Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal nombor satu negara, Azizulhasni Awang tidak kekok berkongsi pengalamannya bagaimana menakluk dunia apabila mengadakan sesi video secara maya bersama barisan pelumba pembangunan Sepang Racing Team (SRT).
Azizul yang pernah bergelar juara dunia pada 2017 dan kini berada di ranking nombor satu dunia dalam acara keirin berkata, sesi yang berlangsung secara dalam talian itu lebih kepada berkongsi pengalamannya dalam dunia sukan dan sepanjang bergelar atlet negara.
“Saya berkongsi pengalaman bagaimana untuk berurusan dan menyesuaikan diri apabila tinggal di luar negara sebab kebanyakan pelumba kelak akan tinggal di Eropah untuk beberapa ketika.
“Mereka banyak bertanyakan soalan. Saya percaya apa dikongsikan itu boleh diguna pakai dalam sukan permotoran mereka,” katanya.
Pada sesi yang berlangsung semalam, Azizul pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 itu juga menasihat pelumba negara untuk menjadikan disiplin sebagai kunci kejayaan dan terus komited dalam bidang yang mereka ceburi jika ingin melangkah lebih jauh.
“Untuk berjaya, banyak yang perlu dikorbankan. Kita akan sentiasa diuji dengan pelbagai ujian dan halangan.
“Saya juga sempat menggalakkan mereka menimba ilmu kerana itu dapat membantu mereka dalam karier selepas bersara,” katanya.
Antara pelumba SRT yang terbabit adalah Adam Norrodin, Danial Syahmi Ahmad Shahril, Sharul Ezwan Sharil, Syarifuddin Azman, Zulfahmi Khairuddin dan Faz Adhili.
Untuk rekod Azizul kini kembali menguasai kedudukan ranking nombor satu dunia dalam acara keirin selepas mengumpul 2,195 mata.
Azizul menguasai kedudukan berdasarkan pencapaian merangkul gangsa di Kejohanan Berbasikal Dunia di Berlin, perak di Kejohanan Asia, Korea Selatan tahun lalu dan emas di Kejohanan Piala Dunia di New Zealand.
Yuta Wakimoto yang juga juara Asia di kedudukan kedua dengan 2,055 mata manakala juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen ketika 1,950 mata.
Manakala seorang lagi pelumba negara Mohd Shah Firdaus Sahrom di tempat ke-35.