Haaland dinobat Golden Boy 2020

London: Bintang Borussia Dortmund, Erling Haaland dinobatkan pemenang Anugerah Golden Boy 2020.

Penyerang muda itu mengatasi rakan sepasukan, Jadon Sancho selain Mason Greenwood dan Phil Foden dalam kalangan 20 pemain terpilih.

Anugerah Golden Boy diberikan kepada pemain termuda terbaik bawah 21 tahun yang beraksi di liga Eropah.

Haaland dipilih tahun ini berdasarkan prestasi menakjubkan pada musim 2019-20. Pemain berusia 20 tahun itu memuat naik gambarnya dalam Twitter dengan kapsyen: “Bangga.”

Bapanya Alf-Inge turut berkongsi kegembiraan bersama anaknya itu: “Tahniah – Gembira berada di sana dengan anak saya.”

Haaland berhak menerimanya selepas meledak 27 gol dalam 29 penampilan bersama Dortmund.

Dia turut menjaringkan 28 gol bersama RB Salzburg sebelum menyertai gergasi Jerman itu dengan nilai £17.1 juta (RM92.5 juta) pada Januari lalu.

Pemain Barcelona, Ansu Fati di tempat kedua manakala bintang Bayern Munich, Alphonso Davies ketiga.

Bagaimanapun, laporan menyebut di sebalik prestasi hebat Haaland, Dortmund sedia membuka tawaran untuk mendapatkan bintang muda itu.

Dia mempunyai klausa pembebasan £65 juta (RM351.6 juta) pada 2022 dan kelab Jerman itu mungkin menjualnya lebih awal untuk mendapatkan jumlah lebih lumayan.

Pemain antarabangsa Noway itu kini berada dalam radar beberapa kelab besar Eropah termasuk dua musuh setempat Manchester United dan City.

Real Madrid turut dikaitkan dengan Haaland sebagai pengganti jangka panjang kepada Karim Benzema.

Messi penyelamat Barcelona

Madrid: Jaringan Lionel Messi menyelamatkan Barcelona daripada keputusan memalukan apabila menang tipis 1-0 ke atas kelab bawahan, Levante manakala Real Sociedad kembali ke puncak La Liga, awal pagi tadi.

Messi meledak jaringan 14 minit sebelum tamat dalam aksi hambar Barca di Camp Nou namun gagal memuaskan hati penyokong selepas tewas 0-3 kepada Juventus pertengahan minggu lalu.

Skuad Ronald Koeman masih ketinggalan dalam saingan kejuaraan dengan sembilan mata di belakang Sociedad yang merampas kembali kedudukan pendahulu walaupun hanya seri 1-1 menentang Eibar tetapi Barcelona berkelebihan dua perlawanan.

Atletico menyamai 26 mata dengan Sociedad tetapi turut berkelebihan dua perlawanan manakala Real Madrid kini hanya tiga mata di belakang pendahulu selepas menewaskan musuh setempat itu 2-0, Sabtu lalu.

Villarreal pula ketinggalan empat mata di tangga keempat selepas seri 1-1 di Real Betis yang satu mata di belakang Barca di tangga kesembilan.

“Pasukan bermain dengan lancar, mereka memberi sebaik mungkin tetapi agak kurang keyakinan dalam diri sendiri, permainan. Kami miliki banyak peluang dan saya tiada apa mahu diperkatakan mengenai sikap pemain dalam aksi ini.”

Gol kemenangan Barca diperolehi apabila Messi yang mendapat hantaran Frenkie de Jong meluru pantas ke kotak penalti dan merembat kencang melepasi jangkauan penjaga gol, Aitor Fernandez.

Dalam perlawanan awal di San Sebastian, jaringan Ander Barrenetxea meletakkan Real Sociedad di depan pada minit ke-20 tetapi Sergi Enrich menyamakan kedudukan buat tuan rumah ketika permainan berbaki 25 minit untuk melonjakkan pasukannya di tangga ke-10 dengan 15 mata.

