London: Peter Shilton mengakui bahawa dia tidak gembira kerana Diego Maradona tidak pernah memohon maaf di atas apa yang berlaku ‘Tangan Tuhan’ ketika menentang England pada Piala Dunia 1986.
Gol Maradona itu pasti akan terus diingati apabila dia menolak bola ke gawang melepasi Shilton untuk melakar kemenangan ke atas England di suku akhir.
Empat minit selepas Maradona melakukan gol itu, pemain Argentina itu menjaringkan satu lagi gol yang terhebat dalam sejarah Piala Dunia apabila dia menggelecek bola menewaskan semua pertahanan England.
Maradona meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung di kediamannya di Buenos Aires.
Tetapi selepas kematian pemain Argentina itu, Shilton masih menegaskan bahawa Maradona tidak menunjukkan semangat kesukanan selepas kejayaan negaranya 34 tahun lalu.
“Hidup saya sudah lama dikaitkan dengan kehidupan Maradona dan bukan seperti yang saya mahukan,” kata Shilton.
“Tapi saya tetap sedih mendengar kematiannya pada usia muda. Dia adalah pemain terhebat yang pernah saya temui dan takziah kepada keluarganya.
“Ini sudah mengganggu saya selama bertahun-tahun. Saya tidak pernah bohong mengenainya. Orang mengatakan bahawa saya harus menyelamatkan bola dan saya membiarkan lelaki yang lebih kecil itu mengalahkan saya. Itu sampah.