Mourinho sedia gembirakan penyokong

London: Jurulatih Tottenham, Jose Mourinho bersedia untuk mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri berdepan pasukan sedang bergelut, Arsenal tatkala penyokong dibenarkan kembali ke saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama sejak Mac lalu.

Spurs berjaya mengumpul 21 mata selepas 10 perlawanan dan mengatasi penyandang juara, Liverpool dengan kelebihan perbezaan jaringan, manakala Arsenal dilihat agak terumbang-ambing.

Tottenham akan beraksi di depan 2,000 penonton di gelanggang sendiri, 24 jam selepas West Ham bakal menjadi kelab pertama untuk menyambut kehadiran penonton dalam perlawanan EPL sejak Mac.

Tottenham, bersama Harry Kane dan Son Heung Min kini berada dalam prestasi terbaik, mereka tidak tewas dalam sembilan perlawanan EPL, manakala Arsenal nyata sebaliknya.

Skuad Gunners berkedudukan ke-14 liga, hanya menjaringkan 10 gol dalam 10 saingan liga dan menemui gawang dua kali dalam enam perlawanan terakhir.

Mourinho pula hanya tewas sekali dalam 17 saingan EPL sebagai jurulatih berdepan Arsenal dan tidak pernah kalah di laman sendiri dalam semua kejohanan ketika menjadi bos di Chelsea, Manchester United atau Tottenham.

Bos dari Portugal itu tidak menghiraukan semua rekod baiknya berdepan Gunners tetapi jelas tidak bimbang dengan kehadiran skuad bimbingan Mikel Arteta tengah malam Ahad ini.

Jackie santai sertai simulasi

Kuala Lumpur: Jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong tidak mahu memberi tekanan kepada dirinya apabila turun beraksi di kejohanan simulasi yang akan berlangsung pada 12 dan 13 Disember ini.

Menyedari dirinya yang masih lagi belum berada pada tahap terbaik selepas pulih daripada jangkitan Covid-19, pemegang rekod kebangsaan acara itu berkata, dia menganggap kejohanan itu sebagai sebahagian daripada sesi latihan sama seperti sesi ujian yang berlangsung dua minggu lalu.

“Saya tidak ingin letak apa-apa sasaran dan hanya akan menganggapnya sebagai sebahagian daripada sesi latihan.

“Saya akui, ketika ini saya belum lagi mencapai atau kembali ke prestasi terbaik saya, jadi saya tidak mahu meletakkan tekanan dan biarlah saya meningkatkan prestasi secara berperingkat. “Bagi saya apa yang penting ketika ini adalah fokus kepada teknik. Jika saya dapat menguasai teknik pasti balingan saya juga boleh pergi lebih jauh,” katanya.

Terdahulu pada sesi ujian lalu, Jackie masih lagi mampu melakukan balingan sejauh 66.88 meter (m) dan jauh meninggalkan atlet pelapis, Sadat Marzuqi.

Jackie adalah pemegang rekod kebangsaan acara baling tukul besi lelaki dengan balingan sejauh 68.22 meter, meraih pengiktirafan tersendiri apabila berjaya memecahkan rekod kebangsaan sebanyak 17 kali.

Atlet dari Sarawak itu adalah pemenang pingat gangsa Sukan Sea sebanyak tiga kali berturut-turut dari 2011 hingga 2015 sebelum meraih emas pada edisi 2017 di Malaysia. Namun, pada edisi di Filipina tahun lalu dia terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Kata Jackie, cabaran sebenarnya ketika ini bukan daripada rakan sepelatih tapi adalah dari atlet luar terutama dari Thailand, Kittipong Boonmawan yang yang pasti akan berusaha mempertahankan emas dimilikinya pada Sukan Sea Filipina yang lalu.

Dortmund mara pusingan 16 terakhir

Dortmund: Borussia Dortmund mara ke saingan 16 terakhir Liga Juara-Juara walaupun kapten Lazio, Ciro Immobile menjaringkan penalti babak kedua untuk seri 1-1 ketika menentang bekas kelabnya di Jerman.

Keputusan di Signal Iduna Park bermakna Dortmund memerlukan kemenangan di Zenit St Petersburg pada Khamis depan untuk mara sebagai pendahulu Kumpulan F.

Lazio yang menduduki tangga kedua dan satu mata di belakang Jerman turut mara jika mereka seri di tempat sendiri menentang Club Brugge.

Immobile yang gagal menyerlah di Dortmund pada musim 2014/15 meledak penalti pada minit ke-67 untuk menyamakan kedudukan selepas Raphael Guerreiro meletakkan tuan rumah di hadapan sejurus sebelum tamat babak pertama.

“Kami tidak berhak kalah selepas apa yang dipamerkan pada babak kedua,” kata Immobile kepada Sky.

