Kuala Lumpur: Segala-galanya bukanlah sudah berakhir bagi lima pemain yang digugurkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kelmarin, sebaliknya peluang masih luas di dunia luar.
Demikian pandangan pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016, Goh V Shem yang menganggap kelima-lima pemain itu masih mempunyai potensi besar untuk menyerlah di pentas antarabangsa meskipun jika memilih bergerak secara profesional.
Lima pemain yang dimaksudkan itu ialah perseorangan wanita, Soniia Cheah; tiga pemain beregu campuran, Goh Soon Huat, Shevon Lai Jemie, Lai Pei Jing dan beregu wanita, Vivian Hoo.
V Shem yang sudah memulakan langkah itu bersama gandingannya, Tan Wee Kiong bagaimanapun berkata, terdapat sedikit perbezaan kehidupan seorang pemain yang bernaung di bawah BAM dengan berstatus profesional.
“Contohnya sebagai pemain profesional, semua perkara perlu dilakukan sendiri seperti menempah tiket penerbangan dan hotel. Tapi saya percaya mereka semua boleh menyesuaikan diri dengan situasi ini.
“Soal menjalani latihan pula saya rasa tidak ada masalah kerana ramai pemain yang sudah bergerak secara profesional. Kemudian kami semua berlatih bersama-sama,” katanya yang bergerak secara profesional sejak awal 2019.
V Shem yang kini menduduki ranking ke-11 dunia bersama Wee Kiong berkata, jika kelima-lima pemain itu memilih menjadi pemain profesional, ia akan meningkatkan lagi kualiti rakan sepelatih buat kelompok pemain bebas.
“Kami boleh saling membantu antara satu sama lain. Ini juga akan memberikan kami lebih ramai rakan sepelatih dan ia sesuatu yang positif untuk kami sebagai persiapan menghadapi sebarang kejohanan,” katanya.