Khabib bersumpah di atas kubur bapa

London: Khabib Nurmagomedov tidak mungkin bertarung semula selepas bersumpah di atas kubur bapanya bahawa dia akan kekal bersara, menurut jaguh lightweight UFC, Charles Oliveira.

Demi menunaikan janji kepada ibunya, ‘The Eagle’ mengumumkan persaraan selepas menewaskan Justin Gaethje di UFC 254 pada Oktober lalu.

Abdulmanap Nurmagomedov yang meninggal dunia susulan komplikasi Covid-19 memainkan peranan penting dalam membantu anaknya memegang rekod 29-0.

Tetapi Oliveira yang akan berdepan Tony Ferguson pada Sabtu ini percaya sebarang usaha membawa Khabib keluar daripada persaraan adalah sia-sia.

”Seseorang beritahu, dia bersumpah di atas kuburnya bahawa dia tidak akan bertarung lagi,” kata Oliveira kepada MMA Fighting.

”Jika ia benar, tidak mungkin dia akan kembali. Jika dia kembali, dia mengingkari janji kepada dirinya sendiri dan ayahnya. Dia tidak akan kembali, ia sudah tamat.”

Presiden UFC, Dana White enggan percaya salah seorang atlet terhebat dalam sukan itu akan bersara begitu sahaja selepas mencapai kemahsyuran.

Dia mendedahkan rancangannya untuk berunding dengan Khabib walaupun perlu menyediakan habuan sembilan angka untuk memujuk juara lightweight itu.

TFC ikat Nik Akif dua tahun

Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) tidak menunggu lama apabila merantai pemain baharu ketiganya musim ini, Nik Akif Syahiran Nik Mat bagi memantapkan lagi posisi tengah skuad Penyu itu bagi mengharungi cabaran Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC musim depan.

Kehadiran tonggak kebangsaan Bawah 23 Tahun itu menjadikan ‘ubi muda’ Kelantan kedua disambar TFC setakat ini selepas mengikat kontrak pertahanan tengah skuad The Red Warriors, Shahrul Nizam Ros Hasni pagi tadi.

“Nik Akif Syahiran sah menjadi pemain TFC musim depan, pemain berusia 21 tahun itu mengikat kontrak selama dua tahun.

“Pemain itu teruja beraksi dengan TFC lebih-lebih lagi perpindahan pertama sepanjang kariernya dan keputusan pemain kelahiran Kuala Krai memilih TFC juga kerana dia mahukan cabaran baharu yang lebih bermakna.

“Kehadiran Nik Akif yang memiliki kualiti sebagai ‘arkitek’ dilihat mampu merencana dan memperkuatkan lagi jentera pasukan TFC. Pemain itu akan memakai jersi bernombor 22,” menurut kenyataan dikeluarkan media TFC sebentar tadi.

Sebelum ini, pemain berketinggian 1.64 meter itu yang pernah beraksi bersama skuad senior kebangsaan diintai beberapa pasukan untuk mendapatkan khidmatnya termasuk TFC.

Namun pemain tengah itu tertarik dengan pengurusan pasukan TFC Sdn Bhd sebelum menandatangani kontrak petang ini.

Pemain itu dijangka bergandingan dengan seorang lagi pemain tengah kelahiran Kelantan, Faiz Nasir selain tonggak import yang belum diumumkan lagi selepas pemain kelahiran Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov tidak lagi bersama pasukan itu musim depan.

Shukor tak tahu bila nak bersara

Kuala Lumpur: Pemain pertahanan berpengalaman, Shukor Adan yang bakal menginjak usia 42 tahun musim depan kini semakin menghampiri rekod sebagai pemain paling tua di Liga Malaysia sejak era profesional diperkenalkan.

Dijangka terus bersama Kuala Lumpur pada 2021, Shukor berpeluang memecahkan rekod sebagai pemain paling tua milik penjaga gol era 1990-an dan awal 2000, V Murugan yang kali terakhir beraksi dengan Melaka pada usia 43 tahun.

Namun, perkara itu tidak menjadi keutamaan buat Shukor, sebaliknya berhasrat meneruskan kariernya selagi ada pasukan mahukan khidmatnya.

