anti-doping, pengembangan kapasiti Adamas dan kerjasama strategik.

“Memandangkan doping adalah tindakan yang boleh mencemar imej dan kelayakan negara bertanding di kejohanan antarabangsa, kami akan meningkatkan kaedah dan usaha menangani isu anti-doping termasuk menjalinkan kerjasama strategik.

“Langkah menghalang seseorang daripada mengambil bahan tambahan atau ubatan tertentu memerlukan tindakan penguatkuasaan dan ketika ini Adamas tidak mempunyai fungsi berkenaan.

“Justeru, beberapa agensi seperti KPDNHEP, Jabatan Kimia dan terutamanya SPRM akan terlibat dalam perancangan kami,” katanya, sambil menambah langkah yang diambil itu perlu mengambil kira perlindungan kepada pemberi maklumat.

Beliau berkata demikian pada webinar yang bertajuk ‘World Anti-Doping Rules 2021: What to expect?’, semalam.

Mengenai pembentukan jawatankuasa itu, Azura berkata Adamas akan menubuhkan dua jawatankuasa iaitu jawatankuasa pendengaran dan rayuan serta jawatankuasa pengurusan hasil yang pada masa ini hanya dikendalikan oleh persatuan sukan masing-masing.

“Kami mahu membentuk jawatankuasa bebas tahun depan bagi memperkuat usaha terhadap anti-doping serta mematuhi Kod Anti-Doping Dunia (WADC) yang memerlukan kami menubuhkan jawatankuasa tersebut,” katanya.