Walaupun seri, penyokong MU tetap bersemangat

Melaka: Seramai 200 penyokong Manchester United (MU) berkumpul menyaksikan perlawanan Liga Perdana Inggeris membabitkan kelab itu dan Leicester City yang berkesudahan seri 2-2, malam tadi.

Selain berpeluang menonton perlawanan beramai-ramai, mereka menikmati makan malam dianjurkan Kelab Rasmi Peminat Manchester United Malaysia iaitu Red Army Malaysia (RAM) di LaCrista Hotel Melaka.

Perlawanan itu adalah aksi tumpuan minggu ini memandangkan Leicester City menduduki tempat kedua manakala MU di tempat ketiga yang kini mengekori pendahulu liga yang juga juara bertahan, Liverpool.

Penasihat RAM, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, ini kali pertama sejumlah penyokong MU dapat berkumpul untuk menyaksikan perlawanan bersama-sama sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan wabak Covid-19 dilaksanakan pada Mac lalu.

IRMOHIZAM (dua dari kanan) bersama (dari kiri) Abdullah, Hasif dan Rosthman. FOTO Sadiq Asyraf.
IRMOHIZAM (dua dari kanan) bersama (dari kiri) Abdullah, Hasif dan Rosthman. FOTO Sadiq Asyraf.

“Saya lihat ini acara menarik menjelang akhir tahun ini memandangkan ini kali pertama penyokong MU dapat berkumpul dan sambutan ternyata menarik serta memberangsangkan dalam suasana kita mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

“Saya lihat ini adalah perkembangan positif terutama sokongan peminat bola sepak di Malaysia sama ada penyokong MU atau kelab Liga Perdana Inggeris lain.

“Pada 2021, kemungkinan besar lebih banyak lagi acara seperti ini diadakan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan saya teruja dengan sambutan penyokong MU yang datang dari seluruh pelusuk negara ke Melaka termasuk bersama keluarga masing-masing,” katanya.

Hadir sama, Pengerusi LaCrista Hotel Melaka, Tan Sri Abdullah Taib; Presiden RAM, Datuk Rosthman Ibrahim dan Pengarah Eksekutif hotel itu, M Hasif Nahar.

Acara itu diadakan dengan mematuhi SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutama aspek penjarakan fizikal apabila hanya empat atau lima orang saja di satu meja, selain pemakaian pelitup muka serta penyediaan pensanitasi tangan.

Walaupun sedikit kecewa apabila MU hanya mampu merangkul satu mata selepas dua kali mendahului Leicester, Irmohizam berkata, berdasarkan prestasi semasa dia yakin MU berpeluang muncul juara Liga Perdana Inggeris.

Beliau berkata, MU perlu lebih konsisten dalam aksi selepas ini dan pemain perlu bijak menyudahkan peluang untuk memastikan kemenangan pada setiap perlawanan.

Tahun lalu, RAM mengadakan majlis makan malam secara besar-besaran yang turut dihadiri Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan 10 pemenang utama cabutan bertuah ditaja ke Old Trafford.

Hanya Kane layak dalam skuad Liverpool

London: Graeme Souness percaya hanya Harry Kane satu-satunya pemain Tottenham yang layak beraksi dalam skuad Liverpool.

Penyerang itu meledak 15 jaringan dalam 19 perlawanan sekaligus membolehkan Spurs muncul pencabar serius kepada The Reds dalam misi mempertahankan gelaran liga.

Tetapi legenda Liverpool, Souness yang menjuarai lima gelaran ketika era 1970-an dan 80-an percaya Jurgen Klopp akan memilih Sadio Mane berbanding Heung-min Son yang kini berada pada kemuncak prestasi.

Penyerang Korea Selatan itu menjaringkan 13 gol untuk Tottenham sejak permulaan musim.

Souness berkata kepada The Times: ”Liverpool mempunyai kelebihan dalam setiap bahagian dan Spurs masih ketinggalan jauh.

”Hanya seorang pemain Spurs yang layak dalam kesebelasan Liverpool iaitu Kane kerana Sadio Mane boleh melakukan apa sahaja yang dilakukan Son dan juga ‘berperang’ dengan anda.

”Saya tak nampak Liverpool akan merudum seperti Arsenal seperti dijangka ramai orang selepas ketiadaan Virgil Van Dijk dan Fabinho, pemain tengah bertahan terbaik di bahagian belakang.”

Souness yakin kaedah bola sepak Mourinho tidak dipedulikan penyokong Spurs jika kelab itu mampu mengakhiri kemarau trofi 12 tahun.

