Liverpool tangguh hasrat ikat Alcantara

LIVERPOOL dilaporkan terpaksa menangguhkan hasrat membuat tawaran rasmi sehingga pada minggu terakhir musim jendela perpindahan untuk mendapatkan khidmat pemain tengah Bayern Munich, Thiago Alcantara.

The Reds kekal sebagai kelab utama yang mendahului senarai kelab pilihan yang mahu mendapatkan tanda tangan pemain kebangsaan Sepanyol itu walaupun berdepan saingan seteru di Liga Perdana Inggeris, Manchester United yang menunjukkan minta terhadap pemain itu sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun, Bayern belum menerima tawaran rasmi bagi pemain berusia 29 tahun itu dan secara umum memberi amaran kepada kelab berkenaan bahawa mereka mungkin tidak dapat mencapai kata sepakat jika urusan dijalankan pada saat akhir sebelum perpindahan ditutup.

Menurut talkSPORT, Liverpool terpaksa menunggu beberapa minggu lagi berikutan tiada kepastian mengenai masa depan pemain tengah, Georginio Wijnaldum di kelab juara Inggeris itu.

Wijnaldum dipercayai menjadi sasaran bekas bos Belanda, Ronald Koeman di Barcelona. Ketiadaannya mampu memberi kesan pada jentera tengah kelab di Anfield itu.