London: Ole Gunnar Solskjaer menyalahkan kurangnya persiapan yang dibuat Manchester United menjadi mimpi ngeri buat mereka apabila memulakan saingan Liga Perdana Inggeris yang menyaksikan Wilfried Zaha meledakkan dua gol ketika turun bertemu bekas pasukannya itu untuk memastikan kemenangan 3-1 milik Crystal Palace di Old Trafford.
United menamatkan musim 2019/20 lebih sebulan lalu berikutan kejayaan mara ke separuh akhir Liga Europa dan hanya menjalani latihan pra-musim selama dua minggu.
“Anda boleh lihat kami kurang cergas dan mereka layak untuk mendapat mata. Mereka lagi tajam daripada kami dalam melancarkan serangan,” kata Solskjaer.
“Anda tidak perlu terlalu terkejut kerana kami bukan berada di tahap terbaik kerana ini adalah perlawanan pertama sejak pertengahan Ogos lalu. Kami menjalani latihan pra-musim yang pendek dan pelik. Kami perlu memperbaikinya dengan cepat.”
United menamatkan musim lalu dengan 14 perlawanan tanpa kalah di Liga Perdana membolehkan mereka menamatkan saingan di kedudukan ketiga sekali gus memberikan harapan untuk mencabar musuh utama, Liverpool dan Manchester City musim ini.
Namun berdasarkan keputusan ini, mereka perlu lebih dari sekadar mendapatkan Donny Van de Beek yang menjaringkan gol pada penampilan sulungnya untuk bersaing di kedudukan atas liga.
Solskjaer, bagaimanapun menolak alasan kerana kurangnya pemain baru menyebabkan mereka bermula perlahan musim ini.