Kuala Terengganu: Selepas pemain kelahiran Mali, Makan Konate dan bekas import Sabah, Petrus Shitembi berada dalam radar Terengganu FC (TFC), tiga lagi pemain semakin kuat dikaitkan dengan skuad Penyu iaitu David Da Silva (Brazil), Carli De Murga (Filipina) dan Chris Herd (Australia) bagi memantapkan pasukan musim depan.
Malah nama lima pemain import itu kini sudah bermain di bibir peminat selain dimuatnaik dalam media sosial sekali gus membayangkan mereka bakal memijak bumi Terengganu.
Lebih mengukuhkan lagi spekulasi itu apabila Konate, 29, yang pernah menyarung jersi skuad T-Team pada musim 2016/2017 mengesahkan akan meninggalkan kelab Indonesia, Persebaya Surabaya bersama rakan sepasukannya, Da Silva berikutan ketidaktentuan status penganjuran liga di negara Garuda itu musim depan.
Malah media di negara republik itu juga turut mengaitkan kapten skuad Persebaya Surabaya dan Da Silva bakal menyarung jersi TFC walaupun mendapat tawaran daripada beberapa kelab di Thailand dan Arab Saudi.
Jika benar lima pemain itu bakal menyarung jersi TFC, sudah pasti perasaan teruja penyokong yang bagaikan tidak sabar menanti pengumuman itu sedikit terubat selain mengetahui perancangan pasukan TFC yang kini sudah diswastakan.
Da Silva yang beraksi di posisi penyerang bakal menambah sengat jentera berkenaan kerana sebelum ini skuad TFC sudah menyambar pemain sayap menyerang Pahang, Faisal Abdul Halim, Muhamad Arif Mohamed Anwar ( UiTM) dan bekas pemain Kelantan, Hakimi Abdullah.
Pemain naturalisasi Filipina, Carli De Murga yang bakal mengisi kuota pemain import Asean dijangka bergandingan dengan pemain import kuota Asia kelahiran Australia, Chris Herd di posisi pertahanan.
Manakala Konate dan Shitembi bakal menggalas tugas di jentera tengah pasukan bagi menggantikan pemain import sebelum ini, Lee Tuck dan Sanjar Shaakhmedov yang tidak disambung kontrak.
Sebelum ini TFC sudah merantai tujuh pemain tempatan sekali gus membayangkan skuad kendalian Nafuzi Zain itu hampir lengkap.
Malah skuad itu juga sudah mula menjalani latihan semalam sebagai persediaan menjelang Liga M musim depan yang dijadualkan berlangsung pada akhir Februari.
Sementara itu menurut sumber, lima pemain berkenaan antara import yang sudah ‘diteropong’ pasukan bagi memperkuatkan lagi pasukan mengharungi Liga M dan Piala AFC.
“Selain itu beberapa lagi pemain juga sedang dinilai pihak pengurusan termasuk Luke Woodland serta pemain kelahiran Jepun, Korea dan Brazil, tapi kita tidak boleh umumkan lagi disebabkan mereka masih ada kontrak dengan bekas pasukannya,” kata sumber.