London: Theo Walcott pulang kembali ke Southampton selepas pemain sayap Everton itu dipinjamkan untuk tempoh sepanjang musim ke pasukan di mana dia memulakan kariernya.
Walcott memilih untuk kembali ke Southampton selepas hanya melakukan dua penampilan bersama Everton musim ini.
Pemain antarabangsa England berusia 31 tahun itu, yang melakukan penampilan peringkat senior di Southampton pada usia 16 tahun, pulang semula ke kelab berkenaan selepas 14 tahun lalu menyertai Arsenal.
“Southampton dengan bangganya mengumumkan Theo Walcott, salah seorang pemain bekas akademi di sini, kembali semula ke St Mary,” jelas Southampton dalam satu kenyataan.
Walcott, yang menghabiskan masa selama 12 tahun di Arsenal sebelum menyertai Everton pada Januari 2018, merasakan dirinya tidak mendapat peluang di Goodison Park sejak Carlo Ancelotti mengambil alih pasukan musim lalu.
“Saya menerima tawaran daripada kelab lain tapi apabila Southampton datang kepada saya, ia adalah sebahagian daripada diri saya dan mereka yang menjadikan saya pemain seperti sekarang. Tetap di dalam hati saya.
“Saya sebenarnya menangis ketika kali pertama beraksi dan ia sangat memberi makna. Kepada semua mereka yang membuat cita-cita saya tercapai, tidak terbalas budi mereka. Jujurnya, saya sangat gembira,” kata Walcott.