Katanya: ”Mourinho layak diberikan kredit selepas apa dilakukannya kepada Spurs. Dia mendapat apa dimahukan dan dia berkata, ‘ inilah cara mendapatkan yang terbaik daripada pemain dan mendapatkan keputusan.’

”Sama ada dia mendapatkan sokongan jangka panjang dan menikmati sedikit tuah ketika jendela perpindahan seperti ketika bersama Chelsea, hanya masa menentukan.

”Tumpuan kini ialah cara mereka beraksi dalam perlawanan besar. Ia pasti sukar disaksikan tetapi akan diterima penonton dalam jangka masa pendek jika ia membawa kejayaan. Dua Piala Liga dalam tempoh 29 tahun tidak mencukupi buat kelab besar.”

Liverpool akan menanti kunjungan Spurs dalam perlawanan tumpuan Liga Perdana pada awal pagi Khamis ini.

Sumareh taring terbaru Harimau Selatan?

Kuala Lumpur: Nama dua tonggak naturalisasi iaitu Mohamadou Sumareh dan Isaac Angking semakin kuat dikaitkan menyertai juara tujuh kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) musim depan.

Spekulasi itu timbul susulan pendedahan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memaklumkan kelab terbabit bakal membuat pengumuman khas berhubung kemasukan sekurang-kurangnya lapan pemain baharu menerusi satu sidang media khas, Khamis ini.

Ia termasuk dua tonggak naturalisasi yang tidak didedahkan Tunku Ismail namun, di kalangan peminat bola sepak tempatan menjangkakan kepulangan semula Sumareh ke Liga Malaysia (Liga M) selepas dia menyertai pasukan Police Tero di Liga Thailand dengan kontrak selama enam bulan, September lalu.

Perasaan teruja peminat untuk mengetahui kejutan bakal diumumkan nanti turut menyaksikan Isaac yang juga pemain kacukan Malaysia-Amerika Syarikat (AS) akan menyertai skuad Harimau Selatan.

Pemain tengah berusia 20 tahun kelahiran Rhode Island itu dikaitkan selepas kelabnya, New England Revolution yang beraksi dalam Major League Soccer di Amerika Syarikat tidak menyambung khidmatnya untuk musim depan.

Dia yang mempunyai pertalian darah dengan Malaysia kerana ibunya berasal dari Sarawak, sebelum ini turut pernah menyarung jersi skuad bawah 17 tahun (B-17), Amerika Syarikat dan bermain di Nike International Friendlies namun gagal tersenarai dalam skuad Piala Dunia B-17 negara Uncle Sam itu.

Pengumuman Tunku Ismail itu sememangnya menarik minat penyokong bola sepak tanahair untuk mengetahui perancangan skuad JDT yang sentiasa menampilkan elemen kejutan dalam setiap pra musim.

“Kami telah menandatangani empat pemain untuk musim 2021 serta empat lagi pemain (dua naturalisasi dan satu pemain import) untuk musim 2022,” kata Tunku Ismail menerusi hantaran terbaharu dalam laman Facebook Johor Southern Tigers (JST), semalam.

Malah, beliau turut mendedahkan, kelabnya juga bakal memeterai perjanjian dengan sebuah jenama antarabangsa terkemuka dan pengumuman berhubung perkara berkenaan turut akan dimaklumkan pada sidang media khas berkenaan.

Terdahulu, pada sidang media Oktober lalu, Tunku Ismail mengesahkan JDT berjaya mendapatkan khidmat pemain Liga Mexico, Tijuana iaitu Camilo Da Silva dan pemain tengah negara, Muhammad Daniel Amier Norhisham yang sah menyertai pasukan itu musim depan.

Kehadiran Camilo amat ditagih terutamanya selepas penyerang, Diogo Luis Santo kembali ke Thailand musim depan untuk bersama BG Pathum United.

Kim A-Lim ungguli Terbuka Wanita AS

Houston: Pemain Korea Selatan, Kim A-Lim mempamerkan prestasi mantap untuk merangkul kejuaraan utama pertamanya dengan kelebihan satu pukulan di Terbuka Wanita AS, awal pagi tadi.

Pemain berusia 25 tahun itu yang tidak pernah memenangi kejohanan di luar Korea Selatan membenam tiga birdie berturut-turut di lubang ke-16, 17 dan 18 untuk menamatkan kedudukan dengan empat bawah par 67 di Champions Golf Club, Houston.