“Mara ke pusingan 16 sangat bagus, kami hanya selangkah ke arah itu, sesuatu yang gagal dilakukan Lazio dalam tempoh 20 tahun,” kata jurulatih Lazio, Simone Inzaghi.

Jersi ‘Hand of God’ bukan untuk dijual

London: Bekas pemain tengah England, Steve Hodge menegaskan jersi yang dipakai Diego Maradona ketika menjaringkan dua gol menentang Three Lions pada suku akhir Piala Dunia 1986 tidak akan dijual.

Hodge bertukar jersi dengan Maradona yang meninggal dunia pada usia 60 tahun minggu lalu selepas tamat perlawanan yang menyaksikan legenda Argentina itu menjaringkan gol menggunakan tangan atau lebih dikenali ‘Hand of God’ disusuli jaringan kedua menakjubkan bagi membantu kemenangan 2-1 pasukannya.

Jersi itu kini dipamerkan di Muzium Bolasepak Kebangsaan di Manchester.

Hodge berkata dia mendapat banyak pertanyaan mengenai jersi itu sejak beberapa hari lalu dan menolak dakwaan dia mahukan angka tujuh digit untuk menjualnya.

“Saya menyimpannya 34 tahun dan tidak pernah berniat menjualnya,” kata Hodge, 58, kepada BBC. “Saya suka memilikinya, ia mempunyai nilai sentimental yang hebat.”

“Pintu rumah saya diketuk hampir setiap hari dan banyak stesen TV dan radio menghubungi saya malah stesen luar negara.

“Saya menjadi tidak selesa. Saya ada melihat kenyataan di Internet yang mendakwa saya mahu satu juta atau dua juta pound dengan menjualnya.

“Ia tidak hormati saya dan sama sekali salah. Ia bukan untuk dijual dan saya tidak akan cuba menjualnya.”

Hodge mengagumi ‘genius’ dimiliki salah seorang pemain terhebat dunia dan dia tidak pernah menyalahkan Maradona menjaringkan gol menggunakan tangan.

“Saya tidak pernah menyalahkan dia walaupun sekali. Sesiapa yang bermain bola sepak tahu perlu sentiasa bekerja keras pada setiap masa.

“Seluruh dunia menghormati dan menghargai ‘genius’ dimilikinya. Perlawanan itu tidak akan dilupakan dalam sejarah bola sepak.”

Maradona dibiarkan tiga hari tanpa bantuan

London: Diego Maradona terjatuh dan kepala terhantuk seminggu sebelum kematiannya dan dibiarkan tanpa bantuan selama tiga hari, dakwa jururawat legenda bola sepak Argentina itu.

Maradona yang berusia 60 tahun meninggal dunia akibat kegagalan jantung yang serius di rumahnya di Buenos Aires minggu lalu.

Susulan penyiasatan polis selepas terdapat dakwaan berlaku kecuaian perubatan, peguam kepada jururawatnya melaporkan kepala Maradona terhantuk selepas terjatuh di rumahnya.

Menurut media tempatan, pemenang Piala Dunia itu tidak dibawa ke hospital untuk diperiksa bahagian kanan kepalanya.

Pada ketika itu, dia dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan membuang darah beku di sebelah kiri kepala dan dipantau sepanjang masa.

Peguam kepada jururawat Gisela Madrid, berkata: “Maradona terjatuh pada Rabu seminggu sebelum kematiannya.

“Dia terjatuh dan kepalanya terhantuk tetapi mereka tidak membawanya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut…”

Peguam Rodolfo Baquè turut mendakwa bekas bintang Barcelona dan Napoli itu dibiarkan sendirian selama tiga hari selepas insiden itu.

Katanya: “Maradona tidak mampu membuat keputusan – selepas terjatuh dia dibiarkan selama tiga hari dibiliknya tanpa dilihat sesiapa dan tanpa sebarang bantuan.”

Laporan awal bedah siasat melaporkan Maradona mengalami pembengkakan paru-paru yang serius dan kegagalan jantung kronik yang membawa kepada kematiannya ketika tidur.

Pada Sabtu lalu, jururawat Maradona mengakui dia berbohong mengenai pemeriksaan rutin awal pagi dan pengakuan itu menambahkan lagi misteri di sebalik kematian legenda bola sepak dunia itu.

Rehat lama jejas fokus pemanah

Kuala Lumpur: Jelas tanpa sebarang pertandingan kompetitif sejak beberapa bulan lalu menyaksikan atlet memanah gagal mengekalkan rentak konsisten sekali gus memerlukan lebih banyak latihan intensif pada masa akan datang.

Jurulatih kebangsaan, Lee Jae Hyung berkata, situasi terbabit boleh dilihat ketika ketika kejohanan simulasi di Majlis Sukan Negara Bukit Jalil baru-baru ini sekali gus merangka strategi memastikan setiap kelemahan dapat diatasi.

