London: Marcus Rashford menegaskan Edinson Cavani terbukti bernilai buat Manchester United selepas penyerang veteran Uruguay itu mengubah hidupnya di ladang untuk menjadi tumpuan di Old Trafford.
Cavani menandatangani kontrak dua tahun bernilai £210,000 seminggu (RM1.126 juta) pada hari terakhir perpindahan.
Dia dilaporkan bakal membuat kemunculan pertama pada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara (UCL) menentang bekas kelabnya, Paris Saint Germain awal pagi Rabu ini.
Pemain berusia 33 tahun itu terlepas perlawanan United menang 4-1 ke atas Newcastle kelmarin yang – perlawanan pertama United sejak dia dibeli – kerana menempuhi kuarantin 14 hari selepas tiba di England.
Namun Cavani dijangka boleh bermain bersama skuad Ole Gunnar Solskjaer di Paris.
“Saya akan menempuhi detik yang luar biasa, yang tiada siapa merasakan ia akan terjadi. Ia akan menjadi sesuatu yang menakjubkan, emosi yang menarik,” kata Cavani kepada TF1.
Cavani menjaringkan 200 gol dalam tujuh tahun bersama PSG sebelum meninggalkan juara Ligue 1 pada Jun, terlepas saingan dalam perjalanan kelab itu menempuhi final UCL.
Cavani menghabiskan beberapa bulan menjaga biri-biri di ladang miliknya dekat Uruguay dan meneruskan minatnya dalam balet termasuk tampil dalam iklan untuk klip video sekolah tarian.
Rashford berharap Cavani boleh mengembalikan impak dibuat Zlatan Ibrahimovic, yang menyertai kelab berkenaan pada 2016 selepas meninggalkan PSG sebagai pemain bebas.
“Sebagai barisan penyerang, ia sesuatu yang saya nantikan,” kata Rashford.