Hoffenheim lebur rekod kemenangan Bayern

Berlin: Juara Eropah, Bayern Munich meratapi kekalahan pertama dalam tempoh 10 bulan selepas rentak kemenangan dalam 23 perlawanan dileburkan dengan kekalahan mengejut 1-4 ke atas Hoffenheim dalam aksi Bundesliga awal pagi ini.

Hoffenheim mendahului 2-0 menerusi gol awal dari pemain pertahanan Ermin Bicakcic dan penyerang, Munas Dabbur.

Sekalipun Joshua Kimmich memberi sedikit harapan kepada Bayern menerusi jaringan sebelum waktu rehat tetapi penyerang kebangsaan Croatia, Andrej Kramaric meledak gol pada separuh masa kedua serta menyempurnakan penalti lewat permainan.

Pemain pertahanan Hoffenheim, Havard Nordtveit (kiri) cuba mengekang kemaraan pemain Bayern, Joshua Kimmich pada aksi Bundesliga. FOTO AFP
Pemain pertahanan Hoffenheim, Havard Nordtveit (kiri) cuba mengekang kemaraan pemain Bayern, Joshua Kimmich pada aksi Bundesliga. FOTO AFP

Kemenangan itu membolehkan Hoffenheim berada di puncak carta liga sementara juara bertahan, Bayern di kedudukan ke tujuh selepas dua perlawanan.

Ia adalah kekalahan pertama Bayern di bawah kendalian ketua jurulatih, Hansi Flick dalam semua kejohanan sejak tewas 1-2 kepada Borussia Moenchengladbach pada 7 Disember 2019.

“Tahniah kepada Hoffenheim, mereka tidak memberi kami ruang dan hanya membenarkan kami beberapa peluang.

“Kami hanya tidak memanfaatkan peluang atau beraksi dalam kemampuan sebenar.” kata Flick selepas perlawanan itu.

Sementara jurulatih Hoffenheim, Sebastian Hoeness adalah anak saudara kepada Presiden Kehormat Bayern, Uli Hoeness dan meninggalkan skuad simpanan Munich pada Julai untuk mengambil alih Hoffenheim.

“Kami menerapkan dalam latihan semuanya yang harus dilakukan, kami menguasai permainan sejak dari awal, berjaya kekal memberi ancaman dan bertahan dengan baik, jadi saya agak terkejut dengan keputusan ini,” kata Hoeness.