Kuala Lumpur: Tiga kali terpaksa menjalani kuarantin di rumah selepas rakan sepasukan disahkan positif Covid-19 tidak mematahkan semangat pemain ragbi negara K Dinesvaran untuk terus mempamerkan persembahan terbaik dalam perlawanan pertama saingan liga utama ragbi Jepun baru-baru ini.
Dinesvaran atau turut dikenali sebagai Duke Krishnan memaklumkan ketika ini dia menjalani latihan bersama pasukan seperti biasa namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat bagi mengekang penularan Covid-19.
Katanya, kali pertama dia perlu kuarantin beberapa bulan lalu sebaik tiba di Jepun apabila seorang rakan sepasukan disahkan positif Covid-19 sekali gus latihan terpaksa dihentikan seketika.
“Saya menjalani latihan secara individu di rumah sebaik menerima arahan berkenaan (kuarantin) berikutan disenaraikan sebagai antara kontak rapat. Setakat ini, sudah tiga kali perlu menjalani sesi kuarantin di rumah dan bernasib baik tidak dijangkiti Covid-19 kerana ia boleh menjejaskan prestasi dan sesi latihan saya.
“Apa yang saya lakukan ketika ini adalah mematuhi SOP yang ditetapkan dan hanya keluar rumah apabila perlu saja selain kurang bergaul dengan orang ramai bagi mengelak penularan Covid-19,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.
Sementara itu, Dinesvaran berhasrat untuk terus kekal beraksi di Liga Utama Jepun bersama pasukan Hino Reds Dolphins bagi membolehkan prestasinya meningkat ke tahap lebih tinggi.
“Saya tidak berdepan sebarang masalah sepanjang berkelana di Jepun malah dapat menimba pengalaman bermakna sekali gus boleh dimanfaatkan ketika mewakili negara. Malah, rakan sepasukan dan barisan kejurulatihan juga banyak membantu mempertingkatkan prestasi saya dan kekal optimis mampu memberikan persembahan terbaik pada saingan liga,” katanya.