Kuala Lumpur: Selepas sekian lama menanti akhirnya pemain dan jurulatih hoki menghela nafas lega apabila Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengumumkan saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) bakal bermula dari 11 Mac sehingga 3 April depan.
Peraturan ketat konsep gelembung sukan untuk saingan MHL bukan menjadi masalah buat mereka dan rata-rata yakin mampu mematuhi perkara yang sudah ditetapkan itu asalkan ‘industri hoki’ tidak berlalu sepi begitu saja tahun ini.
Menurut jurulatih Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Megat Azrafiq Termizi, beliau berasa puas hati dan sangat lega dengan pengumuman dibuat Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan MHC, Datuk Seri Anil Jeet Singh semalam.
“Dapat beraksi bulan depan satu berita yang menggembirakan, walaupun kami sudah melakukan persiapan sejak awal tahun ini. Kalau ‘berehat’ terlalu lama juga memang tidak seronok, dapat beraksi bulan depan bagi saya masih relevan tatkala persiapan masih berjalan dengan sempurna.
“Mengenai prosedur operasi standard (SOP), kalau kita tengok itu yang sudah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) jadi saya rasa pemain pun sudah sedia maklum dan mereka mampu untuk menyesuaikan diri walaupun ada kekangan,” katanya.
Ditanya mengenai pemain yang melanggar peraturan gelembung sukan ditetapkan MHC akan terus disenarai hitam sekali gus tidak boleh menyertai MHL, bekas pemain kebangsaan itu yakin semua pemain sudah cukup matang untuk memahami situasi berkenaan.
“Mereka perlu tahu akan impak jika melakukan perkara berkenaan, walaupun saingan MHL kali ini berbeza saya rasa tiada isu selain memikirkan ke arah kebaikan bersama,” katanya. Sementara itu, penyerang Pasukan Hoki Terengganu (THT), Faizal Saari, berasa tidak sabar dan teruja apabila MHL mendapat lampu hijau walaupun ia sepatutnya dilangsungkan Januari lalu.
“Saya rasa buat masa sekarang inilah yang terbaik (walaupun perlu berdepan SOP) sebagai pemain kita perlu mematuhinya. Tidak ada masalah buat pemain ikut setiap peraturan ditetapkan, kita perlu jaga kita, demi kebaikan sukan hoki ini sendiri.
“Selepas berlatih secara individu, minggu depan kami akan berlatih bersama-sama di Kuala Lumpur untuk menerapkan semangat berpasukan. Jadi walaupun sudah lama ditangguhkan saya rasa sasaran meraih satu trofi musim ini tidak mustahil dicapai,” katanya.
Kira-kira 600 pemain dan pegawai akan berkumpul di satu lokasi serta diwajibkan melakukan ujian calitan.
Sebaik saja memasuki konsep gelembung sukan bermula 10 Mac, semua mereka berada di bawah tanggungjawab dan tanggungan MHC.
- Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
- Lagi berita berkaitan Covid-19