Beliau mengakui ketiadaan sebarang penganjuran pertandingan sejak beberapa bulan turut menyebabkan atlet gagal mengawal emosi mereka ketika beraksi secara kompetitif.

“Kita boleh melihat prestasi mereka pada kejohanan baru-baru ini kurang konsisten apabila sesi pertama memuaskan, namun gagal mempamerkan aksi cemerlang pada siri kedua.

“Kita memahami situasi berkenaan disebabkan sudah lama tidak menyertai pertandingan sekali gus memerlukan lebih banyak latihan lagi.

“Fokus kita adalah memastikan mereka berjaya ke pentas Olimpik nanti dengan memiliki keupayaan sebenar,” katanya, di sini.

Sebelum ini, kejohanan simulasi di Majlis Sukan Negara Bukit Jalil baru-baru ini menyaksikan Khairul Anuar Mohamad menewaskan rakan sepasukan, Haziq Kamarudin 6-0 pada aksi final recurve individu lelaki.

Saingan recurve individu wanita pula menyaksikan Nurul Azreena Mohamad Fazil menang 7-1 ke atas Nur Ain Ayuni Fozi.

UiTM FC kekal di hati Faizal

Kuala Lumpur: Pemain pertahanan, Muhammad Faizal Mohd Arif mengakui UiTM FC banyak mengubah dirinya sebagai pemain profesional dan percaya dirinya membuat keputusan tepat untuk terus kekal bersama pasukan itu musim depan.

Kapten UiTM FC itu antara salah seorang daripada sembilan pemain yang dilanjutkan kontrak untuk kekal bersama The Lions Troop termasuk pengendalinya, Frank Bernhardt.

Faizal, 25, menyifatkan banyak perkara positif dipelajari daripada pasukan itu sejak 2016 sehingga berjaya menjadi pemain profesional yang berkebolehan selain turut diberi kepercayaan menjadi kapten pasukan.

“Saya rasa UiTM FC banyak tolong saya dalam karier bolasepak. Saya mula beraksi sebagai pemain profesional dengan pasukan ini hampir lima tahun sejak 2016 lagi dan saya gembira apabila masih kekal dengan pasukan sama.

“Memang saya ada terima juga tawaran daripada pasukan lain, tetapi saya tak boleh nafikan UiTM masih memberi seribu satu makna untuk saya.

“Banyak aspek positif yang saya dapat, dengan pengurusan pasukan juga banyak membantu kami di sini, jadi saya rasa keputusan untuk kekal di UiTM FC adalah keputusan terbaik yang saya lakukan untuk diri sendiri dan keluarga,” katanya.

Bercakap mengenai Bernhardt, Faizal mengakui jurulatih dari Jerman itu seorang jurulatih yang memahami para pemain dan sentiasa memberi peluang kepada pemain muda khususnya untuk menyerlahkan potensi di atas padang.

Justeru, Faizal percaya bekas pengendali skuad bawah 22 tahun negara itu akan terus memberikan sesuatu yang lebih positif kepada pasukan bagi menghadapi musim 2021 dengan cemerlang.

“Bagi saya, Bernhardt jurulatih yang bagus dan sentiasa percayapemainnya. Beliau memahami setiap daripada kami, dan paling penting tidak pernah lupa pemain muda untuk sentiasa memberi peluang kepada mereka beraksi dalam perlawanan.

“Saya berharap musim 2021 akan berjalan lebih lancar untuk kita semua dan paling penting, UiTM FC perlu kekal dalam saingan Liga Super,” tambahnya.

UiTM FC berjaya menamatkan musim ini di kedudukan keenam terbaik Liga Super. Mereka juga berjaya mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia musim ini selepas menewaskan Kelantan dengan keputusan 3-2 di peringkat 16 pasukan terakhir sebelum saingan itu dibatalkan ekoran penularan Covid-19 yang melanda negara ketika ini.

Lewandowski tersenarai rebut Pemain Terbaik Fifa

Paris: Pemain Terbaik Tahunan Eropah, Robert Lewandowski termasuk salah seorang daripada 10 pemain yang disenaraikan untuk merebut anugerah Pemain Terbaik Fifa bersama pemain seperti Cristiano Ronaldo, Lionel Messi, Neymar dan Kylian Mbappe.

Selain penyerang Poland itu, seorang lagi pemain yang menjulang Liga Juara-Juara bersama Bayern Munich turut tersenarai iaitu pemain tengah Sepanyol, Thiago Alcantara yang menyertai Liverpool pada September lalu.

Juara Inggeris itu turut menampilkan pemain Senegal Sadio Mane, bintang Mesir Mohamed Salah dan pemain Belanda Virgil van Dijk dalam senarai pendek.