”Sebenarnya saya tidak merancang bila usia hendak bersara dan semuanya bergantung kepada tawaran. Jika kata, sudah tiada pasukan mahukan saya, pada satu hari nanti, saya akan berhenti juga daripada bermain bola sepak.

”Saya tidak terfikir hendak membuat rekod sebagai pemain paling berusia di dalam negara ini kerana apa yang saya tengok adalah keadaan diri saya sama ada boleh terus bermain dan buat masa ini saya bersyukur kerana tiada sebarang kecederaan serius dekat diri ini.

Shukor berkata, dia akan menilai dulu prestasi dalam beberapa perlawanan musim depan kerana musim lalu hanya bermain dalam lapan ke sembilan perlawanan kompetitif.

”Namun, saya bersiap sedia beraksi di Liga Super sekali lagi kerana dahulu pada usia 40 tahun, saya pernah membantu Melaka dan saya kena persiapkan mental, fizikal dan tahap kecergasan jika mahu bermain di peringkat tertinggi.

”Sebagai pemain senior, kita kena ‘play smart’ dan bukannya ‘play hard’ kerana tidak guna hendak kerah kudrat seratus peratus kerana pengalaman membaca permainan adalah senjata terbaik,” katanya.

Berasal dari Melaka, Shukor memulakan karier profesionalnya bersama Negeri Sembilan pada tahun 2000 dan dia pada asalnya seorang penyerang sebelum penyertaan di Selangor pada 2009 telah mengubahnya kepada pemain di posisi pertahanan.

Kehadirannya membantu Kuala Lumpur pada musim lalu nyata membawa tuah apabila membantu skuad warga kota itu ke Liga Super pada musim depan biarpun sebelum ini ramai sangsi akan kemampuan Shukor untuk bermain di peringkat tertinggi.

Bintang muda sandaran Klopp lawan Midtyjlland

London: Jurgen Klopp menaruh sepenuh kepercayaan kepada barisan pemain mudanya untuk aksi menentang FC Midtyjlland dalam saingan Liga Juara-Juara, awal pagi esok.

The Reds telah pun mengesahkan juara Kumpulan D dan Klopp, 53, memberi bayangan akan menurunkan skuad eksperimen di Denmark.

Trio berusia 19 tahun Curtis Jones, Rhys Williams dan Neco Williams bersama penjaga gol, Caoimhin Kelleher, 22, kesemuanya mempamerkan aksi cemerlang ketika kelab berdepan krisis kecederaan. Justeru pengendali dari Jerman itu tidak risau memberi mereka peluang kepada bintang mudanya.

Klopp berkata: “Skuad Liga Juara-Juara kami memang muda. Kami ada empat, lima atau enam pemain muda dalam skuad ini.

“Ya, mereka akan ke sana, kemudian baru kami menentukannya. Ini kali pertama kami tak perlu mendapatkan keputusan pada peringkat kumpulan.

“Tetapi kami perlu juga menimbangkan ia adalah Liga Juara-Juara, kami Liverpool dan kami mahu menang perlawanan ini.

CURTIS Jones. FOTO AFP
CURTIS Jones. FOTO AFP

“Apabila satu pintu tutup, pintu satu lagi buka. Tetapi kamu perlukan ‘budak’ yang betul menggunakannya dan ‘budak’ kami melakukannya.

“Tanpa pemain muda ini, kami mungkin tewas dan mereka benar-benar bersedia untuk itu. Barisan jurulatih kami memang rapat dengan kumpulan ini sebelum mereka menyertai kami dan mereka benar-benar bersedia.

“Rhys terbukti hebat, Neco beraksi dua perlawanan berturut-turut. Curtis beraksi seperti dia sudah bersama kami 10 tahun.”

Tuan rumah Midtyjlland masih belum menang perlawanan dalam kempen sulung Liga Juara-Juara mereka dan terperosok di tempat terbawah kumpulan.

Jika menang bermakna Reds mencapai lima kemenangan dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara buat kali pertama.

