(Gambar: AFP)
MANCHESTER: Manchester United melangkah ke peringkat separuh akhir Liga Europa selepas mengatasi Granada dengan agregat 4-0 pada Khamis (15 Apr) sekali gus berkemungkinan bertemu dengan sebuah lagi kelab England, Arsenal di perlawanan akhir.
Pasukan kendalian Ole Gunnar Solskjaer menentang Granada di Old Trafford dengan kelebihan 2-0 hasil aksi pertama di Sepanyol.
Jaringan awal Edinson Cavani, gol Eropah pertamanya untuk United, sudah cukup bagi memastikan kemenangan perlawanan suku akhir itu sebelum Granada menjaringkan gol sendiri di akhir permainan.
Granada mempunyai peluang di kedua-dua babak tetapi sentuhan penyudah tidak mencukupi.
United yang kali terakhir memenangi kejohanan itu di bawah kendalian Jose Mourinho pada tahun 2017, perlu memastikan kemenangan ke atas Roma di peringkat separuh akhir selepas empat kekalahan di peringkat itu di bawah kendalian Solskjaer.
“Kami menantikannya. Kami mara ke separuh akhir. Ia terasa seperti pertembungan Eropah yang sebenar kerana Roma adalah kelab yang mempunyai sejarah tersendiri. Kami beraksi baik menentang kelab-kelab Itali sebelum ini.
“Kami harap dapat mara ke peringkat akhir. Jika kami dapat menamatkan musim dengan trofi, ia pasti hebat,” kata pengurus dari Norway itu.
United, yang hampir pasti akan menamatkan saingan Liga Perdana England di tempat kedua, memburu trofi pertama mereka sejak memenangi Liga Europa empat tahun lalu.
Tahun lalu mereka tewas kepada Sevilla dalam perlawanan suku akhir.