Sao Paulo: Sehari sebelum genap berusia 80 tahun, legenda bola sepak Brazil, Pele berkata dia gembira kerana dikurniakan kesihatan mental yang baik dalam video dihantar kepada media hari ini.
“Saya bersyukur kepada Tuhan kerana mengurniakan saya kesihatan untuk sampai ke tahap baik seperti ini. Tidak berapa bijak tapi mudah faham,” katanya berjenaka dalam video pendek sebelum hari lahirnya Jumaat ini.
“Saya berharap apabila saya mati, Tuhan akan menyambut saya sama seperti sambutan di seluruh dunia kerana bola sepak yang kita cintai,” tambahnya.
Pele atau nama sebenarnya Edson Arantes do Nascimento diiktirafkan antara pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman, bergelut dengan masalah kesihatan sejak kebelakangan ini.
Pemenang tiga Piala Dunia (1958, 1962 dan 1970) sering keluar masuk hospital kerana pelbagai masalah kesihatan.
Tahun lalu dia berkunjung ke Paris dan membuat penampilan promosi bersama bintang Perancis, Kylian Mbappe tetapi terpaksa dikejarkan ke hospital selepas itu kerana masalah buah pinggang.
Pada 2014, dia ditempatkan di unit rawatan rapi bagi dialisis selepas mengalami jangkitan air kencing yang teruk.