Piala AFF tunda Disember 2021

Kuala Lumpur: Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) mengumumkan kejohanan Piala AFF 2020 yang sepatutnya dianjurkan bulan lalu kini ditunda ke Disember 2021.

Ia kali kedua tarikh kejohanan dipinda selepas kali pertama dijadualkan berlangsung April tahun depan susulan pandemik Covid-19.

Keputusan diambil berdasarkan keutamaan AFF yang lebih mementingkan keselamatan dan kesihatan semua orang termasuk pasukan, pemain dan pegawai serta rakan komersil dan penonton, menurut Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth dalam kenyataan hari ini.

“‘Keutamaan kami ialah kesihatan dan keselamatan setiap orang yang berkaitan dengan kejohanan ini. Kami memantau perkembangan Covid-19 termasuk di Asean dan seluruh dunia,” katanya.

“Walaupun ada hasil menggembirakan dalam pembangunan vaksin, kami sedar segala proses pelaksanaan program vaksin di seluruh dunia termasuk Asean akan memakan masa.

“Memandangkan kesukaran penganjuran kejohanan dan banyak pihak terkesan, AFF percaya dengan mengambil pendekatan pragmatik dan membuat keputusan lebih awal membolehkan semua pihak terbabit dengan kejohanan menyusun semula perancangan mereka.”

Mengulas lanjut, beliau berkata keputusan menganjurkan kejohanan pada Disember tahun depan sebagai langkah paling sesuai memandangkan jadual pertandingan bola sepak peringkat antarabangsa dan domestik di seluruh dunia yang dijangka padat tahun depan.

“Tarikh baharu bermula pada 5 Disember hingga 1 Januari 2022 akan memberikan peluang terbaik untuk kejohanan ini diadakan dalam format penuh dengan perlawanan di gelanggang sendiri dan tempat lawan di peringkat kumpulan dan kalah mati,” katanya.

Eky perkasa cabaran Gergasi Merah

Kuala Lumpur: Teka-teki berhubung masa depan penyerang kebangsaan, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi akhirnya terjawab selepas dia sah menyertai Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.

Penyertaan pemain Perak berusia 26 tahun berkenaan yang mesra dengan panggilan ‘Eky’ itu diumumkan oleh Selangor FC menerusi laman sesawang mereka iaitu www.selangorfc.com hari ini.

Ketua Pengawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon yakin kehadiran Muhammad Shahrel Fikri mampu membantu skuad Gergasi Merah mencapai lebih banyak kejayaan pada musim hadapan.

Beliau menjelaskan pengurusan Selangor FC sudah lama mengikuti perkembangan Muhammad Shahrel Fikri yang mempamerkan aksi memberangsangkan ketika bersama Perak dan skuad kebangsaan.

”Alhamdulillah, setelah beberapa bulan, (Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Selangor) Michael (Feichtenbeiner) dan (ketua jurulatih) Karsten (Neitzel) sangat gembira kerana Selangor FC berjaya mendapatkan Shahrel sebagai pemain utama kita untuk musim akan datang,” jelas Dr Johan.

Dalam pada itu Shahrel Fikri jelas teruja kerana sah menyertai Selangor FC dan mengakui tidak sabar untuk memulakan perjalanan baharu bersama skuad Gergasi Merah.

”Saya juga ingin mengambil kesempatan berterima kasih kepada pengurusan Selangor FC, terutamanya kepada (pengerusinya) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah atas ruang dan peluang yang diberikan. Saya harap penyokong Selangor akan mengalu-alukan kedatangan saya ke Shah Alam,” jelasnya.

Muhammad Shahrel Fikri yang meledak 10 gol pada musim ini, bakal digandingkan dengan pemenang Anugerah Kasut Emas Liga Super 2020, Ifedayo Olusegun dari Nigeria serta pemain muda Selangor II, Ahmad Danial Ahmad Asri yang diserapkan ke dalam skuad utama Selangor FC.

Lewis mahu ikut jejak Tyson

London: Lennox Lewis mengakui dia mungkin membuat keputusan sensasi dengan kembali bertarung kerana ada ‘urusan’ yang belum diselesaikan dengan musuh lama heavyweight, Riddick Bowe.

