Skuad basikal Johor tak patah semangat

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih berbasikal Johor, Junaidi Mohamad Nasir akur dengan perkhabaran pembatalan Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2021 demi keselamatan semua orang dalam situasi sekarang.

Menurut bekas pelumba kebangsaan itu, adalah bagus untuk menangguhkan Sukma kerana penganjuran temasya dikhuatiri boleh mencetuskan ‘Kluster Sukma’.

“Setakat ini moral pelumba saya semuanya berada dalam keadaan tenang walaupun ada sedikit kesedihan. Mereka faham situasi kenapa temasya ini ditangguhkan dan boleh menerima keputusan yang sudah dibuat,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sukma yang sepatutnya berlangsung pada Julai lalu, ditangguh ke 6 hingga 14 Mac 2021 kerana pandemik itu, sebelum dijadualkan semula ke 2 hingga 10 April.

Pembatalan Sukma Johor itu sudah mengambil kira pelbagai aspek selepas tiada jaminan keselamatan kesihatan kepada hampir 30,000 orang yang terbabit temasya itu.

Keputusan itu turut dipengaruhi kalendar temasya sukan tempatan dan antarabangsa pada 2021 yang terlalu rapat dengan beberapa tarikh penting seperti Ramadan dari 13 April hingga 13 Mei, Kejohanan Bola Sepak Euro 2020 (11 Jun-11 Julai), Sukan Olimpik Tokyo (23 Julai-8 Ogos), Paralimpik Tokyo (24 Ogos-5 September) serta Sukan Sea Vietnam pada hujung tahun.

Ditanya mengenai umur pelumba yang mungkin sudah melebihi had jika ia diadakan pada 2022, Junaidi mengakui beliau melakukan persiapan rapi.

“Saya tiada masalah kerana sudah mempersiapkan satu perancangan jangka masa panjang apabila bekerja dengan Johor. Saya sudah merangka kerja-kerja pembangunan dengan baik dan persediaan atlet untuk ke Sukma Johor.

”Malah sehingga Sukma 2026 dari segi umur atlet (bawah 21 tahun). Dalam masa sama juga semua masih ternanti-nanti had umur Sukma 2022 adakah masih menggunakan atlet sedia ada (bawah 23 tahun) atau Sukma mengekalkan had umur (bawah 21 tahun),” katanya. Tambahnya, pelbagai rancangan dirancang di Johor kerana negeri berkenaan meletakkan sukan berbasikal dalam satu projek jangka panjang (10 dan 20 tahun).