Penamat itu membolehkan Kim mencatat tiga bawah, satu pukulan mengatasi rakan senegara yang juga pemain nombor satu dunia, Ko Jin-Young dan Amy Olson dari Amerika Syarikat yang mendahului pada awal permainan manakala pemain Jepun, Hinako Shibuno keempat.

“Saya merancang buat yang terbaik hari ini, agresif, menyerang pin dan ia menjadi,” kata Kim yang tampak tidak terjejas walaupun beraksi sambil memakai pelitup muka.

”Saya sentiasa memakai pelitup muka setiap kali saya berlatih, jadi saya sudah biasa dengannya,” kata Kim ketika sidang akhbar. “Saya OK jika positif Covid-19 tetapi saya tak mahu menjangkiti orang lain, pemain dan kedi. Itu sebabnya saya memakai pelitup muka sepanjang kejohanan.”

Kejohanan yang menawarkan hadiah £744,000 (RM4.03 juta) sepatutnya berlangsung Jun lalu namun ditunda susulan pandemik koronavirus.

Kejayaan Kim itu bermakna pemain Korea Selatan menjuarai tiga daripada empat kejohanan utama wanita tahun ini selepas Mirim Lee menjuarai ANA Inspiration dan Kim Sei-young mengungguli Kejohanan PGA.

Pemain Jerman, Sophia Popov menjuarai Terbuka Wanita manakala Kejohanan Evian Championship dibatalkan akibat pandemik.

Naomi sanjung pengaruh Serena

Western Cape: Bintang tenis Jepun, Naomi Osaka kali pertama mencuri tumpuan pada Mac 2018 apabila menewaskan Daria Kasatkina untuk menjuarai gelaran pertama dalam kariernya di Indian Wells.

Malah Naomi telah mara ke dua final sebelum itu, di Hua Hin pada 2015 dan di Tokyo 2016 dengan menewaskan Jaroslava Shvedova dan Caroline Wozniacki.

Beberapa bulan selepas kejayaan di Indian Wells, Naomi mencipta sensasi apabila muncul pemain Jepun pertama menjuarai Grand Slam di Terbuka AS selepas mengejutkan pemain tuan rumah, Serena Williams dengan dua set pada final sekali gus menghuni kelompok 10 teratas buat kali pertama dan menamatkan musim dengan menjadi pemain nombor lima dunia.

Pada 2019 dia sekali lagi mencuri tumpuan di Terbuka Australia apabila menewaskan Petra Kvitova pada final dan menduduki tangga teratas ranking WTA.

Dia turut menjulang trofi Osaka dan Beijing pada penghujung tahun. Pada tahun ini yang terjejas teruk angkara koronavirus, Naomi kembali dengan kemenangan sekali lagi di New York apabila mengatasi pemain Belarus, Victoria Azarenka.

Bintang Jepun itu kerap menekankan kepentingan pengaruh figura seperti Serena Williams dalam karier tenisnya. Bapanya, Leonard Francois teruja mengajar anaknya bermain tenis selepas menonton Serena dan kakaknya, Venus beraksi di Roland Garros pada 1999 menerusi televisyen.

“Perlu saya katakan bahawa jika tidak kerana Serena, saya mungkin tak berada pada tahap sekarang dan saya percaya ramai orang akan memperkatakan perkara sama,” katanya yang turut mara ke final Cincinnati tetapi terpaksa menarik diri ketika menentang Victoria.

Marquez jalani rawatan di rumah

London: Repsol Honda mengesahkan Marc Marquez kini meneruskan proses pemulihan di rumah selepas lebih seminggu menjalani pembedahan ketiga di tangannya yang tercedera ketika menyertai Kejohanan Dunia MotoGP di Jerez pada Julai lalu.

Juara dunia enam kali MotoGP itu dimasukkan ke Hospital Ruber Internacional di Madrid pada awal bulan ini sebagai persiapan pembedahan ke atas tangan kanannya yang dijangkiti kuman ketika proses pemulihan.

Selepas pembedahan dijalankan pada 3 Disember, Honda mengesahkan dia dibenarkan keluar hospital semalam.

”Tahap pemulihan Marc Marquez semakin bagus selepas pembedahan 3 Disember dan terapi antibiotik sangat memuaskan hati pasukan perubatan pasukan,” menurut kenyataan Repsol Honda.

“Hari ini dia dibenarkan keluar hospital untuk meneruskan proses pemulihan di rumah yang mana dia akan menjalani rawatan selanjutnya dengan antibiotik.”

Marquez yang memburu gelaran dunia ketujuh dalam tempoh lapan tahun terbabit nahas apabila terbabas ketika menyertai perlumbaan pembukaan musim di Jerez.