Selepas Mike Tyson dan Roy Jones kembali bertarung dengan gabungan usia 105 tahun pada aksi pertunjukan Sabtu lalu, bekas juara dunia, Lewis memberi bayangan mungkin giliran dia kembali ke gelanggang selepas ini.

Lewis kelahiran British berusia 55 tahun berkata kepada BT Sport: “Pasti! Maksud saya, ia nampaknya sesuatu yang menyeronokkan.

“Anda tengok Mike Tyson; Mike membuat banyak perkara berbeza seperti gusti, berlakon malah mempunyai kumpulan muzik sendiri.

”Jadi dia tahu bagaimana menggembirakan penonton. Dia tahu apa perlu dilakukan dalam situasi ini.”

Lewis menewaskan Iron Mike menerusi KO di Memphis pada 2002 dan bersara selepas mencapai kemenangan TKO ke atas petinju Ukraine, Vitali Klitschko pada tahun berikutnya.

The Lion menewaskan petinju Amerika Syarikat, Bowe, 53, pada final Olimpik 1988 di Seoul dan meraih emas untuk Kanada – dia berpindah ke negara itu pada usia 12 tahun.

Tetapi kedua-duanya tidak pernah bertarung di arena profesional walaupun Lewis muncul pencabar utama WBC manakala Bowe muncul juara heavyweight pada 1992.

Bowe diingati dengan insiden membuang tali pinggang ke tong sampah ketika sidang akhbar selepas berang terhadap gesaan beberapa pihak supaya bertarung dengan Lewis.

Kata Lewis lagi: “Saya melihat sejarah mengapa petinju kembali muncul dan ramai berbuat demikian kerana tiada apa-apa lagi mahu dilakukan.

”Orang kerap datang kepada mereka dan bertanya, ”Hei, bila kamu nak berlawan semula dan dengan siapa akan kamu bertarung?”

”Tetapi ia tampak tidak bagus untuk mereka malah lebih buruk. Jadi saya lebih suka menjauhinya.

”Tetapi jika betul, saya mungkin kembali. Terdapat spekulasi Riddick Bowe mahu menentang saya, jadi masih lagi ada urusan belum selesai di situ.”

Anak Maradona gesa henti guna jersi nombor 10

London: Salah seorang anak lelaki Diego Maradona menggesa Lionel Messi tidak lagi memakai jersi nombor 10 bersama Argentina dan Barcelona sebagai tanda penghormatan terhadap ayahnya.

Maradona yang meninggal dunia minggu lalu pada usia 60 tahun paling dikenali ketika menjuarai Piala Dunia 1986 sehingga dianggap pemain terbaik dunia.

Messi kini mengisi kekosongan ditinggalkan Maradona dalam skuad kebangsaan namun masih gagal menikmati kejayaan yang sama bersama jersi biru putih itu.

Maradona turut memenangi Copa Del Rey bersama Barca menggunakan jersi nombor 10 namun jauh daripada koleksi 34 trofi Messi.

Anak legenda itu yang juga bernama Diego percaya semua bekas pasukannya tidak lagi menggunakan jersi sama bagi memperingati ayahnya.

Menurut laporan Marca, dia berkata: “Ya, kepada semua pasukan dia beraksi termasuk Barça. Saya tak ragu mengenainya.”

Maradona memulakan karier bersama Argentinos Juniors sebelum beraksi di Boca Juniors, Barca, Napoli, Sevilla dan Newell’s Old Boys.

Messi memberi penghormatan kepada Maradona dengan mempamerkan jersi Newell’s Old Boys selepas menjaringkan gol ketika menewaskan Osasuna 4-0, Ahad lalu.

Anak Maradona mendakwa tindakan Messi itu membuatkan air matanya mengalir.

“Penghormatan Messi itu memberi kesan kepada saya. Detik penuh emosi sejak beberapa hari lalu. Apa yang dilakukan Leo sangat istimewa. Ia membuatkan saya menangis.”