Milan: Zlatan Ibrahimovic bersedia untuk diturunkan pada pertemuan seteru setempat Milan awal pagi Ahad namun Juventus tidak dapat menggunakan khidmat Cristiano Ronaldo apabila Serie A kembali bersambung selepas rehat seketika untuk aksi antarabangsa.
Pada minggu yang menyaksikan Napoli ditolak satu mata dan diisytihar tewas 0-3 kepada Juventus kerana gagal hadir pada perlawanan liga berikutan terdapat dua kes positif Covid-19, pandemik itu dilihat terus mengganggu perjalanan liga.
“Yang penting adalah untuk menamatkan saingan musim ini, keputusan perlawanan adalah perkara kedua,” kata kapten Juventus, Giorgio Chiellini yang menyaksikan dia serta barisan pemain lain menjalani proses pengasingan selepas Weston McKennie didapati positif, begitu juga dengan Ronaldo.
Juventus akan berkunjung ke pasukan yang baharu dinaikkan ke Serie A, Crotone.
Sementara itu, Ibrhahimovic sudah pulih sepenuhnya dan bersedia untuk diturunkan selepas meledak dua gol ketika bertemu Bologna sekali gus berpeluang membantu AC Milan membalas dendam kekalahan kepada Inter musim lalu.
Bintang Sweden itu tidak beraksi sejak 21 September namun meneruskan latihan intensif ketika tempoh kuarantin.
Ketiadaannya menyaksikan Milan masih meraih keputusan memberangsangkan dan naik di tangga kedua hasil daripada tiga kemenangan.
Skuad bimbingan Stefano Pioli itu menduduki tangga kedua di belakang Atalanta yang turut mencatat tiga kemenangan namun mempunyai kelebihan jaringan gol.
Sementara itu Inter Milan menyaksikan enam pemainnya melalui tempoh pengasingan, iaitu Ashley Young, Alessandro Bastoni, Milan Skriniar, Radja Nainggolan, Roberto Gagliardini dan Ionut Radu dalam usaha mereka untuk melakar kemenangan kali kelima berturut-turut pada pertemuan seteru setempat itu.