Persoalan kini ialah sama ada Marquez sempat pulih sepenuhnya untuk mengharungi musim baharu tahun depan.

Ia akan bermula dengan aksi pra musim di Sepang pertengahan Februari.

Ujian seterusnya pula akan berlangsung di Qatar yang kemudian akan menganjurkan pusingan pertama MotoGP pada 28 Mac.

TFC borong sakan pemain import

Kuala Terengganu: Selepas pemain kelahiran Mali, Makan Konate dan bekas import Sabah, Petrus Shitembi berada dalam radar Terengganu FC (TFC), tiga lagi pemain semakin kuat dikaitkan dengan skuad Penyu iaitu David Da Silva (Brazil), Carli De Murga (Filipina) dan Chris Herd (Australia) bagi memantapkan pasukan musim depan.

Malah nama lima pemain import itu kini sudah bermain di bibir peminat selain dimuatnaik dalam media sosial sekali gus membayangkan mereka bakal memijak bumi Terengganu.

Lebih mengukuhkan lagi spekulasi itu apabila Konate, 29, yang pernah menyarung jersi skuad T-Team pada musim 2016/2017 mengesahkan akan meninggalkan kelab Indonesia, Persebaya Surabaya bersama rakan sepasukannya, Da Silva berikutan ketidaktentuan status penganjuran liga di negara Garuda itu musim depan.

Malah media di negara republik itu juga turut mengaitkan kapten skuad Persebaya Surabaya dan Da Silva bakal menyarung jersi TFC walaupun mendapat tawaran daripada beberapa kelab di Thailand dan Arab Saudi.

Jika benar lima pemain itu bakal menyarung jersi TFC, sudah pasti perasaan teruja penyokong yang bagaikan tidak sabar menanti pengumuman itu sedikit terubat selain mengetahui perancangan pasukan TFC yang kini sudah diswastakan.

Da Silva yang beraksi di posisi penyerang bakal menambah sengat jentera berkenaan kerana sebelum ini skuad TFC sudah menyambar pemain sayap menyerang Pahang, Faisal Abdul Halim, Muhamad Arif Mohamed Anwar ( UiTM) dan bekas pemain Kelantan, Hakimi Abdullah.

Pemain naturalisasi Filipina, Carli De Murga yang bakal mengisi kuota pemain import Asean dijangka bergandingan dengan pemain import kuota Asia kelahiran Australia, Chris Herd di posisi pertahanan.

Manakala Konate dan Shitembi bakal menggalas tugas di jentera tengah pasukan bagi menggantikan pemain import sebelum ini, Lee Tuck dan Sanjar Shaakhmedov yang tidak disambung kontrak.

Sebelum ini TFC sudah merantai tujuh pemain tempatan sekali gus membayangkan skuad kendalian Nafuzi Zain itu hampir lengkap.

Malah skuad itu juga sudah mula menjalani latihan semalam sebagai persediaan menjelang Liga M musim depan yang dijadualkan berlangsung pada akhir Februari.

Sementara itu menurut sumber, lima pemain berkenaan antara import yang sudah ‘diteropong’ pasukan bagi memperkuatkan lagi pasukan mengharungi Liga M dan Piala AFC.

“Selain itu beberapa lagi pemain juga sedang dinilai pihak pengurusan termasuk Luke Woodland serta pemain kelahiran Jepun, Korea dan Brazil, tapi kita tidak boleh umumkan lagi disebabkan mereka masih ada kontrak dengan bekas pasukannya,” kata sumber.

Juve sabar tunggu jawapan Dybala

Milan: Presiden Juventus, Andrea Agnelli berkata juara Itali itu menunggu jawapan penyerang Argentina, Paulo Dybala mengenai tawaran kontrak yang bakal menjadikan dia antara 20 pemain mendapat bayaran paling mahal di Eropah.

Dybala yang meledak gol pertamanya di Serie A dalam tempoh lima bulan ketika menewaskan Genoa 3-1 kelmarin memberitahu wartawan dia tidak mendapat sebarang berita mengenai tawaran melanjutkan kontraknya yang tamat pada Jun 2022.

“Terdapat banyak perkara tidak betul diperkatakan mengenai kontrak saya,” katanya.

Agnelli menegaskan pemain berusia 27 tahun itu yang dijangkiti koronavirus selama enam minggu pada awal tahun ini sudah pun ditawarkan kontrak yang meletakkannya antara 20 pemain bergaji paling mahal di Eropah.”

