Cheptegei lakar rekod dunia ketiga

Valencia: Joshua Cheptegei melakar rekod dunia baharu acara trek 10,000 meter (m) manakala Letesenbet Gidey memperbaharui rekod acara 5,000m wanita di saingan NN Valencia World Record Day, hari ini.

Cheptegei mengatasi rekod 26m 17.53 saat (s) milik Kenenisa Bekele yang dilakukan di Brussels pada 2005.

Pelari berusia 24 tahun itu melakar rekod baharu 26m 11.00s sekali gus mengukuhkan statusnya selaku pelari jarak pertengahan yang berkaliber dan ia adalah rekod dunia ketiganya pada tahun ini.

Pada Februari lalu, Cheptegei melakar rekod dunia acara jalan raya 5 kilometer (km) di Monaco.

Kemudian selepas melalui perintah berkurung di tempat asalnya di Uganda berikutan pandemik Covid-19, dia kembali ke Monaco untuk meleburkan rekod dunia Bekele yang bertahan selama 16 tahun dalam acara 5,000m apabila melakukan catatan 12m 35.36s.

Dia muncul atlet ke-10 yang memegang rekod dunia 5,000 dam 10,000m.

Cheptegei mula mempamer aksi cemerlang apabila meraih pingat perak pada Kejohanan Dunia 2017 di London ketika baru berusia 20 tahun.

Tahun lalu dia memperbaiki keputusan itu dengan meraih pingat emas di Doha. Dia sudah pun muncul juara kejohanan dunia merentas desa lima bulan sebelum itu.

Sementara itu, Gidey, 22, mencatat 14m 6.62s untuk mengatasi catatan 14m 11.15s dilakukan oleh Tirunesh Dibaba pada 2008.

“Saya gembira. Ia adalah impian menjadi kenyataan dan satu kejayaan besar untuk saya,” kata Gidey.