(Gambar: AFP)
LONDON: Slavia Prague berhasil menjaringkan gol dalam masa tambahan untuk mencatat keputusan seri 1-1 dengan Arsenal dalam perlawanan pertama peringkat suku akhir Liga Europa pada Jumaat (9 Apr).
Pemain gantian, Nicolas Pepe memecah kebuntuan Arsenal pada minit ke-86 pada malam yang menyaksikan banyak peluang disia-siakan oleh pasukan tuan rumah itu.
Namun Tomas Holes berjaya menanduk bola sehingga membolosi gawang Arsenal untuk memastikan pasukannya mempunyai peluang yang seimbang di Prague.
“Perlawanan ini masih dalam genggaman kami, kami berhasil mendapatkan gol yang kami mahukan, tapi malangnya kami menyulitkan keadaan,” kata pengurus Arsenal Mikel Arteta kepada BT Sport.
“Kami menghadiahkan mereka dengan tendangan sudut, mereka meletakkan ramai pemain dalam petak penalti dan apa sahaja boleh berlaku. Sudah tentu ia mengubah perasaan kami selepas perlawanan berakhir.”
Kata Arteta lagi, para pemain gantian Arsenal berhasil mengubah corak permainan tetapi pasukannya gagal memanfaatkan peluang gol.
“Mereka adalah lawan yang baik dan sukar untuk dilenturkan,” kata Arteta. “Kini kami perlu ke sana dan menang. Kami pernah melakukannya sebelum ini dan kami yakin boleh melakukannya sekali lagi.”