“Kami sabar menunggu jawapannya,” kata Agnelli di Turin.

“Berita positifnya ialah dia kembali menjaringkan gol. Paulo berdepan detik sukar ketika koronavirus dengan proses pemulihan yang lambat.

“Saya gembira mendengar kenyataannya yang sayangkan Juve. Kami nampak Paulo sebagai kapten masa depan pasukan. Sekarang pun dia selalu memakai lilitan kapten.

“Dia tahu mengenai tawaran itu dan kami sabar menunggu jawapannya.”

Dybala menyertai Juventus dari Palermo pada 2015 dan menjaringkan 97 gol bersama kelab dan menjuarai lapan trofi utama termasuk lima gelaran Serie A.

Dia kerap dikaitkan dengan perpindahan sejak beberapa bulan lalu dan dilaporkan hampir ditandatangani kelab Liga Perdana, Manchester United dan Tottenham tahun lalu.

Ronaldo tersenarai bersama Pele, Maradona

London: Cristiano Ronaldo berkata dia bangga apabila diberi penghormatan tersenarai dalam Kesebelasan Terbaik Dunia Sepanjang Zaman oleh France Football.

Majalah Perancis itu yang juga penganjur Ballon d’ Or menyenaraikan kesebelasan impian itu semalam dengan superstar Juventus, Ronaldo tersenarai bersama Lionel Messi, Pele dan Diego Maradona yang meninggal dunia bulan lalu.

Bekas bintang Brazil Ronaldo, bekas kapten Milan Paolo Maldini, Xavi, legenda Bayern Munich Franz Beckenbauer, Lothar Matthaus, Cafu dan penjaga gol Lev Yashin melengkapkan senarai pemain.

Pemenang lima kali Ballon d’Or itu dalam reaksinya di Twitter berkata: “Saya teruja dan bangga menjadi sebahagian daripada kesebelasan terbaik sepanjang zaman oleh France Football.”

“Pasukan impian yang sangat mengagumkan. Saya amat hormati mereka semua dan saya amat bangga diletakkan dalam kalangan mereka. Terima kasih!”

Ronaldo yang juga penjaring terbanyak Real Madrid menjulang lima trofi Liga Juara-Juara, tiga trofi Liga Perdana, menjuarai Euro 2016, dua gelaran Serie A dan cemerlang di La Liga.

Ronaldo meraikan penampilan ke-100 bersama Juventus dengan dua jaringan ketika menewaskan Genoa 3-1, kelmarin.

Bukan itu sahaja, malah Ronaldo muncul pemain pertama meraih 400 kemenangan dalam saingan lima liga utama Eropah abad ini.

Juara Serie A, Juve akan berdepan Atalanta pada Khamis ini dengan pemain berusia 35 tahun Ronaldo sudah pasti mahu menambah koleksi 10 jaringannya musim ini.

Peluang Misbun nilai pemain remaja

Kuala Lumpur: Selepas kejayaan penganjuran Kejohanan Berpasukan Campuran yang berlangsung pada 23 hingga 25 November lalu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) merangka pertandingan sama kali ini membabitkan kem remaja kebangsaan.

Kejohanan secara tertutup itu akan berlangsung esok hingga 18 Disember menggunakan format hampir sama seperti kejohanan berpasukan campuran penghujung November lalu.

Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Misbun Sidek melihat pertandingan seperti itu perlu dilakukan untuk anak didiknya menentu ukur prestasi semasa selepas menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) sejak Julai lalu.

”Penilaian yang akan dibuat di sini adalah apa yang telah mereka perolehi selepas menjalani latihan di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diikuti latihan secara kuarantin dan di pertandingan inilah kita akan jadikan panduan untuk membuat penilaian kepada pemain pemain ini.

”Saya puas hati dengan tahap displin dan keinginan dalam diri pemain. Saya juga mahu lihat adakah mereka mampu mengadaptasi dengan modul latihan yang kita terapkan,” kata Misbun.

13 acara dipertandingkan membabitkan perseorangan dan beregu bagi kategori lelaki serta wanita dan saingan bagi beregu campuran turut dipertandingkan membabitkan pemain bawah 15 dan bawah 18 tahun.

Turut diselitkan dalam pertandingan itu adalah saingan tiga sepasukan dan kesemua pertandingan menggunakan format 15 mata.

BAM mengambil inisiatif menganjurkan pertandingan simulasi secara tertutup selepas program kem Road To Tokyo (RTT) melibatkan pemain senior yang menjalani latihan secara kuarantin dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di Akademi Badminton Malaysia (ABM).