Paris Saint-Germain yang menjadi naib juara Liga Juara-Juara diwakili Mbappe dan Neymar.

Manchester City’s Kevin De Bruyne and Real Madrid’s Sergio Ramos complete the list.

Jurulatih Argentina Marcelo Bielsa yang membawa Leeds ke Liga Perdana mengetuai senarai anugerah jurulatih terbaik yang turut menampilkan jurulatih Bayern Hans-Dieter Flick, pengendali Liverpool Jurgen Klopp, jurulatih Sevilla Julen Lopetegui dan Real Madrid Zinedine Zidane.

Tiga finalis daripada setiap kategori termasuk penjaga gol lelaki dan wanita, pemain dan jurulatih wanita akan diumumkan pada 11 Disember dengan trofi disampaikan pada 17 Disember.

Senarai calon anugerah Pemain Terbaik Fifa –

Lelaki: Thiago Alcantara (ESP/Bayern Munchen/Liverpool), Cristiano Ronaldo (POR/Juventus), Kevin De Bruyne (BEL/Manchester City), Robert Lewandowski (POL/Bayern Munich), Sadio Mane (SEN/Liverpool), Kylian Mbappe (FRA/Paris Saint-Germain), Lionel Messi (ARG/Barcelona), Neymar (BRA/Paris Saint-Germain), Sergio Ramos (ESP/Real Madrid), Mohamed Salah (EGY/Liverpool), Virgil van Dijk (NED/Liverpool)

Wanita: Lucy Bronze (ENG/Lyon/Manchester City), Delphine Cascarino (FRA/Lyon), Caroline Graham Hansen (NOR/Barcelona), Pernille Harder (DEN/Wolfsburg/Chelsea), Jennifer Hermoso (ESP/Barcelona), Ji So-yun (KOR/Chelsea), Sam Kerr (AUS/Chelsea), Saki Kumagai (JPN/Lyon), Dzsenifer Marozsan (GER/Lyon), Vivianne Miedema (NED/Arsenal), Wendie Renard (FRA/Lyon)

Shilton masih berdendam dengan Maradona

London: Peter Shilton mengakui bahawa dia tidak gembira kerana Diego Maradona tidak pernah memohon maaf di atas apa yang berlaku ‘Tangan Tuhan’ ketika menentang England pada Piala Dunia 1986.

Gol Maradona itu pasti akan terus diingati apabila dia menolak bola ke gawang melepasi Shilton untuk melakar kemenangan ke atas England di suku akhir.

Empat minit selepas Maradona melakukan gol itu, pemain Argentina itu menjaringkan satu lagi gol yang terhebat dalam sejarah Piala Dunia apabila dia menggelecek bola menewaskan semua pertahanan England.

Maradona meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung di kediamannya di Buenos Aires.

Tetapi selepas kematian pemain Argentina itu, Shilton masih menegaskan bahawa Maradona tidak menunjukkan semangat kesukanan selepas kejayaan negaranya 34 tahun lalu.

“Hidup saya sudah lama dikaitkan dengan kehidupan Maradona dan bukan seperti yang saya mahukan,” kata Shilton.

“Tapi saya tetap sedih mendengar kematiannya pada usia muda. Dia adalah pemain terhebat yang pernah saya temui dan takziah kepada keluarganya.

“Ini sudah mengganggu saya selama bertahun-tahun. Saya tidak pernah bohong mengenainya. Orang mengatakan bahawa saya harus menyelamatkan bola dan saya membiarkan lelaki yang lebih kecil itu mengalahkan saya. Itu sampah.

Khabib tewas pujukan White

London: Khabib Nurmagomedov memberi bayangan besar untuk kembali ke UFC selepas memberitahu Dana White ‘Jumpa anda tak lama lagi’.

Masa depan Khabib dalam sukan seni bela diri campuran mencetuskan spekulasi apabila dia membuat kejutan dengan mengumumkan persaraan selepas menewaskan Justin Gaethje bulan lalu.

Ia pertarungan pertama sejak kematian bapanya, Abdulmanap yang meninggal dunia pada usia 57 tahun akibat komplikasi koronavirus.

Tetapi sebelum itu, Khabib mengesahkan bapanya selalu mahu dia bersara dengan rekod 30 pertarungan tanpa kalah.

Ia menyalakan harapan Presiden UFC, White yang mahu dia kembali ke gelanggang untuk sekali lagi dan dia akan berusaha memujuk jaguh Rusia itu dan berunding mengenainya.

Dan usaha White menampakkan petanda positif apabila Khabib memuat naik di media sosial gambarnya bersama bos UFC itu bersama kapsyen: “Jumpa anda @danawhite.”

Ia berlaku selepas White berkata: “Saya beri Khabib masa memikirkannya. Dia dan saya akan duduk bersama tak lama lagi – kami akan berbincang.”