Berlin: Borusssia Dortmund tumpas mengejut 0-2 di tangan Augsburg, awal pagi tadi dan kali ini penyerang Norway, Erling Braut Haaland tidak dapat menampilkan watak penyelamat seperti yang dilakukannya ketika mencipta sejarah di Bundesliga, Januari lalu.
Dengan juara bertahan, Bayern Munich hanya akan turun menentang Hoffenheim, malam ini, Dortmund yang muncul naib juara musim lalu gagal meneruskan rentak mereka selepas melakar kemenangan 3-0 ke atas Borussia Moenchengladbach, Sabtu lalu yang menyaksikan Haaland meledak dua gol dalam perlawanan itu.
Pemain berusia 20 tahun itu sudah mengumpul 18 gol dalam 21 perlawanan tahun ini buat Dortmund dan meletakkan namanya dalam sejarah Bundesliga.
Dia menjadi pemain pertama meledak hatrik selepas di bawa masuk dari bangku simpanan pada penampilan pertama untuk aksi Bundesliga, Januari lalu.
Tiga gol dijaringkan Haaland dalam tempoh 20 minit membolehkan Dortmund ketika itu bangkit menewaskan Augsburg 5-3.
Bagaimanapun, kali ini bintang muda itu gagal mempamerkan prestasi sebenarnya di Arena-WWK Augsburg apabila hanya berjaya melakukan satu percubaan tepat ke arah pintu gol lawan.
Sebaliknya, tonggak pertahanan tengah Augsburg, Felix Uduokhai meletakkan kelab itu di depan apabila memecah kebuntuan pada minit ke-40 sebelum Daniel Caligiuri mengesahkan kemenangan melalui gol kedua di minit ke-54.
Jurulatih Dortmund, Lucian Favre mengakui kecewa dengan kekalahan itu apatah lagi selepas menyaksikan anak buahnya mendominasi 80 peratus permainan.
“Banyak perkara yang kami perlu lakukan,” kata Favre yang mengalihkan fokus bagi persiapan menentang Bayern dalam aksi Piala Super Jerman di Munich, awal pagi Khamis ini.
“Kami hampir mendominasi keseluruhan perlawanan, kami bermula dengan baik tetapi tetapi ia belum cukup dan kami terlalu terburu-buru dalam permainan. Augsburg bertahan dengan baik, kami sepatutnya lebih bersabar,” katanya.